Followers

Thursday, May 23

Di Usung Gelisah

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 12:21 AM 0 comments



Fitrah manusia itu suci dan bersih. Inilah perkara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Oleh sebab itu, bila terlanjur melakukan dosa atau setelah sekian lama bergelumang dengan perkara maksiat yang Allah tidak redha, maka hati akan merasa seakan satu tarikan magnet untuk kembali kepada keadaan asal, iaitu keadaan yang suci dan bersih daripada semua perkara noda tersebut.
Rontaan untuk kembali kepada fitrah.
Selagi tidak kembali, selagi itulah jiwa rasa gelisah dan segala benda yang dibuat pun akan dihantui serba salah.
Seorang pelajar yang malas dan suka melawan cakap guru, suka membantah cakap ibu bapa, ada ketikanya dia akan merasa bersalah dan mahu berubah. Seorang remaja yang hanyut dalam percintaan, keluar berduaan dan menghabiskan banyak masa untuk cinta monyet mereka, ada ketikanya akan dilamar rasa bersalah dan mahu berubah. Seorang pelaku maksiat yang suka meninggalkan solat, bercampur dengan golongan yang rosak agamanya serta jauh dari kehidupan bermoral, ada ketikanya akan disambar perasaan bersalah dan mahu berubah.
Jika kita mengalami keadaan ini, atau melihat orang yang berada dalam keadaan ini, suka diingatkan untuk janganlah kita menganggap refleksi itu sebagai ‘buang tebiat’ sebaliknya hendaklah kita fahami dengan yakin, bahawa itulah sebenarnya fitrah.
Suatu rahsia Allah yang diciptakan khas serta ditanam jauh di lubuk hati manusia.
Pakaian yang kotor akan menjadikan manusia gelisah. Pakaian yang bersih pula akan menjadikan manusia merasa tenang dan tidak gundah.

Soalnya : Mudahkah Berubah?
Situasi 1 :
Dua pasangan yang bercinta. Si wanita mahu tegas dalam menjaga perhubungan sebaliknya si lelaki mengambil sikap sambil lewa. Selalu menelefon untuk bercakap lama-lama dan seringkali mendesak untuk keluar bersama. Kerana rasa cinta, si wanita terpaksa mengikut namun dalam masa yang sama tetap berusaha menasihati si lelaki untuk berubah. Biarlah mereka bercinta kerana Allah dan mengikut syariat, begitulah kira-kira ungkapan si wanita.
Dalam pada berkeras dan tidak mahu peduli, satu masa timbul jua rasa kesedaran dalam diri si lelaki untuk berubah. Dia mengakui sepanjang menjalin hubungan pun jiwanya tidak tenteram, lantaran dia tahu hubungan tersebut bercanggah dengan disiplin dalam syariat. Berdua-duan atau berpegangan tangan, keduanya tetap haram.
Lantas jiwanya terasa lunak untuk melakukan perubahan. Dia meyakini itu adalah hidayah. Lalu dikhabarkan kepada si wanita bahawa dirinya mahu berubah, dan disambut dengan ucapan tahniah penuh kegembiraan. Mereka berdua berazam untuk meneruskan hubungan dengan mematuhi batas dan disiplin syariat.
Seminggu berlalu dengan baik. Si lelaki mula merasa tenang dan mula merapati kawan-kawan yang baik lagi soleh. Majlis tazkirah menjadi rutin lepak hariannya. Tiba-tiba masuk sms dari si wanita.
slm.awk esok sy keluar ke bazar ramadhan.boleh tak awk temankan sy?
Berderau darah si lelaki. Selama ini dia yang mengajak dan wanita tersebut pula ‘sangat menjaga’ , namun hari ini si wanita pula yang mengajak dalam keadaan dirinya yang mula mahu ‘menjaga’.
Justeru dia terpaksa memilih antara dua.
Hati kata ; jangan, engkau kan mahu berubah. Otak pula meningkah ; alah, bolehlah..sekali saja.

