Followers

Wednesday, December 21

Cerpen : Mencari Sinar Bahagia

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 8:12 PM 0 comments




Angin pagi menghembus lembut. Menyapa muka. Mengelus jiwa yang sedang gusar. Ada yang datang ke pantai kerana mengambil ketenangan pagi. Ada yang berjogging, ada yang beriadah bersama keluarga. Tak kurang juga ada nelayan yang baru pulang dari laut. Setelah semalaman menebar jala di lautan demi mencari sesuap nasi. Aku melihat dari jauh bot kecil membelah ombak yang menggulung. Merempuh ombak, teralun-alun.

Di satu sudut lain. Dari jauh kelihatan sesusuk tubuh sedang duduk bertelaku, sambil memeluk tubuh. Kesejukan mungkin. Aku hanya memandang dari sudut positif. Tidak mahu memandang dari sudut negative yang boleh membuatkan diri aku berburuk sangka dengan seseorang. Buruk sangka adalah perkara yang amat merbahayakan diri dan hati. Kerana dari perasaan buruk sangka akan seseorang akan membuatkan diri kita lebih menaruh kepada perasaan iri hati dan hasad dengki.

Arwah Tok Ayah pernah berpesan pada diri aku,

“ Ad, kalau rasa kita nak buruk sangka pada orang lain. Cuba kita renungkan. Kenapa kita nak buruk sangka pada orang lain? Sedangkan mereka berbaik sangka pada kita? Jangan jadi umpama batu, yang menutup lubang cacing Ad.”

“ Maksud Tok?”

“ Maksud Tok, batu tu telah menutup lubang cacing itu daripada keluar kerana mungkin ada bahaya yang menanti. Tapi, cacing tu telah buruk sangka pada batu kerana memikirkan batu itu tidak mahu cacing melihat matahari.”

“ Lagi satu, kalau Ad nak tahu. Perasaan buruk sangka ni boleh membawa kepada diri kita menjadi sifat hasad dengki. Imam Ghazali Ra berkata dalam kitabnya Siyarus Salikin: Ketahuilah bahawa hasad dengki itu juga terjadi daripada dendam kesumat dan dendam kesumat itu terjadi Ghadibah atau kemarahan.

Ghadibah itu pula terjadi daripada Kibr iaitu membesarkan diri. Semua itu maksiat yang batin iaitu di dalam hati”

Lamunan aku terhenti sebentar pabila aku di sapa dari belakang. Lembut suaranya. Aku termenung jauh rupanya melihat dan mendengar setiap alunan ombak. Alunan ombak yang membuatkan aku rindu. Rindu untuk berlari bersama-sama. Rindu untuk bermain lelayang bersama. Ah,,, itu semua kenangan yang bisa membuatkan aku menjadi bisu dan kelu. Kenangan yang membuatkan aku terpempan jauh ke lubuk hati. Aku kaget bila teringatkan kenangan lama. Hanya nasihat dan kata-kata yang boleh membuatkan aku bersemangat balik.

Di sinilah aku sematkan rasa cinta, rindu dan kasih pada seseorang. Di pantai inilah jua tempat aku meluahkan perasaan rindu dan kecewa. Di pantai ini jualah menjadi saksi luahan dan airmata aku. bertahun, berkalang noda. Bersaksikan pepasir, ombak dan batuan pantai. Aku lukiskan dan aku alunkan mengikut alunan ombak yang menghempas pantai.

Setiap alunan ombak ada namanya, setiap terjahan ombak ke batu penghadang ku dengar ada namanya. Mungkin alunan ombak ini akan aku tinggalkan buat sementara. Atau buat selamanya aku tinggalkan di sini.

Kelihatan camar terbang rendah mencari sesuap rezeki, mungkin untuk anak-anaknya. Mencari rezeki untuk keluarga. Terbang bebas di udara. Alangkan beruntungnya andai kita mencari seperti burung camar. Andai rindu, boleh terbang mencari tempat untuk merenung dan menyampaikan rindu. Andai sepi, boleh terbang bebas di udara tanpa halangan.

“ Assalamualaikum. Jauh menung akhi? Sampai ana datang pun akhi tak perasan. Fikirkan sapa la agaknyakan? fikirkan yang teristimewa atau pun fikirkan kesedihan mahu meninggalkan Malaysia bumi tercinta ni? sedih meninggalkan kenangan akhi bersama sahabat akhi?”

“ Wa’alaikumussalam. Owh, Fina. Sorang je ke? Tak lah. Mana ada jauh termenung. Ana teringatkan kenangan ana dengan arwah Tok Ayah. Cuma ye lah. Banyak kenangan ana dengan dia. Kenangan yang membuatkan kadang-kadang ana rasa nak menangis bila nak meninggalkan bumi Malaysia ini untuk menuju ke bumi anbiya’. Bumi Syam. Cuma yelah, kat sini tempat jatuh cinta ana dengan Tok Ayah. Kat pantai ni jualah tempat perkenalan ana dengan Tok Ayah. Dia bukan Atok ana, Cuma dia bertakhta di hati ana. Di sini juga ana ada coretkan dan luahkan pelbagai masalah ana. Rasa, bila nak pergi. Ana rasa sedih. Cinta ana, rindu ana, semuanya ada di sini. Bukan sahaja dengan Tok Ayah. Dengan seseorang yang membuatkan ana terpelanting ke satu daerah yang lain. Ada apa semalam sms nak jumpa ana? Katanya ada masalah besar?”

