Followers

Thursday, February 24

Bercerai,Tapi Tiada Benci

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 7:21 AM 0 comments


Sebelum Dengar, Cube Klik Lagu Kat Bawah.



Note kali ni berbaur dengan perasaan. Perasaan yang bercampur-campur. Tiada satu antara dua, dan tiada dua antara satu. Pada kali ni, penulisan agak serabut sikit mungkin. Tentang, bercerai kasih, benci tiada. Mengapa? Allah tidak suka hambaNya membenci antara satu dengan yang lain.Permulaan sedikit daripada IluvIslam.
Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuhi?
Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.
Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?
Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?
Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?
Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita? Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?
"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)

Pertama ingin saya tegaskan: Tidak mengapa kalau kita tidak mempunyai ramai sahabat, tetapi sedikit itu biarlah yang setia, sayang, tulus dan benar-benar jujur dengan kita. Namun jika ramai sahabat yang setia tentulah lebih baik. Ingin saya tegaskan mencari sahabat yang baik, sama seperti ingin mendapat isteri yang solehah. Keinginan dan cita-cita sesiapa pun ada, tetapi untuk mendapatnya sukar… sesukar mencari gagak putih.

Cuba tengok kembali nota saya yang lama, Menjadi Atau Mencari Yang Mana Anda Pilih. Jadilah soleh, bukan carilah soleh. Jadilah soleh, insyaAllah akan datang yang soleh untuk kita. Begitulah di dalam bersahabat, jadilah sahabat yang baik. Bukan sahabat yang menjahanamkan. Begitu juga apabila berkasih, jadilah kekasih yang mendengar.
Semak diri, kenali diri. Mana nilai diri kita
Jika kita ingin mengubah diri kita (kearah yang lebih baik samada dari segi agama, keperibadian atau kerjaya), jangan lupa untuk “menyemak” semula siapa yang berada di sekeliling kita. Bukankah Nabi Muhammad saw pernah berpesan, agama seseorang ditentukan juga oleh siapa sahabatnya? Jadi jika kita ingin “menukar” iltizam kita dalam beragama, acapkali kita perlu menukar “sahabat” kita.
Jika bersamanya, agama kita tidak bertambah baik (bahkan kekadang merosak)… ayuh berani meninggalkannya! (sebahagian hal ini saya pernah sentuh dalam entri yang lalu: Kill your darling!)
Jagalah hati, walaupun kita menghindari daripadanya, bukan kerana takut “kejahatan” dia berjangkit kepada diri kita tetapi lebih diniatkan agar jangan kejahatan kita yang berjangkit kepadanya.
Jika sudah tidak serasi, “bercerailah”. Tetapi pastikan kita bercerai dengan baik-baik. Namun sekali-kali jangan membenci. Mungkin sidia akan mendapat orang yang lebih baik daripada kita sebagai sahabat barunya dan kita akan mendapat orang baik yang lain sebagai sahabat baru.
Ingat sikap nabi Muhammad saw bila berdepan dengan makanan yang tidak disukainya? Baginda akan meninggalkannya tetapi sedikitpun tidak mengecam makanan itu.
Mungkin analogi itu tidak sama dalam konteks persahabatan. Tetapi saya kira begitulah panduannya… tinggalkan apa yang kita tidak sukai tetapi jangan sekali-kali membenci. Ingat “benci” itu virus dalam hati dan emosi kita. Orang yang dihinggapi rasa benci akan buta melihat dunia ini dengan lebih indah dan ceria. Pada hal keceriaan dan keindahan itu ada di mana-mana tetapi pembenci tidak akan dapat melihat dan menghidunya.
Kenapa saya tergamak menyarankan agar kita “ceraikan” orang-orang tertentu sebagai sahabat? Hubaya-hubaya… kerana di dalam hidup wujud orang begitu untuk menguji kita. Ditakdirkan ada manusia yang begitu pandai bermuka-muka. Anda merasakan dia sebagai sahabat, lalu anda longgokkan segala kepercayaan, amanah dan kesetiaan kepadanya (begitukan kalau kita bersahabat?). Oh, kalau begitu jadinya anda seolah-olah memberi “senjata” yaang paling merbahaya untuk dia menikam anda nanti.
