Thursday, May 23

Di Usung Gelisah

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 12:21 AM 0 comments



Fitrah manusia itu suci dan bersih. Inilah perkara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Oleh sebab itu, bila terlanjur melakukan dosa atau setelah sekian lama bergelumang dengan perkara maksiat yang Allah tidak redha, maka hati akan merasa seakan satu tarikan magnet untuk kembali kepada keadaan asal, iaitu keadaan yang suci dan bersih daripada semua perkara noda tersebut.
Rontaan untuk kembali kepada fitrah.
Selagi tidak kembali, selagi itulah jiwa rasa gelisah dan segala benda yang dibuat pun akan dihantui serba salah.
Seorang pelajar yang malas dan suka melawan cakap guru, suka membantah cakap ibu bapa, ada ketikanya dia akan merasa bersalah dan mahu berubah. Seorang remaja yang hanyut dalam percintaan, keluar berduaan dan menghabiskan banyak masa untuk cinta monyet mereka, ada ketikanya akan dilamar rasa bersalah dan mahu berubah. Seorang pelaku maksiat yang suka meninggalkan solat, bercampur dengan golongan yang rosak agamanya serta jauh dari kehidupan bermoral, ada ketikanya akan disambar perasaan bersalah dan mahu berubah.
Jika kita mengalami keadaan ini, atau melihat orang yang berada dalam keadaan ini, suka diingatkan untuk janganlah kita menganggap refleksi itu sebagai ‘buang tebiat’ sebaliknya hendaklah kita fahami dengan yakin, bahawa itulah sebenarnya fitrah.
Suatu rahsia Allah yang diciptakan khas serta ditanam jauh di lubuk hati manusia.
Pakaian yang kotor akan menjadikan manusia gelisah. Pakaian yang bersih pula akan menjadikan manusia merasa tenang dan tidak gundah.

Soalnya : Mudahkah Berubah?
Situasi 1 :
Dua pasangan yang bercinta. Si wanita mahu tegas dalam menjaga perhubungan sebaliknya si lelaki mengambil sikap sambil lewa. Selalu menelefon untuk bercakap lama-lama dan seringkali mendesak untuk keluar bersama. Kerana rasa cinta, si wanita terpaksa mengikut namun dalam masa yang sama tetap berusaha menasihati si lelaki untuk berubah. Biarlah mereka bercinta kerana Allah dan mengikut syariat, begitulah kira-kira ungkapan si wanita.
Dalam pada berkeras dan tidak mahu peduli, satu masa timbul jua rasa kesedaran dalam diri si lelaki untuk berubah. Dia mengakui sepanjang menjalin hubungan pun jiwanya tidak tenteram, lantaran dia tahu hubungan tersebut bercanggah dengan disiplin dalam syariat. Berdua-duan atau berpegangan tangan, keduanya tetap haram.
Lantas jiwanya terasa lunak untuk melakukan perubahan. Dia meyakini itu adalah hidayah. Lalu dikhabarkan kepada si wanita bahawa dirinya mahu berubah, dan disambut dengan ucapan tahniah penuh kegembiraan. Mereka berdua berazam untuk meneruskan hubungan dengan mematuhi batas dan disiplin syariat.
Seminggu berlalu dengan baik. Si lelaki mula merasa tenang dan mula merapati kawan-kawan yang baik lagi soleh. Majlis tazkirah menjadi rutin lepak hariannya. Tiba-tiba masuk sms dari si wanita.
slm.awk esok sy keluar ke bazar ramadhan.boleh tak awk temankan sy?
Berderau darah si lelaki. Selama ini dia yang mengajak dan wanita tersebut pula ‘sangat menjaga’ , namun hari ini si wanita pula yang mengajak dalam keadaan dirinya yang mula mahu ‘menjaga’.
Justeru dia terpaksa memilih antara dua.
Hati kata ; jangan, engkau kan mahu berubah. Otak pula meningkah ; alah, bolehlah..sekali saja.