Situasi 2 :
Dia bukan seorang yang rajin belajar. Kesedaran untuk membina masa depan sangat kurang. Teman-teman rapatnya pula tidak sepertinya. Mereka rajin dan sangat berjaya. Masa mereka banyak depan buku, masa dia pula banyak depan komputer.
Sudah banyak dinasihati, baik oleh keluarga mahupun teman sebaya, dia tetap berkeras dengan sikap degilnya.
Suatu ketika, hatinya disapa rasa insaf dan terdetik untuk berubah. Fikirnya, dia banyak membuat benda yang sia-sia. Dengan kekuatan yang ada, dia bangkit mahu berubah. Segala yang melalaikan dalam jadual hidupnya akan disingkir habis-habisan. Dia mahu menyertai teman-temannya yang hidup mereka didominasi kesedaran untuk bejaya.
Baru dua hari dia membina azam dan menguatkan diri untuk berubah, tiba-tiba dia melihat teman-temannya pula bermalas-malasan dan membuang masa. Leka dengan internet bahkan temannya yang dikenali sebagai paling tegas dengan pelajaran, kerap pula mengajaknya bermain bowling!
Lantas dia berdepan dengan dua pilihan.
Hati menjerit ; teruskan niat kau untuk berubah. Otak pula bertempik ; Ah sudahlah! jangan hipokrit!

Hakikat Ujian
Saya percaya, semua orang tentunya pernah mengalami situasi seperti di atas, cuma mungkin dalam kondisi yang berbeza. Apapun, pokoknya tetap sama. Iaitu dalam melakukan perubahan, perkara yang pastinya akan mendatangi anda adalah ujian dan dugaan.
Pelakonnya adalah Syaitan.
Makhluk ini sejak dahulu lagi bersumpah di hadapan Allah ta’ala , bahawa dia akan berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan anak Adam.
Semua orang tahu bahawa hidup mereka berdepan dengan godaan daripada Syaitan, namun tidak ramai yang sedar dan berjaga-jaga dengan bentuk godaan tersebut. Adakala, Syaitan memang sangat cerdik dan licik dalam menipu kita. Dia tidak akan menunjukkan secara terang-terangan bahawa dia mahu menipu kita, sebaliknya dia menggunakan pelbagai taktik dan strategi yang bisa membuatkan kita binasa.
Contohnya kita mahu solat. Syaitan akan melaksanakan plan A terlebih dahulu, iaitu menghalang kita daripada solat. Dia memujuk kita supaya melewat-lewatkan solat atau melalaikan kita dengan rancangan di televisyen. Jika taktik itu tidak berjaya, dia akan terus ke plan B iaitu mengajak kita bersolat. Ya, dia akan memujuk kita supaya solat di masjid atau surau dengan pelbagai pujukan yang indah-indah, tetapi apabila kita pergi, disuntiknya pula dengan pujian-pujian mazmumah supaya kita merasa riak, ujuk dan bangga diri dengan ibadah yang kita lakukan.
Itu liciknya Syaitan.
Demikian juga dengan kita yang mahu berubah. Lebih-lebih lagi kalau kita berubah dengan niat yang tidak betul, maka tersangatlah mudah untuk Syaitan menghancurkan keazaman kita. Berubah kerana manusia, kerana merajuk, kerana kecil hati, kerana mahu perhatian dan pelbagai bentuk ‘kerana’ yang lain di mana kesemuanya tidak berpaksikan ‘kerana Allah’.

Berubahlah Kerana Allah
Justeru orang yang mahu berubah, pertama sekali wajib dipasakkan dalam diri bahawa perubahan itu adalah kerana Allah dan semata-mata mahukan keredhaanNya sahaja. Sama sekali bukan kerana manusia atau material yang lain. Jika mahu berubah meninggalkan maksiat atau mahu berubah menjadi baik – dengan niat kerana Allah, maka sekalipun didatangi dengan godaan yang kita tidak sangka, maka kita tetap akan bertahan dengan prinsip perubahan tersebut kerana niat asal kita adalah kerana Allah.
Berawaslah, kerana godaan Syaitan itu adakalanya tidak datang dalam bentuk yang kita duga. Kadang-kadang, perkara duniawi yang kita sangat mahukan sebelum berubah , itulah yang akan mendatangi kita dengan mudahnya selepas kita berubah.
Ketika kita mengejar kenikmatan dunia, ia lari dengan begitu pantas meninggalkan kita. Namun ketika kita berpaling mahu mengejar akhirat, ketika itulah dunia itu pula berlari pantas mengejar kita.
Inilah konsep yang harus kita fahami jika kita benar-benar mahu berubah, agar nantinya kita tidak goyah dengan suntikan nikmat daripada Syaitan.



Continue...