Followers

Tuesday, August 28

Pertunangan Itu Satu Hentian Rawat

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 1:51 AM 0 comments




“Ya Allah, kami memohon cintaMu, cinta kepada orang-orang yang mencintaiMu, dan apa sahaja yang mendekatkan kami kepada CintaMu.. dan jadikanlah Engkau lebih kami cintai air yang dingin..”

Katakanlah: “Jika bapa-bapak, anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan-Nya. dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” Surah At-taubah :24

Sebelum saya memulakan artikel ini, saya ingin mengucapkan selamat bertunang kepada seorang sahabat saya di bangku persekolahan. Yang seusia dengan saya. Yang sejalan dengan saya.

Memang agak terperanjat bila dengar khabar berita gembira yang dia sudah bertunang, siapa yang tidak terperanjat, orang yang senyap dengan cinta terus bertunang setelah sebulan mengenali bakal isterinya. Alhamdulillah, sungguh berani dan yakin. Itulah sifat seorang pejuang muda.

Setahun yang di berikan bagi saya amat pendek. Dan amat singkat untuk kita bersedia menjadi seorang pendidik. Bukan sahaja sebagai seorang pendidik diri sendiri, malahan untuk mendidik isteri dan anak-anak yang makin membesar. Dari satu segi mungkin yang kita nampak hanya persediaan dari segi fizikal dan kewangan. Sama juga saya tanya dengan sahabat saya. Empat jam saya dengan dia berbincang mengenai hal perkahwinan.

“Kau dah sedia?” saya bertanya.

“ Sedia apa?”

“Persediaan jiwa dan fizikal?”

“ InsyaAllah, kalau kau tanya bab persediaan aku baru berapa percent. Aku nak kumpul dana nak buat majlis. Aku pun nak cari duit tepi.” Sahabat saya membalas jawapan saya.

“ Dari segi rohani? Kau dah sedia menjadi seorang suami?”

“ Dari segi rohani? Emmm, yang tu aku belum sedia. Macam mana nak jadi baik?”

“Setahun tu bagi aku tempoh yang cukup pendek. Sebab kita kahwin bukan untuk setahun dua, kita kahwin untuk tempoh yang panjang. Persediaan sebelum berkahwin, persediaan lima tahun lepas perkahwinan. Semuanya kita perlu hadapi.”

“ Tapi macam mana?”

Nak Jadi Baik, Nak Berubah Menjadi Baik

Inilah antara pertanyaan atau luahan dari pelbagai manusia sama ada yang dikenali ataupun tidak, namun satu kesimpulan yang dapat diutarakan di sini ialah, mereka mahu berubah. Tapi… hah, itulah masalahnya, ada perkataan “TAPI”. Yang akhirnya menjadi ALASAN kenapa perubahan itu tidak mampu untuk dilakukan. 

Dalam Chemical Engineering Fluid Mechanics, kita akan belajar mengenai konsep peralihan (transfer) atau pengaliran (flow). Di mana, jika satu peralihan atau pengaliran itu mahu berlaku, dia mesti kena ada satu benda yang kita panggil sebagai driving force. Contohnya, udara bertekanan tinggi akan ‘mengalir’ ke kawasan udara bertekanan rendah. Jadi, driving force nya di sini ialah, pressure gradient. Sama juga untuk pengaliran haba. Haba akan mengalir dari satu tempat yang panas kepada tempat yang sejuk. Driving force nya ialah heat gradient. Jika tiada driving forces, fluid atau bendalir itu akan digelar statik. Tidak berubah, tidak bergerak. 


Maka, jika kita mahu melakukan satu perubahan, mestilah kena ada driving force. Tidak kisahlah mahu berubah ke arah yang lebih baik dan menjadi yang terbaik atau berubah menjadi lebih buruk dan terus menuju ke dasar neraka yang paling dalam. Itu terpulang, kerana Allah sudah mengilhamkan kepada setiap daripada kita ini dua jalan. Pilih ikut suka kita yang mana kita rasabest

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaannya). Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sungguh beruntung orang yang mensucikannya. Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” 
[QS asy-Syams, 91:7-10]

Mudah. Jalan syurga atau jalan neraka. Mahu yang mana? Dan kalau sudah ada jawapannya itu, janganlah hanya lekat dimulut, tapi tidak lekat di hati. Kalau setakat cakap saja.. 

