Followers

Tuesday, January 31

Taufik Merupakan Pelengkap Hidayah

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 5:34 PM 2 comments


Cahaya yang menyuluh jalan, menyebabkan aku senang untuk memandu pulang ke rumah. Kereta BMW 5 Series ku, aku pandu laju membelah kepekatan malam. Sudah berbulan-bulan aku tidak menjejakkan kaki ke kampung halaman. Tika aku termenung sendirian, hati kecil aku terdetik, kalau dalam kehidupan, manusia memerlukan cahaya sebagai penyuluh kehidupan lagikan pula kita yang selalu dalam kegelapan. Kita yang jauh dari zaman Rasulullah dan para sahabat. Yang mana mereka adalah pelopor dan pengikut Rasulullah. ‘ ah, aku begitu rindukan zaman itu. Zaman yang di terangi dengan cahaya.’

Bila di renungkan kembali, apabila kita sesat di jalan raya, kita pasti akan bertanya pada seseorang. Kita pasti akan menahan kereta atau kita berhenti sebentar di mana-mana samaada di kedai, mahupun di hentian rawat dan rehat. Kenapa kita nak berhenti? Atas asbab kita mahu bertanya pada yang mahir di mana petunjuk jalan.
Inilah contoh dalam kehidupan seharian kita. Dan ini jugalah conto hidayah Allah di dalam laluan hidup seorang hamba bagi melalui jalan Allah. Tanpa hidayah Allah, manusia tidak akan mendapat petunjuk.

Adakah Taufik Itu Pelengkap Hidayah?

Saya pernah di tanya soalan,

‘ Ustaz, adakah tanpa taufik itu orang tidak akan dapat mengetahui di mana hidayah Allah? Dan bagaimana hendak kita jalankan pabila kita telah mendapat hidayah Allah? Bukankah Allah itu Maha Memahami kepada Hamba-Nya?’

Sebelum itu, saya ingin menjelaskan apa itu akan makna dan maksud taufik itu sendiri.
Kalimah taufik berasal dari perkataan arab iaitu : Waffaqa, yuwaffiqu dan taufiqan.
Dalam kitab Taswuf Imam Ghazali ra, beliau ada menjelaskan mengenai makna taufik.

Taufik di maksudkan dengan pertolongan, petunjuk, kemenangan dan kesejahteraan.

Ia bermaksud, suatu kejayaan dalam melaksanakan dan mendapat kesempurnaan atas setiap amal soleh yang di kerjakan oleh seorang hamba. Taufik adalah kurniaan Allah bagi membimbing insane dalam melaksanakan tuntutan hidayah sehingga manusia mampu mentaati perintah dan berjaya menjauhi larangan Allah.

Soal di mana hidayah ALLAH bukanlah dalam urusan kita. Kita hanya mampu untuk meminta, berdoa supaya Allah mengurniakan kita hidayah tanpa putus.

….. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya). [sebahagian firman Allah surah al-baqarah ayat 213]

Taufik sama luas dengan hidayah daripada Allah dalam melaksanakan tuntutan syara’. Dalam membicarakan soal hidayah, ulama tafsir sebagaimana yang telah di bahaskan dalam tafsir munir oleh Dr Wahbah, hidayah terdiri daripada beberapa pecahan iaitu hidayah ilhami, hidayah hawasi, hidayah aqli, hidayah deeni dan hidayah taufiqi.

Oleh itu, memilih agama yang berada di dalam hak dan ketaaran memerlukan seorang hamba sentiasa memohon seupaya si kurnaiakan keupayaan seperti itu.

Hidayah dan Taufik Berjalan seiring

Dulu, tok ayah pernah berkata pada saya.

‘ad, sini kejap.’

‘ ada apa tok?’

‘ apa yang ad faham dengan taufiq dan hidayah Allah?’

Masa ni saya kecil lagi. Saya hanya menggelengkan kepala tanda saya tidak mengerti.

‘ cuba Ad tengok penciptaan langit dan bumi, semuanya berpasangankan? Yang langit pasangan dengan bumi, yang lelaki pasangan dengan wanita, cinta pasangan dengan benci. Dan, hidayah juga ada pasangannya iaitu taufik. Jika tidak ada salah satu, maka tidak lengkaplah hidup kita ni.’

‘ tok, apa tu hidayah, apa pula dengan taufik?’

‘Hidayah ni, adalah satu pemberian yang amat besar untuk diri kita. Iaitu cahaya. Taufik pula adalah satu cara yang bagaimana kita nak jalankan. Bagaimana kita nak atasi. Cuba Ad lihat jalan sekarang ni, ada cahaya bulan kan?’

Saya hanya mengganguk kepala.