Situasi 2 :
Dia bukan seorang yang rajin belajar. Kesedaran untuk membina masa depan sangat kurang. Teman-teman rapatnya pula tidak sepertinya. Mereka rajin dan sangat berjaya. Masa mereka banyak depan buku, masa dia pula banyak depan komputer.
Sudah banyak dinasihati, baik oleh keluarga mahupun teman sebaya, dia tetap berkeras dengan sikap degilnya.
Suatu ketika, hatinya disapa rasa insaf dan terdetik untuk berubah. Fikirnya, dia banyak membuat benda yang sia-sia. Dengan kekuatan yang ada, dia bangkit mahu berubah. Segala yang melalaikan dalam jadual hidupnya akan disingkir habis-habisan. Dia mahu menyertai teman-temannya yang hidup mereka didominasi kesedaran untuk bejaya.
Baru dua hari dia membina azam dan menguatkan diri untuk berubah, tiba-tiba dia melihat teman-temannya pula bermalas-malasan dan membuang masa. Leka dengan internet bahkan temannya yang dikenali sebagai paling tegas dengan pelajaran, kerap pula mengajaknya bermain bowling!
Lantas dia berdepan dengan dua pilihan.
Hati menjerit ; teruskan niat kau untuk berubah. Otak pula bertempik ; Ah sudahlah! jangan hipokrit!

Hakikat Ujian
Saya percaya, semua orang tentunya pernah mengalami situasi seperti di atas, cuma mungkin dalam kondisi yang berbeza. Apapun, pokoknya tetap sama. Iaitu dalam melakukan perubahan, perkara yang pastinya akan mendatangi anda adalah ujian dan dugaan.
Pelakonnya adalah Syaitan.
Makhluk ini sejak dahulu lagi bersumpah di hadapan Allah ta’ala , bahawa dia akan berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan anak Adam.
Semua orang tahu bahawa hidup mereka berdepan dengan godaan daripada Syaitan, namun tidak ramai yang sedar dan berjaga-jaga dengan bentuk godaan tersebut. Adakala, Syaitan memang sangat cerdik dan licik dalam menipu kita. Dia tidak akan menunjukkan secara terang-terangan bahawa dia mahu menipu kita, sebaliknya dia menggunakan pelbagai taktik dan strategi yang bisa membuatkan kita binasa.
Contohnya kita mahu solat. Syaitan akan melaksanakan plan A terlebih dahulu, iaitu menghalang kita daripada solat. Dia memujuk kita supaya melewat-lewatkan solat atau melalaikan kita dengan rancangan di televisyen. Jika taktik itu tidak berjaya, dia akan terus ke plan B iaitu mengajak kita bersolat. Ya, dia akan memujuk kita supaya solat di masjid atau surau dengan pelbagai pujukan yang indah-indah, tetapi apabila kita pergi, disuntiknya pula dengan pujian-pujian mazmumah supaya kita merasa riak, ujuk dan bangga diri dengan ibadah yang kita lakukan.
Itu liciknya Syaitan.
Demikian juga dengan kita yang mahu berubah. Lebih-lebih lagi kalau kita berubah dengan niat yang tidak betul, maka tersangatlah mudah untuk Syaitan menghancurkan keazaman kita. Berubah kerana manusia, kerana merajuk, kerana kecil hati, kerana mahu perhatian dan pelbagai bentuk ‘kerana’ yang lain di mana kesemuanya tidak berpaksikan ‘kerana Allah’.

