Followers

Thursday, November 1

Antara Telefon Rosak dan Hati Rosak

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 3:31 PM 0 comments


KALAU telefon bimbit kita rosak, secepat kilat kita pergi baiki. Maklumlah penting sangat untuk berkomunikasi. Kalau rosak siang tak tunggu malam, kalau rosaknya waktu malam tak sempat siang cuba hendak baiki juga.

Dalam banyak perkara penting, kita lupa perkara yang tersangat penting dalam hidup kita iaitu hati. Kita lupa nak jaga dan pimpin hati. Hati di sini ialah hati rohani, iaitu ‘al-qalb’. Hati qalbu iaitu hati nurani tempat letaknya iman dan Islam. 
“Jagalah hati jangan kau kotori, jagalah hati lentera hidup kamu”. Itu antara lagu berkaitan hati. Salah satu penyakit yang merosakkan kehidupan beriman kita ialah sifat takbur.

Wajib kita jaga hati supaya jangan sampai takbur merosakkan kita. Di sini penulis ingin berkongsi bahaya dan cara merawat penyakit takbur.

Sifat takbur (sombong) adalah mazmumah yang wajib sangat dikikis segera. Kalau tidak ia akan menutup semua jalan kebaikan yang mungkin dilakukan seseorang.

Hampir semua manusia ada sifat ego atau sombong. Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali berkata, bahawa sifat ego itu hampir mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia.

Bagaimanapun, kita perlu berusaha mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai manusia biasa.

Dalam perselisihan pendapat atau pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak kita. Atau paling tidak, akuilah bahawa kita juga turut bersalah.

Bukankah ada pepatah mengatakan, “Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.”
Kalau kita mampu dan berani mengakui kesalahan, mampulah kita meminta maaf.

Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia akan terhapus. Oleh itu, kita perlu melatih diri melawan sifat sombong atau takbur itu. Latihan yang lebih berkesan lagi ialah biasakan diri tinggal bersama dengan orang yang dipandang rendah oleh masyarakat.

Orang susah, peminta sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingi dan gauli. Duduk, bercakap, minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka.

Waktu itu jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua mengejek dan merendah-rendahkan kita.

Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak ini asalnya miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu tanpa seurat benang dan sesen wang.”

Kalaulah amalan itu dibiasakan, Insya-Allah sifat ego sedikit demi sedikit dapat kita buang. Alah bisa tegal biasa dan yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Dan ingatlah selalu firman Allah: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga diri.” (Surah Luqman ayat 18).

Allah berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu golongan menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita (menghina) wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih baik dari wanita yang menghina.”
(Surah Al Hujurat ayat 11).

Janganlah kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan kita.
Kekuatan kita tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai bukit.

Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan mulia orang yang mengangkat diri dan tidak akan hina orang yang merendah diri.” Sifat berkasih sayang sesama manusia adalah sifat terpuji yang dituntut Allah.

Ia adalah lawan kepada sifat sombong, hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya, kita kena melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu mudah. Itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan latihan. Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah.

Tetapi yang memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Latihan itu sangat susah hendak dilakukan kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya.

Sebab itu Rasulullah bersabda: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.” Biasanya kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja.

Kalau ada kawan yang menyinggung kita, kita tidak sanggup berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan kemahuan jahat itu.

Caranya, orang yang kita tidak suka itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit.

Tidak mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat hasilnya. Kita kena lakukan latihan itu sepanjang masa. Bila ada peluang melakukannya, teruslah bertindak.

Sanggupkah kita membuat latihan seperti yang disebutkan tadi? Kalau kita mampu berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun, ia bukannya perkara mudah.

Amat susah sekali, terseksa kita dibuatnya. Adakalanya hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik kepada kita pun amat susah.

Betapa pula hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun, melalui latihan yang bersungguh-sungguh, Insya-Allah ia akan dipermudahkan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Surah Al Ankabut ayat 69).


Continue...