“Syurga!!!” 

Baik tanya pada budak sekolah yang tak mampu nak berfikir jauh lagi atau orang bukan Islam. Mereka pun saya percaya kalau kita tanya, nak masuk syurga atau neraka, mereka akan jawab syurga juga. Tapi, untuk orang-orang yang beriman, mereka bukan hanya sekadar seronok bercakap, melaungkan itu dan ini sahaja. Tetapi mereka akan berbuat untuk apa yang mereka katakan! Sebab Allah melarang mereka melakukan perbuatan, ‘cakap, tapi tak buat’, dan untuk mereka yang beriman pasti yakin dengan janji Allah. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” 
[QS As-Saff, 61:2-3] 

Jadi, jika kita mahu melakukan perubahan, perkara yang pertama mesti kena ada ialah kemahuan. MAHU atau TIDAK MAHU. Itu sahaja. Dia bukannya 'mampu' atau 'tidak mampu' dan macam-macamlah benda lain. MAHU atau TIDAK MAHU, itu sahaja. Kalau kita mahu, cakaplah apa sekalipun, lautan api sanggup diredah. Macam kalau kita mahukan seorang perempuan, cakaplah apa sekalipun, buruk mana atau jahat mana sekalipun, tapi bila kita sudah kata “MAHU”, maka tidak ada lagi penghalang ke arahnya. Tapi kalau kita kata kita “TAK MAHU”, maka sebaliknya lah yang akan berlaku. 

Itu merupakan satu contoh keinginan atau kemahuan seorang manusia yang cenderung ke arah untuk membakar diri sendiri. Belum lagi cerita tentang games, movie, tengok bola sampai tak solat dan lain-lain. Tapi, macam mana pula keinginan kita dalam hal-hal kebaikan? Hal-hal yang membuatkan hidup kita lebih tenang, lebih tenteram dan lebih bermakna? 

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik.” 
[QS Ali ‘Imran, 3:14] 

Wanita, harta, lepak, dan macam-macam lagi itu memang fitrah kita sebagai manusia. Tapi, kalau fitrah yang akhirnya membawa kita ke arah semakin jauh dari Allah itu bukanlah alasan untuk kita ‘halal’ bermaksiat kepada Allah. 

“Alah, standard lah couple, lumrah manusia untuk merasakan diri dicintai dan mencintai..” 

Haah. Betullah tu. Mencintai dan dicintai. Hidup bahagia di dunia sama-sama, pastu terjun dalam neraka sama-sama jugak Memang sehidup semati. 

Sama juga untuk kes yang lain macam tengok movie, tengok bola sampai lambatkan solat atau tidak solat langsung, kemudian buang duit bagi kat FAM dan RTM. Kononnya mahu dapatkan ketenangan atau release tension, tapi akhirnya semakin jauh dari Allah SWT. Inikah yang kita mahukan? Atau sebenarnya ada cadangan lain daripada Allah..


+++ 

Kadang-kadang, kita akan menemui satu endpoint atau titik mati dalam kehidupan kita yang memaksa kita untuk memilih. Memilih untuk sama ada kita mahu menjadi lebih baik dan menuju yang terbaik, atau sebaliknya sebagai corak masa depan kita. 

Seperti Mus’ab bin Umair yang akhirnya memeluk Islam setelah merasakan kekayaan, wanita dan kemasyhuran itu seolah tiada nilai, dan dia kembali kepada Islam kerana Islamlah yang membuatkan dia bukan sahaja hidup tenang dengannya, bahkan dia syahid atau mati kerana Islam. Begitu juga dengan Hanzhalah anak kepada ketua munafikin pada zaman Rasulullah, dia syahid hanya kerana keinginan dia untuk menjadi lebih baik. Dan juga Ikrimah bin Abu Jahal, hanya kerana merasakan diri dia telah berdosa, bahkan pernah menduduki carta orang yang wajib dibunuh, tapi akhirnya dia tahu dia kena berubah, dan destinasi akhir dalam hidupnya adalah syahid. Masya-Allah! Itulah mereka. 

