Followers

Tuesday, February 28

Perkongsian Takdir: Ya Allah, Aku Sudah Mati??

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 1:24 AM 1 comments


Perkongsian Takdir: Ya Allah, Aku Sudah Mati??

Hujan turun renyai-renyai sewaktu saya pulang dari tempat kerja. Cuaca malam yang gelap di tambah dengan hujan yang turun menambahkan kegelapan malam.

Sedang saya melalui satu selekoh di lebuhraya sewaktu pulang, saya terlihat sebuah kenderaan yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan. Mungkin rosak. Saya mengabaikan insiden tadi dengan bergegas mahu pulang. Isya’ belum saya tunaikan sewaktu pulang dari tempat kerja.

BMW memecut laju membelah kepekatan malam. Sepanjang saya melalui salah satu lagi selekoh di kawasan lebuhraya, saya ada terlihat satu penghadang jalan yang terputus dua. Ada kemungkinan kereta saya yang termasuk ke dalam ngangaan penghadang jalan kalau pihak plus tidak membetulkan. Saya istighfar berbanyak kali. Berkhayal semasa memandu.
Kebimbingan saya akhirnya menjadi kenyataan. Sensor kereta berbunyi.

‘ Allah, sensor brek bunyi.’

Saya cuba memaut stereng untuk mengikut alunan selekoh. Tapi gagal. Hala kereta saya tepat menuju ke belahan penghadang jalan.

Lalu kereta bmw hitam yang saya pandu setiap hari ke tempat kerja itu menjunam jatuh ke dalam gaung di tepi jalan.

Nasibnya, lebih teruk dari saya. Remuk. Hancur. Dah tak serupa dengan kereta.
Alhamdulillah, nasib saya memang baik. Tiada luka langsung. Saya menerobos keluar memecahkan cermin hadapan kereta yang sedia berderai.

Saya berdiri tidak jauh dari kereta saya. Saya istighfar banyak kali. Mungkin Allah nak selamatkan saya. Saya sedih melihat keadaan kereta kesayangan yang tak serupa kenderaan. Bila dia sakit, saya cepat-cepat hantar ke ‘klinik’ untuk membetulkan apa masalah kesihatan.

Dalam keasyikkan melihat keadaan kereta saya yang remuk, orang yang entah dari mana datangnya menyerbu turun melihat keadaan kenderaan saya. Dalam masa lima minit, ramai yang dah mengerumuni bmw kesayangan saya.

Namun, yang terbit di dasar hati saya adalah perasaan aneh. Aneh mengapa mereka tidak menghiraukan saya? Sedangkan saya berhampiran dengan kenderaan saya yang terbalik. Yang tayar mencanak ke langit. Mereka langsung tidak menghiraukan saya, malah lebih risaukan kenderaan saya. Saya masih lagi bersangka baik. Mungkin dia tidak risaukan saya kerana melihat saya duduk bersandar dan hanya luka-luka kecil di tangan. Itu pun akibat saya pecahkan cermin kereta tadi. Ataupun mereka tidak tahu yang saya memandu kereta itu. Ini pun boleh jadi kemungkinan. Orang yang berpakaian biasa yang berusia dua puluhan memandu bmw, memang tidak masuk dek akal.

Namun, lama kelamaan rasa curiga menyerbu datang dalam hati saya.
‘ kenapa diorang tengok dalam kereta? Diorang nampak cemas? Ada yang membuat panggilan? Siapa yang cedera dalam kereta aku? aku balik sorang tadi. Ah, tak boleh jadi ni, aku kena tengok sapa yang cedera. Aku kena tolong. Mana tau orang tu menyelinap masuk ke dalam kereta tanpa aku sedar?’ persoalan demi persoalan menerobos masuk laju ke dalam minda.

