Followers

Saturday, February 12

Cinta Kasihan

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 11:32 PM 0 comments


Allah SWT telah menciptakan manusia untuk saling berkenalan dan memenuhi pelbagai keperluan hidup manusia sehari-sehari samada zahir dan batin. Firman ALlah Ta'ala: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". (Surah al-Hujuraat: 13) Kita merasakan suatu yang agak terlampau apabila manusia cubamelangkau batasan yang Allah SWt berikan. Atau dengan bahasa mudahnya, diberi betis hendak peha.
Mungkin mudah untuk saya bahasakan cinta muda mudi zaman kini sesuai dengan slogan; cepat dan mudah! (ini bukan slogan produk masakan adabi). Kitaran cinta secara am dijadikan adat dan tiruan sehingga seakan-akan menjadi kewajiban anak-anak belia melakukannya. Firman ALlah Ta'ala: “Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis-jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia”.(Surah Ali Imran : 14)
Bermula berkenalan entah dari mana usulnya, berterusan dengan memberi salam dan tujuan perkenalan. Muka setebal 5 inci sudah nipis agaknya dek ditutupi jerawat sana sini. “saya ikhlas berKAWAN dengan awak”.. ayat manis mula meniti dibibir penutur yang dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya perkataan tersebut dan mungkin tidak pernah membuka kamus dewan untuk mencari makna; apakah itu ikhlas.
Pesona perkataan dengan prosa kata yang agak manis untuk disiulkan demi menambat sebuku hati hampir berjaya 50% untuk kali pertama.
Si gadis tertunduk malu seakan-akan kali pertama digoda, cubamenggambarkan dirinya seolah-olah mempunyai akhlak agama dan masih memiliki adat seorang wanita melayu.
Berfikir 5 minit sudah sanggup untuk menerima cinta pertama walapun hanya bergelar KAWAN. (AWAS!! ‘kawan’ zaman ini mempunyai pelbagai pengertian!). Ikatan KAWAN berterusan sehingga sebulan. Dalam waktu itu hubungan KAWAN mampu bertukar menjadi eksterim dalam sekelip mata. Alatan canggih zaman moden ini amat membantu hubungan ‘KAWAN’ tadi. Yahoo! Messenger, handphone, friendster, dan 1001 jenis lagi yang tidak perlu saya sebutkan..
Ya.. teruskan lagi..
Perkataan saya dan awak bertukar menjadi SAYAng dan biAWAKabang, walaupun diakui itu bukanlah abangnya (abang kandung pun tidak dipanggil abang) hari-hari memendam rasa, perasaan bergelora maka timbul untuk selalu bersama.. berDating menjadi program utama..
Berpegang tangan di HARUSkan dan sememangnya terkadang mereka bukanlah jahil hukum. Tapi otak kemaruk diselaputi kisah cinta sana sini juga ingin menjadi seperti hero dan heroin filem korea, menghancurkan hukum yang telah Allah tetapkan. Firman ALlah Ta'ala: "dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk". (Surah al-A'raf: 30)
Beringan-ringan di tempat sunyi. Tangan sendiri menjadi tangan kekasih. Sabda Nabi SAW: "Tidak boleh bersunyi seseorang kamu dengan perempuan dan tidak boleh bermusafir seorang perempuan melainkan bersamanya muhrim. (Riwayat Imam Bukhari)".
Wahai wanita, ingatkah kau dahulu di masa kecil, ibumu yang membasuh kemaluanmu seharian, dibasahi air najis berbau hancing. Sanggup berjaga malam menukar lampinmu yang basah serta berhabis duit kerananya? Adakah ibumu redha dengan keringanan yang kau berikan kepada kekasihmu untuk dinoda dengan PERCUMA??
Wahai lelaki, kau mudah memperdaya, sedangkan kau juga tahu, kekasihmu itu muslimah yang mempunyai nilai di sisi Tuhannya?
Apakah perasaanmu andainya kau melihat adik perempuanmu dinoda lelaki lain tanpa ikatan nikah. Alangkah murahnya keluarga mu.
Tahukan kamu wahai lelaki, wahai wanita, apakah itu ikatan, dan apa tujuan Allah SWT menjadikan ikatan itu sebagai yang terbaik untukmu? Bayangkan sesuatu barang yang tidak diikat bererti ia bebas terlepas kemana-mana. Kita dapat melihat realiti yang akan berlaku dari peribahasa ‘habis madu, sepah dibuang’ bila perkara ini berlaku.
Dimanakah IKHLAS yang kamu canang dengan mudah? Dimana malu seorang gadis muslimah? Hanya tertinggal didalam DVD cinta filemkorea.
Apakah syaitan sudah musnah pada zaman ini lantaran banyaknya sekolah2 pengajian agama yang membangun di sana sini?
Seterusnya bila berlaku perkara yang tidak diingini, (anda faham bukan, maksudnya?) Firman ALlah: "32. Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. " (Surah al-Israk: 32) Bila anak muda mempunyai seorang bayi yang seakan2 ‘sebaya’ dengan adik kandungnya. Mula keliru dengan apa yang telah dilakukannya. Bayangkan impian sepasang kekasih tadi ingin membina keluarga bahagia hancur bila perkara ini berlaku. Si lelaki belum berkerja, untuk sara diri sahaja pun mengharapkan bantuan keluarga, si perempuan sudah berbadan dua juga mempunyai masalah yang sama. Berkenalan tidak sampai sebulan dua sudah mempunyai seorang anak tanpa ikatan nikah. Lelaki itu dengan perasaan kasihan, menikahi kekasihnya. Lalu, dimana cinta kasih sayang mereka? Cinta kasihan bererti cinta terpaksa. Bolehkah institusi kekeluarga muslim ini akan teguh lama? Saya tinggalkan persoalan untuk kita menilai diri..
Pengajaran & Penulisan: Tulisan ini memang nampaknya agak ngeri bila dibaca, namun kita perlu melihat realiti. Sememangnya perkara ini yang telah dan sedang berlaku di bumi Allah. Oleh itu, diatas coretan saya hari ini yang agak mengguris ‘pakwe’ dan ‘makwe’ harapnya dapat memahami cinta yang diluluskan oleh syariah dan cinta yang membawa kepada benda yang haram. Ingatlah setiap perkara yang bertentangan dengan syariat atau undang-undang yang Allah telah tetapkan, akan membawa kerugian kepada diri sendiri.
Oleh itu, bezakan antara cinta kasihan dan cinta kasih sayang..