Tapi kita di mana? Hidup kita ini untuk apa? Dan jika kita mati nanti untuk apa? 

Pertunangan Adalah Hentian Rawat dan Rehat

Kenapa pertunangan adalah hentian rawat dan rehat? Padahal saya kata di atas tadi bahawa pertunangan adalah masa yang amat singkat untuk kita catchup segalanya. Sebab di sini aspek yang utama saya nak ceritakan.

Aspek pengisian rohani dan jasmani diri. Kita acapkali alpa dengan pengisian dan persediaan rohani. Kadang-kadang sampai kita kelu lidah untuk berkata. Aku dah bersedia untuk menjadi suami dan seorang ayah.

Saya amat menekankan pengisian dan pendekatan rohani. Kerana sebagai seorang suami, kita wajib mengetahui ilmu agama untuk bekalan.

Kita kahwin bukan untuk setahun dua kita berkahwin, malahan, kita hendak berkahwin dengan pasangan seumur hidup.

Ada Allah telah menjelaskan dalam al-quran:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” 
[QS ar-Ra’d, 13:28] 

Kalau semakin kita mendengar nama Allah, semakin sesak nafas kita untuk lari, jiwa terasa semakin panas. Dengar pasal solat, berat hati kita untuk mengerjakannya. Dengar ada majlis ilmu atau halaqoh, mula dah berfikir-fikir alasan untuk lari daripadanya. Maka wahai yang sedang membaca, lebih baik kita buka mati, hati dan jiwa kita semula untuk berfikir. Inikah yang kita mahu persembahkan kepada Allah di akhirat kelak, atau ada benda lebih baik yang kita idamkan. 

Inilah soal rohani kita untuk pengisian yang kontang. Kita kadang-kadang kontang dengan ilmu, tetapi kita sombong untuk mengisikan dengan ilmu. Kita isikan dengan dunia. kita isikan dengan kelalaian dunia semata.

Kita kata nak lahirkan seorang generasi soleh?

Bagaimana kita mahu melahirkan generasi sleh andai kondisi soleh tiada dalam diri kita?

Kita nak anak-anak bangun malam tahajjud, tapi diri kita tidak memulakan?

Kata orang, “ Paku dulang paku serpih. Kata orang dia yang lebih”

Penutup: Orang Selalu Lebihkan Material Berbanding Rohani

Nak menjadikan anak soleh pada usia 13 tahun, harus bermula dari generasi sekarang, bukan generasi yang terbaharu.

Lihat sahaja contoh bagaimana Al-Fateh yang cemerlang di lahirkan. Bukan pada generasi Al-Fateh di lahirkan. Tetapi adalah dari zaman para sahabat yang ingin melahirkan Al-Fateh.

Lihat sahaja pada Ikhwanul Muslimin yang di tubuhkan Hassan Al-Banna. Bukan sehari dua Ikhwanul Muslimin terus menang. Tetapi berpuluh tahun.

Takkan kita nak anak yang soleh terus sahaja kita dapat anak yang soleh tanpa kita merubah peratusan dalam diri?

Renungkan.

Dari insan yang belum mempunyai ikatan.


Continue...


Tuesday, August 21

Mak Apa Sebenarnya Kehidupan?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 5:30 PM 0 comments


Mak ayah,

Aku menulis khas buat mak ayah yang disayangi. Banyak persoalan yang terbuku dihati. Untuk berterus terang, aku tak punya kekuatan. Untuk berbicara, lidahku kelu dengan kata-kata. Untuk bersemuka, berat untuk ku aturkan sebuah langkah. Yang mampu aku lakukan hanyalah menulis sebuah coretan yang ku hadiahkan khas buat mak ayah tersayang.