Jangan sekali-kali lupa, kesalahan yang paling besar dalam perhubungan ialah bila anda menganggap pandangan, persepsi, rasa hati dan fikiran orang lain sama dengan anda. Ini satu kesilapan besar. Jangan tersilap memberi amanah. Oleh kerana senyumnya manis, pujiannya melangit dan simpati serta empatinya melimpah, anda kalah. Tidak upaya lagi berkata tidak… walaupun dia telah jauh menerobos benteng hak anda yang sangat peribadi.
Dalam persabatan anda mesti mengenali antara kelemahan dan kejahatan. Kelemahan itu memang biasa – anda punya kelemahan, sahabat kita punya kelemahan. Jangan menginginkan satu kesempurnaan. Kita bukan bersahabat dengan malaikat… tetapi dengan manusia yang punya seribu satu kelemahan. Kekadang kita terpaksa berhadapan dengan marah, rajuk, pelupa, “pemboros” dan berbagai-bagai lagi karenah. Itu semua sepatutnya kita hadapi. Kasih tidak menjadikan kita buta dengan kelemahan tetapi menerimanya dengan wajar.
Apa nak buat sudah “jodoh” kita dengan orang yang begitu… Sabar sahajalah. Sepertimana kita bersabar dengannya, dia juga bersabar dengan kita. Dia bermujahadah, kita pun bermujahadah. Kita sama-sama tahu “piawaian” manusia yang syumul, tetapi kita sama-sama sedang merangkak mencapai piawaian itu!
Untuk berdepan dengan masalah ini, pegang analogi ini. Hubungan kita dengannya umpama hubungan tangan kiri dan kanan. Kekadang tangan kiri kotor, tangan kanan pun kotor… bagaimana kita bersihkan kedua-dua belah tangan itu? Ya, kita temukan dan bergeser antara satu sama lain. Itu yang kita buat semasa mencuci tangan.
Akhirnya dengan geseran dan laluan air, kedua-dua tangan yang kotor itu jadi bersih kerana geseran itu rupanya “saling membersihkan”. Itulah hikmah “geseran” dalam persabatan. Kelemahan kalaupun tidak dapat diatasi tetapi dapat diterima dengan rela dan reda.
Tetapi berhati-hati dengan kejahatan. Yakni sekiranya ada orang yang merancang menggunakan anda, melaga-lagakan anda, menyekat laluan, mensabotaj rangkaian perhubungan anda dan paling malang jika dia sudah berani melampaui batas dengan strategi memijak anda untuk melonjak diri sendiri.
Itu bukan kelemahan lagi tetapi sudah satu kesalahan. Berdoalah kita agar dijauhkan daripada manusia yang sebegini. Kita tidak sekali-kali boleh membenci… tetapi jangan pula disengat olehnya berkali-kali. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Dan hidup juga terlalu singkat untuk disekat oleh orang yang begini!
Jagalah Allah dalam perhubungan dengan selalu menjaga syariatnya dalam persabatan. Biarlah hukum halal, haram, sunat, makruh dan harus sentiasa menjadi rujukan bersama. Ke situlah kita merujuk bila berdepan dengan masalah. Dalam hubungan sesama makhluk, Khalik mestilah menjadi pengikatnya. Iman itu mengikat hati-hati manusia umpama “simen” yang melekatkan batu-bata.
Tanpa simen batu bata tidak akan tersusun dan berpadu. Jangan melupakan Allah dalam memburu kasih-sayang manusia kerana dengan melupakan kasih Allah, kita akan gagal merebut kasih manusia. Bila melihat kebaikan sahabat… rasailah itu hakikatnya kebaikan Allah. Tetapi apabila melihat kejahatan atau kelemahan manusia percayalah… itulah cara Allah menguji kita.

Bila berkasih, Jadilah Kekasih Yang Mendengar
Orang yang mendengar sebenarnya adalah orang yang “memberi”… Bukankah cinta itu bererti memberi? Memberi kasih-sayang, perhatian dan perlindungan. Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.
Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain. Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai: “Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.” 
 Penutup: Pokok Yang Bergoyang tidak akan Bergoncang Jika Tiada Angin

Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya. Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita.
Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu… Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan.
Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap ingin mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan. Pesanku untuk ku dan untuk mu… jangan biarkan mulut menjadikan telinga kita menjadi tuli






0 Responses so far: