Followers

Monday, August 29

Kau Sanggup? Aku Tidak.

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 1:47 PM 0 comments


Anak-anak kecil masih belum mengerti, apakah fungsinya tiga batang lilin ini kunyalakan. Mereka merasakan tiada signifikannya kehidupan mereka yang terlalu hijau itu dengan lilin yang menyala di hadapan. Aku cuba menarik perhatian mereka.


Adik-adik…

Tiada balasan. Mereka masih lagi bergelak ketawa, bersenda gurau dengan rakannya sebelah menyebelah. Beginilah halnya tika mentarbiyah anak-anak kecil, mengekalkan fokus mereka sepanjang slot adalah cabaran terbesar bukan sahaja buat kami, malah guru-guru dan ibu bapa juga menghadapinya.


Dengan bantuan mikrofon, aku memanggil sedikit cergas dan pantas.


Adik-adik!

Mereka menyahut panggilanku serentak.


Boleh!

Sedikit demi sedikit, masing-masing mulai memandang ke depan. Suasana kian sunyi. Metod sahut menyahut ini dilakukan oleh kami tenaga penggerak sepanjang Kem Kepimpinan Remaja Islam ini. Perhatian mereka perlu dicuri sentiasa melalui respons segera secara dua hala.


Adik-adik~~

Panggilanku kali ini lebih lembut, dan beralun lenggoknya.


Boleh~~

Audien menjawab juga dengan alun dan lenggok yang sama. Indah bunyinya bila perkataan itu dilagukan bersama. Kini semuanya memandang tepat ke arah lilin yang sedang menyala di atas pentas ini. Wajah mereka itu bisa ditebak, ingin menanyakan apa gunanya lilin-lilin itu.


Abang tawarkan kepada mana-mana pemimpin yang sanggup ke depan, mendekatkan tangannya pada api lilin ini.

Beberapa orang mengangkat tangannya menawarkan diri, lalu kupilih seorang daripadanya ke depan. Anak itu mendekatkan telapak tangannya dengan wajah selamba.


Bagaimana? Apa perasaan?

- Panas.

Baiklah, adik jangan duduk dulu. Cadangkan kepada abang satu nama kawan adik untuk ke depan.

-Si Polan

Ayuh, Si Polan merasai lilin ini, boleh?

Lalu bangun seorang daripada mereka dan berlari ke hadapan. Setelah kutanyakan perasaan Si Polan, kuulang panggil anak-anak yang lain bagi mengumpulkan jawapan mereka. Seorang demi seorang ke depan melakukan hal yang sama, dan jawapan mereka serupa. Mereka mengatakan api lilin itu tetap panas.


Sehinggalah sedikit demi sedikit mulut anak-anak itu terlopong, dan di kepala mereka sarat dengan tanda tanya. Aku memahami mereka tidak dapat ‘membaca’ apa tujuannya aku melakukan begitu.


Aku menyuruh mereka yang kupanggil tadi kembali ke tempat duduk mereka semula. Suasana dewan terbuka itu kekal sunyi, seakan-akan seluruh penghuninya menantikan sesuatu daripadaku, berkenaan hikmahnya aktiviti tadi.


Adik-adik. Begitulah kehidupan di dunia. Panasnya lilin ini masih belum mencapai tahap di neraka nanti.

Suaraku mulai diburu getar, sama frekuensinya dengan denyut nadi ini. Kutahan jua air mata ini, mengenangkan dosa-dosa yang pernah kulakukan sebelum ini.


Tapi, adik-adik. Kita seolah-olah, sukar sekali menghalang kawan-kawan kita daripada menyentuhnya. Dengan mudahnya kita tergoda oleh hasutan syaitan, mengajak kawan kita sama-sama ke lembah neraka itu.

Sambil tangan kiri memegang mikrofon, tangan kananku sesekali menyeka mataku yang mulai berembun. Aku amat kasihankan diriku. Terasa begitu kerdil, kerana sujudku saban malam masih belum cukup kurasakan membayar dosa-dosa lalu. Hari ini, aku hadir kepada mereka, demi menghalang mereka menyentuh lagi panasnya api lilin itu, seperti yang pernah kulakukan dulu semasa hidup ini.


Kalau kita buat dosa, kita masuk neraka itu pasti. Namun, sanggupkah kita heret orang tersayang kita sama-sama merasakan azab di neraka itu? Ibu… Ayah… Adik-adik… Kawan-kawan… Guru-guru… Jangankan mahu dilihat, mendengarkan jerit mereka saja di neraka nanti, pasti sedih sekali. Sanggup tak, adik-adik?

