Followers

Sunday, October 6

Dia Cantik, Tapi Berbau

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:08 PM 0 comments


Jelek.
Mungkin itu reaksi pertama anda apabila membaca tajuk ini. Tak kurang juga pasti akan ada yang spontan mengomen : ” harap muka je cantik, bila pegi dekat..hampeh! ”
Sengaja saya mahu menarik perhatian kaum hawa di luar sana, dengan beberapa lontaran untuk mengajak anda berfikir bersama. Jangan pandang isu ini sebagai bukan isu, kerana sebenarnya ia merupakan satu isu besar yang sangat memberi kesan dalam hidup anda. Dari masa bujang sehinggalah mempunyai suami suatu masa nanti.

HAK KEPADA DIRI
Sebagai mukaddimah, saya mahu menyebut bahawa tubuh badan kita mempunyai hak ke atas kita. Antara haknya adalah untuk dibersihkan atau dimandikan. Membiarkan tubuh badan kita dalam keadaan kotor dan berdaki adalah suatu bentuk perlanggaran hak dan ia boleh dikategorikan sebagai satu kezaliman.
Mungkin ada yang menganggap ini sebagai satu pengetahuan am dan kurang melihat kaitannya dengan agama iaitu Islam.
Itu silap. Kerana sebenarnya isu kebersihan dan hak kepada tubuh badan ini sangat dititikberatkan dalam Islam. Cuba buka kitab Fiqh, anda pasti akan berjumpa Bab Thaharah ( bersuci ) sebagai bab pertama sekali. Kemudian barulah bertemu bab solat.
Rasionalnya adalah, Allah sebagai pencipta manusia, Dia Maha Tahu apa yang manusia perlu dam hidup mereka. Semua manusia dilahirkan dalam keadaan fitrahnya yang suka kepada kesucian. Cuba lihat bayi sebagai contoh, apabila membuang air kecil atau besar, dia pasti akan menangis sebagai isyarat supaya kita segera menukar lampin mereka. Bayi tidak akan merasa selesa dengan kekotoran najis yang ada bersamanya.
Begitu juga kita. Minda kita akan merasa lebih segar dan otak kita akan merasa lebih lapang selepas kita mandi. Kerana itu dalam Islam ada penekanan kepada cara bersuci, kemudian adanya syariat berwudhuk, mandi wajib dan sebagainya. Apa yang penting untuk difahami adalah, Islam mendorong kita supaya memberikan hak kepada tubuh badan kita sendiri yang mana matlamatnya untuk keselesaan dan kesenangan kita jua.

ANAK DARA DAN PEMBINAAN DIRI
Perlukah disebut anak dara sahaja? Kenapa tidak disebut sekali si teruna?
Saya kira, walaupun saya menyebut kepada anak dara, namun ia tidak bermakna menafikan perkara ini kepada teruna. Tetapi saya kira semua orang bersetuju bahawa anak dara lebih wajar mementingkan kebersihan tubuh badan dan pakaian mereka berganda-ganda lebih dari si teruna. Logiknya, kaum hawa lebih tebal sifat malunya berbanding kaum adam.
Saya ketepikan soal anak dara itu cantik, kurang cantik ataupun tidak cantik. Itu bukan skop perbincangan.
Apa yang mahu diketengahkan adalah isu pembinaan diri untuk masa hadapan. Saya ulang sekali lagi – PEMBINAAN DIRI.
Apabila disebut pembinaan, bermakna ia suatu proses yang ada permulaan, ada pertengahan dan ada kesudahan atau natijahnya. Berbeza jika disebut ‘lakonan’ , maka ia bukan satu proses sebaliknya hanyalah pergerakan ataupun peniruan watak demi matlamat tertentu. Maka sudah tentu, membina diri jauh lebih sukar berbanding berlakon atau hipokrit dengan diri sendiri.

GAMBARAN SITUASI
Minah salah seorang pelajar bidang pendidikan di sebuah kampus dalam negara. Dia tidak memiliki rupa paras yang cantik namun perwatakannya ada daya penarik. Kerap kali juga dirisik-risik oleh rakan sekampus. Minah belum menerima lamaran sesiapa namun tidak meletakkan halangan sekiranya dilamar dalam masa terdekat.
Namun ada satu masalah. Minah sangat tidak mementingkan penjagaan diri sendiri. Kerana sibuk dengan pelajaran dan agak aktif dalam persatuan, pakaiannya kadang-kadang sungguh comot dan selekeh. Sebagai anak gadis awal 20-an, ketidakpekaan Minah pada penjagaan imej dan diri sendiri itu mengundang rasa tidak senang sesama rakannya. Kadangkala, dia tidak kekok masuk ke dalam kumpulan rakan-rakannya untuk bersembang dan sebagainya walaupun pakaiannya berbau. Kerapkali juga ditegur, tetapi Minah hanya tersengih dan menjawab : alah, bukan ada orang nak tengok aku pun. Dengan korang je kan. Dah kawin nanti citer lain lah.