Berubahlah Kerana Allah
Justeru orang yang mahu berubah, pertama sekali wajib dipasakkan dalam diri bahawa perubahan itu adalah kerana Allah dan semata-mata mahukan keredhaanNya sahaja. Sama sekali bukan kerana manusia atau material yang lain. Jika mahu berubah meninggalkan maksiat atau mahu berubah menjadi baik – dengan niat kerana Allah, maka sekalipun didatangi dengan godaan yang kita tidak sangka, maka kita tetap akan bertahan dengan prinsip perubahan tersebut kerana niat asal kita adalah kerana Allah.
Berawaslah, kerana godaan Syaitan itu adakalanya tidak datang dalam bentuk yang kita duga. Kadang-kadang, perkara duniawi yang kita sangat mahukan sebelum berubah , itulah yang akan mendatangi kita dengan mudahnya selepas kita berubah.
Ketika kita mengejar kenikmatan dunia, ia lari dengan begitu pantas meninggalkan kita. Namun ketika kita berpaling mahu mengejar akhirat, ketika itulah dunia itu pula berlari pantas mengejar kita.
Inilah konsep yang harus kita fahami jika kita benar-benar mahu berubah, agar nantinya kita tidak goyah dengan suntikan nikmat daripada Syaitan.



Continue...


Sunday, April 28

Cerpen : Cinta Aku Sama

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 11:45 PM 1 comments



Cuaca yang sejuk mencengkam ubun-ubun rambut bagai di tarik-tarik dari akar rambut.  Aku nyaris tidak kuat dengan keadaan sel yang sangat menyiksa. Tanpa disiksapun musim dingin dalam sel gelap, pengap, basah dan berbau pesing itu sangat menyiksa. Seluruh sumsum tulang terasa pedih bernanah. Aku memasuki hari-hari yang sangat berat.

Bagaikan ada bebanan seberat lima tan yang menghempuk dan menekan kepala. Seksaan yang amat mendalam, sedalam lautan pasifik. Cinta? Apa itu cinta? Rindu apa itu rindu? Semua sudah tiada bagi diriku yang telah lama membungkus perasaan rindu dan cinta terhadap manusia. Semuanya di sebabkan oleh mereka yang tidak reti menilai cinta dan sayang yang telah aku berikan. Cinta yang aku berikan di buang bagai sampah dan di tendang lalu masuk ke dalam sungai yang airnya mengalir deras. Bagaikan Messi menjaringkan gol untuk Barcelona. Begitulah cintaku kepada manusia. Ini semua di sebabkan seorang insan yang pernah mengajar aku erti kehidupan, erti cinta, dan erti kasih sayang berlawanan arus.

Bukan mudah untuk di lembutkan hati yang keras, mungkin lebih keras dari batu. Entah ilmu apa yang di pakai, semua cair begitu sahaja. Cinta sampai mati? Cinta hingga akhir hayat? Semuanya hanya madah berhelah.

“Kerana cinta, demi cinta, ku cinta dia, lautan berapi sanggup ku renangi, gunung berapi pun sanggup di redahi. Tambahan peribahasa baru, sungai yang penuh buaya akan ku berenang demi membuktikan cinta dan kasih pada mu duhai sayang.”

Bertahun aku bertapa di negara orang, di Oslo. Kini aku menyambung pengajian master di Utm Skudai. Membawa detik indah di Oslo merubah kehidupan aku . Tetapo kehidupan di Utm memang banyak mengubah dan mendidik aku menjadi ke arah yang lebih baik. Semuanya di sebabkan usrah-usrah dan taskil dari senior-senior yang belajar di sini. Bukan dulu aku tidak pernah mengikuti mana-mana program yang menghubungkan antara Sang Pencipta dan Yang Di ciptakan, tapi hati dan terlampau ikut nafsu, membuatkan hati terketuk dengan cinta lain.

Aku duduk bersandar di kerusi malas. Sambil memikirkan sesuatu. Benar aku cinta dia. Benar aku rindu dia. Tapi, rindu dan cintaku hanya untuk yang haq. Rindu dan cintaku hanya untuk Allah dan Rasul.

Hentian Pertama: Yang Menyusur Jalan Cinta Itu

“Abang Ad” Suara Aiman memecah gegendang telingaku. Aku menoleh. Dia memberi salam. Lantas aku menyahut.