Mak ayah,

Aku tertanya-tanya. Daripada masa kecilku, seringkali ku dimarahi. Terkadang bukan atas silapku sendiri. Kesilapan adik-adik, aku yang dipersalahkan. Aku yang dihukum. Aku yang dipukul dengan rotan itu. Rotan yang sama. Dengan alasan aku yang paling sulung. Sedangkan ketika itu aku hanyalah berusia 8 tahun. Masih anak kecil yang membutuhkan perhatian. Apakah silapku menjadi anak pertama? Yang akhirnya jiwa kecilku memberontak. Dari sehari ke sehari aku berkata pada diriku sendiri. Aku ingin menutup telingaku daripada mendengar kata-kata mak ayah. Oleh sebab mak ayah sendiri tak pernah mendengar kata-kataku walaupun yang benar. Jadilah aku seorang anak yang degil.

Mak ayah,

Pada usiaku menginjak 13 tahun, aku dihantar ke sekolah berasrama penuh. Di situ, kami disuruh untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mulanya aku liat. Terasa amat payah lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Di rumah, tak pernah pula aku diajak untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mak ayah sekadar bertanya sama ada aku sudah solat atau belum. Di sini untuk minggu pertama, selalu aku terlambat untuk memulakan solat berjemaah bersama. Jadi, bila jemaah sudah masuk ke rakaat kedua, ketiga, keempat, aku tinggal terpinga-pinga. Bagaimana aku mahu masuk solat jemaah? Kerana mak ayah tak pernahpun mengajarku berkenaan “makmun masbuk”. Sehinggalah aku perlu belajar sendiri di sekolah.

Mak ayah,

Setelah tamat pelajaran di sekolah menengah, aku berjaya masuk ke universiti tempatan. Aku mula bergaul dengan teman-teman yang datang daripada berlainan latar belakang. Di sini aku sudah tidak di”paksa” untuk solat berjemaah lagi. Semua orang hidup dengan cara tersendiri. Pada awalnya aku masih rajin untuk pergi ke surau kolej kediaman. Tapi, lama kelamaan aku sangat sibuk dengan assignments yang bertimbunan. Solat pun makin aku lambat-lambatkan. Terkadang aku cepat-cepat solat untuk mengejar waktu menghadiri kuliah. Bila menelefon mak ayah, mak ayah tak pernah bertanyakan tentang solatku. Jadi tinggallah aku untuk menentukan cara hidupku sendiri. Solatku tetap tak pernah ku tinggalkan, namun hatiku sedikitpun tak terasa bertaut dengan ibadahku. Aku lakukan hanya sekadar untuk melengkapkan rutin harian.

Mak ayah,

Makin lama aku terasa diriku makin kosong. Aku seperti hilang arah tujuan. Aku penat dengan studyku. Aku penat dengan kehidupanku. Aku tiba-tiba bertanya kepada diriku sendiri. Sebenarnya, untuk apa aku hidup di dunia ini? Adakah semata-mata untuk study? Adakah semata-mata untuk mengumpul kekayaan? Adakah semata-mata untuk bekerja? Adakah semata-mata untuk berkahwin, mempunyai anak? Dan selepas tu??

Mak ayah,

Pada suatu hari, aku bertanya kepada seorang kakak yang rapat denganku kerana aku bingung tentang apa makna sebuah kehidupan. Dia yang tersenyum mesra terus menyebut bait-bait ayat Al-Quran yang selalu aku baca, tapi tak pernah sedikitpun aku tahu maksudnya,
“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat:56)

“Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi serta apa yang berada di antara keduanya kecuali dengan Haq” (Al-Hijr:85)

“Bukankah Aku telah mengambil perjanjian (perintahkan) kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus“ (Yasin:60-61)

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu’minun:115)

Mak ayah,

Di usiaku yang sudah menginjak 23 tahun, barulah aku tahu apa tujuan aku diciptakan oleh Allah. Kenapa sebelum ini mak dan ayah tak pernahpun memberitahu aku tentang hal ini? Betul, aku diajar solat, diajar mengaji, disuruh puasa, tapi tak sedikitpun aku diterangkan dengan apa maksud yang sebenar-benarnya tentang setiap ibadah yang aku lakukan melainkan hanya mengikut apa yang dibuat mak dan ayah. Perjalanan kehidupanku yang dibiarkan bebas sendirian.