“ Hehe, sabarlah. Mungkin ada hikmah yang kita sendiri pun tak tahukan? Yerlah. Kita ni hanya manusia. Kita ni pun hamba. Akhi pun pernah menulis dan berkata. “ Dunia ini hanyalah sebuah pentas yang mana, ia hanya mengalunkan irama sedih, irama indah, irama campur baur. Kita kadang-kadang tersentuh dengan irama sedih. Maka rentak tarian kita adalah sedih. Andai irama yang di alunkan itu indah, maka dalam hidup kita ini semuanya indah. Tapi, lagi best kalau irama itu bercampur baur, baru ada rasa macam pelangi.” Apalah akhi ni. akhi yang tulis pun akhi lupa ke? taklah, ana ada dengan kawan. Kawan ana yang nak jumpa akhi. Yerlah, sebelum akhi berlepas ke Syria. Dia ada masalah. Boleh tahan jugalah masakah dia. Masalah besar. Macam sebuah negara yang sedang berperang. Masalah konflik diri. Macam akhi. Hehehe…”

“ Kenapa pula ana? Ishk dia ni.. apa lah, ana tiada konflik diri tau. Kalau konflik dalam diri tu nama orang kurang siuman. Dia masih tercari-cari lagi identity dalam dirinya. Kang ana cakap perihal doktor punya pendapat. Makin panjang lebar pula nanti. Mana orangnya?”

“ Hehe, ana gurau jelah akhi. Takkan gurau dengan sahabat ana dari kecil ni, tak boleh kot? Dah mula merengus ke perangai? Tu ha, yang tengah peluk tubuh kat tepi pantai tu. Dah lama dah kitorang sampai. Pukul 7 pagi lagi dah sampai kat sini. Tu yang macam patung dah ana tengok dia.” Rajin pula Fina menerangkan dengan panjang lebar. Umpama siaran berita yang tanpa sekatan. Semuanya di laporkan tanpa ada banyak tanya.

“ Hmmm… ukhti ajaklah dia ke gerai sana. Sana kita sarapan. Ada ramai orang. Ana belanja.”

“ Orait boss.. perintah di junjung.” Fina berlari-lari anak mendapatkan sahabatnya. Macam keanak-anakan perangai Fina. Usia yang menginjak ke 26 tahun. Tiada siapa yang sangka andai di lihat dari perwatakan.

Dari gaya dan perwatakan sahabat Fina, aku dah boleh berkira-kira yang dia merupakan seorang yang sedang mencari erti kebahagiaan dalam hidup. Sebenarnya kita tidak mengetahui apa itu erti kebahagiaan. Adakalanya jiwa ini masih mengeluh kerana musibah yang menimpa. Padahal ada jalan keluar yang amat mudah semudah membuka ikatan tali yang tidak kusut ikatannya.

“ Assalamualaikum akhi. Boleh panggil ana Zu. Nama ringkas ana. Nama penuh ana, ana rasa tidak perlu akhi tau kot.. sekadar bertemu untuk meminta pendapat. Ana rasa akhi tidak perlu tahu nama ana. Cukuplah sekadar Zu.”

“ Wa’alaikumussalam. Okey. Ana faham. Orderlah air. Kat sini makanan sarapan sedap-sedap. Ana makanan paling suka. Roti canai. Bila ana lihat, macam mana dia tebar. Macam mana dia uli tepung. Semuanya memerlukan kepakaran. Dari tepung yang besar menjadi tepung yang nipis lalu menjadi lembut.”

Zu hanya tersenyum kelat. Dari riak mukanya, nampak benar dia dalam masalah yang cukup berat mungkin. Aku hanya membiarkan dia yang membuka ceritanya sendiri. Malas nak di usik hal orang. Elakkkan menjadi prasangka.

“ Sebenarnya akhi. Ana rasa… entah, berat je rasanya diri ini nak teruskan kehidupan. Bila ana fikirkan balik, ana cakap macam ni, dah satu kesalahan dan dosa untuk ana. Tapi, ana sendiri tidak mampu untuk tampung derita dalam diri ana. Ana rasa sengsara. Memang ramai yang nasihatkan ana, cuba buka kisah Rasululllah. Buka kisah para sahabat. Tapi, kenapa ana tak dapat nak hayati? Apa makna bahagia? Kenapa orang lain bahagia hidupnya, ana tidak? Keluarga orang lain penuh dengan kebahgaiaan. Tapi ana tidak?”

“ Maksud ukhtie? Boleh ukhtie jelaskan pada ana, apa itu makna bahagia. Apa itu jalan bahagia. Tapi bukan lagu Hijjaz ye? Jalan bahagia.” Sempat lagi aku berseloroh sambil, aku inginkan penjelasan yang lebih lanjut. Apa yang dia faham mengenai hakikat bahagia.

“ Rata-rata orang tahu akhie apa maksud bahagia. Bahagia merupakan perkara yang sinonim dengan jiwa. Sinonim dengan perilaku manusia dan peradaban. Dari zaman tamadun awal, bahagia telah di bicarakan menjadi satu topik dan isu yang membawa kepada kemakmuran sesebuah kerajaan dan empayar. Ini kerajaan dan empayar akhie. Yang luas. Yang besar. Tapi, ana? Hanya ada sekeping hati. Sebuah keluarga. Tapi, keluarga ana? Hancur akhie. Ayah ana, dah bercerai dengan mak ana. Ana? Hampir jadi mangsa rogol abang ana. Kemana perginya hakikat bahagia dalam keluarga ana? Mak ana? Entah kemana menghilang selepas bercerai. Ramai yang mengatakan mari membina keluarga sakinah. Tapi, apa makna keluarga sakinah akhie? Andai ana sendiri tidak mampu mengecapi rasa dan nikmat apa itu keluarga sakinah? Ana kadang-kadang mampir jadi gila akhie. Kenapa ana begini, kenapa pula orang lain begitu? Kenapa ana tidak sahaja lahir ke dunia…” zu mengeluh dalam. Tampak berat di dalam hatinya. Aku kaget mencari punca. Mencari sebentar rentak tarian dia. Tarian yang penuh dengan perasaan sedih dan benci yang amat mendalam. Andai tidak di ubati boleh menjadi satu derita yang berpanjangan.