ITU BUKAN ANDA
Pakaian yang kotor dimasukkan dalam bakul. Pulang dari kuliah, baju disangkut kemas. Pakaian untuk seminggu digosok siap-siap dan disimpan dalam almari. Bilik tidur berbau harum dan nyaman, dengan pewangi yang sentiasa di refill. Penjagaan diri sendiri sangat dititikberatkan. Kalau baju pun pantang mempunyai bau yang kurang enak, apatah lagi tubuh badan. Semua itu dijaga dan diawasi dengan rapi. Apabila bergaul dengan rakan-rakan, akan dipastikan dirinya selesa dan menyelesakan.
Saya tanya ; ciri-ciri di atas sudah tentu sangat kontra dengan gambaran situasi pertama yang saya berikan. Pada anda, lelaki mana yang tidak mengimpikan ciri-ciri seperti itu wujud pada bakal isteri mereka? Seorang lelaki yang selekeh, tidak mungkin akan berminat untuk memperisterikan gadis yang juga terkenal dengan selekeh.
Lalu mungkin mereka akan menjawab ; kahwin itu kan satu proses untuk bentuk diri. Saya ubahlah perlahan-lahan. Nanti bila dah berkahwin, takkanlah nak selekeh macam ni lagi. Mestilah malu kalau badan atau pakaian berbau depan suami.
Mungkin, itu jawapan yang akan keluar. Saya tidak hairan jika ramai anak gadis berpendapat sedemikian dangkal, kerana mereka hanya berteori bahkan mereka tidak pun faham apa itu alam perkahwinan yang sebenarnya.
Maka izinkan saya berkata ; Anda tidak mungkin akan bertukar atau dengan mudah memiliki ciri-ciri seperti itu, kerana itu BUKAN anda.
Diri anda adalah seorang yang selekeh, tidak peka pada kebersihan diri sendiri, tidak kisah pada bau-bau yang tidak enak dan tidak ada masalah dengan bilik yang bersepah-sepah. Sejauh mana pun anda cuba untuk menjadi orang lain kerana malu dengan suami, atau kerana ego dan merasa ‘aku pun mampu jadi macam tu’ atau kerana-kerana yang lain, sampai ke satu tahap anda akan tetap balik kepada diri anda sendiri juga. Anda tidak akan selesa bahkan tidak akan mengecap erti kehidupan pun dengan lakonan-lakonan sedemikian.
Lagipun, berapa lama sangatlah anda mampu bertahan dengan sebuah lakonan?

JALAN KELUAR
Justeru, jalan keluarnya hanya satu. Iaitu dengan membina diri sendiri bermula dari sekarang. Dan proses membina diri ini bergantung kepada keadaan anda :
1- Berdamping dengan ‘kakak’ atau ‘senior’ yang anda hormati serta kagumi penampilannya, dan secara tidak langsung anda boleh belajar memperbaiki dan membina diri daripadanya. Lebih baik kalau dia bersikap terbuka dan jujur untuk menegur anda.
2- Atasi masalah-masalah yang ada bermula sekarang. Masalah pemalas, ubatnya hanya rajin. Masalah tidak kisah, ubatnya hanya tanam kesedaran dan bersungguh-sungguh untuk kisah lalu berubah. Masalah bau badan, ada cara dan rawatannya. Begitu juga masalah-masalah yang lain.
3- Bau busuk atau bau yang kurang enak tidak akan menjadikan sesiapa pun selesa. Lalu jangan tunggu ada suami baru anda mahu merasa ‘malu’, tetapi malulah dari sekarang. Mungkin rakan-rakan atau ‘geng’ anda tidak kisah, tetapi awas, tidak kisah mereka itu boleh menjadikan anda terus hanyut dan hanyut sehinggalah tabiat negatif itu melekat dalam diri anda.
4- Manusia yang normal, apatah lagi seorang muslim, tidak akan merasa selesa kiranya bau pakaian atau badannya mengganggu orang lain. Iman dalam dirinya mencetus rasa malu. Tetapi jika anda tidak mempunyai ‘perasaan’ itu, anda patut bermuhasabah kembali akan iman dalam diri anda sendiri. Jangan biarkan ia pudar tanpa sedar!
5- Jangan berlakon atau meniru-niru orang lain, sebaliknya jadilah diri anda sendiri. Apa yang perlu dibuat hanyalah mengambil ciri-ciri positif pada mereka dan latih dalam kehidupan anda. InsyaAllah, proses latihan ini kesannya cukup besar, kerana ia antara penentu kebahagiaan anda di masa hadapan.
Jadi, kepada mereka-mereka yang terlibat dengan sindrom ini, ataupun mempunya kawan-kawan seperti ini, sama-samalah kita tegur menegur. Besar pahalanya kalau seseorang itu beroleh kesedaran dan kemudiannya berubah dengan asbab teguran yang disampaikan oleh kita.

Sekian.

Continue...