Mak ayah,

Aku kan anakmu. Aku kan adalah amanah Allah untukmu. Tapi adakah kalian telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadamu. Di mana janjimu pada Allah tika mana Dia menganugerahkan aku pada kalian berdua? Di mana janjimu pada Allah untuk menunjukkan kepadaku jalan mana yang sepatutnya aku ikuti? Jalan yang akan mendekatkan aku dengan Yang Maha Esa. Aku dibiarkan hanyut dalam gelombang kehidupan, ibadah yang diringan-ringankan, pergaulan lelaki dan perempuan yang tiada batasan, pakaianku yang membalut aurat dibiarkan, cukuplah selagi aku masih bertudung. Adakah sehelai tudung cukup untuk mendefinasikan kehidupan sebenar seorang Muslimah?

Mak ayah,

Aku tak tahu. Tolong, ajarilah aku apa makna sebenar sebuah kehidupan. Dalam neraca Islam.

Salam sayang,

Anakmu.
“Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak adalah anugerah Allah. Yang dilahirkan suci bersih ibarat kain putih. Ibubapalah yang mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mencorakkannya.
Nota yang ditulis di atas adalah sekadar satu rekaan. Tapi jika kita perhatikan secara realitinya, tidak mustahil untuk ada dikalangan anak-anak yang mungkin ingin meluahkan hal yang sama dengan tulisan di atas. Anak-anak yang tertanya-tanya, adakah ibubapa sudah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah kepada mereka. Tanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak tentang ilmu agama yang secukupnya, tentang Islam yang sebenar-benarnya, tentang matlamat kita hidup di dunia.
Dan jika soalan ini tidak ditanyakan di sini, mungkin bakal dipersoalkan di akhirat nanti.
Cukupkah sekadar menyuruh solat lima waktu? Cukupkah sekadar mengajar bagaimana membaca Al-Quran? Cukupkah sekadar mengajak puasa bersama-sama? Cukupkah sekadar menghantar anak-anak menghadiri kelas-kelas agama? Tanpa kita sendiri yang menunjukkan tauladan yang sebenarnya kepada anak-anak. Tanpa diberikan penjelasan yang mendalam tentang Islam, tanpa memberikan kefahaman sejelas-jelasnya kepada anak-anak bahawa Islam itu bukan sekadar sebuah agama semata-mata. Sedangkan Islam yang sebenar-benarnya adalah satu cara hidup. Islam is the way of life.

Saya teringat pertanyaan seorang kakak kepada saya pada awal tahun ini. Persoalannya tentang apakah yang membezakan kita seorang manusia sebagai ibu kepada seorang anak jika hendak dibandingkan dengan seekor buaya yang merupakan ibu kepada anaknya.
Kelu untuk memberikan jawapan selain daripada perbezaan manusia dan seekor buaya, kakak itu tersenyum sambil berkata bahawa perbezaannya adalah di mana seekor ibu buaya hanya mengajar anaknya cara untuksurvive di dunia. Cara untuk mencari bekalan untuk hidup supaya tidak mati kelaparan dan juga cara bagaimana untuk melarikan diri daripada pemangsa dan pemburu untuk meneruskan kehidupan.
Berbeza dengan seorang manusia sebagai ibu. Seorang manusia bukan hanya mengajar anaknya bagaimana mencari bekalan untuk meneruskan hidup di dunia, tapi juga bagaimana caranya untuk mencari bekalan yang cukup untuk dibawa ke akhirat sana.
Ini mungkin hanyalah sekadar sebuah perumpamaan untuk membuatkan kita benar-benar berfikir. Untuk kita imbas kembali perjalanan sebuah kehidupan.
Bagi yang sudah mempunyai anak, sebanyak mana sudah ilmu agama telah kita ajarkan kepada anak-anak. Adakah benar cara kita membesarkan anak-anak sudah selari dengan apa yang dituntut Islam?
Bagi yang belum mempunyai anak, sebanyak mana pula persiapan yang ada pada diri sendiri untuk mengajarkan tentang Islam kepada anak-anak yang bakal dilahirkan. Sebanyak mana guidelines yang mampu kita berikan kepada anak-anak untuk menuntun diri mereka dalam misi mencari bekalan secukupnya sebelum pulang ke kediaman yang abadi di akhirat nanti.