“ Sebenarnya, ana simpati dengan nasib yang melanda diri ukhtie. Cuma yang ana boleh berpesan. Sabarlah. Di hujung jalan ada cahaya yang boleh menerangi ukhtie.  Bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah akan mengiringi kesusahan dengan kemudahan. Ana doakan, mudah-mudahan kesusahan itu akan terlenyap dengan segera. Ana rasa bersyukur sebab dapat berjumpa orang macam ukhtie. Nak tau kenapa? Walaupun ukhtie kurang didikan dan kasih sayang. Kini, uktie telah berjaya. Berjaya menjadi seorang muslimah. Bertudung labuh. Berjubah. Ini memang ana puji uktie. Walaupun dalam keadaan yang penuh tekanan. Tapi ukhtie masih lagi menjadi seorang muslimah dan mukminah. Sebenarnya ana, nak cakap panjang pun takut silap di mata ukhtie. Kebahagiaan itu ada di dalam diri ukhtie sebenarnya. Dia ada sentiasa di sisi ukhtie. Sering bersama-sama ukhtie. Kerana itu, hendaklah ukhtie memperbaiki diri sendiri.”

Fina dari tadi sibuk menulis apa yang aku cakapkan. Umpama seorang guru berkata kepada anak muridnya. Aku suka dengan cara dia. Di mana-mana ada buku kecil sebagai catatan apa sahaja ilmu baru yang dia jumpa.

“ sesungguhnya Allah telah memberikan kita sebuah kecukupan kepada kita. Kepada kita pada hari ini, kecukupan kita pada hari esok, kecukupan kita pada kelmarin. Tiap-tiap hari hanya Allah yang memberikan kita kecukupan. Ana nak ceritakan satu kisah yang telah di riwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim. Kisah mengenai seorang wanita calon penghuni syurga. Bahawa Atha Ibnu Abi Rabah ra meriwayatkan : Ibnu Abbas ra berkata kepada ku : “ Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu seorang wanita penghuni syurga?” aku menjawab : “ Mahu”  ibnu Abbas  berkata: “ Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah kemudian berkata : Sesungguhnya penyakit yang yang aku derita ini sering menyebabkan auratku terbuka. Maka berdoalah kepada Allah untuk kesembuhanku .
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“ Jika engkau mahu bersabarlah engkau, engkau akan memperolehi syurga. Tetapi jika engkau mahu sembuh, aku akan berdoa agar Allah menyembuhkan penyakitmu”

Lalu wanita itu menjawab : ‘ aku memilih untuk bersabar, tetapi auratku sering tersingkap tanpa aku sedari. Maka berdoalah kepada Allah supaya aurat aku tidak berdemikian.’ Lalu baginda mendoakannya supaya auratnya tidak tersingkap.”

Panjang lebar aku menjelaskan. Ada butir-butir mutiara yang jatuh dari pipi Zu. Aku sayu melihat seorang menangis. Aku tidak mampu melihat orang menangis. Yang aku mampu hanya memberikan tisu sebagai lap airmata yang jatuh ke pipi.

‘ Tapi, akhie, wanita itu adalah seorang wanita mu’minah lagi bertaqwa pada Allah. Dia redha dengan ujian dengan apa yang Allah telah berikan ujian pada dirinya. Tapi ana? Ana tidak redha. Ana sering mengeluh. Ana sering marah-marah akan takdir ana. Ana lain akhie. Ana di university di gelar gila. Kerana ana tertekan akhie. Ana tiada ruang untuk bercerita. Kadang-kadang ana bercerita pada dinding. Pada kucing. Ana tak gila.’ Tersedu-sedan Zu menangis.

Aku hanya terkedu. Tidak tahu nak buat apa. Nak di usap, bukan mahram bagi diriku. Aku hanya memberi isyarat mata kepada Fina supaya menenangkan perasaan gundah sahabatnya.

Sedih tadi aku belum hilang. Kini, aku kena menyelami sedih seorang insane fakir yang tiada ayah dan ibu untuk meluahkan perasaan. Kini, hanya aku menjadi seorang motivator kepada dirinya.

          ‘ Tak pe, ukhtie. Semuanya telah Allah rancangkan. Allah merancang amat baik untuk diri kita. Cuma kadang-kadang, yerlah. Kita sendiri tidak perasan, kenapa perancangan yang telah Allah berikan itu cukup teliti. Memang mengeluh tidak elok. Tapi, bagi ana. Lebih baik kita mengeluh, tapi jangan sampai kita mengeluh kerana menyalahkan takdir yang telah di tetapkan. Ana Cuma boleh cakap, ukhtie berhentilah daripada merasa gelisah, bersabarlah, hadapilah kenyataan hidup dengan tabah. Itu ha, makanan yang uktie ngan Fina order dah sampai. Makanlah dulu. Tak elok menangis depan rezeki. Ana dah lapar ni. Sambil tu boleh ana tanya?’

Zu hanya mengangguk. Memberikan isyarat setuju.

‘ Zu belajar lagi? Belajar kat mana? Ambil jurusan apa? Anak ke tiga ya dari adik beradik?’ aku cuba berteka-teki dengan Zu. Nak ambil tahu kisah hidup dia.

‘ Zu belajar lagi. Belajar di USIM. Ambil usuluddin. Mana akhie tahu ana anak ke tiga? Ye, ana anak ketiga dari empat orang adik beradik. Adik bongsu ana, ikut mak ana. Entah lama tidak dengar khabar berita.’

          Setelah habis makan. Aku menyambung lagi sedikit pandangan yang boleh aku berikan. Pandangan mengenai mintalah pertolongan pada Allah.

          ‘ Zu, sebenarnya. Ana dah alami hidup macam Zu. Keluarga yang porak peranda. Tiada kasih sayang. Ayah ana bergaduh sentiasa dengan ibu ana. Hari-hari bercakaran. Dari siang sampai ke malam. Sampai ana rasa di mana kebahagiaan diri ana? Di mana kebahagiaan keluarga ana? Ana sama macam ukhtie. Bila melihat keluarga lain akan merasakan. Kenapa keluarga lain bahagia? Keluarga aku tidak? Dalam hati ana selalu mencari jawapan. Ana kena pukul dengan ayah atas kesalahan kecil. Ana kena jemur di hujan lebat kerana bukan salah ana. Masa tu ana kecil lagi. Lepas tekanan dengan merokok, dengan menjadi budak motor. Ana lelaki. Ana tidak peduli orang nak cakap, ana rosak ke, budak rempit ke. apa yang ana peduli sekarang. Kehidupan ana bebas. Yerlah, tu kisah dulu ana. Sebelum ana jumpa jalan keluar dari masalah. Sekarang, ana cuma mahukan yang terbaik dalam hidup ana. Ana dah buang semuanya. Ana cuma fikirkan. Bahagia itu ada di sisi kita. Kita sibuk mencari di mana kebahagiaan itu. Tapi, sebenarnya kita tidak sedar. Bahagia itu ada di sisi kita. Selalu berada di sisi kita. Cuma kita je yang kena ubah cara hidup kita.’

          ‘ Ana sekarang cuma teringat akan kata-kata dari Ibnu Jauzi : ‘ suatu urusan menghimpitku sehingga membuatku cemas dan gelisah berpanjangan. Aku terus berfikir mencari jalan penyelsaian dari kecelaruan itu dan melakukan macam-macam cara dan usaha untuk menguraikan kegelisahan ini. Tetapi, aku tidak menemui satu penyelasain pun untuk keluar daripadanya, hingga aku menemui sepotong ayat yang menawarkan kepadaku, ayat itu berbunyi yang bermaksud :

          ‘ Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya.’ ( Surah a-Thalaq : 2)

          ‘ Ukhtie nak tahu? Setelah ana terjumpa ayat ni, ana rasa terpukul. Ana selama ni tidak bertaqwa kepada Allah. Patutlah Allah tidak mengeluarkan ana dari kemelut masalah. Ana masih lagi terperuk dalam busung lama. Busuk. Bila ana fikirkan balik lagi satu masalah, sebenarnya kesedihan, kekeruhan adalah satu balasan untuk diri ana. Sebab ana solat sambil lewa, ana buat ibadah sambil lewa. Semuanya sambil lewa. Ana buat semua ambil mudah.’

          ‘ Kalau begitu, kiranya. Ana salah cara? Ana jauh dari Allah?’

          ‘ Ya, ukhtie memang jauh dari Allah. Kalau kita dengan Allah rapat. insyaAllah, segala masalah yang kita hadapi akan rasa tenang je. Cubalah. Dekatkan diri kita dengan Allah. Bermujahadahlah.’

          Aku teringat akan pesanan dari arwah Tok Ayah. Bila diri kita menjauh dari Allah. Kita tidak akan mendapat manfaat yang banyak untuk diri kita. Malahan, manfaat yang sedikit itu kalau kita tidak hargai ia ibarat debu yang berterbangan. Menjadi sisa-sisa kehidupan yang terbang di bawa angin.

          Tiada pengharapan yang besar aku harapkan dari pertemuan enam mata antara aku, Zu dan Fina melainkan perasaan ingin menyelasaikan masalah yang di hadapi oleh Zu. Zu sama sahaja macam aku. Cuma dia lebih ekstrim kerana ibunya telah menghilangkan diri sebaik bercerai. Aku lebih baik sedikit darinya kerana ibu bapaku masih lagi merujuk. Tapi, aku tetap mencari bahagia di luar rumah.

          Tiada banyak beza antara aku dengan Zu. Yang membezakan adalah cara penyelesaian masalah yang di berikan. Aku menghembus nafas berat. Melihat matahari yang tegak di kepala. Membuatkan aku makin kepanasan. Rimas.

          ‘ Hidup ini adalah bertujuan untuk mencari redha Allah. Tidak kira di mana kita berada. Samaada di daratan, di lautan, di udara. Semuanya apa yang kita lakukan adalah perlu mencari redha Allah. Orang yang beriman, rasa bahagia dengan redha Allah. Apabila di uji, dia tidak gelisah. ‘

          ‘ Ok ana nak tanya pada antum. Termasuk Fina sekali. Kalau di sini saya ada buah rambutan. Dan rambutan itu saya berikan pada kamu apabila telah di cecah dengan sambal dan kicap. Apa rasanya rambutan itu?’ Kelihatan Fina menutup mulut menahan ketawa membayangkan rambutan di cecah dengan sambal dan kicap.

          ‘ Akhie ni, mana ada orang buat. Rambutan di cecah macam tu. Mestilah tak sedap.’

