Followers

Thursday, March 28

Akidah cinta, cinta aku..cinta engkau.

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:18 PM 0 comments


biarkan lantai jiwamu terus basah dengan CintaNya


Bila ku sedari, Diri disayangi
Langkah kaki ini, Semakin berani
Bila terkeliru, Ku ucap namamu
Terasa diriku, Semakin dipandu
Engkau yang pertama, Tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan, Engkaulah cahaya
Izinkanlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayangmu
Ku berserah diri

Sungguh. Kehadiran seorang insan yang dianggap memahami, mengambil berat dan menenangkan jiwa bisa menjadikan manusia terbang jauh ke sebuah dunia yang cukup indah. Dunia yang menjadikan hidup ini terasa tiada sesiapa, melainkan dua jiwa itu sahaja. Tiada apa-apa peraturan mahupun sempadan yang membataskan segala pergerakan dan perbuatan.
Segalanya indah.
Ramai orang terbang ke dunia itu. Berlarian di tamannya. Bergurau senda di tepian tasik. Membilang kata cinta dengan iringan merdu kicauan sang burung. Sesiapa jua, apabila tiba di sana, terasa bagaikan tidak mahu pulang dan mahu selamanya mengabdikan dirinya di sana.
Dan dunia itu, ramai orang menamakannya sebagai ‘cinta’.

TARGET UTAMA

Muslim yang Mukmin, nafasnya di atas muka dunia ini hanya dengan satu tujuan sahaja. Iaitu menyerahkan segenap jiwa dan raganya kepada Sang Pencipta. Memastikan setiap detik dari hayatnya diabdikan sebaik mungkin kepada Sang Penguasa bernama Allah.
Dalam hatinya terkandung perasaan cinta yang tebal sesama manusia, tetapi selepas dicurahkan sehabis mungkin kepada Allah ta’ala.
Ini kerana dia memahami, bahawa kasih sayang yang dipinjamkan kepadanya, harus diabadikan terlebih dahulu kepada Allah dan Rasul-Nya. Selepas itu, barulah sesama manusia. Firman Allah ta’ala :
Dan orang-orang beriman itu, sangat hebat cinta mereka kepada Allah.
Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w menyebut tentang tiga golongan yang berjaya mengecapi kemanisan iman, di mana dua daripadanya adalah :
1- Mereka-mereka yang menjadikan Allah dan Rasul sebagai pemilik CINTA yang paling tinggi melebihi sekalian makhluk yang lain.
2- Mereka-mereka yang sekiranya mencintai seseorang, dia hanya akan mencintai kerana Allah ta’ala.
Tiada siapa dapat menafikan bahawa perkataan ‘cinta’ itu berkait rapat dengan iman seseorang hamba kepada Allah dan RasulNya. Mencintai manusia yang lain melebihi daripada cinta kepada Allah dan kasih kepada Rasul, samalah ertinya dengan menjadikan tanah jiwa kering kontang dari baja dan siraman keimanan.

PELBAGAI MADAH CINTA

Lirik yang saya tulis di atas mungkin hanya satu dari ribuan kata dan madah manusia dalam bercinta. Tidak hairan, sampai ke satu tahap manusia sanggup melakukan apa sahaja demi cintanya kepada manusia yang lain, tetapi dia tidak sanggup melakukan perkara tersebut demi cintanya kepada Allah.
Ucapan juga begitu.
Manusia malu untuk menyebut bait-bait cinta dalam doanya di sepertiga malam. Manusia malu untuk mengucapkan lafaz cinta, kasih dan sayang serta hamburan kerinduan kepada Nabi s.a.w. Namun untuk mengucapkannya kepada kekasih hati, ia suatu yang sungguh menyeronokkan. Bahkan pada sebahagian besar manusia, ucapan kepada pasangan itu dianggap lebih romantik dan membahagiakan.
Demikian juga dengan pengorbanan. Masa, tenaga dan wang ringgit.
Untuk kekasih hati, nyatakan apa sahaja pasti akan dipenuhi. Berhabis puluhan ringgit untuk makan tengahari bersama kekasih hati jauh lebih ringan berbanding memasukkan lima ringgit ke dalam tabung masjid.
Menjawab panggilan telefon dari kekasih hati dalam keadaan sibuk mahupun mengantuk jauh lebih ringan berbanding menyahut seruan Allah di kala sibuk dan mengantuk.