‘ Setiap cahaya bulan yang menyuluh ke bumi, mesti ada tujuannya. Iaitu untuk memberi bantuan pada kita berjalan di atas muka bumi di kala dalam kegelapan. Cahaya bulan nil ah yang menolong kita atas arahan Allah supaya menyuluhkan cahayanya ke bumi. Tanpa arahan dari Allah, bulan tidak akan menyuluh pada diri kita supaya jalan yang kita lalui ini di terangi. Sama jugalah macam taufik dan hidayah Allah. Kita haruslah sentiasa meminta dari Allah taufik dan hidayah Allah. Supaya kita tidak tempang semasa dalam perjalanan.’
‘Habis tok yang macam sekarang ni. mereka dah Islam tapi tak jalankan syariat Islam. Macam mana? Tak pakai tudung, berzina sana sini. Macam mana tu tok? Adakah mereka tidak dapat hidayah atau tidak dapat taufik Allah?’

‘ Orang yang dah dalam agama Islam ni dah dapat hidayah Allah Ad, Cuma mereka tidak dapat taufik Allah.’

Saya tersenyum sendirian. Sebab sebelum ini akal saya hanya memikirkan. Hidayah itu milik Allah. Dan tanpa hidayah kita tidak boleh berjalan dan menyuluh kehidupan diri kita. Rupanya sekarang, hidayah dan taufik Allah adalah beriringan. Tanpa satu, tempanglah kita. Tabarakallah. Semoga Allah redha.

Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. [Hud :88]

Continue...


Wednesday, January 25

Berakhirnya Sebuah Panji

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 3:21 PM 1 comments

Kejatuhan Empayar Uthamaiyah

3 Mac 1924 merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La'natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah; "Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam" . 

Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah. Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah 'Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin 'Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata: 

"Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam yang bersabda: 

"Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.' Para sahabat bertanya: 'Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?' Baginda menjawab: 'Penuhilah bai'at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka"


Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah: 

"Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam" [TMQ al-Anbiya' 21:107] 

Malapetaka ketiadaan Khilafah 

Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan ke atas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara' secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah. 

Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh. 

Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka. Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001]. Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya! !! [100 ways of seeing an unequal world – Bob Sutcliffe]. Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini, sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit, mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga... 

Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas, hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin?? Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat. 

Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk 'dipelajari' bukan untuk diterapkan dan diamalkan. Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja ('ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.

Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara 'super power' AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia? 

Gambaran pemikiran umat Islam hari ini 

Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh. 

Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat. 

Kewajiban mendirikan Khilafah 

Pada saat ini umat Islam adalah bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya; kehinaan menimpa mereka di mana-mana. Mereka berusaha mencari kemuliaan dengan berbagai-bagai cara namun masih belum lagi menemuinya. Hakikatnya, inilah permasalahan 'hidup dan mati' yang dihadapi oleh umat hari ini. Satu-satunya penyelesaian yang tuntas adalah dengan menegakkan semula Khilafah. Benar, menegakkan Khilafah bukanlah semudah mengatakannnya. Untuk meraih kejayaan ini, umat haruslah bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya melalui pengkajian, pembinaan dan perjuangan yang tidak kenal lelah. Usaha keras untuk mengembalikan Islam sebagai ideologi yang mendominasi dunia ini bukan sahaja merupakan satu-satunya jalan yang harus ditempuh oleh kaum Muslimin, malah, ia merupakan kewajiban setiap muslim untuk melakukannya. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kamu..." [ an-Nisa' 4:59] 

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam juga bersabda yang bermaksud: "Siapa saja yang mati tanpa tanpa ada baiat (kepada imam/khalifah) di pundaknya, maka matinya adalah mati jahiliah" [HR Muslim].

Kedua-dua nas di atas menyatakan kewajiban setiap individu muslim untuk melantik (bai'at) pemimpin (Khalifah) yang akan menjaga urusan mereka. Namun kewajiban bai'at tersebut tidak akan terlaksana jika tidak ada orang yang hendak dibai'at. Oleh itu usaha untuk melantik atau mendirikan Khilafah itu sendiri menjadi pokok persoalan utama bagi memastikan tertegaknya Islam. 

Realiti musibah demi musibah yang menimpa umat pada hari ini juga menunjukkan bahawa tidak ada cara lain yang lebih utama untuk mengembalikan kemuliaan umat yang terbaik ini selain dengan mendirikan semula Khilafah 'ala minhaj an-nubuwwah. 

Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah; 

"Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah 'ala minhaj an-nubuwwah) , adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan 'Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah 'ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam."[HR Ahmad dan Baihaqi dari Nu├óman bin Basyir dari Hudzaifah] 

Jalan untuk mendirikan semula Khilafah 

Khilafah adalah bentuk sistem pemerintahan Islam seperti yang diamal dan dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam. Mendirikan Khilafah bukanlah usaha yang berbentuk individu, namun, ia merupakan usaha yang berbentuk jamaah. Bagi memastikan bahawa jamaah ini bergerak di atas jalan yang benar, ia haruslah memiliki fikrah (pemikiran) dan tariqah (jalan/kaedah) yang jelas dan benar. Dan kebenaran hanya dapat diperoleh dari nas yang kuat. Dengan kejelasan dan kebenaran fikrah dan tariqah ini, jamaah tersebut akan dapat bergerak memimpin umat menegakkan semula Khilafah. Pada masa yang sama, setiap individu muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh, bersama dengan jamaah ini ke arah mengembalikan kehidupan Islam. Ini sesuai dengan kaedah syara' yang berbunyi; 

"Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya maka ia menjadi wajib" 

Menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu kewajiban. Ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islam merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syara'. Kini Khilafah tidak wujud. Mewujudkan Khilafah menjadi suatu kewajiban dan tanpa jamaah, kewajiban ini tidak akan dapat dijalankan. Dan selagi jamaah ini masih belum berjaya menegakkan Khilafah, maka di atas setiap pundak kaum Muslimin ada kewajiban untuk bersama-sama jamaah ini menegakkan Islam. 

Jamaah ini haruslah berjuang dan beraktiviti sebagai sebuah parti politik, kerana aktiviti mendirikan negara, menguruskan negara dan menjaga urusan umat Islam adalah merupakan aktiviti politik. Syariat Islam tidak pula menetapkan bilangan jamaah yang harus ada bagi menjalankan aktiviti ini. Yang ditetapkan Islam adalah kewajiban mewujudkan jamaah untuk menyeru kepada Islam dan melakukan aktiviti amar ma'ruf dan nahi mungkar. Allah berfirman di dalam surah Al Imran ayat 104. 

"Dan hendaklah ada daripada kamu satu umat (jamaah); mereka menyeru kepada kebaikan mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah perkara munkar dan mereka adalah orang-orang yang berjaya" 

Wahai kaum muslimin, 

Semenjak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924, umat terus ditimpa musibah yang tidak putus-putus. Umat, meskipun berada dalam keadaan yang tertekan, terus berpecah-belah dan saling bertelagah. Namun keadaannya berbeza dengan kaum kuffar. Mereka bersatu mempertahankan Denmark ketika negara tersebut diancam dengan pemulauan. Kata-kata Presiden EU baru-baru ini mempertahankan pendirian Denmark untuk tidak meminta maaf kepada kaum Muslimin menghidupkan semula memori Perang Salib. Apakah peristiwa penghinaan ke atas Rasul, kezaliman Yahudi dan pencerobohan mereka ke atas Qiblah-al-awwal, penghinaan ke atas Al-Quran, penyiksaan ke atas tahanan Islam di Teluk Guantanamo dan Penjara Abu Ghareeb serta banyak lagi penyeksaan ke atas kaum Muslimin masih belum cukup bagi kita untuk menyadari bahawa tiada penyelesaian lain bagi kaum Muslimin kecuali dengan menegakkan Negara Islam Khilafah? Semoga Allah menanamkan kesedaran ini kepada kaum Muslimin dan mempercepatkan berdirinya Daulah Khilafah. Marilah kita sama-sama berdoa agar 3hb Mac tahun ini merupakan hari peringatan terakhir bagi kaum Muslimin sebelum kemenangan gilang-gemilang dikurniakan Allah kepada umat yang mulia ini!. 


Continue...


Tuesday, January 24

Cerpen: Air Itu Masih Lagi Mengalir

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 4:23 PM 1 comments


SEGALANYA masih segar. Masih teringat-ingat dan terdengar-dengar. Malah sudah beberapa kali saya ceritakan kepada kawan-kawan karib yang saya temui, , tentang cerita ini. Mereka seperti saya juga –akan menggeleng-geleng kepala – sukar untuk percaya. Namun, saya yakini, yang saya tidak bermimpi.

Ini cerita perjuangan. Cerita pertentangan yang belum berkesudahan – bahkan sudah mencecah beberapa dekad. Lantaran itu, saya suka sekali menitipkannya kepada sesiapa sebagai suatu tazkirah. Ia terjadi hampir dua bulan lalu, apabila kami melawat Mesir, menziarahi teman-teman di al-Azhar.

Saya yang mabuk laut terpaksa memilih jalan udara dari Amman terus ke Kaherah. Sementara dua lagi rakan saya, Zakuan dan Nushi, yang kekurangan ongkos, menaiki bot laju dari Teluk Aqabah ke Nuwaiba’, sebelum merentasi Semenanjung Sinai dan Terusan Suez. Ketika airbus Royal Jordanian mula menderu meninggalkan LTA Alia, pagi baru mendaki waktu duha. Di sebelah saya, seorang lelaki arab, sedang ralit dengan sebuah kitab di tangan. Langsung tidak terganggu dengan dengung enjin. 