          ‘ Ok sekarang bayangkan pula, kepalanya kerbau, badannya manusia, kakinya monyet, ada tanduk kambing, kakinya cicak, apa jadi pada makhluk itu?’ Fina dan Zu terhambur ketawa.

          ‘ Tentu hilang kesempurnaannya sebagai mahkhluk. Ye tak? Samalah juga dengan hidup kita. Hidup kita kenalah beragama. Hidup kita ni aruslah berlandaskan al-quran dan as-sunnah. Barulah hati kita rasa lapang. Sabda Rasulullah:

‘ Aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang tidak akan sesat jika kamu berpegang teguh pada kedua-duanya iaitu al-quran dan as-sunahku’

          ‘ Apa pun urusan kita. Kita ikatlah ia dengan Allah. Samada kita dalam kesusahan, ataupun kesenangan. Kita dekatkanlah kembali pada Allah. Tuhan Sekalian alam. Saya ni pun perlu berfikir berkali-kali untuk menasihati dengan berhikmah supaya tiada hati yang terguris. Cuma, yerlah. Kandang-kadang kita jauh dari Allah, bila dah ada masalah, baru nak cari Allah mencari ketenangan. Tu yang nanti bila hati tak tenang. Rasa kita nak salahkan Allah sentiasa.’

          Aku ada perasan, riak wajah Zu berubah menjadi ceria. Aku tidak mahu panjang lebar bila bercakap. Tapi, kali ni aku telah terpanjang lebar memberi nasihat dan dorongan. Aku mengerling jam. Sudah menunjukkan ke jam 1.30 petang. Sudah masuk waktu Zohor.

          ‘ ok lah, ana pun nak minta diri dulu ni. ana dah bayar semuanya. Jangan risau ok? Zu… pesan saya terakhir, dekatkanlah diri dengan Allah, insyaAllah. Ketenangan dan kebahagiaan yang ukhtie cari tu ada. Ada di sini….’ Aku mengakhiri perbualan dengan menunjukkan ke arah dada.
Continue...


Thursday, December 8

Cerpen : Travelog Hati Mencari Cinta

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:02 PM 0 comments






Aku akui,
Aku terlalu memilih dalam bab pemilihan isteri,
Tapi,
Aku memilih atas dasar iman,
Atas dasar yang di namakan seorang hamba,


Kita hendak bersama-sama membina mahligai yang indah,
Kita impikan bersama menuju ke arah husnul khatimah,
Yang membawa kepada kebaikan,
Dalam mencari satu cinta dan cahaya,
Aku harapkan sinaran
Ilahi punya sinaran,
Sinaran di atas satu sandaran.


Aku sedar,
Aku perlu menjaga hati,
Aku perlu menjaga dua hati,
Dua hati yang Allah berikan untuk hamba-Nya,
Dua hati yang bila di satukan akan menjadi tiga bahagian,
Aku perlu menjaga ke tiga-tiga bahagian itu,
Satu untuk aku suamimu,
Satu untuk dirimu zaujahku,
Satu lagi untuk Allah pemberi cinta di hati


Duhai bakal zaujahku,


Aku bukan seperti Saidina Ali r.a yang mempunyai akhlak yang cukup indah,
Yang boleh menawan hati baginda Rasul,
Yang menjadi suami kepada Fatimah Az-Zahra,
Yang menjadi bapa kepada keturunan baginda yang mulia.


Aku juga bukan seperti Luqman Al-Hakim,
Yang mampu memberi didikan pada anak-anaknya,
Sehinggakan namanya tercoret dalam salah satu lembaran cinta kita,
114 lembaran cinta ada tercoret satu nama,
Surah Luqman.


Aku juga bukan seperti Sultan Iskandar Zulkarnain yang agung yang menawan dua bahagian,
Yang menyatukan dua lembayung di bawah satu pemerintahan,
Yang menyatukan dua daerah hati timur dan barat,
Ke dalam satu daerah cinta,
Yang di kisahkan oleh pemikir dan ilmuwan Islam,
Yang di kaitkan dengan pemerintahan zaman lama,


Aku juga bukan seperti Ibrahim yang mencari cahaya,
Bila di lihat bulan, bila di lihat bintang, di lihat pula kepada mentari,
Ibrahim menemui satu kisah,
Menemui satu hikmah yang memberi Ibrahim satu cinta,
Kisah cinta Ibrahim ada di dalam 114 lembaran surat cinta Dia.
Tapi aku hanya insan kerdil,
Yang baru bertatih untuk menapak di dunia persekolahan yang cukup luas,
Aku hanya seorang hamba yang hanya mampu bersandarkan cintaku pada-Nya,
Bukan aku tidak memerlukan seorang wanita di sisi,
Bukan aku tidak memerlukan seorang penyeri di hati,
Bukan aku tidak memerlukan semua itu.
Aku ingin menjadi seperti mereka,
Aku perlukan semua itu,
Tapi aku tidak terkata,
Mulut terkunci,
Kelu,
Lidah tidak mengalunkan kata,
Aku tidak mahu mengungkapkan aku cinta,
Aku tidak mahu mengungkapkan aku melamar mu,
Setiap yang kita rancang hanya dalam pengetahuan Dia yang Maha Agung.


Tapi buat dirimu duhai muslimah,
Andainya di kau bersabar,
Andainya di kau redha dengan ketentuan-Nya,
Andainya di kau memahami pemikiran aku,
Aku rasa kita tidak akan lari dari mengejar cinta.