DISKRIMINASI CINTA
Situasi satu :
Seronok melayan internet dan menonton video di Youtube. Sedar tak sedar, waktu zohor hampir ke hujung. Setengah jam lagi masuk waktu asar. Astaghfirullah, aku belum solat. Lantas bergegas bangkit. Tiba-tiba buah hati menegur di chat facebook. Ok sekejap, layankan dulu, nanti boleh minta masa untuk solat. Kebetulan si dia sedang bersedih, ada masalah. Berjela-jela mengadu gundah. Apa terjadi? Waktu solat makin sempit, hendak ditinggalkan tak sampai hati. Akhirnya hati kekasih lebih utama dipilih berbanding seruan Allah yang semakin larut.
Situasi dua :
Ok selamat malam, esok saya kejut tahajud. Mesej dihantar, dan keduanya tersenyum simpul di dua lokasi berbeza. Menjelang sepertiga malam, mula berbalas missed call. Kemudian bangun, mengambil wudhuk dan solat dua rakaat. Lama kelamaan, terasa seronok. ‘Nikmat’ bertahajud sebelum ini amat berlainan dengan sekarang. Dahulu terasa ‘sepi’, sekarang rasa ‘berteman’. Akhirnya munajat bukan lagi kepada Tuhan, tetapi dipenuhi dengan kerinduan dan angan-angan sesama insan. ‘Kebahagiaan’ yang terbawa-bawa dalam sembahyang.

MENGIKAT JIWA DENGAN CINTA

Semua itu berlaku disebabkan lalainya manusia dari mengawasi hati mereka dalam bercinta. Mereka bermain-main di perigi buta yang tidak berpagar. Akhirnya terjatuh ke lembah yang dalam.
Prasyarat yang paling asas dalam bercinta tidak dipraktikkan, iaitu mengikat jiwa dengan CINTA Yang Esa sebelum bercinta.
Akibatnya sangat buruk. Manusia bisa menjadi ibarat layang-layang putus tali. Bertemu angin lembut, seronoklah ia. Bertemu ribut taufan, hancur leburlah ia.
Lalu lahirlah pelbagai ucapan yang selayaknya diutamakan kepada Yang Esa, tetapi disandarkan kepada manusia. Banyak sekali lirik kata dan madah pujangga manusia yang bersifat memuja sesama manusia. Mereka memuja cinta bagaikan tiada iman dalam jiwa.
Mereka meletakkan paksi bahawa dunia ini akan gelap, andainya tiada cinta dari si dia. Bahkan sebenarnya dunia ini memang akan gelap, andainya tiada CINTA dari DIA.
Mereka meletakkan nyawa mereka pada tangan si dia, walhal nyawa mereka kepunyaan Yang Esa.
Mereka menjadikan si dia sebagai pelindung dan pemberi ketenangan, sedangkan semua itu hanya layak disandarkan kepada DIA.
Kesemua ini memberi kesan kepada jiwa dan cara manusia berfikir. Mereka gagal melihat Allah dalam hidup mereka, sebaliknya di mata mereka hanya ada kelibat manusia yang lemah tiada kuasa. Kemabukan ini membawa kepada pelbagai musibah dan bala, atas nama ‘pengorbanan’ dan ‘kasih sayang’.
Namun, ketika layang-layang tadi dirobekkan oleh ribut kencang dan dipanah tajam oleh sang petir, jatuh terduduklah ia dan gelap gelitalah dunianya.
Di mana Allah ketika itu?
Tiada. Apabila putus cinta, dia meraung derita. Walhal dia telah sekian lama menderita kerana putus CINTA.
Bunuh diri.
Gila.
Sakit jiwa.
Semuanya adalah bahana bercinta tanpa akidah CINTA yang betul.

