Followers

Sunday, February 6

Kepada Orang Pasir Mas Kelantan

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:05 PM 2 comments

TERSOHOR...gadis Pasir Mas terkenal di Kelantan kerana keaslian kecantikan mereka.

SEBUT saja nama daerah Pasir Mas, Kelantan, pasti ramai mengaitkannya sebagai ‘kilang’ gadis cantik hingga sering diburu oleh pemuda tempatan mahupun luar Kelantan untuk dijadikan calon isteri.
Malah, tidak keterlaluan jika gadis Pasir Mas yang terkenal dengan jolokan comel ‘lote’ serta memiliki wajah keayuan yang asli itu dianggap sama seperti Cinderella yang sentiasa menjadi igauan setiap ‘putera’.



Ini kerana, bila disebut saja gadis Pasir Mas, ramai pemuda terbayangkan seorang gadis Melayu yang memiliki raut wajah ayu dan jelita, sama seperti gadis zaman bangsawan.

Paling ketara, gadis Pasir Mas memiliki wajah Melayu yang mampu menggoda lelaki tanpa perlu disolek. Selain itu kulit mereka, terutama di tangan, kelihatan lembut dan gebu seperti bayi.



Namun, paling menarik ialah keunikan mata gadis Pasir Mas. Mereka dikatakan memiliki mata menawan iaitu berwarna coklat kebiruan dan kelabu, lengkap dengan alis mata dan kening hitam serta tebal, seolah-olah memakai celak.


Ada penduduk mendakwa wanita dari Pasir Mas mempunyai hubung kait dengan puteri dongeng Kelantan, Puteri Sa’adong yang dikatakan memiliki wajah cantik dan ayu.

Ada juga mendakwa kecantikan kulit gadis Pasir Mas diwarisi daripada nenek moyang mereka yang berasal dari Selatan Thailand dan berhijrah ke daerah ini sejak puluhan tahun lalu.

Nenek moyang mereka dikatakan mengamalkan makan beras pulut setiap hari, selain mandi menggunakan air basuhan beras bagi mengekalkan ketegangan kulit supaya sentiasa kelihatan menarik dan gebu.

Ada juga yang memakan buah-buahan seperti tomato setiap pagi serta meminum air suam bagi mengekalkan kecantikan kulit badan.

Antara kampung di Pasir Mas yang didakwa tersohor kerana mempunyai ramai gadis cantik ialah Kampung Seberang Pasir Mas, Kampung Betong, Kampung Aur Duri, Kampung Bunut Susu, Kampung Slow Machang dan Kubang Bemban.

Menurut Fatihah Fauzi, 22, dari Kampung Lemal, sejak dulu lagi dia dan dua kakaknya diasuh oleh emak supaya meminum air suam.

“Saya tidak suka memakai alat solek kerana ia dikatakan penuh dengan bahan kimia yang memudaratkan wajah.

“Saya lebih suka wajah ini tidak disolek kerana ia tetap kelihatan ceria jika kita menjaganya dengan baik,” katanya.

Apapun, keistimewaan gadis Pasir Mas pasti mempunyai kaitan dengan sejarah dulu kala.

Berdasarkan sejarah kewujudan Pasir Mas, kawasan itu dipercayai dibuka oleh Che Leh @ Salleh Ismail yang berhijrah selepas tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan untuk membina istana.

Walaupun pada awalnya tidak bersetuju dengan desakan perpindahan itu, Che Leh yang turut digelar Che Leh Tok Pendekar terpaksa akur dengan titah Sultan kerana tidak mahu dianggap menderhaka.

Bekas pesara tentera, Wan Ali Wan Hussin, 75, berkata Che Leh bersama keluarga berhijrah ke arah utara Kota Bharu sebelum membuka penempatan baru yang kini dikenali sebagai Seberang Pasir Mas.

Che Leh dikatakan tertarik membina rumah barunya di kawasan itu kerana ia terletak berhampiran tebing Sungai Kelantan, selain memudahkan beliau dan keluarga melakukan kerja harian.

Katanya, beberapa bulan selepas itu ramai penduduk luar berhijrah ke kawasan terbabit, menyebabkan penempatan itu padat dalam sekelip mata selepas Che Leh mengambil inisiatif sendiri untuk membina surau, pasar dan pangkalan perahu.

“Pada masa sama, seorang guru agama dari Bachok datang mengajar agama di kawasan itu, namun pulang ke kampungnya sebaik selesai mengajar beberapa bulan kemudian.

“Beberapa hari selepas kepulangan guru itu, tiba-tiba muncul tiga biji mangkuk emas di kawasan semak,” katanya.

Menurut Wan Ali, ketiga-tiga mangkuk itu kemudian dikatakan berpusing-pusing membentuk pusaran di sekitar kawasan semak itu, menyebabkan mereka yang melihat kejadian itu menjerit, ‘Mas! Mas!’.

Perkataan ‘pasir’ pula timbul kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing Sungai Kelantan itu kelihatan beberapa longgokan pasir sehingga membentuk padang luas, menyebabkan kawasan terbabit digelar Pasir Mas, hasil cantuman perkataan pasir dan mas.

Selain itu, Pasir Mas pernah menjadi kawasan perdagangan terkenal di rantau Asia Tenggara apabila menerima kemasukan kapal pedagang, khususnya dari Indonesia, China dan Tanah Arab.

Difahamkan, dianggarkan lebih 30 pangkalan bagi pendaratan kapal dan sampan didirikan di sepanjang tebing Sungai Kelantan, antaranya Pengkalan Feri, Pengkalan Gedung, Pengkalan Pasir, Pengkalan Tanjung Muleh dan Pengkalan Tok Leper.



Pasir Mas, Kelantan

  • Dipercayai dibuka sekitar abad ke-14

  • Bandar pentadbiran bagi jajahan Pasir Mas

  • Ia bersempadan dengan jajahan Kota Bharu di sebelah timur dan jajahan Tumpat di sebelah utara

  • Mempunyai keluasan 57,800 hektar

  • Populasi penduduk seramai 206,400 orang (2009)

  • 2 Responses so far:

    Anonymous said...

    wah...macey orey sano ja,kongsi info ni.menarik2.org batupahat b'bangsa jowo pun comey2 belako juga la.

    nur_wa said...

    hehehe..org pasir mas cantik ye?
    patutla..
    mak sy asal pasir mas..patutla mukanya nmpak awet muda tanpa solekan walaupun umur dah lanjut..
    kalau kluar ngan mak, org selalu salah sangka mcm adik beradik..
    "nmpak tua sgt ke aku ni?"hehehe