“ Wah, Man. Orang beri salam dulu baru panggil nama. Ni tak, panggil nama dulu baru bagi salam. Cara baru ke?” aiman hanya tersengih macam kerang busuk.

“ ada apa pagi-pagi jumpa abang? Macam ada hal yang mustahak je? Selalu petang-petang baru nak jumpa.” Aku buat-buat nada merajuk dengan Aiman. Aiman adalah salah seorang anggota jemaah usrah yang aku kelolakan. Dia dari seorang budak nakal, menjadi seorang syabab yang berkualiti.


“ Erm.. Man sebenarnya datang jumpa abang ada hajat..”

“ Lah, ada hajat buat apa nak jumpa abang? Pergi tandas tu buang hajat.” Aku saja berseloroh buat tidak memahami.

“Abang, main-main pulak. Aiman nak tanya tentang cinta. Aiman sekarang ada terlibat akan perkara ni. Kadang-kadang Aiman rasa macam Aiman tak seimbang bila memikirkan perkara ini. Apa pendapat abang tentang cinta? Abang pernah lalui rasa cinta tak?” Bertalu-talu soalan yang menerjah ke gegendang telinga. Pagi-pagi sudah di terjah dengan soalan mengenai cinta.


“ Bohonglah Aiman kalau abang cakap, abang tidak pernah jatuh cinta. Abang pernah jatuh cinta. Bagi abang, biarlah jatuh cinta itu hanya sekali. Bukan dua kali bukan tiga kali. Sebab apa? Jatuh cinta itu sakit tau.”

“Kenapa pulak sakit abang? Bukankah jatuh cinta itu bahagia?” Aiman semakin rapat dengan kerusi malas yang sedang aku duduk. Makin menghampiri dan mungkin makin rancak perbincangan mengenai cinta.

“ Sebab apa abang cakap jatuh cinta itu sakit? Sebab dah namanya jatuh. Mesti ada rasa sakit. Siapa yang jatuh tak sakit? Aiman kalau jatuh ada rasa sakit tak?” aku ketawa kecil melihat Aiman menarik muka.

“ Iya abang faham soalan Aiman. Dan abang tidak setuju dengan perkataan Aiman, jatuh cinta itu membawa kepada bahagia. Ya. Sesetengah orang mungkin mengatakan jatuh cinta itu boleh membawa kebahagiaan. Inilah syurga dunia aku. inilah kebahagiaan yang aku impikan. Kenapa selama ini aku tidak jumpa dan tidak jatuh cinta? Mungkin pada sesetengah orang akan mengatakan jatuh cinta itu bahagia, dan sesetengah orang lain akan mengatakan jatuh cinta itu sakit.” Aiman mencebik ke arah ku.

“ Tapi abang, Aiman rasa bahagia dengan rasa ni. abang nak tau kenapa? Sebab bila Aiman sedih Aiman cerita kat diakan, Aiman rasa lapang. Aiman tak da rasa sedih lagi. Semuanya hilang.” Aiman mengeluarkan hujah dia yang sedang hangat bercinta. Ya. Macam aku dulu. Aku yang sedang hangat bercinta semasa di bangku persekolahan. Aku lagi awal berjumpa dengan perkara yang di beri nama Inchik Chenta. Tapi perkara ini aku harus perbetulkan kembali agar Aiman tidak hanyut dan tidak menjadi macam aku sekarang. Sakit yang aku rasa berpanjangan.

“ Aiman, abang tak larang Aiman bercinta. Abang pun tidak menggalakkan Aiman bercinta. Tapi bagi abang biarlah Aiman letakkan rasa cinta itu bukan seratus peratus pada dia. Sebab kalau Aiman letakkan rasa cinta itu seratus pada dia, bila Aiman di tinggalkan, Aiman akan rasa satu partu yang mendalam dalam diri AIman.. Itu yang abang tak nak. Abang dah kena sekali, abang tak nak orang yang abang kenal dan abang didik ini terkena sekali macam yang abang kena. Apa yang abang rasa biar abang sahaja yang rasa.”