Makin mencurigakan saya bila kedengaran bunyi siren di bahagian jalan. Saya dongak. Ambulans dan bomba sedang menunggu. Anggotanya bergegas terus membawa alatan kecemasan. Makin saya risau. Makin saya cemas.
Saya bergerak ke kereta saya. Saya menyelit di antara celahan orang ramai yang mengerumuni kenderaan saya. Yang bertambah aneh, orang ramai seakan tidak merasakan kehadiran saya. Saya tolak seorang demi seorang ke tepi. Mudah. Saya mudah menembusi mereka. Setelah berusaha sedaya upaya. Saya sampai di hadapan kereta. Saya tergamam. Betulkah ni?

Saya cuit orang sebelah untuk bertanya, tiada nyahutan.

Darah saya mengalir laju. Macam lava gunung berapi yang mengalir keluar.
Ya Allah! Ketika itu barulah saya sedar. Yang mereka risaukan adalah saya. Saya di dalam kereta. Darah memenuhi muka. Pecahan cermin hadapan penuh di muka saya. Seluruh tubuh saya bermandi dengan darah. Keadaan lebih teruk dari kenderaan saya. Patah riuk.

Keras dan kaku.

Habis yang berdiri di hadapan ini siapa? Yang berada di dalam kereta itu siapa? Jika di dalam kereta itu saya, siapa yang berdiri melihat sekujur jasad yang terbaring?

Namun rasa insaf tiba-tiba menujah dalam lubuk hati. Seakan ada suara yang membisik lembut di telinga saya. Haruman wangian semerbak tiba-tiba mengelilingi kawasan tempat saya kemalangan.

“ Kamu dah mati Saad! Kamu sudah mati. Dunia ini tempat persinggahan sementara. Dunia kamu sudah berakhir. Dan di dalam kenderaan itu adalah jasad kamu. Dan kamu adalah diri yang sebenar. Percayalah dengan keyakinan dan keimanan dalam diri kamu. Yang kematian itu benar. Yang akhirat itu benar. Yang syurga dan neraka itu benar. Dan selamatkanlah diri kamu dari bakaran api neraka walaupun seminit dunia. kerana seminit dunia tidak sama dengan seminit di akhirat. Saad. Ini adalah diri kamu yang sedang dalam perjalanan untuk menghadap Allah. Terimalah Saad. Dari Allah kamu datang, kepada Allah kamu di kembalikan.” Seakan-akan rasa ada tepukan lembut di bahu meminta saya terima kenyataan. Dia menggengam erat tangan saya.

Ketika itulah terbit rasa kesal dalam hati. Saya tidak menunaikan solat isya’ secara berjemaah di surau tempat kerja. Saya tidak menunaikan solat sunat awabin yang biasa saya lakukan. Saya membatalkan tazkirah maghrib yang biasa saya lakukan di tempat kerja. Rasa menyesal menujah-nujah dalam diri. Sebabnya saya tidak sabar untuk pulang ke rumah. Untuk berehat. Barulah saya terfikir. Allah tidak pernah berehat walau seminit.

Tetapi semuanya sudah terlambat. Sebab sekarang saya sudah mati. Ya! Sudah mati. Saya hanya menunggu saat di mandikan, di kafankan dan di tanam di liang lahad. Sudah tiada lagi Isya’ saya selepas ni. tiada lagi tazkirah maghrib saya selepas ini. Saya mengambil dunia dengan mahu berehat dan membuang akhirat dari memberi tazkirah. Allah!

‘Apa aku dah lakukan hari ni? ada ke amalan kebaikan yang aku lakukan hari ni? terima ke amalan solat aku selama ni? ikhlaskah aku selama memberi tazkirah maghrib selama ini? Allah ampunkan kah dosa aku sebelum ni? dosa aku banyak.. Allah…’  saya merintih sayu. semuanya menujah-nujah ke dalam lubuk hati.

Kemudian terfikir pula tentang hutang piutang yang bertimbun. Adakah amalan saya akan tergantung kerana hutang yang menimbun? Risau.

Ketika itu saya menangis semahu-mahunya. Tiada lagi penyesalan kedua. Tiada lagi peluang kedua. Namun apa yang pasti. Semuanya sudah terlambat. Saya memang terlambat.

