Followers

Monday, June 25

Ramadhan Akan Menjelma Lagi

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 8:17 PM 0 comments




Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda diberikan satu tempoh masa untuk melakukan sesuatu dan setelah tempoh itu habis, maka anda dilarang dari melakukan perkara tersebut? Sekiranya perkara ini terjadi, maka apakah tindakan yang akan anda lakukan?

Sebagai contoh, anda diberi masa sebulan untuk menyiapkan sebuah kereta untuk satu perlumbaan. Setelah tempoh sebulan berlalu, anda tidak dibenarkan lagi melakukan apa-apa. Sudah tentu anda akan menggunakan masa sebulan itu dengan sebaik mungkin untuk menyediakan kereta yang terbaik. Tayar terbaik digunakan, minyak mencukupi dan berkualiti, badan kereta yang sesuai untuk berlumba dan bermacam-macam lagi yang anda lakukan.

Berdasarkan tajuk kali ini, pernahkah anda terfikir bahawa syaitan juga akan menggunakan masa dan peluang yang ada dengan semaksima dan sebaik mungkin untuk persiapan melalui bulan Ramadan?

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Daripada Rasulullah SAW:

“Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu  syaitan-syaitan”  (riwayat Bukhari)

Berdasarkan mafhum hadis ini, ketahuilah kita bahawa syaitan akan dibelenggu pada bulan Ramadan. Jadi sudah tentu syaitan akan menghasut, mengerahkan segala usaha, menggunakan segala tipu daya agar segala janji syaitan untuk menyesatkan manusia terlaksana walau dalam keadaan mereka dibelenggu di bulan Ramadan.

Nafsu manusia akan dilatih, disuap, dibelai dihidangkan dengan keseronokan dan keasyikan agar di bulan Ramadan nanti, ia akan menjadi raja yang memerintah manusia. Itulah yang sering terjadi. Walau di bulan Ramadan, masih ada kerosakan dan maksiat yang dilakukan manusia.

Dengan itu, ketahuilah kita bahawa masa atau fasa sebelum masuknya bulan Ramadan adalah fasa dan waktu yang sangat kritikal. Ia akan menentukan keberjayaan dan prestasi kita pada bulan Ramadan tersebut.

Sebagaimana nabi kita Muhammad SAW mendidik kita dengan doa seperti yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Rasulullah SAW, apabila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan – riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani.

Begitulah antara isyarat-isyarat yang baginda tunjukkan kepada kita. Pentingnya keberkatan dari Allah serta perlindungan dan rahmat-Nya pada fasa dan waktu sebelum kita memasuki bulan Ramadan.

Jadi,bagaimanakah caranya untuk kita persiapkan diri kita dalam tempoh waktu yang kritikal ini? Apakah yang perlu kita lakukan?

Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan antaranya:

1.    Seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW hendaklah kita selalu berdoa “Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Kerana hanya dengan hidayah dan kasih sayang Allah sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari nafsu dan syaitan.

2.      Bertaubat yang benar. Agar hati kita bersih dari belenggu dosa dan nafsu yang menyesatkan. Mudah bagi kita untuk melawan nafsu. Agar di bulan Ramadan, kita seperti kain putih yang ingin dicorakkan dengan tarbiyyah Allah SWT.


3.      Perbanyakkan puasa sunat kerana ia mampu mendidik dan melatih nafsu kita. Mengawal diri kita dari keinginan yang merosakkan. Puasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, puasa Isnin dan Khamis. Jika ada puasa yang perlu diganti, maka bersegeralah menggantikannya.

4.      Perbanyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Agar waktu-waktu terluang kita diisi dengan beribadah kepada Allah. Kerana jika tidak, sudah tentu kita akan mengisinya dengan perkara yang sia-sia dan maksiat.

5.      Menghidupkan suasana di rumah dan di tempat-tempat yang selalu kita ada seperti di tempat kerja dan juga di dalam kenderaan. Kita boleh menampal poster atau kad berkaitan Ramadan,memasang lagu Ramadan, menghantar SMS dan kad ucapan Ramadan, menanda kalendar agar kita sentiasa sedar akan kedatangan Ramadan dan bersedia untuk menyambutnya.

