Followers

Sunday, April 29

Buat Diriku Yang Mudah Lupa

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 5:20 PM 0 comments


Pesanan artikel kali ini adalah untuk diri saya. Kadang-kadang saya meraksan diri ini jauh dari Tuhan.  Saya mula muhasabah diri saya kembali. Kenapa saya jauh dari Allah? Sedangkan saya selalu mengungkapkan rasa cinta, sayang dan rindu kepada Allah Tuhan semesta Alam?


Kalau benar rasa cintakan Allah, kenapa rasa diri ini jauh dari Dia?

Saya renung kembali. Saya membuka balik lembaran-lembaran lama. Buku catatan saya yang lama. Bersama dirinya saya menemui tarbiyah. Bersama dengannya saya menemui nikmat sesuatu. Bukan saya pandai menulis, tidak. Setiap orang akan merasakan dirinya kosong jika tidak di isi dengan sesuatu.

Kalau Benar Cintakan Allah

Inilah catatan yang pernah saya catatkan tatkala selalu mendapat tarbiyah ringkas dari Tok Ayah. Tarbiyah yang tidak formal. Dia tidak pernah mengaji di tempat terkemuka. Dia tidak pernah mengaji dengan ustaz yang popular. Tetapi dia mendapat tarbiyah dari ayahnya seorang da’ie bagi penduduk kampung. Saya ingat lagi, catatan ini di buat semasa saya mengikuti Tok Ayah ke laut bagi menjala ikan.

Sebutlah nama Allah banyak-banyak. Allah berfirman dalam surah al-Fath ayat 9 yang bermaksud : ‘Supaya kamu semua beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan agamaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang.’

Bertasbih di sini bermaksud kita berzikir dengan kuantiti dan kualiti yang tertinggi. Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada membesarkan Allah dan segala yang lain kecil belaka.

Namun apabila Allah di lupakan, umat akan kurang menyebut namaNya. Ketika itu hati pun lalai dari merasakan kebesaran dan keagunganNya. Akibatnya hukum hakam di abaikan dan terjadinya maksiat yang berleluasa. Apabila ini terjadi jangan di tangisi jika Allah ‘lupakan’ kita. Pada hakikatnya Allah tidak pernah sesekali melupakan hambaNya. Cuma Allah mencampakkan sedikit rasa penyesalan di dalam hati hamba-hambaNya.

Allah hanya menjadi pembela kepada hambaNya yang bertaqwa. Orang yang bertaqwa adalah orang yang banyak mengingatinya. Namun siapakah kita? Adakah kita dalam golongan Muttaqin, atau hanya Muslim? Muttaqin adalah orang yang bertaqwa kepada Allah.

Bimbang Dosa

Saidina Umar pernah mengingatkan bahawa, dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang di lakukan oleh tentera Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dengan dosa, akan terhalangnya bantuan dari Allah kepada kita.

Persoalannya. Kenapa orang masih melakukan dosa? Sedangkan mendapat dosa adalah satu petanda yang kita ini jauh dari Allah?

Jawabnya, kerana kita semakin lupakan Allah. Kita semakin menjauhkan diri dari Allah. Sang Maha Pencipta. Jadi untuk menggelakkan diri terjerumus dari kancah yang penuh dosa. Maka diri kita ini perlu elakkan dari melakukan perbuatan yang mendatangkan kemungkaran Allah, lalu mendatangkan dosa.

Masakan orang yang selalu mengingati Allah akan melakukan perbuatan dosa dan khianat? Jika terlanjur sedikit pun golongan yang selalu mengingati Allah akan cepat-cepat beristighafar. Orang yang sebeginilah yang akan Allah bantu dalam apa sahaja yang mereka perjuangkan yang mana mendatangkan manfaat untuk Islam. Untuk izzah Islam itu sendiri.

Mereka akan di sokong oleh rakan, sahabat dan di hormati oleh lawan. Belum lagi bertempik, hanya berbisik, orang akan akur dan tunduk.

Bukan Musuh Yang Terlalu Laju, Kita Yang Perlahan

Andai kita perhatikan isu sekarang, musuh-musuh Islam terlalu pantas memintas dan mencanang yang Islam ini membawa satu agama yang mendorong kepada keganasan. Bagi kita mereka terlalu laju mengeluarkan hujah-hujah yang begitu ampuh untuk di tepis.