Tiada jawapan dari mereka. Masing-masing menunduk dan sunyi. Ada di antara mereka mulai menitiskan airmata, tanpa dipaksa-paksa.


Sebagai pemimpin, kita nampak dosa-dosa di sana-sini. Apa yang akan adik-adik lakukan? Cuba beritahu abang…

Seorang demi seorang mengeluarkan suara perlahan, sayu,


-Cegah.

-Halang

-Lapor pada guru

-Nasihat

Kali ini, senyumku kembali menguntum seri.




Continue...


Sunday, August 28

Siapa Yang Tiada Kenangan Lampau?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 12:19 PM 0 comments

Saat lampau seorang anak remaja adalah kisah kanak-kanaknya. Bagi belia dewasa, zaman remaja dan kanak-kanaknya adalah kenangan lalu. Bagi si tua, sedari kanak-kanak itulah rakaman hayatnya yang terdahulu. Begitulah manusia, hari semalam itu ibarat nostalgia, hari esok bagai mimpi-mimpi yang baru.

Pengalaman indah, manis, dan baik-baik, mudah saja kita mainkan kembali memori itu. Sebaliknya, kisah negatif yang pernah berlaku pada diri kita, jarang sekali terpetik di minda. Pasti mustahil andai kita dengan duduk-duduk begitu saja, berjaya mengingat kejadian buruk itu. Siapakah kita, andai kenangan pahit itu berjaya dilupakan?

Kecuali dengan satu cara. Iaitu, apabila kau berpijak pada tanah yang menjadi saksi akan kejadian tadi. Atau dengan tiba-tiba kau bertentang mata dengan insan-insan yang bersangkutan dengannya.

Kemudian, kita konon berlagak, mendabik dada seraya mengaku,

Aku sudah lupakan hal pahit yang dulu-dulu.

Sedang di dada masih terpuruk rasa malu dan benci, mengapa ia pernah berlaku pada diri sendiri?

Kerana itu, aku cukup menghindar daripada berada di lokasi, atau menyerempak dengan mereka yang berkait nostalgia terburukku. Melainkan, saat aku sudah cukup tua,  cukup fikir yang ranum, cukup tenung yang dalam. Biar uban berebutan di kepala, atau rambut berkejaran cabut dari akarnya. Waktu itu aku pasti kan cukup kuat mengenang kesemuanya.

Adakah saat itu, aku bakal digelar makhluk Tuhan paling lewat? Mungkin, ya. Namun, biarlah…

Asalkan, saat terpetiknya kenangan lampau, istighfarku dibalut syahdu yang mencengkam. Pipiku dihujan permata yang mahal. Khusyukku pada Dia moga mencapai tangga yang meloncatkan. Dahiku biar kejung, legam, mencium sahabatnya, sejadah. Tanganku bersalam teman yang sering mengingatkan.

Setiap bait istighfarmu usai solat, mainkan semula rakaman dosa-dosa yang terdahulu. Nescaya sepanjang taubatmu itu, diakrabi sang airmata (yang dirindu Tuhan).

Kau tanyakan padaku, adakah aku lupa akan kisah pahit itu? Jawapanku, tidak.

Continue...


Dingin Angin Mediterenian

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:10 AM 0 comments


BERITA jam lapan sedang ke udara. Pandangannya ditumpukan ke skrin kaca. Perhatian diberikan segenapnya. Menyorot inti utama berita. Berita yang berlegar-legar dalam skop yang itu juga. Topik yang sentiasa menjadi pertikaian. Tidak pernah berkesudahan.

Dia mengerutkan dahinya. Sesekali mendengus. Muak dengan perkembangan yang disampaikan. Liputan sidang damai yang sedang berlangsung di Tel Aviv di antara Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Pertemuan diplomasi yang sudah termakruf akan natijahnya. Ucapan kedua-duanya juga diselang-selikan dengan sedutan beberapa siri sidang damai yang telah lalu, yang tidak pernah mendatangkan manfaat bagi Islam.

Melambat-lambatkan kebangkitan! Remote-control ditekan. Televisyen padam serta merta. Tubuh yang letih disandarkan ke sofa lembut. Matanya melilau mengitari ruang tamu. Di depan ada almari. Di atasnya ada televisyen, piala, medal, bunga, dan susunan buku. Sebuah radio tua mengisi di sudut kanan. Di dinding, ada foto berbingkai. Gambar Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Ziyad merenung kubah kuning keemasan yang seakan-akan maya. Lama. 
Tidak semena-mena rindunya terhadap Quds tanah airnya semacam melimpah.