6.      Muhasabah diri. Sekiranya dalam tempoh waktu yang kritikal ini kita masih lagi leka dan alpa dengan perkara kemaksiatan dan perkara yang sia-sia seperti melihat perkara yang haram, melayan movie yang tidak elok, bermain game 24 jam, mencarut, membuang masa, meringan-ringankan sembahyang, maka ketika itu haruslah kita berhenti dan berazam meninggalkannya sebelum kita terlewat. Kerana apabila kita sudah biasa melakukannya, maka kita akan terbiasa melakukannya walau ketika bulan Ramadan.

7.      Melatih diri dari sekarang dengan bersedekah, qiamullail, berzikir, puasa sunat, membaca quran, melawan perasaan malas.

8.      Merancang Ramadan anda. Kalau boleh sediakan borang atau senarai perkara-perkara yang perlu dan ingin dicapai di bulan Ramadan. Seperti sasaran berapa kali hendak khatam, solat fardhu jemaah di masjid, qiamullail, sedekah dan lain-lain.

Itulah serba sedikit perkongsian persediaan-persediaan yang lebih utama kita lakukan dalam tempoh kritikal sebelum kita menyambut Ramadhan.

Rugilah bagi sesiapa yang melalui Ramadhan dan Allah tidak mengampunkan dosanya.



Continue...


Sunday, June 24

Tunang? Apa itu tunang?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:20 PM 2 comments

Apa Itu Pertunangan

Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimaterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.

Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?

Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan “booking kereta” sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di showroom kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 - RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.

Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam showroom, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan.

Walau bagaimanapun untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.

Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari showroom? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar injen sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.

Bayangkan kalau baru booking kereta, sudah begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama.

Sebenarnya dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa perkara yang diharuskan. Antaranya ialah:

1. Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.

2. Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.

3. Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.

4. Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.

5. Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.

Syariat Dipertahankan Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar.

Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.

Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.

Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.


Continue...


Sunday, June 17

Tudung Mu Jarang, Baju Mu Nipis

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 6:51 PM 0 comments


Apabila dikisahkan tentang peristiwa Isra’ wal Mikraj, di mana Nabi s.a.w mengatakan bahawa Baginda melihat ramai kaum wanita di neraka, maka ramai di kalangan muslimah kita merasa risau serta bimbang. Bimbang dengan keadaan kaum mereka yang dinyatakan banyak menjadi penghuni mereka. Bertitik tolak dari rasa bimbang, mereka berusaha menjaga diri mereka sewaktu di dunia dari segala aspek, supaya kelak mereka terselamat dari menjadi salah seorang penghuni neraka.
Dan inilah namanya Taqwa. Rasa takut dan bimbang dengan tempat tinggal kita apabila telah pergi tak kembali.
Kali ini, apa yang mahu ditulis adalah secebis daripada sokongan kepada usaha-usaha muslimah tersebut, iaitu supaya mereka dapat meningkatkan ‘ sistem kawalan ‘ ke atas diri mereka yang mungkin kadang-kadang terlepas pandang.
”SUIS” LELAKI
Wanita diciptakan Allah dengan penciptaan yang cukup berbeza dengan lelaki. Termasuk dalam bab syahwat. Kalau ditilik dalam ilmu seksologi, ransangan pada lelaki berbeza dengan ransangan kepada wanita. Ransangan atau ‘suis’ seorang lelaki lebih mudah terpetik meskipun hanya melalui pandangan.
Dek kerana itu, bab menjaga mata dan pandangan sangat dititikberatkan kepada kaum Adam. Dari kerana mata, rosak iman dalam hati dan menghamburlah nafsu ke dunia tak bertepi.
Namun begitu, keazaman seorang lelaki untuk menjaga mata dan pandangan akan menjadi sukar sekiranya tidak mendapat kerjasama dari wanita. Kata mudahnya, keadaan lelaki akan menjadi payah sekiranya ‘suis’ mereka sering terpetik dan dipetik oleh kaum wanita.
MASALAH PAKAIAN