SYAHADAH

Ajaklah hatimu untuk bercinta, raikan fitrahmu demi sebuah cinta, namun jangan sesekali kau lupa, ajak dan didik hatimu untuk CINTANYA yang lebih utama. Raikan jiwamu yang sebenarnya tandus dan bisa mati tanpa CINTA dariNya.
Kembali menghayati syahadahmu saban waktu.
Pastikan Allah dan Rasul tetap utuh sebagai pemilik CINTA nombor satu, biar di mana sekalipun engkau berada, pasti dan pasti engkau akan selamat dalam sebuah Akidah Cinta.
Semoga Allah memberi hidayahNya.

Continue...


Thursday, March 14

Siapa yang nak jadi baik?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 11:47 PM 0 comments




Hidup ini adalah pertarungan antara jahat dan baik.
Di saat diri asyik dengan perkara baik, datang pula dorongan untuk melakukan perkara jahat. Di saat terjerumus jauh ke lembah kejahatan, datang pula pujukan untuk melakukan kebaikan. Pertarungan dua elemen ini hakikatnya akan berterusan sehingga tibanya saat kematian atau apabila hari Kiamat menjelang.
Kalau dilihat kepada asas kehidupan, sudah tentulah dasarnya adalah supaya melakukan kebaikan. Allah berfirman dalam surah Az Zariyat : ” Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk melakukan ibadah “. Ibadah adalah kebaikan dan gesaan ke arahnya. Maksiat pula adalah kejahatan dan gesaan ke arahnya.
Tetapi ia ternyata tidak mudah.
Sehebat mana kita membina benteng pertahanan dalam diri, ada ketikanya benteng tersebut seperti mahu roboh. Dan inilah yang mahu saya bicarakan dalam tulisan kali ini.
“BAHAGIANYA MEREKA…”

Banyak kali kita diajar supaya buat baik dan maintain dengan kebaikan. Jaga kehidupan beragama. Jaga aurat, jaga pemakaian, jaga pergaulan, jaga solat dan sebagainya. Jangan terjebak dengan pergaulan bebas, jangan terlibat dengan budaya bercouple, merempit, melepak dan seribu satu budaya negatif yang lain. Kita akur. Setiap masa kita berusaha mengawal diri dan memantapkan jiwa agar terselamat daripada segala perkara negatif yang dimomokkan kepada kita.

Tetapi kadangkala aneh juga. Mereka yang terjebak atau terlibat dengan perkara-perkara negatif seperti yang dimomokkan kepada kita itu, ternyata hidup mereka lebih bahagia.
Bercouple contohnya. Hidup mereka penuh dengan warna warni. Datang kuliah bersama-sama, study juga bersama-sama. Paling teruja apabila mereka sama-sama beroleh markah yang tinggi. Apa sudut negatifnya? Mereka kelihatan begitu ‘gagah’ walaupun orang sekeliling memandang serong apa yang mereka lakukan.
Begitu juga dengan kawan-kawan yang freehair. Mereka bahagia dengan hidup mereka. Mereka nampak selesa, tidak rimas dan aktif sepanjang hari. Aku pula lesu dan selalu letih. Berbungkus berlapis-lapis ada waktunya membuatkan aku rasa mahu pitam.
Di atas ini, mungkin adalah antara monolong yang terbit dari hati segelintir pemuda mahupun pemudi yang berusaha mantain dalam kebaikan.
Dalam keadaan diri mereka yang berdarah muda, pertimbangan akal seringkali goyah dan tidak tetap. Mahu terus mantain dengan kebaikan, atau membuka ruang untuk kejahatan?

JAHAT?

Siapa kata bercouple itu jahat? Siapa kata freehair itu jahat? Ternyata, sampai saat ini hati terbeban dengan begitu banyak kekeliruan. Kalau kesemua itu bukan jahat dan tidak boleh dianggap ‘kejahatan’ maka untuk apa pula aku mantain melakukan kebaikan selama ini? Untuk apa aku kawal diri dan perasaan dari terlibat dengan budaya bercouple? Untuk apa aku bertudung rapi? Untuk apa aku berjubah dan berbaju kurung? Untuk apa aku menjaga ikhtilat ( pergaulan ) lelaki dan perempuan? Seakan tiada kesan. Seakan tiada bahagia. Mereka-mereka itu, yang selalu dikatakan ‘jahat’ rupanya lebih bahagia dari aku.