Dulu pernah aku nyatakan pada dirimu,
Biarlah kita membina perkenalan ini atas dasar iman,
Atas dasar taqwa,
Supaya kita di jauhkan dari perasaan hati,


Tapi kini,
Kita dah jauh dari landasan,
Aku mahu kita kembali kepada Ilahi.
Pemberi cinta sejati.


Kenapa aku sering katakan,
Istiharakh itu penting,
Istiharakh itu perlu,


Tapi atas dasar apa?
Atas dasar satu rasa,
Rasa cinta dan tawajuh hanya pada Dia.
Kenapa istiharakh?
Istiharakh dalam memburu satu cinta,
Bukan istiharkah siapakah suamimu!
Tetapi istiharakh siapakah yang bakal membawa kita kepada satu daerah cinta,
Daerah cinta yang lagi manis,
Daerah cinta yang lagi Allah redha,


Duhai dirimu,
Aku terkelu masa kau mengungkapkan,
Nak walimah tahun depan,
Kaget,


Bermacam persoalan bermain di minda,
Tunang atau walimah?
Walimah atau tunang?
Di mana pendirian mu duhai mujahidah?
Di mana asas imanmu duhai mujahidah?
Di mana di kau campakkan rasa ikhwahmu?
Di mana dirimu tatkala diri mu menyatakan tentang cinta?
-Terasing sendiri melihat denai-denai kehidupan-
-Abdullah Imran-
22 September 2011
24 Syawal


Lagu Irfan Makki- mabrouk mematahkan mainan perasaan aku. Aku mencari telefon bimbitku lalu ku capai. Aku lihat ada pesanan ringkas yang aku terima. Pesanan dari Amin Alias yang ingin berjumpa dengan aku. kawan sehalaqah dengan aku.


Aku menyarung baju sejuk dan mencapai kunci kereta lalu menuju ke tempat yang di janjikan. Di Pantai Minyak Beku Batu Pahat. Aku mencari-cari bayang dirinya.
Banyak perbualan yang aku akan bualkan dengan dia.


“ Ad, aku belanja kau sarapan hari ni. ermmm… kau jadi ke nak pergi Syria? Kan tengah bergolak kat sana. Kau tak takut? Kena tembak ke? berlaku rusuhan ke?”


“ InysaAllah. Kau doakan aku. aku perlukan doa sahabat aku.”


“ Habis Ad, kau nak jadi macam Harun ke?”


‘ Maksud kau? Apa dia? Jadi macam Harun yang macam mana? Jadi orang arab?”
Nama Sheikh Harun mengingatkan aku kembali. Selepas tamat pengajian di Kolej Islam Melaka dalam Ilmu Fiqh, Harun berlepas ke Yaman. Hampir dua tahun dia mengaji di sana bersama Habib Umar Al-Hafiz.


“ Bukanlah macam tu maksud aku. maksud aku, kau nak jadi macam Harun ke tak balik sini? Lama dah Harun tak balik. Facebook dia pun jarang dia online. Aku nak tanya khabar pun kadang-kadang tak sempat. Kau ni pun satu, kau mana boleh jadi orang arab. Kau dah berdarah Melayu. Keturunan Melayu. Mak kau pun aku kenal. Ayah kau pun dulu aku kenal. Kan mak kau cikgu aku. lainlah Harun, dia tu memang dah orang arab. Keturunan bajrai. Keturunan Habib Ali.” Ada riak sedih di wajah sahabat aku. aku sayu bila keadaan macam ni. paling aku tidak suka berpisah dengan sahabat-sahabat karib aku.


“ Taklah Min, mana ada. insyaAllah, kalau ada masa aku balik ke Malaysia. Kan Malaysia ni tanah air aku. batu Pahat ni, macam-macam yang ada dalam kepala aku. kau ni pun, macam pisah dengan makwe je sedih macam ni. kau ni dah walimah, ada isteri, kau patut lebih utamakan keluarga kau dari aku.” aku ingin kembali membujuk hati sahabat.


“ Keluarga dengan sahabat berbeza Ad, kau ngan aku. dah lama kita kawan. Kau kadang-kadang memberi aku galakan dan motivasi. Kau suka dengar masalah aku. kau suka memberi motivasi kat aku. sampai kadang-kadang masalah yang aku tidak dapat selesaikan kau dapat tolong aku selesaikan.”


“ InsyaAllah Min. kau masih ada lagi sahabat yang boleh mendengar. Sahabat yang setia dengan kita. Macam Amsyar, Ameer. Diorang tu pun boleh memberi pandangan yang berguna untuk kau.”


“ tapi, Ad. Kan kat sini ada macam-macam tempat belajar. Macam kat Kelantan, kan ada pondok. Kau boleh pergi situ? Hujung bulan boleh kau balik Batu Pahat? Dah lah keluarga kau dah berhijrah ke tempat lain. Kini, kau pun nak pergi jauh? Lagi jauh dari keluarga kau? Kau tak sedih nak tinggalkan kenangan kau di sini? Kenangan kau dengan Fasha?”
Fasha, panggilan dari kawan-kawan dia. Tapi pemilik nama Siti Fashareena Asikin yang menuntut di Universiti Utara Malaysia memang selalu bermain di ingatan dan memori. Dialah yang memperkenalkan aku kepada cinta yang tidak boleh duduk dekat-dekat. Dialah jua yang memperkenalkan kepada aku cinta yang tidak boleh selalu berhubung melainkan atas urusan penting. Kadang-kadang masa aku dengar lagu Suhaimi Meor Hassan dan Ana Raffali kalau berpacaran memang terkena kat batang hidung aku.