Pesawat naik perlahan. Apabila isyarat larangan merokok dan tali pinggang bercantum terpadam, saya mula menyelak kitab Sayyid Qutb: Qabla wa Ba’dah Istisyhadihi (Sayyid Qutb: Sebelum dan Selepas Kematiannya) tulisan dari. Ukasyah Damanhurie yang saya temui di Maktabah lah-Risalah minggu lepas. Hampir seminggu saya merayau di serata Amman mencari buku ini. Penulisnya – seorang tokoh ulama – amat saya gemari. 
dari. Ukasyah menyebut: Beliau Sayyid Qutb Ibrahim Hussein Syazili, lahir pada 9 Oktober 1906, di Mosyah, dalam wilayah Asyut. Merupakan pemikir, pujangga, penulis, sasterawan, juga ulama ulung di Mesir pada kurun ke-20. Antara pendokong utama Ikhwanul Muslimin selepas kematian Imam Hasan al-Banna. Sudah terdidik dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Khatam menghafaz al-Quran sejak berumur 10 tahun. 

Sebagai penulis, Sayyid dikatakan paling banyak dicetak bukunya. Karyanya masih terus diterbitkan hingga kini malah diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Terutama tafsirnya “Fi Zilalil Quran” (Di Bawah Lindungan al-Quran) yang dianggap ‘karya agung’ oleh kebanyakan ulama. Sebagaimana petikan mukadimah tafsir itu yang berbunyi: Kehidupan di bawah lindungan al-Quran itu nikmat. Nikmat yang tidak akan dinikmati melainkan orang yang merasainya. 

“Kamu pelajar Malaysia?” tanya lelaki di sebelah saya sejurus memberi salam. 

Saya menggangguk. Menjawab salam perlahan. Memandang tampang bersih putih di sisi. Dalam lingkungan 60-an, memakai jubah putih, berserban dan igal yang melilit kepala. Saya yakin aroma harum yang diendus sejak tadi berasal dari syeikh berjambang putih-nipis ini. Dia tersenyum lebar, memuji-muji dan mendoakan saya – sebagaimana kelaziman orang arab, sebelum pandangannya berpindah ke kitab di tangan saya. Dan senyumnya tambah mesra. 

“saya kenal penulis buku ini, malahan As-Syahid Sayyid Qutb sendiri.” 

Saya ternganga. Terkebil-kebil. Semacam kurang percaya. Punggung saya sedikit mengisar. 

“Panggil saja Abu Yazid. saya asal Damanhur, Mesir. Menetap di Sweileh, Amman. Hajatnya mahu pulang ke tanah air.” 

“Saya dari Irbid, tapi bermalam di Sweileh malam tadi. Tuan hadir dalam kuliah selepas isyak oleh dari. Solah al-Khalidi di Masjid Abdurrahman Auf?” 

Dia mengangguk dan senyum lagi. Saya teringat kehadiran malam tadi yang tidak sampai 30 orang. Bagaimana saya boleh tidak perasan lelaki ini hadir? 

“Oh, sahabatku itu. Dia … err, dari. Solah ulama tawaduk. Tapi ilmunya, masya-Allah. Hampir segala-galanya dia tahu tentang Sayyid Qutb. Tesis Sarjana dan Doktor Falsafah’nya berupa kajian khusus tentang Sayyid Qutb dan tulisan-tulisannya.” Dia membetulkan kain serban merah-putih di bahunya, seterusnya menambah, “Memang kalian pelajar Malaysia bagus-bagus belaka. Cintakan ilmu dan suka mendekati ulama.” 

Dia mulai ramah, menanggalkan kaca mata, sebelum menutup kitab di tangan. Saya sempat mengelih judulnya: Nahwu As-Sohwah Al-Islamiyyah (Era Kebangkitan Islam) karya Fathi Yakan. Ternyata dia juga penggemar tulisan pemikir Lubnan itu seperti saya. Seterusnya, kami mula berbual pelbagai perkara. Dari tutur bicaranya yang fasih tersusun, saya dapat mengesan, dia seorang berilmu. Jarang orang arab mahu menggunakan bahasa arab secara baku. Dari thaqafahnya yang tampak luas, mampu bercakap soal agama-politik-sosial-sastera, saya merasakan dia bukan sembarangan orang! 

Dan yang agak menarik darihal lelaki ini adalah maklumatnya yang mantap tentang Sayyid Qutb, keluarganya, perjuangannya, hatta karya-karyanya! 

“saya sukakan syiir-syiir Sayyid. Kamu pelajar Kuliah Sastera tentu tidak sukar memahaminya.” 
Tanpa diminta, dia mula mengalunkan beberapa bait: 

“Ke sebuah pantai yang tidak diketahui 
ke suatu alam yang kurindukan pemandangannya 
ke suatu pinggir yang lain. 
Ke suatu yang tidak engkau ketahui 
ke suatu yang tidak akan engkau lihat 
petunjuk 
untuk zaman-zaman dan alam maya 
yang diamati. 
Ke suatu yang tidak dapat kaubezakan sempadannya 
ke suatu yang dilupakan oleh manusia, alam maya, dan masa.” 