Sebenarnya, bukan musuh yang terlalu laju. Kita yang terlalu perlahan. Kita seharusnya lebih ke hadapan bersama dengan roh cinta dan kasih sayang. Bukan sebagai pemerhati. Dengan cinta kita berdakwah. 
Dengan cinta kita berhujah dan menjelaskan dengan penuh hikmah.

Dengan cinta kita tidak hanya menyebut namaNya, tetapi dengan cinta juga kita akan mendaulatkan hukum-hukum Allah di muka bumi.

Macam mana kita nak tegakkan agama Allah? Kita tidak perlu lihat sejauh langit. Kita perlu lihat sedekat diri. Kenapa? Semuanya bermula dari diri. Dengan diri kita patuh dan taat akan hukum Allah, jalan salafusaleh di hidupkan kembali, dengan bangun malam. Solat subuh berjemaah di masjid menjadi tunjang utama nadi sesebuah komuniti yang indah.

Atur keluarga mengikut syariat. Jauhkan dari pendedehan aurat. Perangi pergaulan bebas, racun hedonism dan fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan keluarga. Pacu kemajuan ekonomi tapi jangan sampai lupa hukum Allah. Bersiasahlah tapi jangan dekati fitnah dan kehancuran diri demi kepentingan peribadi.

Kalau benar cintakan Allah.. ingatlah.. “cinta itu bukan dengan kata-kata, tetapi cinta itu melalui perbuatan (love is verb). Bangkitlah dengan kecintaan bukan dengan satu nada kebencian. Jangan marahkan orang yang tidak cinta andai diri ini tidak di cintai…jika kita sendiri tidak mencintai bagaimana orang mahu cinta?’

Ada PERKARA yang ingin kita BUANG JAUH-JAUH..kita lemparkan ke hujung dunia, kita HAPUSKAN dari minda dan ingatan..bukan kerana kita MEMBENCI, tetapi kerana menyedari jika kita mengingatinya, hanya membuat kita terikat kepada SEBUAH KESEDIHAN..jika terus menyimpannya, hanya membuat kita terkaku pada SEBUAH ANGAN-ANGAN..

p/s : Bukan membenci..bukan berputus asa, cuma SEDAR DAN FAHAM..ada sesetengah perkara, memang BUKAN HAK KITA

:: MENJAUHI bukanlah bermakna membenci, cuma untuk mengelakkan HATI dari TERUS TERGURIS dan DISAKITI :


Continue...


Monday, April 23

Jiwa Itu Meraung Kesakitan

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 5:39 PM 0 comments



Penyakit yang sukar dilihat dengan mata kasar itu, sangat bahaya. Maka, berusahalah mengubatinya.
Jiwa yang sakit menimbulkan pelbagai keresahan. Maka, manusia akan pencari penawarnya. Yang berbeza adalah, penawar bagaimana yang dicari untuk mengubati jiwa yang sedang sakit itu. Berjaya atau gagal.
Jiwa yang sakit itu sering kali diamuk kerisauan yang tidak berasas. Empunya jasad sendiri tidak tahu kenapa dan bagaimana. Adakalanya juga dihambat kehampaan yang tidak berhujung pangkal. Risau mengenai duniawi yang diri sendiri kurang pasti apa yang dirisaukan.
Kata orang, jangan dipandang enteng pada jiwa yang sakit. Nanti boleh mati sebelum matinya jasad yang menampung jiwa tersebut. Maka, boleh dikatakan manusia yang jiwanya telah mati yang bergerak seharian adalah bangkai yang tidak bernyawa.
Maka, bertindaklah si jasad mencari penawar..
Penawar Yang Menambahkan Kerumitan