Jangan kita menyamakan diri sendiri dengan ibu buaya, menunjukkan anak-anak jalan untuk mendapatkan bekalan sekadar cukup untuk hidup di dunia saja.

Benar, jika terdapat kekurangan di mana-mana, kesalahan bukanlah terletak sepenuhnya ke atas ibubapa yang mungkin masih belum menyedari hakikat kehidupan yang sebenar. Namun, bagi kita yang sudah disapa hidayah kesedaran, yang tahu makna sebenar sebuah kehidupan, biarlah kita yang meletakkan diri sebagai peneraju untuk menjadi ibubapa contoh dalam membina generasi harapan seterusnya. Biar si kecil itu tahu apa matlamat hidupnya di dunia. Biar si kecil itu sedar apa agenda yang perlu dia bawa sepanjang hidupnya.
Jadi, dengan waktu yang masih tersisa, mari kita sama-sama memperbaiki diri sendiri untuk memimpin cahaya mata penyejuk hati. Moga mampu kita tersenyum bangga di kemudian hari sambil berkata, “Itulah anak kami.” Satu kata yang bakal dirindui untuk disebut di syurga nanti.
Hak seorang anak adalah kamu hendaklah menyedari bahawa dia berasal daripada kamu. Jika dia baik atau jahat, semuanya berkait dengan kamu. Kamu bertanggungjawab untuk membesarkan, mendidik dan membimbingnya ke jalan Allah serta membantunya menjadi anak-anak yang taat. Kamu wajib melakukan sedemikian sehingga jika kamu berbuat baik kepadanya, kamu yakin kamu akan mendapat ganjaran dan jika kamu berbuat tidak baik kepadanya, kamu akan mendapat seksaan…” (Imam As-Sajjad ibn Hussain ibn Ali ibn Abi Talib)


Continue...


Saturday, August 18

Oang Jahat Mesti Untuk Orang Jahat

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 4:54 PM 0 comments





Islam tidak pernah menutup ruang pengharapan untuk manusia, biar seburuk mana dia pada pandangan manusia yang lain 

Saya kira ramai di antara kita pernah mendengar pernyataan seperti ini. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat. Saya fikir ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama anda dalam entri ini.


Asas kepada kefahaman seperti di atas adalah firman Allah yang berbunyi :


” (lazimnya) Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat, dan (sebaliknya ) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka itu bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang-orang jahat kepada mereka, dan mereka itu akan beroleh keampunan dari Allah dan pengurniaan ( syurga ) yang mulia. ” [ An Nur : 26 ]


Di dalam tafsir Ibnu Kathir terdapat dua pendapat berkenaan ayat di atas. Selain daripada apa yang seringkali kita dengar dan faham, maksud ayat di atas juga adalah ‘perkataan’ atau ‘ucapan’ yang baik, untuk golongan yang baik. Manakala sebaliknya yang buruk, untuk golongan yang buruk. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Abbas.


Demikian juga dalam tafsir Mujahid dan At Thabari.


Ayat di atas turun pada peristiwa Saidatina Aishah r.a yang difitnah dengan tuduhan yang buruk. Maka Allah menyatakan, bahawa kiranya Aishah itu bukan seorang baik, mana mungkin dia akan bergelar isteri kepada kekasih agung, Muhammmad s.a.w. Bahkan dalam ayat tersebut juga Allah menjanjikan tempat untuk Aishah di dalam syurga, sebagai peneman kepada Rasulullah s.a.w.


SUDUT PANDANG


Ramai orang memahami ayat tersebut dalam konteks yang sempit dan mudah. Lalu dikatakan kepada saudaranya ; kau seorang yang tidak baik, nanti pasangan kau juga mesti seorang yang tidak baik. Dalilnya, Allah telah sebut tentang perkara tersebut dalam Al-Quran.


Persoalannya, benarkah begitu yang dimaksudkan?


” kau suka dating, couple..nanti kelak kau mesti akan dapat bini yang kaki dating, kaki couple..kaki layan laki..”


Perkataan-perkataan ini diucapkan kepada sesama mereka, beralasankan ayat Allah di atas.


Seolah, maksud sebaliknya begini.