Apatah lagi, bila berbicara dengan mereka, atau meluah kepada mereka, kadang-kadang mereka menasihati supaya bersikap lebih ‘terbuka’. Bahkan jangan sikap sahaja yang terbuka, kalau boleh pakaian pun janganlah ‘berbungkus’ sangat. Sesekali freehairatau berbaju t-shirt tiada salahnya. Dengan lawan jantina pun janganlah tegas sangat. Kawan-kawan lain jantina akan merasa lebih selesa untuk mendekat. Ah! Terkadang nasihat-nasihat mereka ada benarnya. Sungguh, mereka tidak jahat. Bahkan mereka tidak pun melakukan kejahatan. Mereka enjoy dan bahagia dengan life mereka. Aku juga mesti jadi seperti mereka!

ANTARA IBADAH DAN MAKSIAT

Apa yang cuba saya nukilkan di atas, adalah contoh pergolakan jiwa yang biasa berlaku dalam kehidupan kita. Lebih-lebih lagi jika kita seorang yang sentiasa berusaha untuk menyuburkan kebaikan dalam diri.
Cuba kita renung kembali. Dari alam roh, kita sebenarnya telah berjanji dengan Allah. Mengakui bahawa Allah adalah Tuhan. Kita lahir dengan komitmen untuk menjadi seorang hamba. Menurut segala arahan dan menjauhi segala larangan. Itulah namanya ibadah. Ketundukan dan kepatuhan yang tidak berbelah bagi. Seorang hamba dikira melakukan kebaikan apabila dia tidak mengingkari tuannya, dan dikira melakukan kejahatan sekiranya tidak setia atau memberontak kepada tuannya.
Kita sendiri pun begitu. Kalau kita punya seorang kawan baik, dan kawan itu pula berjanji untuk setia bersama kita, tiba-tiba dia membelot, depan cakap lain belakang cakap lain, bahkan dia mengkhianati pula hak-hak kita, sudah tentu kita akan menganggap dia seorang yang jahat.
Seorang hamba yang melakukan kemaksiatan kepada Allah tetap dikira melakukan kejahatan, tanpa menafikan ‘nila-nilai’ murni yang ada pada diri mereka. Sebab itu kadang-kadang manusia keliru. Kawannya yang seksi punya budi pekerti yang baik, tetapi kawannya yang bertudung labuh kebetulan perangainya pula kurang baik. Lalu dia kebingungan yang mana satu kebaikan dan yang mana satu kejahatan.
Perlu diingat. Kejahatan yang dimaksudkan itu bukanlah kejahatan dia kepada kita, tetapi urusan dia dengan Allah. Jahat dalam konteks hamba kepada Tuan. Adapun dengan kita, tidak perlu dianggap dia sebagai penjenayah ataupun penjahat. Apa yang kita benci adalah kejahatan dan kemaksiatan, tetapi itu bukan penghalang untuk kita memandang saudara kita dengan pandangan belas dan kasihan.

MEMBERONTAK

Hasil dari kekeliruan yang berpanjangan itu, maka jiwa terasa mahu memberontak. Mahu ‘bebas’ dari kepompong kebaikan. Mahu bebas dari sekatan-sekatan dan halangan, yang mana telah disalahtafsir sebagai ‘kongkongan kebaikan’. Ini suatu musibah sebenarnya. JIwa yang tandus itu harus segera diubati dan disirami kembali dengan penawar dari racun dunia.
” Lihat si Tina, dia tidak syadid ( tegas ) dengan lelaki seperti aku. Dia open. Sekarang dah berpunya. Ke mana-mana pun dengan teman lelakinya. Sungguh bahagia. Aku pun boleh jadi begitu kalau aku nak! ”

” Aku penat nasihat orang sini sana tentang agama. Aku dah boring dengan kopiah atas kepala. Aku tengok member-member aku syok je layan zaman remaja mereka. Aku? Macam pak aji. Aku rasa macam dah ‘tua’ sebelum masa. Dorang ingat aku tak boleh pakai macam dorang? Aku pun boleh jadi romeo apa! “