Bila tersilap memilih penawar, parah akibatnya.
Ada yang mencari jalan senang untuk mencari penawar. Ada yang memilih untuk bersama dengan kawan-kawan menghiburkan diri dengan hiburan yang melalaikan. Ada yang menghilangkan rasa dahaga jiwa dengan cecair yang diharamkan. Ada juga yang mengambil ubat untuk jiwa yang sedang sakit dengan ubat yang memudaratkan, malahan! Namun, yang batil tetaplah batil. Ubat yang salah itu mungkin mengubati dalam jangka masa yang pendek. Tapi menampakkan akibat yang lebih parah.
Manusia kan, cenderung mencari jalan yang senang bagi hal apapun!
Bila jiwa tertekan, tidak mustahil ada manusia yang menghayunkan langkah kaki ke tempat yang dianggapnya boleh menghilangkan atau melupakan tekanan tersebut. Salah atau tidak di sisi agama, pastinya sudah tidak dihiraukan lagi.
Hakikatnya, sedih bila mengenangkan ramai dikalangan manusia mencari penawar seperti ini. Walaupun pada hakikatnya juga mereka sedar penawar itu hanyalah sementara bagi jiwa yang sedang berkecamuk, tapi jiwa dan akal mereka tidak kuat untuk mengarahkan jasad yang sudah seperti bangkai itu.
Astaghfirullah~
Jiwa Tidak Terubat, Masalah Bertambah

Kegembiraan yang sementara, dan digantikan pula dengan keresahan, kegelisahan, keserabutan dan pelbagai masalah lagi yang mendatang.
Sungguh halus cara ALLAh Ta’ala menekan dan menekan hamba-Nya untuk memperlihatkan akibat perbuatan yang sia-sia. Sedikit demi sedikit didatangkan ujian secara bertubi-tubi. Adakalanya hingga terduduk seseorang kehilangan arah.
Penawar yang dicari sebelum ini mulai menampakkan natijahnya.
Keindahan fatamorgana sememangnya memukau. Dan tidak sedikit manusia yang terpukau sejak berlalunya zaman-zaman terdahulu. Akal yang sihat itu yang tidak digunakan dengan baik akhirnya ditenggelamkan oleh kekuatan hawa nafsu dan syaitan.
Semuanya itu meninggalkan kesan yang mengakibatkan seseorang akan semakin parah jika manusia masih tidak mahu membuka pintu hati sendiri.
Bukan ALLAh Ta’ala tidak memberi peluang. Tapi manusia yang menutup peluang yang dibentangkan itu sebenarnya!
Berikanlah Hak Jiwa Yang Sakit

Rendahkan diri dihadapan ALLAh. Itu ubatnya.
Tidak pernah terlambat untuk kembali menundukkan diri dihadapan ALLAh Ta’ala sebelum tibanya hari kiamat. Selagi ada nafas yang dihembuskan, selagi itulah ALLAh memberikan peluang kepada hamba-Nya untuk membersihkan diri.
Saya pasti, tidak ada seorang pun dikalangan kita mahu meninggalkan dunia dengan keburukan. Semuanya mahu mati dalam keadaan yang baik. Jika kematian itu dengan keadaan yang buruk, bagaimanakah sudahnya di alam barzakh nanti? Subhanallah~
Memakai Islam dalam hidup tidak pernah merugikan!
Andainya untuk kembali kepada ALLAh Ta’ala itu memerlukan anda bermula dari bawah. Maka, anggaplah ALLAh sedang mengajarmu erti kesyukuran kerana kembali ke fitrah yang asal daripada cara hidup yang penuh tipu daya.
Pssst! Ingat ni, ALLAh hanya menyeru pada jiwa yang tenang untuk mempersilakan memasuki syurga-Nya. Maka, jom berusaha membina dan mendidik jiwa yang tenang.
“Hai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai. Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah dalam syurga-Ku.” – al Fajr : 27-30
Semoga ALLAh merahmati.




Continue...


Tuesday, April 17

Cerpen: Syurga Itu Lagi Best

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 4:07 PM 0 comments



Sambil memandu, saya bertanya kepada anak-anak ke mana hendak pergi untuk berkelah sempena cuti sekolah.  Saya memberikan beberapa pilihan untuk diundi mereka.  Saya sebut satu per satu dan minta mereka angkat tangan tanda setuju.

Suasana menjadi riuh.  Nampaknya semua tempat mereka angkat tangan dan setuju untuk pergi.  Saya kemudiannya menyenaraikan beberapa kelebihan dan kekurangan tempat-tempat itu supaya anak-anak saya boleh fokuskan tempat terbaik untuk dibuat pilihan.

“…Syurga lagi BEST!”  tiba-tiba salah seorang anak saya mencelah di tengah-tengah perbincangan dan ‘perdebatan’ itu.

Saya terdiam.

Saya biarkan anak-anak saya terus dengan celoteh masing-masing.  Sambil saya merenung makna perkataan yang diucapkan tadi.  Ia besar.  Memberi kesan.