Mungkin tajuk ini sering dibicarakan dengan memfokuskan kepada kaum wanita yang tidak ‘berbaju penuh’ atau kaum wanita yang mana terlampau kaya sehingga menjadi ‘miskin’ lalu pakaian yang dipakai juga berlubang di sana sini. Tetapi kali ini, fokus kita adalah kepada muslimah yang disebutkan ciri-ciri mereka di awal artikel.
Muslimah yang benar-benar mahu selamat dari Neraka Allah. Muslimah yang benar-benar mahu mengambil berat tentang aspek kawalan diri mereka.
Mereka-mereka ini, pakaiannya Alhamdulillah menutup aurat. Itu kalau mengikut tafsiran ramai manusia, bahawa menutup aurat adalah membalut tubuh, meskipun ketat atau longgar tetapi nipis. Adapun mengikut tafsiran syarak, itu belum dikira menutup aurat dengan sempurna.
Contohnya, mereka memakai baju kurung dan tudung. Katakan tudungnya tidaklah terlalu besar atau labuh, tetapi menutup bahagian dada. Tetapi JENIS KAIN kedua-duanya samada baju atau tudung adalah dari jenis yang nipis.
Bermakna, apabila mereka berdiri atau berjalan di bawah sinaran cahaya ( lampu atau matahari ) maka bentuk tubuh atau leher akan kelihatan dengan jelas ataupun samar-samar.

SENGAJA ATAU TIDAK

Timbul pula persoalan, mereka memang sengaja memilih pakaian atau jenis kain begitu ataupun tidak sengaja? Sebab, ada muslimah yang memang jenis suka bergaya. Terhalang kerana Islam tidak membenarkan ketat-ketat atau nampak bentuk tubuh, maka dipilih jenis kain yang nipis dan ‘boleh tembus’.
Ada juga muslimah yang mahu beriltizam dengan pakaian muslimah, tetapi keinginan untuk berfesyen itu tetap tinggi. Lalu dia memakai jubah dan menyarung kain lace. Apabila dilihat oleh lelaki, akan menimbulkan daya tarikan dan ‘suprise’ terhadap pakaian yang dipakainya.
Pada saya, ketepikan dulu soal dia sengaja atau tidak. Niat di dalam hati manusia hanya Allah Yang Maha Tahu. Kadang-kadang, kerana terlalu sibuk menduga dan mengkaji niat orang, kita tidak bertindak mendekati orang tersebut untuk ‘diselamatkan’. 
PERANAN

Kita perlu sedar, bukan semua orang yang beriltizam dengan pakaian muslimah seumpama jubah, tudung labuh, baju kurung, tudung menutupi dada dan sebagainya itu adalah orang yang berasal ataupun mendalami JURUSAN AGAMA. Atau pendek kata, mereka bukan semuanya ustazah.
Begitu juga, bukan semua ustazah atau jurusan agama itu pakaiannya seperti itu. Ada yang pakaiannya langsung tiada ciri-ciri pakaian mengikut syarak, bahkan ditambah dengan solekan tebal, perfume yang dapat dihidu sejauh dua batu dan sebagainya
Maka kita kembali kepada apa yang saya sebut di awal artikel, iaitu muslimah yang sifatnya mahukan Syurga Allah dan menggeruni Neraka Allah. Tidak kiralah dari jurusan apa sekalipun.
Niat yang baik perlu dikembarkan dengan ilmu yang benar. Memakai pakaian muslimah perlukan ilmu, barulah terbeza ciri-ciri jahiliah pada sesuatu pakaian. Kita risau, jika kita menyangka pakaian kita adalah menepati syarak namun hakikatnya telah tercampur dengan ciri jahiliah.
Justeru, kekurangan ilmu menjadi salah satu punca utama fenomena atau permasalahan tersebut. Ia perlu di atasi dengan mencari ilmu tersebut. Belajar dari guru meskipun tidak mampu menghadam setiap nas atau dalil.
Peranan muslimah yang telah sempurna pemakaiannya dan bebas dari permasalahan yang disebutkan pula adalah mendekati, memperbetulkan atau setidak-tidaknya mengangkat SYIAR pada pakaian yang kita pakai, supaya ia dapat dicontohi oleh rakan-rakan yang tahap kefahamannya tidak seperti kita.
PENUTUP