“ Alah Min, kalau kita ingat saja kenangan kita. Sampai ke mana kita tak boleh kembangakan minda kita. Aku tau Min, bukan senang kita nak lupakan kenangan manis. Tapi, kenangan manis tu lah yang membuatkan aku sentiasa menjadi ingin lebih baik. Kenangan pahit yang aku ada. Aku buat sebagai tempelan mana yang koyak.” Aku mengusap lembut bahu dia. Aku mula rasa sebak di dada. Tak dapat menipu perasaan hati. 


“ Habis macam mana dengan cadangan kau yang kata kau nak bertunang? Kau nak tinggalkan tunang kau selepas kau bertunang? Berpisah jauh?”


“ Taklah Min. aku dah tak jadi nak tunang. Wanita pilihan aku, dah ada pilihan hati dia. Penuntut di Mesir dalam jurusan perubatan. Sama tempat dengan sepupu aku. sepupu aku pun kenal lelaki tu. Lagi baik dari aku. lagi soleh dari aku.”


Amin terdiam melihat aku. macam tidak percaya dengan kata-kata yang aku keluarkan.


“ Kenapa kau pandang aku macam tu?”


“ Kau tabah Ad. Aku tak macam kau. Walaupun kita selalu pergi usrah bersama. Tapi kau 
lagi tabah dari aku. aku nak jadi Syabab macam kau. Syabab yang tabah dalam ujian yang Allah berikan pada kita. Syabab yang tabah untuk mendidik anak-anak dengan didikan Islam. Tapi, aku perlukan kekuatan dari sahabat aku. Kau Ad. Kau sahabat aku yang selalu memberi aku kekuatan hati dan jiwa. Habis barang-barang hantaran kau semua? Barang-barang persediaan kau semua macam mana? Membazir gitu je lah? ”


“ Tabah? Aku harap aku senantiasa tabah dan kuat Min. Cuma kau tidak pernah nampak aku menangis. Kau pun tak pernah nampak aku merintih. Semuanya aku serahkan pada Allah. Kau nak tau kenapa? Sebab Allah yang memberikan kita setitik perasaan. Perasaan sayang yang cukup subjektif dalam diri kita. Perasaan rindu yang mana kita je yang tau kita sedang merindui. Perasaan sedih yang hanya kita sahaja yang mengetahui bagaimana perasaan derita. Tapi macam mana aku boleh kuat dan tabah? Macam mana aku boleh harungi semua ini dengan senyuman? Aku kembalikan semuanya kepada Ilahi Tuhan sekalian alam. Dia yang mencipta perasaan itu, Dia juga yang memberi kita perasaan itu. Dan aku hanya meminjam. Dan sebagai peminjam, aku perlu memulangkan kembali pada Dia. Dia yang Maha Pemberi dan Dia jugalah Yang Layak Menerima. Bila aku rindu. Aku selalu ingat pada kata-kata arwah tok aku. letakkan batu asas rindu kita tu pada yang Haq, supaya kita tidak tersesat jalan.”


“InsyaAllah. Sebenarnya kau tak perlukan aku dalam hidup kau. Kau Cuma perlukan Allah dalam diri kau. Andai kau selalu bersama Allah. Andai kau selalu bangun malam. Andai kau selalu basahkan lidah mu dengan zikrullah. Kau akan dapat kekuatan yang tidak di duga. Lahir dari jiwa kau yang ikhlas lagi baik dari lahir tanpa rasa setitik keikhlasan dalam hati.Aku doakan kau di kurniakan ketabahan dalam hati. insyaAllah, ada jodoh aku, aku jumpa. Allah pun suka hambaNya berusaha dahulukan? Baru berserah dan bertawakal kepada Allah. Taklah Min, barang-barang tu semua aku bagi kat adik aku. adik aku lagi memerlukan dari aku.” aku tersenyum sambil menghirup udara pagi di pantai.


“ Min, sebenarnya, kau ada masalah yang kau nak ceritakan pada aku? dari riak mata kau. Aku tengok kau. Penuh dengan kesedihan. Kenapa? Ada masalah lagi dengan keluarga kau?” aku mencongak apa yang bermain di fikiran sahabat sefikrah dengan aku di kala ini.


“ Entahlah. Aku nak cakap pun tak tau nak ceritakan. Aku sendiri tak tahu, yang mana hujung. Yang mana pangkalnya. Yang mana hulu. Yang mana hilirnya.” Ada keluhan berat di dalam helaan nafasnya.


“ Kau ni, cuba ingat Allah. Lepas tu kau cerita pada aku perlahan-lahan. Sebelum aku pergi. Mana tau aku boleh tolong. Mana yang mampu aku tolong. insyaAllah, aku akan bantu. Mana yang tidak dapat aku tolong. Aku doakan supaya kau di berikan kekuatan hati dan jiwa. Moga Allah bersama kau sahabat.”


Hujan yang turun sedari semalam tidak menunjukkan sebarang tanda akan berhenti. Andai dua, tiga hari hujan masih lagi turun sebegini, alamatnya banjir akan melanda. Kerajaan negeri telah sibuk menubuhkan pusat pemindahan banjir di kampung. Hati aku gusar melihat paras air sungai semakin meningkat naik. Masing-masing berpusu-pusu ingin mengemas barang dan membeli keperluan semasa banjir. Tidak tertinggal aku sekali. Tapi, kaki aku berasa berat untuk melangkah. Aku hanya mengemas baran-barang dokumen penting untuk di selamatkan. Dan di letakkan di tempat tinggi.