Selang seminit, saya bertanya kepada isteri saya yang sedang meribakan anak kami yang berumur 2 tahun di tempat duduk belakang.

“Sayang ada rasa apa-apa tak apabila dengar ‘…Syurga lagi BEST!’ tadi” Tanya saya.

“Rasa macam mana?  Biasa aje.”  Jawab isteri saya.

Kerancakan suara anak-anak semakin perlahan.  Mereka mendiamkan suara kerana ingin mendengar apa yang bakal dibualkan oleh saya dan isteri.  Masing-masing memasang corong telinga.

“Ada tak tiba-tiba Sayang rasa macam hilang keinginan kepada keseronokan dunia ini apabila dengar perihal Syurga?”  Saya menjelaskan soalan saya.

“Ha’ah lah, memang ada.  Tapi susah nak explain perasaan tu…”  Isteri saya memberikan respon beliau.

“Tulah yang kita rasa… Tiba-tiba keseronokan untuk memilih tempat-tempat untuk berkelah tu hilang sebentar, kan?  Walaupun Syurga ni kita tak pernah tengok rupanya dan dengar perinciannya, tapi apabila mendengar perkataan Syurga itu sudah membuatkan kita ketepikan sebentar keseronokan dunia, walau hanya beberapa detik ia lalu di dalam hati kita.”  Saya menjelaskan perasaan saya.  Isteri 
saya mengiyakan sahaja.

Perbualan kami yang pada mulanya rancak untuk memilih tempat berkelah tiba-tiba bertukar menjadi suasana yang berbeza.  Kami dan anak-anak mula berbicara tentang Syurga dan perihal berganda-ganda jauhnya kenikmatan di Syurga berbanding keseronokan di dunia ini.  Ada rasa keinsafan menyinggah ke dalam hati kami sekeluarga.  Saya terutamanya.

Apabila berfikir tentang nikmat Syurga, seakan segala kenikmatan dunia ini ‘flushed away’ entah ke mana.  Bagi saya yang lemah imannya ini, perasaan itu datang hanya sebentar cuma.  Selang beberapa minit kemudian kelazatan dunia kembali singgah ke dalam hati yang buas ini.  Perbualan untuk memilih tempat berkelah bersambung semula.  Rancak seperti mula-mula.

Tetapi, bagi orang yang kuat iman, agaknya inilah rutin mereka.  Mereka tangguh perasaan mereka untuk menghirup kelazatan dunia dan semua warna-warni yang menggoda nafsu.  Kelazatan Syurga sentiasa menjadi dambaan mereka.  Nikmat untuk berjumpa dengan Tuhan mereka sentiasa menjadi cita-cita setiap waktu.

Lihat sahaja kisah-kisah para Nabi dan Rasul `alaihimus solatu wassalam.  Juga kisah-kisah para sahabah dan tokoh-tokoh agama.  Nescaya kita akan temui pada kisah-kisah mereka, betapa dunia ini bukanlah menjadi tujuan dan cita-cita mereka.  Sanggup dilepaskan pelbagai keseronokan, gelak-ketawa, hiburan, pangkat dan serba aneka nikmat dunia demi mengejar nikmat yang kekal abadi di negeri akhirat sana.  

Pengorbanan dan perjuangan agama menjadi agenda utama.  Jauh sekali kita.  Saya terutamanya…oh!

Saya berterima kasih kepada anak-anak saya yang telah menginsafkan saya.  Telah saya zahirkan kepada mereka betapa saya sangat menghargai kata-kata seperti itu.  Kadang-kadang perkataan anak-anak ini memang boleh membuka minda dan hati kita.  Bukan sekali, malah sudah berkali-kali hati saya diketuk oleh perkataan anak-anak saya.

Walaupun perkataan mereka ringkas, namun akal yang berfikir bisa menangkap makna yang mendalam dan merungkainya.  Seterusnya dapat memberi manfaat buat menambah kualiti iman yang turun dan naik sifatnya ini.

“…Syurga lagi BEST!”

Ya, saya akan ingat kata-kata ini dan akan selalu bisikkan dalam hati tatkala nafsu sedang memasang benderanya.  Mudah-mudahan dengan menyebutnya, nafsu menjadi longgar dan iman menjadi segar.