Saya menikmati suara parau orang tua itu walaupun berasa kurang selesa, hinggalah seorang pramugari datang menghulur sarapan berupa kahwa dan teh, sedikit roti, mentega dan jem Belanda. Dia berhenti bersyiir, lalu mengacau gula di dalam kahwa yang masih berasap. 

“Saya belum pernah mendengar syiir itu sebelum ini.” 

“Itu syiir “As-Syathi’ Al-Majhul” (Pantai yang Tidak Diketahui) yang dikarangnya pada 1923. Pantai atau laut yang dimaksudkan adalah kehidupan kita. Yang tidak dapat kita ketahui kesudahannya,” Abu Yazid menjelaskan. 

“Syeikh begitu mengaguminya. Tentu banyak pengalaman tuan bersamanya.” 

Abu Yazid mengangguk-angguk sebelum menggeleng-geleng. Ternyata dia senang dengan kata-kata saya. Tetapi senyum tawar di bibirnya menghentikan niat saya untuk bertanya lebih lanjut. Dia kelihatan seperti tersentuh dan barangkali sedang memikirkan sesuatu – seraya menurunkan kerusinya. Bersandar dan memejam. Kitabnya diletakkan di atas dada. 

Lantas saya meneruskan pembacaan yang terbantut. 

Sayyid bukan sahaja menulis dalam bidang keagamaan, tetapi dianggap pengarang yang mempunyai kemahiran berbahasa, bergaya, dan sukar ditangkis hujahnya. Menulis dalam pelbagai genre. Malah pernah mengkritik gurunya sendiri –Abbas Mahmud Aqqad – dalam polemik yang dianggap penting dalam perkembangan sastera Islam. Dipenjara tetapi kekal prolifik menulis, sehinggalah bukunya yang terakhir, Ma’alim fi At-Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) akhirnya membawa beliau ke tali gantung! 

Lantaran kebijaksanaannya yang luar biasa, dan kecenderungannya kepada al-Quran dan idea-idea Islam yang agak membimbangkan kerajaan, beliau dihantar belajar ke Amerika Syarikat selama dua tahun. 

Bagaimanapun ketika di sana, beliau berasa hairan setelah melihat orang-orang Barat begitu gembira dengan pembunuhan Al-Banna pada 1949. Takjub dengan kejadian itu, beliau kembali ke Mesir, memimpin Revolusi Julai 1952, sebelum menyertai Ikhwan. 

Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya menyebut : Sayyid Qutb syahid yang hidup. Biarpun jasadnya mati, tetapi wawasan pemikiran Islaminya terus kekal. Dan sememangnya orang yang syahid itu tidak mati. 

“Janganlah kau menganggap bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati. Bahkan mereka itu hidup di sisi Allah dengan mendapat rezeki.” - (Ali Imran : 169) 

“saya pernah menemuinya. Iya, pernah mendapat tarbiah daripadanya, pernah bekerja bersama-sama dalam gerakan Islam.” Rupa-rupanya syeikh itu belum tidur lagi –mengejutkan saya yang asyik. Dia menghirup kahwa, mengejipkan matanya, dan menunduk. “Malah pernah sama-sama dipenjarakan.” 

Ayat sambungannya itu membeliakkan mata saya beberapa detik. Buku terus saya katup. 

“Beribu orang ditangkap pada Oktober 1954. Presiden Gamal Abdul Nasser membabitkan Ikhwan dalam perancangan membunuhnya.” 

“Syeikh anggota Ikhwan?” 

“saya waktu itu baru berusia 20 tahun. Mengaji di Darul Ulum. Tertarik dengan sahsiah Sayyid lalu menuruti jejaknya menyertai Ikhwan pada awal 1953. Pengaruh kami makin kuat waktu itu, tapi benarlah, Yahudi ada di mana-mana.” 

“Yahudi?” 

“Ya. Ada kajian yang mendakwa Gamal Abdul Nasser berdarah Yahudi. Wallahu-A’lam. Kalau tidak pun, memang pengaruh Yahudi di ‘balik tabir’ menguasai kerajaan waktu itu. Macam kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah juga, semua kerja Yahudi.” 

Saya menelan liur. Buku “Al-Yahudiyah” oleh dari. Ahmad Syalaby dan beberapa lagi buku berkaitan Zionis telah saya khatam. Tetapi maklumat orang tua ini membuat saya terasa pembacaan saya selama ini masih tidak seluas mana. Teringat pendedahan sebuah media Britain baru-baru ini. Sepuluh orang pemimpin arab semasa bersusur-galur Yahudi. Sekadar provokasi? Entah. 

“Sayyid dihukum penjara selama 15 tahun, sedang kami yang masih muda dan belum berpengalaman dilepaskan selepas berbelas bulan. As-Syahid diazab paling teruk di kalangan kami. Oh, Sijin Harbie, penjara yang takkan kulupa seumur hidup.” 

Dia menarik lengan jubahnya. Dua bilur panjang keperangan jelas kelihatan. 