Hati aku masih lagi berat apabila mendapat panggilan ke bumi anbiya’. Bumi Syam. Bumi yang penuh dengan sirah nabi dan para sahabat. Bukan aku tidak mahu , tapi hati aku lebih berat kepada Madinah, di situ ada jasad Rasulullah. Kekasih yang ku rindui. Lain yang aku mohon, lain yang aku dapat. Mungkin ada hikmah Allah letakkan aku di bumi Syam. Syam yang sekarang di kenali sebagai Syria sedang bergolak dengan pemberontakan rakyatnya yang mahukan perubahan.


Aku masih lagi teringat akan kata-kata arwah Tok Ayah.


“ Ad, andai kau rindukan atok. Atau kau rindukan sesiapa sahaja yang berada di dalam hati kau. Cuba kau main layang-layang.”


“ kenapa tok dengan layang-layang? Apa kaitan layang-layang dengan perasaan rindu kita tok?” aku tergaru-garu kepala yang tidak berapa gatal.


“ kalau ad main layang-layang. Ad cuba anggap layang-layang tu sebagai perasaan rindu Ad. Ad terbangkan ia cukup tinggi setinggi awan. Tapi, Ad jangan pula lepaskan tali dengan banyak.”


“ maksud Tok? Kenapa ad tak boleh nak lepaskan tali dengan banyak?”


“ sebab, kalau Ad lepaskan tali dengan banyak. Perasaan itu akan jatuh terhempas. 
Cukuplah sekadar berpada-pada sahaja.”


Kata-kata yang indah, andai kau merindui seseorang kau lihatlah layang-layang yang terbang tinggi. Apabila ia tidak di kawal dengan baik, ia akan jatuh lalu patah.
Aku hanya menganggukkan kepala tanda faham. Tapi, sebenarnya masa itu aku langsung tidak mengerti apa maksud Tok Ayah. Itu sudah belasan tahun dahulu. Kini usia aku seudah menginjak ke arah 30 tahun. Usia yang makin akan mematangkan fikran aku. tapi, kenapa pada masa itu aku tidak betah bertanya, andai hujan turun di kala ini, macam mana kita nak main layang-layang? Aku biarkan perasaan membuai jiwa aku.


Syabab yang merindui seorang perlu kuat bila menghadapi dugaan. Perlu kuat dalam segala bentuk yang di hadapi. Seorang perindu tidak akan menjadi perindu apabila ia menzahirkan perasaan rindu. Seorang pencinta tidak akan menjadi bencinta andai dia tiada benci dan cinta dalam hati.


Ingat pesanan arwah Tok Ayah membuatkan aku bertambah kuat. Bertambah matang dalam hidup. Bumi Syam. Tunggu aku. aku akan bercinta dengan kau. Bumi para anbia. Bumi yang mempunyai khazanah dunia sebelum zaman Nabi Muhammad. Pemerintahan Rom bertapak di bumi Syam.


Syam. Tunggu aku.....
Continue...


Saturday, November 26

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 12:18 PM 0 comments

Perkongsian: Rehatkan Hati

Sungguh, akhir-akhir ini hati saya sering di uji dengan ujian yang Allah berikan. Dari segi bab rasa sayang, dari segi bab rasa rindu dan juga boleh jadi dari segi kesihatan. Semuanya Allah tengah uji diri saya. Memang saya sendiri tengah mencari balik di mana kekuatan diri saya. Saya sendiri masih lagi terkial-kial mnacari mujahdah untuk menjadi yang terbaik untuk diri sendiri. Bila sering mimpikan dia bila lepas solat malam, hati saya sering terusik. Saya tak mahu hati saya sering rosak dengan cinta sementara. Saya sendiri gusar. Samada saya mampu tahan melawan hati atau tidak. Melawan rindu atau tidak. Orang kata jangan cari sekampung. Tapi, dah tersurat. Semuanya terjadi.

Kekadang saya tidak dapat memberi jawapan yang baru. Ini tentu menjemukan, kerana sahabat-sahabat perlukan pembaharuan pada jawapan. Apa yang mampu saya luahkan? Selain, mengulang-ulang apa yang pernah dipesankan oleh generasi salafussoleh terdahulu. Juga mengulang-ulang kata-kata yang pernah membujuk hati ketika saya sendiri diuji. 

Wahai sahabat dan diriku, janganlah kau mudah mengalah dengan sesuatu… jangan lah pula kau cepat mengalah akan sesuatu.. patahnya sayap, akan patah jua akhirnya.. jika terjatuh, jangan biar ia terhenyak menghempas bumi.. andai ia terhenyak, jangan biarkan ia menghempas bumi.. lalu hilang bertaburan di tanah menjadi sebati dengan tanah.. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!

 MasyaAllah, kita sering kalah. Namun, buat sekian kalinya kita berbaiah, kita sekali-kali tidak akan mengalah! Lalu, diketika saat-saat dirimu dan diriku diuji, sudi apalah kiranya kita REHATKAN HATI...

          Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa  hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?
Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar, sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?
Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:
1.      Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah. Firman Allah:
“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. “ Hatinya tidak akan berkata, “kenapa aku, bukan orang lain?” Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.
Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji? Kata Imam Ghazali rahimahullah, “cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!” Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.
Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.” Firman Allah:

“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. (Surah al-Baqarah 2:156).”

Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!
2. Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Firman Allah:“Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan karenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”

Dalam apa jua keadaan – positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang. Firman Allah:  “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana. (Surah al-Fath 48:4)”

Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya.”

3.      Memahami maksud takdir Allah

Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan firman-Nya:  “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”

Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”. Hayati sabda Rasulullah saw ini: “Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

4.      Mendapat hikmah apabila diuji.

Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda:“Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan ‘perjuangan’ melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berumah tangga. Bawalah hati kita berehat… dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!”

Continue...