“Jangan engkau kuatkan azam untuk mendatangi melainkan yang tiga ini: Masjidil Haram, Masjidil Aqsa, dan Masjidku ini.”

Suara uzur bapanya menuturkan hadis itu memancing tumpuannya. Buku yang sedang dibaca segera dikatup. Ziyad menghadapi bapanya. Memandang wajah tua yang putih bersih.

“Bapa teringatkan Quds?” sapanya. Dia melihat mata lelaki itu berkaca. Syeikh Mahfodz tersenyum.

“Aku sedih. Umat Islam sekarang tak dapat melakukan apa yang disabda oleh Rasulullah SAW,” luahnya, bernada kesal.

Matanya yang agak terperosok ke dalam meneliti mashaf al-Quran yang lusuh. Menghayati maknanya barangkali. Bapanya seorang ulama. Seorang tokoh mujahid yang kehilangan tanah air dan telah dilupakan.

Ziyad terus memandang bapanya yang lumpuh. Menanti-nanti kalimat yang bakal terluah. Dia tahu; bila bapanya berkeadaan begitu, ada sesuatu yang ingin diberitahu. Mungkin tentang mimpinya yang semakin gharib kebelakangan ini. Bapanya pernah bermimipi Perang Teluk akan terjadi. Dan mimpi bapanya terbukti benar.

Syeikh Mahfodz mulai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya terpejam. Dia hafiz. Ziyad hanya mendengar. Surah al-Isra', ayat satu hingga lapan. Dibaca secara tartil. Sayu.

“Quds adalah kiblat asal kita sebelum diubah ke Kaabah.” Dia menutup mashaf. “Masjidil Aqsa sudah sebati dengan jiwa aku. Aku membesar di situ. Belajar di situ. Madrasah tarbiah yang telah membentuk sakhsiahku.” Ziyad mengangguk. Dia tahu asal-usul meraka. 
Sejarah bapanya menentang penjajahan Yahudi. Bapanya berasal dari Rafah di Tebing Barat.

Tetapi dibesarkan di pinggir Masjidil Aqsa. Sejak berhijrah ke Jordan, bapanya tidak pulang-pulang ke Palestin. Kesemua ahli keluarganya terbunuh dalam perang, kecuali dia dan adik lelakinya yang masih menetap di sana.

“Mengapa bapa? Ada yang tak kena?” Ziyad terus menyoal. Dia sedar bapanya mahu mengungkapkan sesuatu.

Syeikh Mahfodz menatap wajah anaknya dalam-dalam. Kemudian mengangkat tangannya. Ziyad merapati bapanya. Lantas memeluk lelaki itu.

“Aku mahu kau juga jadi seorang pejuang.”

Air mata bapanya membasahi bahu. Air mata seorang bekas pejuang yang tua dan lumpuh. 
Dia mengerti bapanya amat kesal kerana menjadi pelarian ke Jordan, sementara adiknya masih lagi berjihad. Keadaan waktu itu yang mendesak, yang memaksanya lari ke Jordan. Mereka tiada senjata untuk melawan. Sekadar membiarkan leher disembelih Yahudi tanpa sebarang ikhtiar, bukan caranya.Sebab itulah yang membawa bapanya ke sini. Biarpun telah beberapa dekad ia berlalu, namun semangat jihad itu masih seperti dulu.

Bayu padang pasir yang berhembus menggoyangkan langsir. Ziyad kembali dari imbauan lampau. Dia mengesat birai matanya yang sedikit basah.

Terngiang-ngiang pesan bapanya di gegendang. Hajat bapanya yang mahu dia menjadi pejuang; menyambung sisa-sisa perjuangannya sewaktu muda dulu.

Dua minggu selepas peristiwa itu, bapanya meninggal setelah angin ahmarnya menyerang lagi. Itu empat tahun yang lalu. Sekarang dia mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Siasah Universiti Yarmouk, Irbid. Pengajian politiknya akan berakhir musim panas ini. Tetapi, akhir-akhir ini dia sering terpanggil. Bayangan Masjidil Aqsa acapkali mengganggu tidurnya.

Kerinduannya terhadap bumi berkat itu semakin membara. Mungkin perlu dia menziarahi Palestin buat kali pertama.

Thariq yang muncul dari dapur menghidupkan radio. Di tangan kanannya sepinggan humus dan falafil. Tangan kirinya menatang teko dan roti. Habibi Ya Nural Ain dendangan Amru Dhiyab sedang berkumandang. Keheningan segera terisi. Ziyad menceber. Irama arab cukup dibenci. Faudho.

“Sudah berapa kali aku kata, usah ingat dia lagi. Nawwal tak sesuai dengan kau. Dia Masihi. Pegangan kita jauh berbeza.” Thariq mengomel. Ziyad menggeleng-geleng. Kesal dengan anggapan itu. Adiknya yang satu ini memang sering menuduhnya menggilai Nawwal – gadis Kristian yang menjadi rakan sekuliah.

“Apa kena kau ni? Aku dah lupakan dia,” tegasnya. Dia mencubit roti, lalu dicecah dengan humus sebelum disuap ke mulut. Thariq mencapai majalah Al- Mujtama'. Menatap sekali imbas ilustrasi muka depan. Kemudian menyelak helaian demi helaian.

“Aku nak ke Quds cuti musim bunga ini.”

Thariq masih leka membaca. Telinganya gagal menangkap jelas apa yang dituturkan. Ditambah suara Amru Dhiyab yang lantang.

“Aku akan ke Quds sebelum semester musim panas ini,” luah Ziyad sekali lagi.

“Kau gila?” Mata Thariq terbeliak. “Engkau tu tinggal satu semester lagi. Ingat sikit, sejak 
Netanyahu berkuasa, semangat anti-Arab semakin berleluasa. Semua pelawat dari Jordan disyaki pengintip.” Al-Mujtama' dicampak ke tepi. Dia tidak setuju dengan keinginan abangnya. Niat itu suci, tetapi agak gila.

Ziyad tersenyum polos.

“Adik, barangkali kau dah lupa pesan bapa. Lagipun, Pakcik Ma'mun ada di sana. Mereka 
juga keluarga kita kan.”

“Aku tau. Tapi kenapa kau terburu-buru? Kau ada satu semester saja lagi. Ibu tentu tak setuju. Nahas kalau terjadi apa-apa.” Thariq memandang tepat wajah abangnya. Meminta penjelasan.

Ziyad geleng. Hatinya sudah bulat untuk ke Baitul Maqdis awal Jun nanti. Sudah lama dia memikirkan keinginannya yang satu ini. Semangatnya untuk menyaksikan sendiri intifadhah muslimin Palestin meluap-luap. Kalau ibunya tidak setuju, tahulah dia bagaimana mahu memujuk. Jus limau yang masih berbaki diteguknya sekali.

“Untuk apa takut? Ajal maut di tangan Tuhan,” selanya seraya bingkas dan melangkah ke kamar.

Thariq terkasima. Memandang roti, humus,dan falafil yang terbiar. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengar.
* * *
Makcik Sarah menghidangkan sepiring kinafah yang telah dipotong. Bibirnya dari tadi sentiasa mengukir senyum. Gembira dengan kedatangan anak saudaranya. Pakcik Ma'mun menghirup teh yang masih berasap. Aroma herbanya menusuk hidung. Sementara Ziyad mengeluarkan buah tangan yang dibawanya dari Jordan. Kiriman ibu.

“Jordan masih macam dulu, pakcik,” selanya. Hadiah bertukar tangan.

Makcik Sarah yang peramah tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.

Ziyad senyum. Hatinya terharu, selebihnya bersyukur. Dia sendiri tidak menyangka akan berada di rumah bapa saudaranya. Setelah berjam-jam bersoal jawab di kedutaan, bahkan disoal siasat hampir sehari suntuk di sempadan, dia akhirnya beroleh visa. Bebas untuk menginjaki tanah airnya.

Tidak ramai rakyat Jordan yang beruntung dapat masuk ke Palestin.

“Lama betul pakcik tak ke sana, sejak kematian arwah bapa kau. Cuma, selalu juga ikut perkembangan di televisyen.”

“Sama saja, pakcik. Baik di Jordan, Lebanon, mahupun Palestin. Nasib kita orang Islam tak pernah berubah. Ditindas, ditekan di mana-mana.”

Siaran televisyen Israel 2 ketika itu sedang menyiarkan pertemuan Raja Hussein Jordan dengan Bill Clinton di Rumah Putih. Ziyad mencemik. Meluat dengan lakonan Barat. 
Sandiwara mereka tidak pernah tamat. Macam-macam muslihat yang dibuat. “Tengok tu. Sidang damai tak pernah putus. Tapi, semuanya membuang masa. Membuang duit.” Ada nada kesal dalam suara Ziyad. “Begitulah pemimpin kita … kalau sudah dicucuk hidung.”

Pakcik Ma'mun mengangguk. Segalanya sudah termaklum. Pemimpin Arab tidak pernah mahu bersatu. Saling bertelagah. Terlalu mengikut telunjuk Barat. Sedangkan kezaliman Yahudi kian bermaharajalela. Rakyat jugalah yang menjadi mangsa. Seinci demi seinci bumi mereka dirampas.