BERCAKAP DENGAN HATI

Teman, mari saya kongsikan satu tips.
Pergolakan seperti itu boleh menyerang jiwa sesiapa sahaja. Dan jika jiwamu yang sedang diserang, anggaplah dirimu sangat beruntung. Allah sedang menguji kekentalan imanmu. Ya, anda boleh buktikan kepada mereka yang anda mampu ‘keluar’ dari kepompong kebaikan. Anda mampu berpakaian seperti mereka dan buat apa yang mereka buat. Anda boleh enjoy dengan zaman muda anda sepertimana mereka. Benar, memang anda boleh buat jika itu yang anda mahu. Tetapi terlebih dahulu, jawablah satu soalan : Setelah anda sampai ke tahap tersebut, apa yang akan anda dapat?
Tenang? Bahagia?
Amalan beragama selaku seorang muslim telah anda singkirkan. Pakaian seorang muslimah juga telah anda kurang-kurangkan. Majlis ilmu dan Al-Quran yang selama ini mendorong ketenangan juga telah anda tinggalkan. Anda melompat masuk ke dunia yang anda jangka bakal memberikan ketenangan dan kebahagiaan yang lebih besar dari dunia anda sebelumnya. Soalnya, benarkah begitu? Bahagia tahap mana yang lebih agung dari menyirami hati dengan ayat-ayat Allah? Ketenangan peringkat apa yang lebih hebat dari menggabungkan diri dengan para kekasih Allah?
Fikir dan terus fikir, sebelum membuat keputusan untuk beralih. Suatu ketika dahulu saya kerap memujuk hati seperti ini : ” dah ramai sangat yang jahat, takkan aku pun nak buat jahat? ”
Percayalah, ia berkesan. Sedikit sebanyak menggamit kembali sayangmu kepada agama. Cuba lihat sekeliling. Bilangan teman anda yang terlibat dengan budaya coupleitu berapa nisbahnya jika hendak dibanding dengan yang tidak bercouple? Bilangan teman anda yang gemarkan hiburan berapa nisbahnya dengan yang sukakan majlis ilmu dan agama? Bilangan teman anda yang berpakaian menjolok mata dan tidak menutup aurat dengan sempurna itu berapa nisbahnya dengan yang benar-benar beriltizam dengan pakaian muslimah?
Sangat sedikit bukan?
Jika anda sedar bilangannya sangat sedikit, tergamakkah anda untuk mengurangkan lagi bilangan tersebut dengan ‘melompat’ kepada bilangan majoriti yang sedang lalai? Bahkan, lebih dari itu anda perlu sedar. Allah telah memberikan nikmat besar kepada anda berupa keseronokan beriltizam dengan kebaikan. Tanggungjawab anda sebenarnya bukan sekadar menjadi baik, bahkan mengajak orang lain untuk turut sama melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan.
Jika anda pun mengalah, mahu harapkan siapa lagi? Jika anda pun jemu dengan kebaikan, mahu tinggalkan kebaikan ini untuk siapa lagi?
Sudah terlalu ramai manusia yang larut dalam kelalaian dan kemaksiatan kepada Allah. Zahirnya anda cemburu dengan kebahagiaan mereka, walhal batinnya mereka menderita akibat tidak merasai kebaikan seperti anda. Jiwa mereka sengsara dan langsung tidak tenang. Alasan paling mudah adalah ; mereka rasa bersalah dengan Allah. Mereka menanti tangan anda sampai kepada mereka, menarik mereka ke atas, namun malanglah jika anda pula yang mahu terjun bersama-sama mereka.

KESIMPULAN
Teman. Ayuhlah mantapkan kembali keimanan. Keyakinan yang tidak berbelah bagi kepada janji-janji Allah- si Pemberi Ketenangan dan Kebahagiaan. Jika datang kepadamu bisikan melakukan kejahatan, lekas-lekas kembali kepada titik permulaan iaitu niat. Sungguh, hanya jauhari mengenal manikam!


Continue...