Continue...


Friday, April 13

Kamu Cepatlah Kahwin

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:33 PM 2 comments


Kamu Cepatlah Kahwin

Ungkapan gurauan ini selalunya dicipta untuk mewarnai suasana. Sebagai bahan usikan dan semata-mata. Tetapi malangnya, apabila tidak ramai yang sedar, bahawa ungkapan ringkas tersebut ibarat adakalanya tidak lebih daripada meletak garam ke luka bagi sebahagian teman atau sahabat kita.

Tidak ramai yang sanggup berterus terang tentang betapa ‘terdesaknya’ mereka untuk berkahwin dan mempunyai pasangan yang halal.
Meskipun mereka punya seribu satu sebab untuk merasa begitu, tetapi untuk menghuraikan sebab-sebab tersebut kepada orang lain, ia suatu perkara yang sukar. Bahkan kebanyakan mereka menyimpan beberapa kebimbangan, antaranya :
1> Mungkin orang bakal hilang rasa hormat kepada mereka, setelah mengetahui ‘dalaman’ mereka tidak sekuat ‘luaran’.
2> Mungkin juga orang akan memandang serong, dengan menganggap mereka ‘terdesak’ disebabkan nafsu semata-mata.
3> Boleh jadi juga mereka merasa suatu yang sia-sia jika memberitahu sebab-sebab itu kepada manusia-manusia yang tidak berada di tempat mereka, dan memang dijangka tidak akan memahami mereka.
Apapun, situasi ini memang ada.
Kadangkala, teman yang setiap hari menyimpul senyum di hadapan kita rupanya menyimpan murung di belakang kita. Sebabnya hanya satu. Resah menunggu hadirnya jodoh untuk mereka.
Lebih parah, jika orang-orang sekeliling seorang demi seorang ‘dijemput’ jodoh masing-masing. Berganda-gandalah parahnya jika setiap kali tiba musim cuti, terpaksa menghadiri kenduri kahwin kawan-kawan rapat dan menyaksikan betapa bahagianya mereka.
Begitu juga jika satu geng yang telah lama berkawan dari alam sekolah sehingga ke universiti. Tetapi sorang demi seorang berkahwin dan berbahagia dengan hidup masing-masing. Sedangkan dia, masih kekal sendirian.
APA YANG BOLEH KITA TOLONG?
Sebenarnya menyaksikan ‘senyuman’ di wajah teman kita yang berada dalam keadaan tersebut, jauh lebih sedih daripada melihat tangisan zahir mereka.
Berdepan dengan mereka, kita sebenarnya terbahagi kepada dua golongan. Pertama yang memang enggan ‘simpati’ jauh sekali mahu menolong. Mereka buat hal sendiri. Kedua, yang simpati, cuba memahami dan cuba menolong ( dengan syarat sama jantina! ).