“Pakcik dah tak mampu nak aktif macam dulu. Selalu sangat uzur. Tak daya lagi nak berintifadhah. Cuma tinggal Munzir saja harapan kami.”

“Emm … hampir terlupa saya. Ke mana dia?” Ingatannya cuba membayangkan sepupunya itu. Sudah empat tahun tidak bertemu. Kali terakhir ketika kematian bapanya. Mereka hampir sebaya. Pelajar Universiti Hebron itu barangkali sudah bekerja.

“Dia keluar sejak pagi.” Pandangan Pakcik Ma'mun tertancap pada jam di dinding.
“Selalunya dia dah pulang waktu begini.”

Ziyad menjamah kinafah buatan Nablus yang terbiar sejak tadi. Cukup manis. Sekali-sekala matanya terpandang kelibat Sandora sepupunya yang berulang-alik ke dapur. Gadis itu cukup menjaga aurat dan pergaulannya.

Gadis-gadis arab memang terpelihara. Tidak sewenang-wenang bercampur dengan lelaki ajnabi.

Seketika, loceng berbunyi. Seorang lelaki muncul di pintu. Munzir yang baru pulang masuk ke ruang tamu. Terkejut campur gembira melihat kehadiran sepupunya. Ziyad bingkas. Mereka segera bersalaman, berpelukan.

Dan akhirnya sama-sama duduk di kusyen lusuh.

“Ke mana kau tadi?” tanya bapanya.

“Bayt Lehem. Ada pertemuan dengan pelajar. Dengar cerita, lusa ada rapat umum di Hebron. Netanyahu dan pimpinan tertinggi Likud akan melawat penempatan Yahudi di sana.”

Ziyad sekadar mendengar. Di hatinya terbetik rasa tidak sabar. Dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin dari keluarga ini. Malah, dia mahu merasai sendiri derita Palestin yang sekadar didengar sekian lama.

“Kau terlibat?” Dia memandang Munzir. Lelaki yang melilit serban merah di leher itu memang bercirikan seorang mujahid. Dengan tarbus merah di kepala; mirip Hassan al-Banna.  Tampak berani dan cekal.

Angguk. “20 ribu penduduk asal Muslim diusir. 400 pendatang haram Yahudi dari Amerika akan membuka penempatan baru di sana. Kami akan berdemonstrasi.”
* * *
Selesai solat zuhur di Masjidil Aqsa, mereka meneruskan perjalanan ke Hebron kira-kira 60 kilometer ke selatan Quds. Munzir di sebelahnya sentiasa berzikir. Dua lagi rakan Munzir yang berada di depan hanya menyepi.

Ziyad banyak membuang pandangannya ke luar. Tembok Baitul Maqdis semakin ditinggalkan di belakang. Di kiri kanan jalan, poster Netanyahu begitu banyak tertampal di sana sini. Beberapa slogan Yahudi juga turut terpampang sekali.

‘Tidak bermakna Israel tanpa Quds, tidak bermakna Quds tanpa Haikal'.

Propaganda Yahudi itu menjengah ruang mata. Sempat dia membaca tulisan besar di tepi jalan yang ditulis dalam bahasa Arab. Tadi, semasa tiba di Masjidil Aqsa, dia ingin melihat sendiri pembinaan terowong Haikal Sulaiman yang digembar-gemburkan. Tetapi, Munzir melarang. Telah ramai yang tidak pulang katanya bila mendekati kawasan itu. Hati Ziyad berasa amat benci dengan Yahudi. Perangai mereka pun tidak pernah berubah sejak dahulu.
Tamak. Suka menindas. Memang wajarlah mereka dilaknat di dalam al-Quran.

Mereka melewati Bayt Lehem sebelum terus ke selatan. Ziyad teringat cerita bapanya. Saudara-maranya begitu ramai tinggal di bandar tempat kelahiran Nabi Isa AS ini. Itu dulu. Tetapi sejurus terjadinya Perang Arab-Israel pada 1967, ramai yang maut. Ada juga yang menjadi pelarian ke Lebanon.

“Sebelum sampai di sana, perbetulkanlah niat kita. Sekiranya kita ditakdirkan mati, biarlah sebagai syahid.” Munzir yang tadinya ralit berzikir menuturkannya. Mulutnya masih terkumat-kamit. Di wajahnya tiada sebarang kegentaran. Tenang. Ziyad mulai menghitung-hitung dirinya. Mentajdid niatnya kembali. Tidak pernah dia bermimpi akan berada di sini. Merasai detik-detik perjuangan. Alangkah baiknya, jika Thariq turut ada bersama. Kendatipun dia bersyukur, adiknya sanggup menjaga ibu dan keluarga 
sepemergiannya.