Tiba-tiba saya terdengar satu tempikan yang kuat. Satu tempikan yang menyakitkan telinga. Menyuruh saya bangun dan kuatkan semangat.
Suara yang agak asing bagi saya.

Saya membuka kelopak mata saya, sedar-sedar saya sedang tidur di atas sejadah kesayangan. Pemberian arwah tok ayah saya. Sejadah yang berusia sama dengan tafsir quran pemberian tok ayah. Berusia hampir 14 tahun dalam simpanan. Dua hadiah inilah hadiah yang paling bermakna sebelum tok ayah pergi. Rupanya saya bermimpi. Saya kerling jam di tangan. Waktu sudah menginjakkan ke dinihari. Hampir pukul empat pagi. Saya terus ambil wudu’. Saya terus sujud syukur. Dan solat malam. Menghadap sang Pencinta. Kerana Allah telah memberikan saya satu lagi peluang untuk hidup. Walaupun mimpi, ia memang mengisafkan saya.

Kerana, dengan satu mimpi. Saya tidak pernah berlengah melakukan kebaikan. Saya tidak berlengah membantu orang yang sedang dalam kesusahan. Saya tidak berlengah menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba Allah.
Walaupun ia hanya mimpi, airmata masih lagi mengalir.

Walaupun ia hanya mimpi, bau haruman itu masih melekat di tangan saya.

Walaupun ia hanya mimpi, ia menjadi satu getaran dalam jiwa dan diri saya.

Haruman melekat sewaktu ‘dia’ menggengam erat tangan saya. Saya mencium haruman di tangan saya. Saya sebak. Siapa ‘dia’? siapa yang datang dalam mimpi saya walaupun sekejap?

Saya ambil cuti seminggu. Peristiwa ini membuatkan jiwa saya kacau. Jiwa saya kosong.

Bila saya balik kampung, mak bertanya pada saya tentang keharuman yang saya pakai. Saya tidak pakai bau-bauan. Memang jarang saya memakai bau-bauan. Kecuali nak bersolat. Tapi kali ini, mak pun perasan.
Mak cuma cakap;

‘ Haruman ni mak bau masa di Madinah. Di Raudhah.’

Ya, saya teringat masa mak saya baru balik haji. Tiga tahun lepas. Memang haruman yang melekat pada tubuh mak, berlainan. Sama dengan haruman di tangan saya. Masa itu saya mencium sepuas-puasnya tangan mak. Untuk membau haruman tangan mak. Bukan minyak kasturi biasa. Tapi, haruman yang tak pernah saya hidu.

Saya menangis. Saya sebak. Saya nak pergi Madinah. Saya nak pergi. Saya nak pergi. Tekad dalam hati saya. Saya mahu mencium haruman ini di Raudah. Ya Allah. Berikanlah daku keizinan untuk menjadi tetamu-Mu. Berikanlah daku keizinan untuk menjadi tetamu Rasul Mu.

Terimalah sajak ringkas ini dari saya. Saya masih lagi dalam mood sedih. Kerana ini adalah peristiwa benar yang berlaku dalam diri saya. Bahkan baru sahaja berlaku. Sebab itu saya tiada mood menulis sebarang perkongsian baru dan hanya memetik dari blog-blog lain. Jadi bila saya menulis puisi ringkas. Tidak menarik. Sebab saya tidak reti menulis puisi. Yang penting saya membaca, dan saya sebak. Madinah, aku datang……….

Rindukan Raudah. Rindukan Madinah.

Ya muhaimin,
Ku tahu Kau menegur aku dengan hikmah,
Kau menegur aku dengan penuh kasih,
Kau menegur aku penuh dengan sayang dan cinta.
Kau jua menegur aku dengan belas Mu.

Ya Muhaimin,
Jika kali ini aku tersasar jauh,
Kau kembalikanlah daku kembali,
Jika kali ini aku tenggelam dalam nikmat dunia,
Kau tariklah daku kembali.