Aku ingin mengupas isu tentang bahagia itu bukan sahaja berasal dari inchik chenta, tetapi rasa bahagia itu juga berasal dari rasa memberi. Ah, apakah Aiman akan mengerti? Rasa chenta itu akan menyakitkan bila tidak tiba pada tepat masanya?

“ Aiman, jom ikut abang pergi Nusajaya? Abang nak jogging sebenarnya ni. sambil tu boleh abang cerita kat Aiman. Apa itu yang melahirkan bahagia.”

“ Aiman tak bawa kasut sukan. Boleh pakai abang punya?”

“ Man. Ambillah kasut ni, abang bagi kat Aiman, hadiah.” Aiman menoleh ke arah aku. Aku menghulurkan kasut sukan Nike yang paling aku sayang dan aku beli semasa menuntut di Oslo,Us. Perkara yang aku sayang aku berikan pada Aiman yang sudah aku anggap macam adik aku sendiri.

“Man, abang nak cakap sikit ni.”


“ Apa dia bang?”

“ Orang yang menyelusuri jalan chenta ini, akan rebah di tengah jalan andai tiada rasa didikan dalam memberi chenta.” Aku menumpukan perhatian aku memandu kereta ke Nusajaya.

Hentian Kedua: Bahagia Itu Meditasi Jiwa.

Masing-masing tenggelam dalam dunia sendiri, aku dengan fokus pemanduan. Aiman dengan dunia dia. Barangkali bahagia dengan cinta yang baru berputik di hati.

Bila aku sebut pasal bahagia, aku teringat akan sahabat usrah semasa aku di Oslo. Seorang murrabi yang banyak membimbing aku keluar dari dunia aku. dunia kecewa. Dunia hampa.

“ Saad, ana nak cakap sikit. Kenapa akhi ana tengok diam. Menyendiri. Ana tengok akhi lebih banyak dengan dunia akhi sendiri. Akhi kecewa dengan cinta manusiakah?”

Aku mengganguk sepi. Tanpa balasan.

“ Selama ni akhi mencari makna bahagia dengan makna cintakah?”

Aku mengganguk lagi. Kali ni melihat Zaquan.

“ Ana nak cari bahagia. Bahagia ada di mana?” aku membuka mulut memulakan soal bicara.

“ Bahagia itu fitrah tabie manusia Ad, semua orang ada sifat ini. Cuma kita je yang tak nampak sifat ini berada di mana. Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.”

Hmm, tapi kadang-kadang aku terfikir sendirian. Kenapa bila di kaitkan dengan soal chenta, orang mesti akan mengaitkan bahagia itu dengan chenta. Owh, orang yang berchenta itu akan selalu bahagiakah? Tidak. Orang yang berchenta itu ada yang tergolek-golek lalu jatuh kebawah. Ada orang yang berchenta itu terbang naik ke awan lalu bersama menjadi sepasang burung yang terbang beriringan. Semua orang mengimpikan begini. Chenta yang ku damba hanyalah sementara.

Cuma kadang-kadang terfikir sejenak. Kenapa bila sebut dengan chenta, kita akan rasa, itulah bahagia yang aku impi. Bahagia bukan lahir dari rasa kita bercinta, tapi rasa bahagia lahir dari jiwa yang memberi. Kita memberi cinta, kita yang aka rasa bahagia. Tidak semestinya dengan memberi cinta kita akan menjadi bahagia. Oh, slepkesi yang menjadi-jadi sekarang. Sedangkan bahagia itu adalah sebahagian daripada meditasi jiwa. Owh, jiwa yang kosong begini jadinya.

Hentian Ke tiga: Cinta Itu Tawanan.