Golongan pertama gurauan mereka mungkin pedas, atau ‘sengaja dipedaskan’ dan memang tidak memikirkan pun perasaan atau kondisi teman tersebut.
Adapun golongan kedua, mereka lebih lunak. Di samping cuba mencarikan calon, memperkenalkan dengan orang tertentu, mereka juga memberikan semangat dan motivasi.
Sudah tentu, saya sangat berharap kita menjadi golongan kedua. Memang benar, tiada apa yang kita boleh bantu.
Kita hanya mampu mengungkap kalam, tetapi kita bukan penentu takdir. Tetapi seboleh mungkin, kita mahu setiap daripada kita bergembira dengan takdir masing-masing. Kita tidak mahu setelah kita beroleh bahagia, kita membiarkan teman kita larut dalam air mata.
APA YANG MEREKA PERLU?
Cuba kita lihat kehidupan dengan kacamata yang lebih besar.
Allah tidak pernah berlaku zalim kepada manusia. Meskipun secara zahir, Dia tidak menjadikan semua orang kaya, bahkan ada juga yang miskin, namun di sebalik dua keadaan itu ada hikmah besar yang Allah tetapkan untuk manusia fikir.
Dalam bab zakat contohnya.
Ada ulamak menyebut, bahawa Allah ketika menciptakan manusia, Dia bahagikan rezeki sama rata. Kemudian diambil daripada satu puak dan ditambah ke atas puak yang lain. Maka lahirlah golongan kaya dan golongan miskin. Di tengah-tengahnya ada suruhan mengeluarkan zakat, di mana hakikatnya adalah ‘pemulangan’ semula hak puak pertama ke atas puak kedua. Allah mahu menilai, adakah si kaya hanya akan berpeluk tubuh atau akan membantu saudara mereka?
Kita juga begitu.
Allah tetapkan takdir kita masing-masing, dengan jodoh masing-masing. Cuma, mugkin jodoh serta kebahagiaan kita tiba lebih awal berbanding mereka. Mereka juga ada jodohnya, cuma masih teraba-raba dan tertunggu-tunggu.
Mereka kesedihan, kegundahan dan kerisauan.
Apa yang perlu kita buat hanyalah ‘mengikat’ mereka dengan sifat perhambaan dan keyakinan kepada takdir, supaya mereka tidak putus asa dan ‘lari’ daripada Allah. Zahirnya kelihatan mereka sedang diuji, sedangkan hakikatnya kita juga turut diuji.
Adakah ketika saudara kita itu bersedih, kita mahu memahami, mendokong, memberi motivasi, memberi semangat supaya tetap sabar dan teguh menunggu takdir, ataupun kita hanya memberikan perlekehan dan rasa sakit hati?
Kata mudahnya, kalau tidak mahu memberi madu, jangan pula memberi racun.
GURAUAN
Ada alasan yang kuat untuk anda berhati-hati dalam gurauan. Antaranya adalah, ia tidak menambah kekuatan walau sedikit pun kepada teman tersebut. Percayalah, temanmu yang berada dalam keadaan tersebut jiwanya jauh lebih rapuh dan sensitif, khususnya kaum hawa.

Ya, memang anda sedang bergurau. Boleh jadi kerana geram melihat dia murung, ‘jiwa kacau’, atau anda tidak tahu apa yang perlu diungkap bagi menceriakan suasana ( di mana anda berharap dia akan gembira dengan gurauan tersebut).

Berhati-hati, bukan bermakna tidak boleh bergurau. Tetapi lebih kepada bertindak bijak berdepan dengan sebahagian besar teman kita. Apatah lagi jika kita memang mengetahui keadaan mereka yang terdesak untuk berkahwin, atau memang sangat-sangat perlukan perkahwinan tetapi belum ada calon, belum dilamar, belum ada yang ‘nak’ dan sebagainya, maka sangatlah tidak bijak untuk mengungkapkan gurauan sedemikian.
Ingat, kita memang tidak mampu menyegerakan perkahwinan atau jodoh mereka walau seminit, tetapi kita masih mampu memberikan semangat kepada mereka, walaupun seminit.
Justeru, jadilah teman yang memahami. Ini bukan perkara main-main. Ini semua soal hati!


Continue...


Wednesday, April 11

Jangan Marah, Sabar

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 12:17 PM 0 comments



Bagaimana rasa kita bila mulut yang pernah kita suap tiba-tiba menggigit kita? Atau bila seorang yang lemah lembut kononnya datang hendak membantu kita  tetapi punya seribu satu rencana rahsia untuk menjatuhkan kita? Atau dia yang begitu memuji memuja bvila berhadapan mata tetapi menikam dengan belati umpatan dan celaan ketika di belakang kita? Atau kita  berdepan dengan “pelakon” handalan yang pandai sekali bermuka-muka tetapi penuh dengan strategi dan dendam untuk menghancurkan keperibadian atau karier kita? Jawabnya… JANGAN MARAH!
Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah yang paling baik – bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila memaafkan ’musuh-musuh’ kita. 