Aku tak sanggup kehilangan kasih-Mu,
Aku tak sanggup kehilangan sayang-Mu,
Aku tak sanggup kehilangan sifat pemurah-Mu,
Aku jua tak sanggup kehilangan hidayah-Mu.

Ya Muhaimin,
Aku tahu,
Kau memanggil aku untuk menjadi tetamu-Mu,
Kau menyeru aku supaya terus dalam keimanan kepada-Mu,
Aku,
Aku,
Aku tidak akan sesekali mensia-siakan panggilan-Mu.

Yang Maha Penyayang,
Jika aku jatuh hati kepada kekasih-Mu… jangan biarkan ianya berlalu pergi… jangan biarkan aku bertatih keseorangan.. jangan biarkan aku jatuh dalam kegelapan.. jangan kau biarkan aku terkontang-kanting di lembah rindu..

Facebbok akaun: Abdullah Imran,
Founder Tautan Hati,
Bekas penerbit eksekutif dan ex-penulis di ilmi-islam.com dan antara orang terawal menggerakkan laman ilmi-islam.com,
          Tautan Hati
Sebarkan Cinta-Nya Ke Seluruh Alam,
Jurutera ,
6 Disember 2011,
5.45 pagi.



Continue...


Sunday, February 12

Sebab apa awak nikah?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 9:07 PM 0 comments



Minggu ni banyak betul dapat invite kenduri walimah dari rakan-rakan fb. Memang ramai la yang menginvite saya pergi. Oh.. saya tak dapat hadir semua. Yang dapat hadir hanya segelintir sahaja. Jadual penuh dan padat.

Cuma saya dapat pergi beberapa buah rumah. Wajah mempelai, berseri-seri. Yerlahkan.. dah naik pelamin. Siapa yang tak berseri? Orang yang tak walimah je yang tak berseri. Macam saya. Tak berseri. Entah bila nak walimah, pun tak tau. Orang kata tak sampai seru lagi nak walimah.

Tapi, apa yang saya dengar sepanjang saya menghadiri majlis. Rata-rata yang saya dengar adalah seperti.

Selamat pengantin baru, semoga berbahgia hingga ke anak cucu.
Selamat pengantin baru, semoga kekal hingga ke akhirat.
Selamat pengantin baru, semoga bahagia kekal.

Ada yang hadir menyampuk dan bergurau apabila mendengar ucapan tadi dengan kata-kata: 

“Pengantin hanya berbahagia sehingga mendapat cucu, selepas mendapat cucu hilanglah kebahagiaan atau bercerai apabila telah bosan atau tua.”

“Apalah guna kekal bersama sehingga ke akhirat jika seorang di syurga dan seorang di neraka?”
“Bahagia adalah bersifat sementara dan relatif dengan faktor suasana dan masa.”

Jadi, saya katakan kepadanya, berilah ucapan terbaik (sebenarnya doa) daripada sunnah Rasulullah SAW, maksudnya:
“Semoga Allah memberi barakah bagi kamu dan memberkati keluarga kamu, dan mengumpulkan kamu dalam kebaikan dan kepada kebaikan.”
(Dalam bahasa Arabnya: Barakallah laka, wa barakallahu alaika wa jamaa bainakuma fi kulli khair)Inlah doa untuk pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah).
Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini. Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?
·         Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
·         Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
·         Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
·         Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
·         Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
·         Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
·         Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya.
Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah. Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat! Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.
Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud:
“Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami.
Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan ‘binasa’ adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman. Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah. Jodoh memang sudah ditetapkan Allah, tetapi sesuai dengan hukum-Nya, Allah tidak akan menjodohkan seseorang yang soleh dengan seorang penzina. Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa:” (Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. (rujuk artikel ini untuk bacaan lanjut tentang hal ini)
Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia. “(Surah an-Nur, ayat 26)Bagaimanakah kita akan mendapat pasangan sebaik Saidatina Siti Khadijah atau Siti Fatimah jika tidak sebaik Rasulullah atau Saidina Ali. Semoga pemilihan yang berdasarkan kepada kriteria di atas akan mendapat kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.
Continue...


