Followers

Monday, May 21

Bedah Blog: Antara Maruah Dan Gambar Pakwe

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 12:48 AM 6 comments


Pakwe. Boyfriend. Teman lelaki. Marka. Balak.

Namakan apa saja. Ia tetap bukan seorang lelaki yang sah, bergelar suami. Tahap, taraf dan martabatnya seinci pun tidak sampai ke kedudukan itu. Untuk ditaati, dihormati, disayangi, dirindui, langsung tidak berkelayakan. Itu syariatullah yang harus diakui oleh semua orang.
Saya kadangkala rajin juga melakukan blogwalking, samada dalam list sedia ada, ataupun daripada komen pembaca, ataupun daripada pautan lain di blog-blog mereka. Kebanyakan ‘perjalanan’ saya itu saya fikir masih berada dalam circle yang sama, iaitu pembaca ataubloggers yang punya minat pada agama. Dalam jiwa mereka, ada Islam.

Sebahagian besar mereka adalah remaja dan berjantina hawa. Isi kandungan blog pula lebih berkisar tentang kehidupan mereka serta apa sahaja yang dilalui. Sesekali diselit dengan tazkirah, dan kerap kali juga dipaparkan pelbagai artikel yang disalin daripada blog ilmuan lain. Kesimpulan mudah yang saya buat adalah, mereka ada jiwa untuk memberi, mempelajari dan mahu menjadi muslimah sejati.
Namun saya perlu akui, sebahagian besar mereka itu sedang asyik dalam kesilapan yang menjatuhkan maruah diri, dan lebih malang jika perkara itu tidak disedari.
Dalam blog, selain pelbagai widget di kiri atau kanan, gambar sendiri diedit cantik dan dipamerkan. Ditambah lagi satu, gambar kekasih hati turut sama terpampang. Gambar ‘budak lelaki’ itu juga diedit cantik dan ditulis pelbagai kata cinta di atasnya. Sangat gedik dan geli. Gejala sama turut menimpa para facebookers. Gambar profil berpurdah hitam dengan paparan mata yang konon menawan. Berpurdah katanya. Di bawahnya pula, status ‘in a relationship’ tertera penuh bangga dengan lelaki yang bukan suaminya.

SYARI’ATULLAH

Dikisahkan, wanita itu sifat malunya lebih tebal berbanding lelaki. Fitrah penuh hikmah yang diciptakan Allah. Islam datang mengangkat martabat mereka dengan pelbagai peraturan dalam syariat. Dan Islam terbukti sebagai sistem paling unggul dalam memuliakan wanita.
Ada perintah berhijab, merendahkan suara, menjaga pergaulan dan tutur kata. Secara tersirat, elemen-elemen itulah yang menambahkan lagi harga dan maruah seorang wanita. Mereka menjadi mulia dan mereka dimuliakan.
Tetapi apa akan terjadi, jika kesemua peraturan itu diabaikan?
Analogi yang selalu kita dengar, syariat itu umpama papan tanda di lebuh raya. Bayangkan apa akan terjadi, jika lori balak sama-sama bersaing di laluan kanan bersama motosikal dan kereta? Bayangkan pula, jika semua orang bebas memandu ke arah mana yang mereka suka, tanpa ada lampu isyarat ataupun papan tanda?
Begitu juga. Bayangkan bagaimana jika wanita yang seharusnya lebih mahal dan lebih tinggi sifat malunya, membakulsampahkan kesemua sifat tersebut di hadapan lelaki? Dan situasi ini sebenarnya telah banyak terjadi dan terus terjadi, terutama di kalangan gadis remaja kita.
Gejala mempamerkan wajah sendiri telah banyak diingatkan sebagai membahayakan maruah. Pelbagai bukti printscreen ditunjukkan bagaimana gilanya manusia yang mencuri dan membuat editing pada gambar-gambar kaum hawa. Namun kedegilan yang sama terus dipertahankan. Bahkan bertambah, dengan trend meletakkan bersama gambar teman lelaki masing-masing.

Apakah mereka fikir, itu suatu bentuk kebanggaan?

MARUAH

” Sayang papa sampai mati “

” My beloved one..forever n ever “

” Cayang kamuuu ..”

Ya. Itu antara ayat-ayat cinta ciptaan mereka. Pernah saya cuba menyelidik, adakah si lelaki turut melakukan perkara yang sama. Dan menyedihkan, kerana banyak yang saya lihat, si lelaki tidak pun meletakkan gambar teman wanita mereka bahkan seboleh-bolehnya kelihatan seperti mahu berlagak single dan belum berpunya.

Pernah juga saya lihat di facebook. Gadis muslimah tersebut, beriya-iya menukilkan madah cinta di wall teman lelakinya. Bahkan menggunakan aplikasi tulisan yang pelik-pelik penuh warna warni semata-mata untuk menyatakan ‘ saya sayang pakwe saya ‘. Di wall si lelaki, berderet ucapan yang sama, setiap hari. Tetapi aneh, si lelaki langsung tidak membalas. Si lelaki seolah ‘rimas’ dan seboleh-bolehnya mahu ‘berlepas diri’ dari kesemua perkara tersebut. Hanya post dari rakan-rakannya sahaja yang dibalas dengan ‘rela’.

Saya terfikir, si gadis seperti itu sebenarnya mengapa? Sakit jiwakah dia? Sudah hilang rasa malukah dia?
Oh, gambar profil facebook gaya arab. Pakai niqab hitam. Status-status yang ditulis, mengajak cinta kepada Allah. Ajak berburu Lailatul Qadr. Tetapi dia sanggup menghabiskan masa yang banyak ( pada hemat saya ) untuk membuat editing gambarnya dan dicantum dengan gambar si lelaki. Ditambah dengan pelbagai effect dan tulisan. Berhabis masa pula untuk membuat tulisan kelip-kelip , dedikasi untuk orang yang dia sayang. Apa sebenarnya yang dia cari?
Apa sekalipun rasa hati, mereka yang berada dalam situasi seperti ini harus segera sedar. Anda sedang menjatuhkan maruah diri anda sendiri.

MULIANYA ANDA

Jangan jadi gula-gula yang terdedah tanpa balutan plastik, kerana tiada orang akan memilih gula-gula itu berbanding yang masih tertutup dan tersimpan rapi di dalam bekas. Gula-gula yang terdedah, samalah seperti ucapan dan perbuatan yang menjatuhkan maruah. Pakaian anda, tudung atau jubah, tidak memberi sebarang makna jika anda sanggup merendahkan darjat anda ke tahap itu di alam maya.
Tidak ada sesiapa yang akan berbangga dengan status ‘ in a relationship ‘ anda  di facebook, walaupun anda dan dia sudah bertunang. Kalau pertunangan itu pun disuruh rahsiakan, apatah lagi jika anda dan dia langsung tidak ada apa-apa ikatan dan sekadar bermain perasaan?
Menjadi trend, di usia remaja wajib punya pasangan. Seawal tingkatan satu, sudah punya teman istimewa dan diisytihar merata-rata. Bahkan ada juga yang memanggil budak lelaki mereka sebagai ‘hubby‘ atau suami. Kemudian, putus di tengah jalan. Lalu ditulis pula status-status penuh kesedihan.

” Saya relakan awak pergi. Mungkin kita tiada jodoh. Saya redha dengan suratan Ilahi. Kalau kita cintakan seseorang, kita pasti akan sanggup lepaskan dia untuk melihat dia bahagia..”

Gurindam putus cinta dari anak remaja yang baru tingkatan tiga.
Tidak berapa lama, gambar berganti. Dapat pula teman lelaki yang lain. Dapat boyfriend baru. Cinta berputik kembali. Gambar ditayang lagi. Hanyut kembali dalam ombak perasaan yang tidak bertepi.
Muliakah anda dalam situasi itu? Tinggikah nilaian anda dengan melakukan perkara seperti itu? Tenang dan damaikah jiwa anda dengan mainan perasaan seperti itu?

JALAN PULANG

Mungkin masih ramai menganggap, gambar teman lelaki kesayangan mereka itu sumber inspirasi. Dan kisah cinta mereka adalah pencetus motivasi. Tetapi sebenarnya, anda sedang bermain dengan harga diri. Islam mengangkat anda ke tempat yang cukup tinggi semata-mata untuk memuliakan anda sebagai wanita. Islam prihatin dengan sifat malu yang menjadi benteng maruah diri anda.
Jangan biarkan Syaitan terus-terusan menghiasi amalan anda. Hayati kembali keindahan syariat Islam. Perhalusi kembali hikmah di sebalik larangan.
Bercinta dan berhubungan dengan bukan mahram adalah satu dosa, dan mengisytiharkan dosa itu dengan bangga di khalayak ramai menambahkan satu lagi dosa. Di sebaliknya, maruah anda sebagai wanita sedang terhina.
Kembalilah pulang.
Masih belum terlambat untuk beralih memperbaiki kesilapan. Buang lah kesemua gambar teman lelaki anda kerana tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Bangga sangatkah mempamerkan perlanggaran hukum Tuhan? Di facebook juga begitu, berhentilah dari status ‘in a relationship ‘ dengan kaum adam yang bukan mahram. Lebih parah jika sampai tahap status ‘ married to ‘ yang tergamak dipaparkan dengan lelaki yang tiada ikatan.
Saya kasihan, kerana saya yakin, dalam diri mereka ada kecintaan kepada Islam. Dan mudah-mudahan, artikel ini mampu menyuntik sedikit kesedaran. Sayangilah diri anda sebagai kaum hawa yang dimuliakan Tuhan. Moga Allah memberi kekuatan untuk melakukan perubahan.
Sekian.

Blog best ni Belog ini best
Continue...


Wednesday, May 16

Aku Fikirkan Alim Ulama, Rupanya Alim bin Fullamak Fuyyoh

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 6:09 PM 3 comments


Aku Fikirkan Alim Ulama, Rupanya Alim bin Fullamak Fuyyoh

‘Aku tak nak terima kau kalau kau bukan seorang ustaz atau ulama’

‘ Kalau setakat sekolah agama, mana boleh jadi ustaz, kalau tak boleh jadi ustaz, mana boleh jadi calon menantu. Saya nak calon menantu saya ulama atau title ustaz paling koman’

Ini cerita dari seorang teman (berusia 18 tahun) yang ingin masuk meminang seorang gadis pujaan hati. Hai, nak masuk minang pun payah? Kena ada title ustaz baru boleh masuk minang?

Kalau orang biasa? Macam saya, saya bukan sekolah agama, sekolah sains pulak tu, lulusan pun bukan diploma dalam bidang agama, lulusan dalam bidang kejuteraan. Nak masuk minang macam mana?

Teman saya, saya lihat berkaca-kaca matanya. Sedih. Tapi dia redha. Aik, sedih tapi redha? Macam mana tu?

Saya tanya dia,

‘kau tak sedih ke dia cakap macam tu kat kau?’

‘ tak sedih apanya, memang la aku sedih. Malu pun ada juga. Tapi aku tak kesah, aku kehilangan seorang yang aku cintai. Tapi dia kehilangan seorang insan yang mencintai dia’

Saya rasa dia ada macam Karam Singh Walia cakap,

Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu

Cerita Lama, Cerita Baru

Ini cerita tujuh tahun yang lalu, selepas berakhirnya peperiksaan SPM. Dia di maki, dia di hamun. Saya terbuka balik minda saya kepada peristiwa lama kerana sejak dia menghubungi saya untuk menghantar undangan 
perkahwinan.

Dalam hati saya, walimah juga dia ni. walaupun setelah di kecewakan bertahun-tahun lama.

Saya tak banyak bertanya tentang dia dengan bakal isteri. Macam mana dia kenal, macam mana dia bercinta. Sebab saya kenal dengan dia, dia jenis tidak bercinta tanpa ikatan.

Cuma saya terfikir, kasihan dekat dia masa kisah lama. Kena maki hamun, kena rendah-rendahkan. Yerlah. Budak sekolah agama belum tentu keluar sekolah jadi budak agama. Belum tentu keluar jadi ustaz, atau ulama. 
Mungkin jadi engineer agama? Mungkin jadi pensyarah agama?

Secara tidak langsung saya teringatkan kisah Kassim Selamat. Ala Kassim, maafkan mak nak. Tapi, sekurang-kurangnya Kassim Selamat dapat berkahwin dengan pujaan hati. Cuma perbezaan taraf kehidupan antara seorang pemuzik dengan seorang doktor yang di anak tirikan.

Ahli muzik.. apa kelas??

Mula-mula dengar cerita begini memanglah terkejut. Yerlah. Pilihan yang mengikut taraf.

Saya akui keluarga si wanita itu merupakan keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang cukup kuat. Kata orang, barangkali keluarga dia mementingkan agama. Saya bersangka baik. Andai keluarga mementingkan agama, mestilah calon menantu pandai taranum. Namun itu hanyala pandangan cetek saya. Mungkin mereka ada pandangan sendiri.

‘ Kalau tak nak terima aku pun, janganlah sampai menghina keluarga aku sekali. Keluarga aku tak salah pun.’ Dialog sedih yang keluar dari mulut seorang kawan.

Benar, kadangkala saya hairan mengapa golongan yang hebat ilmu agama mereka, namun mempunyai perwatakan yang berlainan.

Bab merendahkan orang, Allah dah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
(Al-Hujuraat 49:11) 

Cinta Itu Menguatkan

Cinta yang terputus di tengah jalan membuatkan sahabat saya semakin bersemangat menyambung pelajaran. Azamnya, biarlah bukan menjadi seorang ustaz, tetapi dia akan tetap berjaya menjadi seorang yang berakhlak.

Tidak kira apa juga karier, dia mahu menjadi seorang yang berakhlak.

Itu ceritanya. Cerita saya, entah bila akan habis dan tamat.

Saya masih teringat kata seorang teman saya semasa berada bersama liqa’.
 Mulianya kita hari ini di mata manusia, kerana Allah masih simpan aib kita’

Menutup perbualan dengan teman, saja saya menanyakan khabar mengenai bekas teman lamanya.

‘ Mak dia memang dapat menantu idaman. Menurut cerita, menantunya itu lulusan jurusan agama. nampak macam ustaz,  di hebokan seorang yang pandai dalam bab agama. Setaun kemudian kahwin, kena tangkap polis. Rupanya menantunya seorang pengedar. ‘

Saya simpati. Cuma saya teringat kata-kata ikhwah.

‘ Allah akan balas dengan apa yang kita lakukan, kalau tak kat dunia, kat akhirat.. lagi baik kena balas dekat dunia, dari kena balas kat akhirat.’

Saya ingatkan betul-betul dalam orang alim ulama’, rupanya dia memang nama Alim bin Fullamak Fuyyoh.






Continue...