” lainlah aku, aku tak pernah couple, kaki masjid. nanti comfirm bini aku juga kaki masjid..ahli sufi…”


Berhati-hati dalam ucapan.


Saya pernah ditegur tika sembrono mengulas tentang ayat di atas. Meskipun ia bukanlah pendapat saya sepenuhnya. Saya sekadar memetik secara berjenaka, suatu kisah yang pernah di baca dalam majalah Mastika. Dalam ruangan santai, diselitkan kisah seorang lelaki yang kaki GRO telah berkahwin dengan seorang wanita.


Selesai menjalani malam pertama, si lelaki terlanjur bertanyakan harga ( mungkin seperti lazimnya orang melanggan pelacur ). Tidak menyedari yang ditidurinya adalah isteri sendiri, maka dia bertanya ‘berapa harga?’. Sangkanya, tembelangnya sudah pecah dan isterinya pasti tahu tabiat buruknya sebelum berkahwin.


Alangkah terkejut si lelaki, apabila isterinya menjawab ( mungkin juga secara tidak sedar ) : “RM100 je bang”.


Mesej yang ingin disampaikan dalam lawak santai itu mudah. Sebabkan lelaki itu jahat sebelum berkahwin, maka dia juga mendapat pasangan yang jahat. Disebabkan suka melanggan pelacur, maka dia berkahwin dengan pelacur.


TEGURAN


Saya ditegur, oleh seorang ustaz yang hari ini telah bergelar selebriti. Semua orang kenal dengan beliau.


Katanya, tidak adil bagi kita menghukum suatu yang belum berlaku, atau menghukum suatu kesalahan seseorang yang pernah dilakukan, dengan menutup ruang pengharapan dalam hidup orang tersebut. Mudahnya, seorang yang pernah terlanjur berzina, pasti akan dapat pasangan yang kaki zina. Seorang yang pernah bercouple, pasti akan dapat yang suka bercouple.


Siapa kita untuk menetapkan demikian?


Maka seorang yang pernah berzina atau terlanjur, tidak nampak jalan untuk berubah. ‘ Aku jahat..tak layak dapat yang baik ‘. Ini akibatnya.


Syariat datang untuk memotivasikan manusia, supaya bersemangat untuk terus hidup, biar segunung kesalahan yang pernah dilakukan. Buktinya?


Sabda Nabi s.a.w :


” Orang yang bertaubat dari dosa-dosa, seumpama orang yang tiada dosa “


Di dalam Al-Quran, bukan sahaja terdapat begitu banyak ayat Al-Quran mengajak manusia bertaubat, bahkan terdapat juga larangan berputus asa dari rahmat Allah yang Maha Luas. Firman Allah :


” Dan janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah “


Untuk apa semua saranan seperti ini? Tujuannya supaya manusia tidak terus ‘jatuh’ akibat kelemahannya mengekang diri dari melakukan dosa.


Tiba-tiba kita muncul.


Menjatuhkan hukuman ‘pancung’ kepada saudara kita yang terlanjur diuji dengan dosa, dengan menutup ruang pengharapan daripada hati-hati mereka.


Tidak hairan, jika sesetengah golongan ‘baik’ dipulaukan dari golongan-golongan yang dianggap ‘jahat’ hari ini. Pemahaman simplistik tentang ayat Allah di atas mungkin menjadi faktor utama.


JAHAT DAN BAIK


Apabila kita bercakap tentang term ‘jahat’ , kita harus faham apa yang dimaksudkan dengan sebuah kejahatan. Begitu juga dengan ‘baik’, apa yang dimaksudkan dengan sebuah kebaikan. Tidak adil jika ada rakan mahupun saudara kita yang terjebak dengan  budaya bercouple, maka mereka kita hukum sebagai ‘jahat’.


Manakala kita yang suci bersih, tidak pernah bercouple, kita anggap sebagai ‘baik’.


Ini silap.


‘Baik’ di sisi Allah tidak sama dengan ‘baik’ di sisi kita. Betapa banyak kebaikan yang kita rasakan sebagai ‘baik’ , padahal lebih buruk dan jelik di sisi Allah. Contohnya riak, ujub dan bangga diri. Riak dengan diri sendiri yang tidak pernah tersepak melakukan dosa. Bangga diri dengan menganggap diri sendiri lebih mulia berbanding orang lain.