Wednesday, February 8

Seandainya Manusia Tidak Suka Pada Kita.

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 4:38 PM 2 comments



Adakala kita terfikir… Kita mungkin tidak pernah menyusahkan hidup sesiapa, kita mungkin tidak pernah menganggu hidup orang dan tidak pernah pula membenci atau menyakiti mereka. Namun tiba-tiba sahaja mereka membenci kita. Berkata-kata buruk tentang kita di bekalang dan mengaturkan pelbagai strategi untuk menyakitkan hati kita.
Sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas dari mempunyai kekurangan pada diri. Mungkin pada cara kita bercakap, mungkin pada cara kita berjalan, mungkin pada mata, mulut, hidung dan seumpamanya yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak suka, benci dan meluat melihat kita
Jika mereka tidak berbuat apa-apapun mereka akan cuba melarikan diri dari kita. Seolah-olah kita ini makhluk yang aneh atau manusia yang tidak berguna, tidak perlu mendekati orang seperti kita. Keadaan yang diceritakan ini semakin menjadi-jadi apabila perbuatan masing-masing mula dizahirkan dalam Facebook.
Saya melihat ramai kawan-kawan yang me’remove’ kawannya yang menyakitkan hati. Hampir setiap hari juga saya melihat kenalan Facebook memaki-maki, marah dan menulis status-status berkaitan dengan orang yang dibenci dan orang membencinya. Apa sudah jadi dan apa yang harus kita lakukan?
Berfikir & Renung Sejenak…
Muhasabah diri. Adakala sikap orang adalah cermin kepada sikap kita sendiri. Mungkin kita rasa kita tidak menyakiti hati orang, tetapi orang tetap terasa sakit. Carilah kelemahan pada diri yang mungkin kita terlepas pandang dan perbetulkan kembali. Bertenang dan jangan membalas kebencian mereka dengan terus membenci mereka.
Seandainya kita sememangnya tidak melakukan kesilapan, kenapa mahu bersedih? Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang benar. Jika mereka membenci kita dan menyakitkan hati kita, itu dosa mereka. Kita tak rugi apa-apa, yang perlu kita sedih bukan sebab mereka membenci kita tetapi jika kita membenci orang dan cuba menyakitkan hati mereka. Kerana perbuatan itu akan membuatkan kita hampir dengan dosa.
Cukuplah Berbakti Kepada Orang Yang Wajib
Jika kita punyai kawan yang menyakitkan hati, abaikan sahaja dirinya. Cukuplah berbakti kepada orang yang kita perlu taat seperti ibu ayah, taat suami bagi seorang isteri dan taat kepada Allah sebagai seorang manusia. Mereka yang tidak tersenarai dalam rantaian kewajipan kita untuk taat itu kita boleh abaikan sahaja.
o    Biarlah semua kenalan menolak kita yang penting kita jaga suami kita dengan baik.
o    Biarlah kawan-kawan meninggalkan kita yang penting kita tidak meninggalkan keluarga.
o    Biarlah seluruh kaum keluarga memulaukan kita yang penting kita tidak memutuskan tali silaturrahim.
o    Biarlah seluruh umat menyakitkan hati kita yang penting kita tidak menyakitkan hati Allah.

Kebahagiaan terletak dalam hati. Ia bergantung kepada kepercayaan kita. Seandainya kita percaya bahawa dipulaukan orang adalah suatu yang menyedihkan, maka hidup kita akan terseksa. Namun seandainya kita faham bahawa perbuatan terkutuk mereka dapat menyumbangkan pahala yang banyak untuk bekalan akhirat, kita akan bahagia. Biarlah manusia yang leka dengan sandiwara dunia dengan sikap buruk mereka, yang penting jangan kita bersikap buruk pada mereka kerana hidup kita untuk mencari kebahagiaan di sana. Bukan melayan persengketaan yang sia-sia.

“Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resah dan takutlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat.” – Imam Al-Ghazali
Sebarkanlah Cinta-Nya Di Bumi Allah



Continue...


Monday, February 6

Cinta Anti Ana

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:53 AM 2 comments



Di terbitkan di Majalah I Jun edisi tahun 2009

Cinta Remaja Dakwah.
Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai  peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman  muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka  bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah  persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya,  cinta yang mereka alami ini telah di”Islamik”kan seperti mana bank-bank,  institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah “Cinta  ukhwah”. Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk  menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama “ana – anta dan ana – anti”.
Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah  menjadi penghubung utama cinta “anta-anti” ini. Ia lebih selamat, kerana  tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak  muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam.
Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.
Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan  juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai…kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.
Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta “anta-anti” ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat. wal’iyadhubillah…
Salah Faham ukhwah fillah
Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat  terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di jambangan bunga tersebut terukir kata-kata “ukhwah fillah kekal abadi..”.sekali lagi makna ukhwah disalah gunakan.
Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila  dihampakan oleh seorang siswi yang satu “jemaah” dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu “jemaah” dengan mereka.Aduh..lagi hebat daripada filem “Love Story” yang pernah popular di tahun-tahun 70′an dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema “ukhwah fillah” menjadi “camouflagde” ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.
Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat  penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan “ukhwah fillah” menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan dengan mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan “trend” percintaan golongan anta-anti ini.
Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka…ini yang paling menarik.Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70′an dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop “kafir” dari pendukung gerakan dakwah yang lain.
Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan “Abuya”nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah “kawan”nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut “ukhwah fillah membawa ke Jannah”.
Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap “sihat” atau tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.


Continue...


Thursday, February 2

Berilah Nasihat Selagi Kamu Mampu

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:55 PM 1 comments


Alhamdulillah. Hari ini saya mulakan entry bertajuk macam ni. ada apa-apa yang musykil? Mungkin ada yang pelik. Kenapa tajuk saya macam ni. macam keras sangatkan?

Saya ada terbaca komen di saya punya page. Untuk menasihati, tidak perlu menjadi sempurna. Cukuplah sekadar kita berpesan-pesan kepada mereka hakikat kebenaran.

Untuk mengeluarkan nasihat kepada orang lain, jangan tunggu sehingga anda sempurna seperti malaikat. Kerana anda seorang manusia, bukan malaikat. Malaikat juga adalah malaikat, dan bukan seorang manusia.
Saya berehat sebentar dari berhadapan dengan buku-buku yang banyak. Izinkan saya.
Banyak ilmu, sempurna pendidikan, kuatnya iman tidak menjadi ukuran untuk seseorang memberi nasihat sesama manusia. Ada yang salah sangka apabila diri belum menjadi seorang yang sangat baik, maka dia tidak layak untuk memberi nasihat.
Sesiapa yang berfikiran seperti ini, anda silap.
Nasihat Dari Orang Lain Untuk Orang Lain

Saya sebenarnya kurang suka mendengar orang mengatakan seperti ini,
“Alaa. Dia nak beri nasihat kat orang lain, padahal diri sendiri pun taklah baik mana. Eksyen baik aja lebih. Nak jadi pak Ustaz konon!”

Sejujurnya, kata-kata orang seperti di atas adalah kata-kata seorang yang sombong.
Kenapa seorang yang berilmu tinggi sahaja yang menjadi syarat untuk sesetengah orang menerima nasihat? Kalau seorang petani miskin, apa nasihatnya tidak boleh dipakaikah? Manusia nak mengambil nasihat berdasarkan kedudukan atau berdasarkan pedoman yang ada melalui kata-kata yang diucapkan?
Sekiranya ada orang ingin memberikan nasihat, maka izinkanlah dia. Hatta orang itu seorang budak kecil. Adalah menjadi hak budak kecil itu tadi untuk kita mendengar apa yang diperkatakannya. Dan hak anda sebagai pendengar adalah untuk mendengar, kemudian terpulang kepada anda untuk menerima nasihat tersebut untuk dipraktikkan atau tidak.
Orang yang rendah hati itu, menerima nasihat dari pelbagai golongan.
Menasihati Itu Bukan Mudah, Ada Hisabnya