“Man, jom kita pergi sebelah tasik sana. Kita duduk-duduk sambil bermuzakarah tentang masalah Aiman?” Aku mematikan engine kereta.

“ Abang, Aiman masih lagi berfikir tentang masalah tadi.” Aku melihat memberi isyarat dia menyambung kata-kata.

“ Abang tadi kata, kalau kita jatuh cinta, kita akan sakit. Dan abang sebelum kita gerak tadi ada kata. Orang yang menyelusuri jalan chenta ini akan rebah andai tiada di beri didikan dalam memberi. Apa maksud abang kat sini? Aiman dari tadi termenung. Memikirkan jawapan.” Aku berlari perlahan menuju ke arah Pearl Harbour. Sambil aku merenung dan memikirkan apa penerangan yang sesuai untuk aku berikan pada Aiman.

“ Aiman cuba lihat sana, ada pokok. Ada kapal layar. Mana yang Aiman berminat antara dua perkara ini? Antara tumbuhan dan kapal layar?”

“ Umm, sudah tentulah Aiman lagi minat dengan kapal layar.”

“ Sebab apa Aiman minat dengan kapal layar? Sebab dia cantik?”

“ Umm tak lah.. sebab kalau kita ada kapal layar, kita boleh bergerak dengan lebih bebas. Kita boleh bergerak jauh. Boleh duduk atas laut. “

“ Owh, kiranya sekarang ini Aiman tidak bebas? Abang lagi sukakan tumbuhan. Sebab tumbuhan memberi. Dia juga menerima.” Aku memandangnya sambil tersenyum.

“ Maksud abang? Kapal layar tu tak boleh memberi dan menerima?” aku menggeleng.

“ Abang lagi suka dengan tumbuhan sebab sifat dia. Sifat dia yang menerima dari kita karbon dioksida dari manusia dan memberikan oksigen kepada manusia. Sudah sunatullah, dalam kehidupan ni Man, ada yang memberi, dan mesti ada yang menerima. Kita memberi cinta pada orang lain, dan orang lain menerima cinta dari kita. Kita akan rasa bahagia. Tapi sebenarnya bila di luaskan lagi konsep memberi dan menerima bukan sahaja dalam konsep cinta. Banyak lagi. Contoh memberi penerangan macam abang beri kat Aiman ni.?”

“ Bila kita sudah jatuh cinta, kita memang akan rasa bahagia. Itu abang akui. Abang sendiri pernah lalui zaman tu. Abang sendiri pernah terduduk. Abang sendiri pernah menangis. Semua abang pernah. Sebab abang terjatuh dengan chenta. Kalau Aiman nak tau, abang tujuh tahun menderita. Abang tercari-cari dalam makna. Apa sebenarnya bahagia? Bukankah bahagia itu ada dalam sifat orang yang berchenta? Sampailah abang di temukan dengan kata-kata cinta itu tawanan, siapa yang tertawan dia akan terkorban.”

Apa yang dimaksud bahwa cinta itu adalah tawanan? Siapa yang ditawan? Cinta menawan hati. Sebab hati akan tunduk demi mengejar apa yang dicintainya. Banyak sekali orang yang rela melakukan apa pun demi yang dicintainya. “Gunung kan kudaki, lautan akan kuseberangi.” begitu kata syair yang menggambarkan bagaimana hati tertawan oleh cintanya kepada kepada seorang gadis pujaan. Lihatlah… banyak orang yang melakukan segala cara untuk mendapatkan harta dan jabatan. Yang haram dihalalkan, apa pun dilakukan demua cintanya kepada harta dan jabatan.

            Cinta selalu menggerakkan hati pada apa yang dia inginkan. Keinginan diri inilah yang disebut dengan hawa nafsu. Sehingga dengan cinta ia menjadikan hatinya sebagai tawanan hawa nafsu, mengikuti apa yang dikatakan hawa nafsu dan menjadikan hawa nafsu dengan pimpinannya dalam hidup. Sehingga masuklah dia ke dalam fintah syahwat, yang menghalangi hatinya dari petunjuk dan rahmat.