Maka ayuh kita berubah.


‘Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik’. Ini kita jadikan slogan untuk memberi motivasi supaya manusia mengejar perubahan ke arah kebaikan.


‘Lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat’. Ini kita jadikan slogan untuk mengajak mereka meninggalkan maksiat, dalam masa yang sama memberi motivasi bahawa jika anda BERUBAH dan BERTAUBAT, anda boleh melompat ke dalam kategori lelaki atau perempuan yang baik, bila-bila masa sahaja.


Ya benar. Lelaki jahat yang bertaubat, perempuan jahat yang mahu berubah, mereka umpama tiada dosa. Mereka adalah lelaki yang baik, dan mereka juga adalah perempuan yang baik.


Maka, pasangan mereka juga nanti adalah lelaki dan perempuan yang baik. Itu janji Allah.


AMARAN


Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak menafikan keperluan kita bersikap ‘keras’ dengan sesetengah golongan yang keras hati dan terang-terang menentang kebenaran. Mereka yang hidupnya jauh dari solat, meneguk minuman keras, tinggal serumah lelaki dan perempuan, menjadi mat rempit atau minah rempit di jalanan,mahu berkahwin tetapi ENGGAN berubah, mana mungkin tiba-tiba beroleh suami yang berjubah serban, kaki masjid dan gemarkan majlis ilmu?


Tidak mungkin juga mat rempit yang terlibat dengan gejala negatif itu, tiba-tiba berkahwin dengan isteri yang ahli sufi.


Suami : ‘wa ingat malam ni wa ada game ( race ) la..lu rilek-rilek dulu..tak payah tunggu wa balik ah..’


Isteri : ‘ InsyaAllah bang..Subhanallah..Alhamdulillah,semoga Allah kurniakan kemenangan kepada abang malam ini..’


Tentu sekali tidak masuk akal. Rumahtangga akan tunggang langgang. Kerana itu, dalam soal jodoh terselit seribu satu hikmah dari Tuhan.


Sekadar memberi amaran tidak salah. Menggunakan kaedah inzar memang dibolehkan. Tetapi perlu diingat, jangan sampai di sana timbul rasa riak, atau menjadikan orang yang ditegur merasa jauh dan berputus asa dari Rahmat Tuhan.


TAKDIR


Kita bercakap tentang jodoh, bermakna kita bercakap soal takdir. Soal yang tiada siapa berhak tentukan, samada saya, anda atau mereka. Ia hak mutlak Allah. Cukuplah panduan-panduan yang diberikan menjadikan kita sentiasa berhati-hati dengan perkataan dan seruan kita. Persoalan ‘yang jahat dapat pasangan jahat, yang baik dapat pasangan baik’ kadangkala banyak menambah barah dalam masyarakat.


Andaikata, saudara kita yang ‘baik’ ditakdirkan berkahwin dengan seorang yang kemudiannya diketahui sebagai kaki botol, terlibat dengan dadah, judi dan sebagainya, maka sanggupkah kita menghukum dengan menyatakan bahawa saudara kita itu pasti dahulunya seorang yang ‘jahat’, dek kerana itulah dia berkahwin dengan pasangan yang jahat?


Tentu sekali tidak. Kerana mungkin saja ia merupakan ujian Allah kepada saudara kita tersebut, sebelum diberikan Allah hidayah kepada pasangannya yang kemudiannya berubah.


Justeru, biarkan soal takdir itu kekal sebagai kerja Allah.


Kita bukan menghukum, tugas kita adalah menyampaikan.


Kita buatlah kerja kita. Ajak manusia untuk kembali kepada syariat Allah. Kembali kepada gaya hidup Islam yang mempunyai masa depan yang cerah, dunia akhirat. Jangan sewenang-wenangnya menghukum atau mengeji sesiapa yang pernah terjebak dengan keburukan, kerana siapa tahu, mungkin hari ini dia diuji, esok lusa tiba giliran kita pula.


Kembalilah beristighfar kepada Allah.

Mendapat Ilham dari DIA.

Continue...