Menasihati orang lain, tidak semudah berkata-kata. Kerana orang yang mengeluarkan nasihat itulah yang perlu lebih untuk mempraktikkan apa yang pernah diperkatakannya. Dan sekiranya ALLAh izinkan, si penasihat itu tadi pasti akan teruji dengan apa yang pernah diperkatakannya. Sama ada dia buat atau tidak.
Oh, itu ujian buat si pemberi nasihat.
Dan ALLAh tidak suka kepada seseorang yang menyeru sesuatu tetapi dia sendiri tidak melakukannya. Nah, berat bukan tanggungjawab ini? Kenapa? Bukanlah ALLAh ingin merendahkan kita, tetapi ALLAh ingin kita berdisiplin dan istiqamah dengan apa yang kita kerjakan.
Cubaan itu latihan. Bukan hanya sebuah hisab.
Nasihat Itu Tugas Semua Muslim

Berilah nasihat walaupun pahit untuk melafazkannya.
Saya suka dengan cara seorang guru saya. Apabila dia memberi nasihat kepada anak didiknya, maka dipertengahan nasihatnya itu, dia akan berkata seperti ini,
“Aku hanya memberi nasihat dan teguran pada kamu semua. Kamu tersinggung, kecil hati, merajuk dengan teguran ini, itu kamu punya urusan. Yang aku tahu, aku tegur kamu dan beri nasihat kerana aku sayang pada kamu. Tapi, minta maaflah kepada sesiapa yang terkena tepat pada wajah sendiri ya..”

Saya akui, kadang-kadang beliau bercakap secara umum, namun saya juga pernah turut terasa dengan teguran guru saya itu tadi. Dan bagi saya, itu latihan untuk mendidik diri memberi dan menerima nasihat.
Benar, nasihat biar kena pada caranya.
Namun, dalam kelembutan memberi nasihat itu, biar ketegasan turut bersama.
Baca kalam ALLAh ini, Surah al-Asr [1-3]
Demi Masa. Sesungguhnya SEMUA manusia itu di dalam kerugian. KECUALI mereka yang berIMAN, dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan pada kebaikan, dan berpesa-npesan pada kesabaran.

Subhanallah. Lihatkan bagaimana ALLAh memberi panduan kepada orang yang tidak rugi itu tugasnya apa? Salah satunya adalah, berpesan-pesan kepada kebaikan.
MashaALLAh.
Saling Menasihati, Manusia Bukan Malaikat

Kita bukan malaikat yang setiap detik hatinya hanya untuk ALLAh SWT. Manusia itu ialah makhluk yang sering terlupa. Makanya, ALLAh yang sangat memahami memberitahu bahawa pentingnya untuk saling memperingati.
Kita tidak selalu berada di atas. Dan tidak selama-lamanya kita berada di bawah.
Yang memberi nasihat, harus lebih bermujahadah dan istiqamah terhadap apa yang meluncur keluar dari bibirnya. Manakala yang mendengar nasihat harus berlapang dada dan jangan sesekali menyindir nasihat seseorang. Dengarkan apa yang ingin dikatakannya, dan nilailah.
Anda tidak akan rugi.
Setiap apa yang kita lakukan, kita perkatakan, pasti akan dihisab pada hari akhirat kelak.
Manusia memang sifatnya pelupa. Oleh itu jangan ego, hidup di dunia. Biarlah hati itu tunduk lebih rendah dari rumput yang ada di bumi. Kerana disitu kemuliaan seorang hamba. Terimalah nasihat saudaramu dengan seadanya dan berlapang dada. InshaALLAh, ALLAh itu sentiasa menilai setiap satu dari kita semua.
Entri ini adalah nasihat untuk diri saya sendiri terutamanya.
Semoga ALLAh merahmati.
Continue...