“Ini terlalu sedikit jika dibandingkan rakan-rakan lain. Tapi saya … saya tidak tahan menanggung.” Suaranya tiba-tiba melirih. Abu Yazid terbatuk beberapa kali. “Ditambah desakan keluarga yang kuat. saya dihantar ke Damsyik untuk menyambung belajar.” 

Tangisan seorang bayi pecah tiba-tiba. Bau asap rokok menyucuk hidung. Seorang lelaki arab-Mesir kira-kira satu setengah meter di sebelah kiri Abu Yazid masih berselamba sekalipun dimarahi ibu bayi yang menangis. Tidak tahu langsung menghormati ketenteraman awam! 

“saya beroleh Sarjana, bernikah dengan wanita Syria dan kami dikurniai tiga cahaya mata, sebelum pulang ke Kaherah pada penghujung 1964. Waktu itu, Sayyid baru keluar penjara atas permintaan Presiden Iraq Abdul Salam Arif, tapi ditangkap semula pada Ogos 1965.” 
Sudah jelas sekarang, orang tua ini bukan calang-calang orang! 

“Jadi, tuan berada di Kaherah semasa hukuman mati dijatuhkan?” 
“Hari itu, 29 Ogos 1966. saya tidak mampu mengajar di kolej seperti biasa. Pelajar kusuruh pulang. Kami terlalu hiba dengan kematiannya. Dia digantung bersama dua sahabatnya Muhammad Yusof Hawasy dan Abdul Fattah Ismail. Gamal Abdul Naser terlalu kejam menuduh Sayyid cuba mencetuskan huru-hara. ” 

Abu Yazid terdiam. Barangkali segala peristiwa masih terbayang jelas. Lantas pandangan saya buang ke luar. Awan terlalu nipis membolehkan penglihatan tembus ke bawah. Tiada kehidupan selain lautan yang terbentang luas. Laut Merah kelihatan bersisik ditikam seminau matahari. Di sinikah Allah mengajar Firaun yang taghut itu? 

“Awal 70-an, ramai anggota Ikhwan yang musafir ke luar negara kerana tidak tahan dengan tekanan kuku besi pemerintah. Antaranya adik Sayyid, Muhammad Qutb yang menjadi profesor di Universiti Ummul Qura. Alhamdulillah. saya juga ditawarkan sebagai pensyarah di Universiti Jordan hingga sekarang. Jordan lebih terbuka, terutama pada zaman Raja Hussein. Agak selesa untuk saya terus berdakwah dan menulis.” 
Dia juga seorang penulis? 

“Tapi itu dulu, sejak kemangkatan Almarhum, banyak yang kurang menyenangkan,” luahnya kesal. 
Saya mengangguk tanda setuju. Memang banyak perubahan politik di Jordan akhir-akhir ini. Pejuang-pejuang Palestin yang tumpang berlindung tidak lagi mendapat keistimewaan seperti dulu. Ada pula ura-ura pejabat-pejabat cawangan HAMAS mahu ditutup seluruhnya. 

“Jadi, tuan juga menulis? Rasanya saya belum pernah membaca hasil tulisan tuan.” 
Dia mengulum senyum, semacam geli hati. 

“Kamu sedang membacanya.” 

Tubuh sedikit tersentak. Kali ini saya memandang wajahnya sungguh-sungguh. Dia inikah dari. Ukasyah? Subhan-Allah, dia ulama-penulis yang saya kagumi itu sebenarnya! Patutlah saya begitu tertarik dengan sahsiah lelaki ini sejak tadi. 

Lantas perbualan tentu sahaja semakin rancak sedang masa begitu gesit. 

“Saya mendapat tahu kitab-kitab tuan diharamkan di Mesir?” 

“Aiwah, sebenarnya. saya sendiri sejak Perang Teluk tidak ‘boleh’ kembali ke sana. saya beroleh suaka politik di Jordan. Entah bagaimana kerajaan Mesir boleh menarikbalik pengharaman ke atasku mulai tahun ini,” luahnya dengan wajah berseri. 

Saya diterpa rasa gharib. Bagaimana kerajaan Mesir boleh selembut itu sedang ramai lagi tokoh ulama Mesir yang tidak berani pulang? Kembali bermakna menghantar diri ke bilik berjeriji besi. 

“Lalu tuan syeikh pulang ini untuk menziarahi kaum kerabat yang lama ditinggalkan?” 

“Bukan itu saja. Kebetulan minggu depan, 29 Ogos, ada majlis memperingati syahidnya Sayyid yang ke-33. Ada jemputan, dan saya diminta berucap di majlis itu. Isteri dan anak-anakku melarang juga.” Dia bagai tahu apa yang bermain di kepala saya. “Dan kadang-kadang payah untuk percaya juga. Tapi, inilah kesempatan terbaik untuk bertemu rakan-rakan lama.” 

Saya ingin bersuara, tetapi suara kapten lebih dahulu bergema menerusi P.A. System, dan isyarat larangan merokok dan tali pingang bercantum menyala semula. Pesawat mula merendah. Suara penumpang lain mula beraduk dengan pengumuman pendaratan. 

Kurang lebih setengah jam kemudian, ketika menanti Irfan yang datang menjemput di lobi terminal, Abu Yazid gagal saya kesan. Dia hilang sewaktu kaunter imegresen faudho dikerumuni penumpang yang sukar diajar supaya berbaris di belakang garisan kuning. 

Seminggu pertama di Mesir saya habiskan dengan menziarahi kenalan dan menjejaki kesan-kesan sejarah. Merangkak untuk masuk ke Piramid di Giza, merayau dalam bazar-bazar di Al-Hussein, menjenguk jasad Ramses II (Firaun yang mati lemas) dalam kuboid kaca di Muzium Mesir, hinggalah ke tugu peringatan tempat Anwar Sadat ditembak. 

Dan petang awal September itu, saya, Zakuan, Nushi, dengan ditemani Irfan baru selesai memudiki Sungai Nil dengan bot kecil yang disewa, lalu kami singgah minum di gerai tebu berhampiran tebing. Suara pengunjung lain di tebing sungai itu berkacuh dengan bunyi kenderaan di jalanan. Ibu negara yang menampung lebih sepuluh juta penduduk ini tidak pernah sunyi. Senantiasa bingar. Angin sore pinggir Kaherah yang berpuput lembut memukul-mukul pipi. Sesekali kami terpaksa mengejip-ngejipkan mata - mengelak debu yang berterbangan. 

Irfan yang ditugaskan mencari ‘alas perut’ muncul dengan sebungkus syawarma dan senaskhah akhbar harian di tangan, sedikit termengah-mengah dan riaknya nampak cemas. Dia menepuk bahu saya dan menunjukkan berita muka depan. 

“Tengok ni. Diakah syeikh yang kauceritakan dulu?” 

Saya membaca selaju mungkin. Dada berdebar-debar seterusnya kepala saya geleng. Menghela nafas sebelum melepaskannya panjang. Terimbau wajah damai lelaki tua itu juga pertemuan kami yang singkat tetapi bermakna itu. 

“Kenapa?” tanya Nushi ingin tahu. 

“Hosni Mubarak cedera di tangannya akibat ditikam semasa melambai menerusi tingkap kereta ketika lawatannya di Port Said,” jelas Irfan seraya memandang saya, meminta penjelasan selanjutnya. 

“Walhasil … dari. Ukasyah ‘Abu Yazid’ Damanhurie dan berpuluh lagi anggota Ikhwanul Muslimin ditahan selepas Majlis Zikra Istisyhad baru-baru ini atas tuduhan merancang cuba membunuh presiden.” 

Saya merapati tembok tebing. Air tebu yang direguk terasa tawar. Sebiji batu sebesar dua ibu jari kaki saya kutip. Terasa sebak juga. Ada kepedihan yang tajam menikam hati. Gamal Abdul Nasser pernah bertindak sedemikian, dan kini sejarah berulang lagi. Realiti dunia Islam memang menyayatkan. Kebenaran masih jauh kelihatan. Konfrontasi menjadi resam. Pendokong Islam masih lagi dijebak dengan prasangka dan dikriminasi. Terlalu banyak mehnah yang merintangi jihad mereka rupanya. 

Saya berpaling ke arah mereka. 

“Jum!” 

“mahu ke mana?” Zakuan bertanya. Masing-masing terpinga-pinga. 

“mahu ikut jejak Sayyid Qutb, Hasan al-Banna, dari. Abdullah Azzam, dari. Fathi Syiqaqi, dan syuhada’ lainnya.” 
Batu saya lontarkan sekuat hati ke tengah sungai yang seakan tidak beralun. Air sedikit berkocak dan membentuk bulatan yang akhirnya hilang pupus dalam arus Nil yang terus mengalir. 
Continue...


Thursday, January 19

Yakin! InsyaAllah.. Pasti Ada Jalannya.

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:19 PM 1 comments

ALLAH telah menciptakan dunia untuk menguji manusia. Sebagai hamba yang sentiasa menerima ujian, kadang-kala DIA menguji manusia dengan kesenangan dan ada masanya dengan kesukaran. Individu yang tidak menilai setiap peristiwa dengan cahaya Al-Quran, gagal menanggapi hikmah di sebalik kejadian lalu lekas kecewa dan lemah pengharapan. Walau bagaimanapun, ALLAH tetap mendedahkan rahsia paling penting di dalam Al-Quran, di mana hanya hamba yang beriman dan bertaqwa sahaja yang mampu melihat. Rahsia yang dimaksudkan adalah seperti berikut:


“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)

Seperti mana yang ALLAH telah jelaskan pada ayat-ayat tersebut, walau apapun kesukaran yang dihadapi atau bagaimana ia diatasi, ALLAH menyediakan jalan keluar dan memberikan berita gembira buat hamba-hambaNYA yang beriman. Sesungguhnya, setiap hambaNYA akan dapat menyaksikan bahawa ALLAH sentiasa mengurniakan kemudahan pada kesulitan yang dialami selagi mana hambaNYA itu kekal sabar. Dalam firmanNYA yang lain, ALLAH memberikan khabar gembira berupa petunjuk dan rahmat buat para hamba yang sentiasa takut dan mengharap padaNYA.


“...Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluannya).” (Surah a-Talaq: 2-3)

ALLAH tidak akan membebankan seseorang melebihi kadar kemampuannya.


ALLAH Yang Maha Pemurah, Pengasih lagi Maha Adil menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran dan menguji manusia dalam lingkungan kemampuan mereka. Cara pengabadian seorang hamba kepada ALLAH, kepayahan yang diberi untuk menguji manusia, tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang, semuanya adalah pada kadar kemampuan individu itu. Inilah berita gembira buat manusia yang bertaqwa dan ia dijelmakan pada sifatNYA Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. ALLAH menyatakan rahsia ini di dalam firmanNYA:



“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil walaupun dia adalah kerabatmu, dan penuhilah janji ALLAH. Yang demikian itu diperintahkan ALLAH kepadamu agar kamu ingat.” (Surah al-An’aam: 152)

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-A’raf: 42)

“Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya.” (Surah al-Mukminun: 62)

Tidak sukar untuk hidup berlandaskan agama ALLAH

Ramai di kalangan kita beranggapan bahawa agama hanya akan menyulitkan kehidupan dan dipaksa untuk mematuhi pada hukum-hukumnya yang sukar dan payah. Ini hanyalah khayalan yang dibisikkan oleh syaitan bagi menyesatkan manusia. ALLAH dengan jelas menyatakan bahawa DIA pasti akan menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran hidup bagi hamba-hambaNYA yang beriman. Di samping itu, perkara-perkara asas dalam Islam seperti beriman kepada ALLAH juga qada’ dan qadar mampu meringankan beban, menghilangkan kesukaran juga mengelakkan diri daripada berputus asa atau murung. Mereka yang patuh pada hukum ALLAH tidak akan ditimpa rasa gundah, sedih atau putus asa. Di dalam firmanNYA, ALLAH berjanji untuk sentiasa membantu hambaNYA yang menyerah diri kepadaNYA dan yang membantu agamaNYA, dan akan mengurniakan kehidupan yang bahagia di dunia dan juga di akhirat kelak. ALLAH, yang tidak mungkin memungkiri janjiNYA, berfirman:


“Dan katakan kepada orang-orang yang bertaqwa: ‘Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘(ALLAH telah menurunkan) kebaikan.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa.” (Surah an-Nahl: 30)

ALLAH menyediakan berita gembira buat para hambaNYA yang beriman berupa kejayaan bagi mereka yang mematuhi agamaNYA:



“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan ALLAH) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyediakan baginya jalan yang mudah.” (Surah al-Layl: 5-7)

Dengan pendedahan rahsia ini, barangsiapa yang memilih untuk patuh pada agamaNYA sedari awal dengan penuh ikhlas, maka mereka telah mengambil jalan paling mudah yang membawa kepada kejayaan dan kelebihan di dunia dan akhirat. Sebaliknya pula berlaku kepada mereka yang tidak beriman. Mereka diselubungi kegundahan, kesedihan juga kerugian di dunia juga di akhirat kelak. Pada saat mereka memilih untuk tidak beriman, mereka kehilangan dunia apatah lagi akhirat. Ini dinyatakan pada firmanNYA:


“Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.” (Surah al-Layl: 8-10)

ALLAH, Tuhan Yang Maha Memiliki juga Maha Menciptakan segala. Pastinya kekuasaan dan pertolonganNYA melebihi apa yang dapat diberikan oleh manusia apabila seseorang itu mengharapkan keakraban, bantuan dan sokongan ALLAH semata-mata. Mereka yang mengambil ALLAH sebagai tempat bergantung dan menyerahkan segalanya pada ALLAH akan hidup dengan limpahan anugerah dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat tanpa rasa bimbang akan apa-apa yang dapat memudaratkannya. Oleh kerana itu, setiap manusia yang bijak dan percaya pada kata hatinya perlu memahami setiap rahsia yang tersimpan di dalam Al-Quran lalu memilih jalan yang lurus dan diredhaiNYA. Manusia yang tidak beriman tidak akan dapat memahami bahawa fakta yang jelas ini merupakan sebuah rahsia kehidupan. Tidak kira bagaimana bijak atau tinggi taraf pendidikan mereka, individu ini tidak menggunakan kebolehan menaakul dengan baik, maka mereka tidak berupaya memahami dan melihat fakta ini dengan jelas. 
Continue...