Sebab itu cinta itu tawanan, siapa tertawan dia yang akan terkorban!
Continue...


Thursday, April 18

Makcik, Rasa Ini Apa?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 9:32 PM 1 comments



Saya pernah mendengar di satu seminar masa saya dalam usia belasan tahun. Ada yang bertanya pada seorang naqibah (senior dalam jemaah). 
" Makcik, kalau saya ada satu rasa nak ambil berat pasal seseorang, sebenarnya itu rasa apa? Cintakah?"
Dengan senyuman makcik tadi menjawab tanpa sebarang prejudis. Ya, anak muda perlu di terangkan dengan perasaan ini. Bukan di biarkan terawang-awang tanpa arah.
"Masa muda, hanya merasakan apa itu perasaan, tetapi tidak pernah tahu apa erti perasaan itu. Boleh jadi ini hanya feeling simpati, tafsiran sahaja. Kita berasa ingin memuji dan kagum dengan peribadi dia, dengan cantiknya dia dan dengan apa yang dia miliki sekarang. Hinggakan kita terasa yang hati kita seperti sudah jatuh cinta, padahal itu bukan cinta! Mungkin itu hanya perasaan yang mempunyai pelbagai tafsiran."

Ya, mungkin ianya bukan cinta, hanya tafsiran sahaja.

Apakah Ini Cinta?

Di saat kita jatuh cinta di usia remaja, marilah kita pastikan sekali lagi, apakah benar ini cinta? atau hanya perasaan kagum yang hadir secara tiba – tiba? kitatidak mampu menahan kekaguman pada dia yang sangat cantik jelita, hensem dan kacak. Kita tidak mampu menahan dari berkata kepada dia, “cantiknya!” “hensemnya!”
Apakah ini hanya perasaan sesaat kita sahaja? Atau benar – benar cinta?
Boleh jadi ia hanya perasaan sementara kita sahaja. Kita yang masih muda, beranjak dari masa kanak – kanak kita, kemudian menduduki usia remaja dan sangat memungkinkan mengalami perasaan ini. Mencuri – curi pandang gadis di pinggir jalan, memandang dengan perasaan malu tapi mahu. Hanya sekadar kagumdan mencuba menjadi orang yang istimewa di hatinya. Hanya ingin tahu siapa namanya, ingin sekadar hanya ingin tahu dimana rumahnya dan hanya  ingin bahagia saat melihatnya. Ini hanya sesaat sahaja, ini hanya cinta monyet.
Kita berasa ingin menjadi seperti orang lain, yang memiliki teman istimewa, sentiasa berSMS, berjalan berdua-duaan di pusat membeli belah atau keluar melihat wayang selepas pulang dari sekolah atau kuliah. kita ingin menjadi seperti itu. Sebuah keinginan yang bukan kerana cinta, tetapi hanya sebuah ikut – ikutan. Definisinya pun kadang – kadang ramai diantara kita tidak tahu.
Teliti lagi, apa itu cinta? Atau ia hanya perasaan kita yang ingin mendapatkan perhatian? Selama ini kita kurang mendapatkan perhatian dari orang tua. Kita ingin dimanja, kita ingin diperhatikan dan dihargai sebagai seorang manusia. Dicintai sepenuh hati, disayangi sepenuh kasih sayang dan dimanusiakan sebagai seorang manusia. Apakah perasaan itu yang mendominasi kita? Perasaan yang sangat manusiawi dan tidak perlu mencintai wanita cantik bila kita memerlukannya.
Kita seharusnya mencintai ibu bapa, yang akan memberikan segalanya kepada kita. Boleh jadi ini hanya sebelum ini kita tidak pernah melihat wanita cantik atau lelaki kacak. Sehingga sekali melihatnya, kita terkena pesonanya. Kita tidak berkuasa menahan godaannya dan kemudian terbelit lantaran kecantikannya dan kekacakkannya.
Ini bukan cinta, ini hanya perasaan sementara sahaja.