Menurut ajaran Islam kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya akan menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang – sepertimana molekul cecair atau gas apabila dipanaskan. Malah, ada kesan biologi yang negatif apabila kita marah – degupan jantung, aliran darah, retina mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa. Muka menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap… Benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam Ghazali apabila seseorang itu marah ” pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin!”
Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada sifat tabi’e manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru, marah itupun satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah semangat mempertahankan diri, keluarga bahkan agama. Ringkasnya, marah itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji bila sesuai pada tempat, sebab dan keadaannya.
Bila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah, Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, bila diri peribadi kita yang dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Bila agama dikeji, kita selamba. Bila diri dikeji, marah kita seakan menggila.
Bagaimana kita boleh menteladani Sayidina Ali r.a. yang masih mampu membezakan ’jenis’ marahnya di saat kritikal? Ketika dia diludah oleh musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayyidina Ali tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat jihad fisabilillah tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat personal.
Termasyhur kata-kata ahli rohani, jika diri dikeji… telitilah, muhasabahlah, apakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat? Jika benar dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai ’teguran’ daripada Allah melalui lidah manusia. Koreksi dan perbaikilah diri segera. Namun sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan? Bukan manusia yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut kepada orang yang mencerca!
Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk sewenang-wenaangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah, hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi sipengeji yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.
Jadikanlah kemarahan itu sebagai ’pekerja’ dan diri kita sebagai ’majikan’nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang bekerja untuknya. Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang dibenarkan-Nya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan batasnya…
Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan. Jangan terlalu kecil, hingga tindakan mu kelihatan ’mentah’. Jangan pula keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!

Continue...


Friday, April 6

Patah Hati.....

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 6:05 PM 0 comments




Sahabat cyber yang sering kutitipkan doa untuk mu.

Terima kasih kerana sering menghantar email dan bertukar-tukar fikiran. Terlalu banyak ruang diskusi antara kita di alam maya ini. Tidak sedikit ilmu yang aku perolehi dari mu justeru membantu ku untuk memahami golongan seusia mu.

Email mu kali ini sungguh meruntun hati dan nurani ku. Terasa sebak dan hingga aku hampir mengalirkan air mata ku. Bukan kerana simpati atas nasib mu. Tetapi kerana aku melihat tempoh 10 tahun atau mungkin 20 tahun akan datang. Apakah generasi yang bakal menjadi pemimpin kepada diri ku dan keluarga ku mampu mengungkai permasalahan sejagat dan membina keimanan di atas kemusnahan kemungkaran ?

Kerana …..

Terlalu ramai remaja Islam yang kuat sosok tubuhnya, yang segar dan bersih mindanya, yang cergas dan tangkas pergerakannya … tertewas hanya kerana CINTA ………….

Sahabat ku,

Aku sering berpesan kepada diri ku, bahawa ada empat perkara yang telah ALLAH tetapkan sejak azali atas makhluk ciptaannya. Keempat-empat perkara itu adalah :

a. Rezekinya

b. Jodohnya

c. Ajalnya

d. Mautnya
Tidak akan berlaku sesuatu ke atas manusia melainkan dengan izin ALLAH SWT. Sebagai manusia yang lemah, kita tidak tahu sebanyak manakah rezeki, siapakah jodoh kita, selama manakah kita bisa menhirup udara di dunia dan bilakah saat Izrail datang bertandang untuk menjemput kita kembali ke hadrat ALLAH SWT. Tugas kita sebagai makhluk yang lemah dan mengharapkan kasih sayang serta ampunan ALLAH, ialah berusaha sebaik mungkin berdasarkan sunnatullah. Sesungguhnya sunnatullah itu tidak akan berubah sebagaimana agungnya ALLAH bersifat dengan sifat qidam.

Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah, engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan sunnatullah itu. (Fathir: 43)
Sahabat Ku,

Andainya teman yang engkau ingin serahkan hati mu tidak engkau miliki. Bersabar dan redhalah. Kerana itulah qadha dan qadar dari ALLAH. ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-NYA.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedang ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedang ia buruk untuk kamu (Surah Al-Baqarah, :216)

Dan ketetapan dan ketentuan ALLAH itu adalah percaturan yang terbaik.

Dan DIA telah menciptakan segala sesuatu, dan DIA menetapkan ukurannya dengan serapi-rapinya” (Surah Al-Furqan : 2)


Oleh itu janganlah engkau berputus asa wahai sahabat ku. Kerana pintu rahmat ALLAH masih terbuka luas buat mu. Gunakanlah kesempatan yang ada buat menebus kesilapan yang telah berlaku.
Bersunguh-sungguhlah meraih perkara yang bermanfaat untuk mu, mohonlah pertolongan kepada ALLAH dan jangan berputus asa. Jika sesuatu menimpa mu janganlah engkau berkata, ‘jika dulu aku lakukan ini pasti terjadi begini atau begitu.’ Tetapi katakanlah, ALLAH sudah mentaqdirkan, dan apa yang ALLAH kehendaki pasti terjadi. Kerana perkataan ‘kalau’ membuka perbuatan syaitan..” (HR Muslim)
Sahabat ku,

Apakah kerana kegagalan mu memperoleh cinta seorang insan, maka engkau mahu berpaling dari jalan iman ? Bukankah kita sudah berjanji untuk menjadikan ALLAH sebagai matlamat hidup kita ?

Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu” (Surah Al-A’raaf ayat 172)
Wahai sahabat ku,

Hidup ini bukan untuk mencari dan mengejar cinta makhluk yang lemah. Sebaliknya adalah untuk kita mengejar dan meraih cinta ALLAH melalui pengabdian yang tulus ikhlas.

Firman ALLAH SWT : Tidak AKU jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri kepada KU. (Az Dzariyat : 56)

Inilah matlamat hidup kita di dunia. Andainya cinta hendak kau beri, berilah cinta mu kepada ALLAH, kerana ALLAH Yang Maha Pengasih itulah Sang Pencipta Cinta. Cinta dari NYA pasti berbalas dan tidak akan mengecewakan.

Wahai sahabat ku,

Lupakah engkau akan kisah Zaid Bin Datsima saat diseksa oleh kafir Quraisy ? Ketika Zaid bin Datsima ditawarkan pembebasan, dan nyawa Rasulullah SAW sebagai tukaran. Zaid berkata bahawa dia lebih rela membiarkan jasadnya hancur diseksa dari melihat Rasulullah SAW tercucuk sebatang duri. Begitulah nilai cinta para sahabat Rasulullah SAW kepada baginda SAW. Kerana mereka telah berjaya temui cinta yang hakiki.

Umar al Khatab berkata ”Ya, Rasulullah. Aku mencintaimu lebih dari segalanya, kecuali jiwaku,” Mendengar itu, Rasulullah SAW menjawab, ”Tak seorang pun di antara kamu beriman, sehingga aku lebih mereka cintai daripada jiwa mereka.” Umar lantas menyahut spontan ”Demi Dzat yang menurunkan kitab suci Al-Quran kepadamu, aku mencintaimu melebihi kecintaanku kepada jiwaku sendiri,”. Maka Rasulullah SAW pun menukas, ”Wahai Umar, kini kamu telah mendapatkan iman itu” (HR Bukhari).


Wahai sahabat ku,

Andainya engkau gagal meletakkan cinta mu, maka binasalah diri mu. Ingatlah pesanan ALLAH :

Katakanlah (wahai Muhammad), jika ayah-ayah mu, anak-anak mu, saudara-saudara mu, isteri-isteri mu, keluarga mu, harta kekayaan mu, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah yang kamu senangi, lebih kamu cintai dari pada ALLAH dan Rasul-NYA, dan dari berjihad di jalan-NYA, maka tunggulah sampai ALLAH mendatangkan keputusan-Nya. Dan ALLAH tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang fasik (At-Taubah: 24).
Kesedihan yang melanda diri mu saat engkau ditinggalkan oleh kekasih mu adalah bukti kebenaran Al Quran dan bukti kewujudan ALLAH. Kesilapan mu ialah meletakkan cinta mu kepada makhluk yang tidak dijamin kejayaannya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Maka sebab itu engkau berduka. Maka sebab itu engkau terhukum, kerana engkau mengkhianati zat yang amat mencintai mu yang rindu mendengar rintihan munajat mu.

Maka ubahlah destinasi cinta mu kepada ALLAH dan Rasulullah SAW. Itulah penawar yang bisa mengobati luka di hati mu. Teladanilah para sahabat Rasulullah SAW dalam meletakkan cinta. Kerana mereka sudah berjaya temui cinta yang mereka cari. Natijahnya, mereka tenggelam dalam kenikmatan cinta di dunia. Dan mereka temui Sang Pencipta Cinta di syurga NYA di akhirat.

Akhir kalam, ku sisipkan seungkai doa dari sabdaan Rasulullah SAW tercinta. Agar kita sama-sama melafazkannya dalam munajat kita. Agar cinta yang hakiki terlaksana dan membuahkan sakinah, saadah dan maghfirah ………….

"Ya Allah, kami memohon cinta-MU, dan cinta orang-orang yang mencintai-MU, dan cinta kepada amalan yang mendekatkan kami pada cinta-MU" (At-Tirmidzi) 
Continue...