Perjalanan tidak terasa terlalu lama. Masing-masing asyik dalam zikir. Sepuluh minit, dua puluh minit. Sebentar kemudian mereka tiba di sebuah bandar. Di sebuah papan tanda tertera perkataan ‘Al-Khalil', atau Hebron dalam bahasa Ibrani. Ziyad memandang sepupunya.

“Rapat umum itu bermula pukul berapa?”

“Dua.” Munzir menjawab sepatah. Bibirnya sentiasa basah. Zikirnya semakin deras.

Ziyad mengelih jam. 1:45 petang. Kereta terus bergerak. Satu kilometer kemudian kereta berhenti. Di luar, ratusan anak muda sudah menanti. Lengkap bersepanduk. Rata-ratanya menutup muka dengan kain serban; mengela dicam pihak berkuasa. Laungan takbir berbaur suara manusia menjadikan suasana agak bingit.

Ziyad sekadar melihat. Suasana begini terlalu asing baginya. Dia menuruti sahaja langkah Munzir. Lelaki bertarbus itu begitu sibuk. Bergegas ke sana ke mari. Bagai seorang ketua, setiap katanya akan dipatuhi. Dia begitu dihormati.

Munzir mencapai pembesar suara. Kemudiannya, berucap seketika. Sejurus itu, mereka mula berarak perlahan-lahan menuju ke pusat bandar. Gema takbir terus kedengaran. Mereka mahu berdemonstrasi secara aman. Tatkala itu, matahari bersinar terik. Langit bersih membiru. Tiada sedikit pun awan yang berarak. Angin gurun yang bertiup dari tenggara sesekali mencium pipi.

Panas.

Ziyad terkejut apabila bahunya dicuit orang. Munzir yang tadi berada di barisan paling depan sudah berada di sebelahnya. Mereka kini berada di tengah-tengah perarakan. Beberapa orang kanak-kanak masih lagi sempat berkejaran di celah-celah ratusan manusia.

“Aku harap kau mendapat pengalaman yang paling berguna. Inilah perjuangan kami,” tutur Munzir. Suaranya masih dapat didengar sekalipun takbir kian kuat. Dia menyarung topeng kain ke muka. Tidak lagi bertarbus. Yang nampak, hanya dua biji matanya.

“Aku tak pernah bermimpi bersama-sama kalian.” Ziyad melilit serbannya ke paras hidung.

“Munzir, kau yang merancang semua ini?”

Lelaki itu mengangguk. Ziyad tidak terkejut. Dari tadi dia sudah menjangka, lelaki inilah yang memimpin golongan pelajar dan belia. Pengatur setiap ucapan, rusuhan, dan tunjuk perasaan selama ini. Dia berasa dirinya terlalu kecil. Mereka berdua hampir sebaya. 
Tetapi sepupunya nyata jauh lebih matang. Malah, sudah bergelar seorang pejuang!

“Jihad tidak semestinya dengan senjata. Yang penting, kerana Allah,” bisik

Munzir di telinganya sambil menguntum senyum. Mereka semakin hampir dengan pusat bandar. Ziyad cuba-cuba menyusup ke barisan hadapan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tembakan. Perarakan terbantut.

Orang ramai mulai kelam-kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Ledakan rifel bersimpang siur. Beberapa kedai di sekitar itu dihujani peluru sesat. Nun di depan, berderet-deret trak askar sedang menuju ke arah mereka.

Munzir segera menarik tangannya. Mereka berundur ke belakang. Berlindung di balik tembok sebuah kedai. Bom gas pemedih mata yang ditembak dari jauh bersepah di jalan. Askar-askar rejim Zionis semakin dekat. Beberapa orang pelajar yang tidak sempat melarikan diri ada yang rebah. Masing-masing panik. Tidak menyangka perarakan akan disekat sebegini cepat. Biasanya askar-askar Israel akan bertindak bila rakyat memberontak.

Namun para pelajar yang tadinya bertempiaran cuba bertindak balas. Mereka melastik dan membaling batu. Beberapa pelajar yang rebah mula menjadi mangsa. Dipukul tanpa belas kasihan. Beberapa orang lagi yang gagal melarikan diri diheret masuk ke trak. Munzir sempat mengarahkan beberapa orang melempar bom asap. Setidak-tidaknya akan mengabui lawan; membolehkan mereka melepaskan diri. Tanpa dijangka, beberapa jip muncul dari arah belakang. Masing-masing sudah kehilangan arah. Suasana menjadi semakin kalut. Mereka terkepung!

Munzir menjerit mengarahkan mereka supaya menyelamatkan diri. Dia gusar semakin ramai yang akan ditahan pihak berkuasa. Buruk padahnya. Mereka terus bertempiaran. Menerobos lorong-lorong di sekitar itu. Letusan senjata api di mana-mana. Jeritan dan tempikan mula kedengaran. Ada pelajar yang telah kena tembak. Ramai juga yang cedera.
Tanpa menoleh ke belakang lagi, Ziyad mengikuti derap sepupunya. Mereka berlari sekuat hati. Nahas jika tertangkap. Ada jip askar yang mengikuti di belakang.

“Kita kena khianat. Celaka. Ada orang bocorkan rahsia!” Munzir menyumpah-nyumpah. Langsung tidak menyangka rancangannya memprotes pengusiran penduduk asal Arab dikesan lebih awal. Tentu ada yang jadi tali barut.

Wajahnya membersut geram. Mereka terus berlari. Ziyad mulai termengah-mengah. Lariannya tidak sederas tadi. Masing-masing kehilangan nafas. Tidak semena-mena, Munzir
rebah. Mata Ziyad terbelalak melihat bahu sepupunya ditembusi peluru. Darah panas memancut-mancut keluar. Dia memangku Munzir.

“Lari!” Suruh Munzir, lirih. Tubuhnya semakin lemah. Ziyad menggeleng. Tidak tergamak meninggalkan Munzir keseorangan nazak di situ. Dia cuba memapah sepupunya. Namun apabila dia bangkit, beberapa orang lelaki bersenjata api sudah berada di sekelilingnya.
* * *
Irbid macam biasa. Malam kelam. Bulan agak terlindung. Namun tiada tanda-tanda hujan akan turun. Musim panas baru hendak bermula. Thariq berdiri di jendela kamarnya. Pandangannya dibuang ke luar. Telinganya menangkap suara pembaca berita stesen radio di Amman. Setiausaha Negara Amerika Syarikat dilaporkan akan menemui Benjamin Netanyahu di Tel Aviv untuk membincangkan proses damai di Timur Tengah. Thariq tidak berminat untuk terus mendengar. Semua itu pembohongan semata. Sidang damai tidak pernah menguntungkan Islam. Israel dan Amerika Syarikat sama sahaja. Cuma mereka yang masih tidak sedar.

Thariq mematikan radio. Nafasnya ditarik panjang-panjang. Sejak tadi, dia tidak keruan. Surat yang baru diterima dari Sandora hampir renyuk di tangan. Berita yang cukup menyedihkan. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberitahu ibunya. Atmanya sendiri hampir tidak terkawal. Sukar untuk menerima kenyataan.

Bayu dingin dari Mediterranean terus berpuput. Sejuk. Thariq merapatkan jendela. Detik itu, sebak mula menggempur di dada. Hatinya bagaikan merusuh dan meronta-ronta. Turut sama terasa derita Palestin yang kehilangan tanah airnya. Sedang dia pula baru kehilangan saudaranya. Nasib mereka barangkali memang telah ditakdirkan; serupa.
Continue...


Monday, August 22

Ketika Itu Ramadhan Hampir Berlalu

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 7:07 PM 0 comments



Hari tu, hari last day aku di Kelantan, sebab nanti semua dah nak bercuti. Kerana sambut hari raya aidilfitri. Tapi aku? Tiket bas pun lupa nak beli awal, dah kehabisan. Aku da risau ni, lagi berapa hari dah nak raya. Dah nak nangis je. Lastly, aku pergi wakaf bharu, Kelantan. Naik keretapi jela jawabnya.Sebab ni je yang paling dekat dengan kampus aku. Kat Kota Bahru nun.

Di dalam kocoh gerabak keretapi, sibuk penghuni perutnya bersilih ganti, aku masih sebegitu. Duduk di hujung sudut, di hadapan berdiri beberapa kerat manusia sambil memaut palang.

Jari telunjuk pun berjalan, mengunjuk setiap baris kata-kata Tuhan. Semuanya dibaca lidah tanpa sepatah bunyi, walau bibir bergerak rancak. Kalimahnya yang tercetak cilik terkadang membuat leher lenguh membengkok, mata terjegil.

Sesampainya di suatu rangkap, sekonyong-konyong tulisan itu kian berkabus. Pandangan berkaca. Satu persatu manik cairan putih menghentam helaian yang sedang terbuka. Dengan pantas jari telunjuk menggosok kelopaknya. Aku meneruskan bacaan, memaksa kesemua kabur tulisan itu ditancap mata.

Dan penghuni neraka menyeru penghuni syurga: ” Limpahkanlah kepada kami sedikit air atau makanan yang telah direzkikan Allah kepadamu.” Mereka (penghuni syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya itu atas orang-orang kafir (Al A’raaf, 50)

Selang beberapa kalimah, terhenti. Ya Tuhan. Sungguh. Di warkah bersama ini. aku tak bisa merungkaikan runtun jiwa ini dengan kata-kata. Jantung yang bergetar maha dahsyat membuat tubuh menggigil menahan sendu.

Lirikan senyum kau itu sering menghantui sembah sujudku. Melusuh tikar sejadah. Semuanya kerana kasih dan sayangku padamu, wahai kawan. Kau berwatak tak tumpah seperti abang kandungku.

**********

“Aku nak ikut kau buka puasa di Kota Bahru dengan Azmi. Please..

- “Terpulang. Tapi, nanti kau akan rasa lain dengan kami.”

“Rasa lain? Rasa apa? Don’t worry la Saad, macamlah kau tak kenal aku yang steady ni. Haha.”

Gelak tawanya masih tak mencuitku. Aku tetap berwajah serius.

- “Kau akan menjamu selera seperti makan yang biasa. Seronok kita nanti berbeza.”

“Oh really? Kenapa begitu?”

kening berkerut, seribu tanda tanya.

“Orang berpuasa ini ada dua jenis kegembiraannya. Satu, gembira tika makan berbuka, dan satu lagi gembira tika menemui tuhanNya. Kau jangan jealous dengan kegembiraan kami nanti. Hehe..”
sambil tersenyum, bersungguh aku memancing dia.

“Fuhh… Aku nak rasalah kegembiraan tika berbuka tu. Saad, aku nak puasa esok!”

Gulp. Tertelan tenggorokan dibuatnya. Sedikit terkujat. Bimbang juga sahabatku ini nanti tak upaya melaksanakannya. Pertama kali dalam hidup, dia tak pernah ada pengalaman berpuasa.

“Ala. Relaxlah. Aku cuma mencuba. Nak rasa ‘kegembiraan’ macam kau semua rasa.”

bersungguh dia memberi sejuta keyakinan.

**********

Slrupp..

sambil mata tertutup, dia mencicip air sejuk, sedang tangan kanan memegang tamar. Terdiam sepuluh detik.

Thanks God. Patutlah aku tengok orang berbuka begitu bahagia.”

Sebelum berpisah, kami berpelukan erat. Tanpa dapat aku mengawal syahdu. Airmata berjatuhan lagi. Hari ini, aku menangis, kerana kegembiraan kita menyambut kejayaan bersama.

Maafkan aku, sahabatku. Lembaran kenangan kita mungkin sampai di sini saja. Walau bumi terbelah dua, awan meruntuh bersepahan, takdir ini tak dapat diubah lagi.

Hari ini juga, aku menangis, kerana kita yang sudah sedarah sedaging, tidak akan ketemu lagi selepas ini. Aku menangis, kerana aku tak sanggup membayangkan tawa riangmu itu, bertukar jerit pekik menanggung seksa neraka nanti. Aku menangis kerna aku bimbang sebelum sempat menyelamatkan syahadahmu, tak dapat kita mengecap sentosa bersama seperti yang kita lalui selama ini.

Ya Tuhan. Peliharalah gembira kejayaan kami, hingga ke gerbang syurgaMu nanti. Jangan kau leraikan jujur kasih sayang ini.. di antara kami.. sesama kita dengan Ilahi.

**********

Aku teringat akan kata-kata seorang ikhwah kita. Mencari hati di malam terakhir Ramadhan. Kau bersama kami di akhir Ramadhan. Adakah Allah memberikan di kau hidayah-Nya?

Kau juga pernah berkata pada diriku. Manfaatkan pada bulan kami berpuasa dengan mencari kunci hati kita? Kenapa? Kerana di situ ada jalan yang mudah untuk diri kita.

Aku tersentak. Emosiku dibantut oleh sepotong tangan yang menghulur helaian tisu. Suasana gerabak keretapi menjadi sepi. Kesemuanya berwajah kasihan, melihatkan esak tangisku yang menghambat mereka. Al-Quran itu basah lagi.

Sahabatku. Selepas aku bertukar ke Politeknik Merlimau, Melaka kau selalu menghubungi aku. Merisik khabar orang yang jauh. Moga di kau di kurniakan hidayah.

Mungkin semalam, nostalgia Ramadan terakhir kita. Barangkali. 


Continue...