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Al-Baqarah (165)





Continue...


Apa Sebab Kau Hidup?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 1:57 AM 0 comments


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Tidak mungkin hidup ini tiada tujuan. Amat mustahil hidup ini tiada Tuhan. Tahniah! Pada yang diberikan peluang dan kesempatan untuk meneruskan kehidupan. Tatkala cabaran, ujian, serta dugaan menyinggah, kita masih lagi menghadapinya dengan sebaik – baik mungkin. Insyaallah~
Mengimbau kembali sejarah Nabi Adam a.s, Nabi Adam a.s tidak pernah meminta pada Tuhan untuk diciptakan dan dihidupkan. Tetapi kerana ianya kehendak Ilahi, bukan sahaja Nabi Adam a.s yang diciptakan, dihidupkan, malah sekalian makhluk yang berada di langit dan di bumi adalah daripada kehendak Tuhan. Ciptaan Allah SWT.
Binakan satu soalan dengan menggunakan kurniaan akal yang diberi, lalu gunakan pula hati untuk menjawabnya.
Tanyalah diri sendiri!

‘Kenapakah aku diciptakan?’
Bukan ingin mengajak mempersoalkan tugas – tugasan Tuhan. Hakikatnya, persoalan ini adalah untuk membentuk diri, kenali diri, dan mengenali Ilahi. Pastinya, ia bukan satu perkara yang mudah. Tetapi, jangan sesekali cuba memberi alasan ‘aku kalah!’, kerana hidup ini adalah anugerah.
Cuba dan usaha serta jangan lupa pohon dan pintalah kepada-Nya. Itulah adalah tuntutan buat manusia. Sentiasa berharap dan bergantung pada-Nya. Usah sesekali kita cuba – cuba mengetepikan-Nya tatkala hidup kita senang mahupun susah. Sebaik – baiknya sentiasa bersama-Nya tidak kira apa.
Bilamana kita meminta, lalu Tuhan makbulkan permintaan kita.. bersyukurlah. Andai permintaan kita jadi sebaliknya ‘tidak dapat apa yang diinginkan’… bersyukur jugalah. Kerana, itulah hadiah buat kita. Itulah jawapan daripada permohonan kita. Kita tidak dapat apa yang diimpikan, tidak mengapa. Kerana Allah SWT tahu segala – galanya.
Semoga berbahagia. Wallahuaklam~
“Ya Allah sesungguhnya Engkau yang sangat mengetahui terhadap hati ini dan yang sangat mengetahui terhadap niat-niatnya. Kami memohon pada-Mu ya Allah perbetulkan niat-niat hati kami dalam menghadap-Mu. Jadikanlah kami dari kalangan yang Engkau lihat dengan pandangan redha sehingga tiada yang kekal di hati ini melainkan ingin menghadap-Mu. Ya Allah jadikanlah hati-hati kami sentiasa berhubung dengan-Mu, menghadap-Mu, jujur bersama-Mu dan sentiasa menyintai apa yang ada pada-Mu. Dan bukakanlah bagi kami kemenangan disisi-Mu. Wahai yang memuliakan bagi yang meminta dan wahai yang maha memberi bagi mereka yang memberi. Berkatilah bagi kami dan jadikanlah kami dari mereka yang benar menghadap-Mu. Ya Allah jadikanlah keinginan kami adalah Engkau ya Allah dan jadikanlah kehendak kami hanya untuk-Mu dan hanya keredhaan-Mu. Ya Allah jadikanlah kami orang yang berkeinginan pada akhirat dan janganlah jadikan kami orang yang berkeinginan semata-mata dunia, dengan kasih sayang-Mu yang maha mengasihani dari yang mengasihi. Dan selawat serta salam keatas junjunngan Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan sahabatnya.”
.
Continue...