Jangan jadikan sikap kita sebagai penghalang untuk mereka beroleh kefahaman dan peningkatan dari segi berpakaian sama seperti kita. Asasnya, perlu difahami bahawa mereka juga adalah muslimah yang baik dan mahu terus menjadi baik.
Soal berfesyen mungkin saya tidak sentuh di sini. Tetapi soal jenis pakaian yang jarang dan nipis, ia sangat perlu diambil perhatian. Mudah-mudahan, dengan amalan saling menasihati dan menegur, akan berkuranglah amalan atau kebiasaan pemakaian seperti itu di kalangan muslimah kita.
Secara tidak langsung, ia memberi keselamatan kepada ‘bakal imam’ kita juga suatu hari nanti. Kita tentu tidak ingin menjadi ‘penekan suis’ atau ‘perosak iman’ kepada mereka, bukan?
Salam perubahan.


Continue...


Friday, June 8

Awak Saya Tak Nak Pakai Tudung Boleh?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 6:55 PM 0 comments




Assalamualaikum... pernah dengar tak ayat yang nadanya sebegini "buat apa saya nak hipokrit! saya memang jenis yang tak pakai tudung pun! inilah diri saya yang sebenar! buat apa nak berpura-pura.. orang yang pakai tudung tu pun bukannya baik sangat!" dan bila terdengar hujah sebegini, kita pun terpaku. lidah kita pun menjadi kelu. tak pandai nak berhujah rasanya dengan orang yng macam ni.. betul kan?

teringat kata-kata guru saya "jika sesuatu hujah tu dari seorang yang fasik, semestinya hujahnya rapuh. sebab yang menjadi inspirasi bagi orang fasik ialah syaitan.. dan tipudaya syaitan sangatlah lemah.."

mari kia analisis hujah tadi.. apabila kita berhadapan dengan orang sebegini.. kita seolah-olah dikaburi oleh sikapnya yang jujur dan tidak hipokrit.. justeru, yang nampak ialah kejujuran dan keluhuran budi orang yang berkata-kata.. namun, apa yang diselindungkan dari kita ialah kedurhakaannya pada perintah Allah.. seolah-olah dia berkata.. takpelah kalau derhaka pun asalkan dia jujur.. tak apelah kalau rambut saya buat maksiat, yang penting hati saya bersih.. betul kan?

jika kita berhadapan dengan orang sebegini, apa yang perlu kita buat? saya cadangkan beberapa step..

1- soal balas dia dengan ajukan pertanyaan.. siapa yang kata bahawa lebih baik tak pakai tudung tapi jujur daripada pakai tudung tapi hipokrit? ulamak mana yang kata? kitab mana? guru mana? kalau dia tak boleh nak jawab maka teranglah ulamaknya ialah syaitan.. kitabnya ialah syaitan dan gurunya ialah syaitan!

2- bagi dia satu persoalan dalam bentuk analogi: jika seorang ayah mempunyai dua orang anak yang jahat. seorang berpura-pura baik dan amat bersopan depan ayahnya, manakala yang sorang lagi terang-terang menunjukkan kejahatannya di depan ayah. soalan saya: siapakah yang akan kena pukul dahulu?

3- soalan lain: seorang pencuri yang berlakon alim, dengan seorang pencuri yang menzahirkan kejahatannya. yang mana kena tangkap dahulu?

4- selepas membaca analogi saya tadi apa pendapat anda? mana yang lebih baik? yang bertudung tapi hipokrit atau yang tidak bertudung tapi jujur?

begitulah step yang saya susun untuk berhujah dengan orang sebegini. apa yang penting, berusahalah untuk meletakkan kejujuran ditempat sepatutnya.. jangan disalahletakkan.. dan jangalah hendaknya kita meletakkan kasut di tangan sambil berkata, "saya meletakkan kasut di tangan disebabkan saya berjalan dengan kaki.. " seseorang yang waras sekali-kali tidak akan dapat memahami kata-kata anda itu..


Continue...