LAWAK DAN CERAMAH
“Saya tak suka ceramah ustaz itu. Dia selalu buat lawak. Sunnah ke lawak tu?” tegas seorang anak muda.
Ya, adakah melawak itu Sunnah?
Jika melawak itu melawak yang tidak senonoh, berlebihan, menghina atau berakhir tanpa sebarang manfaat, maka jelas sekali ia jauh daripada ajaran Islam.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Janganlah kamu membanyakkan ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati” [Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Majah]
Banyak ketawa, banyak bermain, banyak bercakap, banyak menangis atau apa sahaja yang keterlaluan, pasti akan menjurus kepada kemudaratan dan kemurkaan Allah. Banyak itu yang perlu dipelajari kesesuaiannya. Bukan dengan meninggalkan keseluruhan perbuatan yang asalnya harus itu.
Demikianlah juga halnya dengan bergurau, melawak dan ketawa.
Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu menceritakan, bagaimana pada suatu ketika para sahabat kaget dengan gurauan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lalu mereka bertanya, “Ya Rasulullah, sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami?”
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab:
Ya,aku juga bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar sahaja [Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad]
Bergurau jenaka dan ketawa adalah seni kehidupan manusia.
Kebolehan manusia untuk ketawa adalah sebahagian daripada fitrah dirinya yang memerlukan makanan. Apabila manusia ketawa, keseluruhan kondisi dirinya menjadi positif dan ia menjadikan manusia itu senang lagi disenangi. Tidak menghairankan apabila lawak jenaka, kelucuan, gurau senda, senyum dan ketawa wujud di sepanjang sejarah kehidupan manusia, termasuk di lingkungan kehidupan era Nubuwwah bersama baginda Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
JENAKA DI ERA NUBUWWAH
“Wahai Utusan Allah, doakanlah buatku agar aku masuk ke Syurga” kata seorang wanita tua kepada baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Wahai ibu fulan bin fulan, orang tua tidak masuk ke Syurga!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, bergurau.
Wanita tua itu terkejut dengan jawapan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam lalu menangis dan meninggalkan majlis.
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam memberitahu sahabat, “beritahulah kepadanya bahawa beliau tidak akan masuk ke Syurga sebagai seorang tua, kerana Allah Subhanahu wa Ta’aala berfirman: Sesungguhnya Kami telah menjadikan perempuan-perempuan itu istimewa. Yang Kami jadikan mereka itu gadis dara semuanya [al-Waaqi'ah 56: 35-36]“
Kisah ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dengan martabat Hasan.
Begitulah watak Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Baginda bergurau dengan mekanisme kata-kata seperti ironi, sarcasm dan permainan perkataan (wordplay) iaitu kerangka-kerangka jenaka yang biasa diulas daripada aspek psikologi semasa. Baginda menjadikan perbualan, pengajaran dan kehidupan hariannya bersama sahabat hidup lagi bersifat manusiawi.
Kerana itu, baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam boleh mengajak isterinya Aishah radhiyallaahu ‘anha berlumba lari.
Baginda juga bergurau dengan kanak-kanak seperti gurauan baginda dengan Abu ‘Umayr yang bermain dengan Nughair.
Malah gaya yang kasual itu turut ditemui di dalam kehidupan para sahabat yang hidup di sekeliling baginda.  Di dalam al-Adab al-Mufrad, al-Imam al-Bukhari melaporkan daripada Bakr ibn ‘Abdillah, beliau berkata: “Para sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu, mereka sering membaling-baling sesama mereka kulit tembikai ke arah satu sama lain. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang serius, mereka adalah lelaki-lelaki yang benar.”
Begitu juga, baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gemar memanggil Zainab binti Salamah radhiyallaahu ‘anha dengan seruan ‘O Zuweinab’ sebagai usikan kepadanya.
SAHABAT YANG KELAKAR
Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu bermusafir ke Busra untuk urusan perniagaan.
Bersama dengan beliau adalah dua orang sahabat iaitu Nu’ayman dan Suwaybit ibn Harmalah radhiyallaahu ‘anhuma. Mereka berdua adalah Ahli Badr. Suwaybit telah diamanahkan dengan tugasan menguruskan makanan di sepanjang musafir itu.
“Berilah aku makan!” kata Nu’ayman.
Beliau yang kelaparan meminta makanan daripada Suwaybit.
“Tidak boleh, sehinggalah Abu Bakr pulang!” tegas Suwaybit.
Nu’ayman adalah seorang lelaki yang terkenal dengan sifatnya yang suka berjenaka. Ketegasan Suwaybit telah mencetus sesuatu di dalam dirinya. Nu’ayman telah pergi kepada sekumpulan mereka yang membawa binatang ternak bersama.
“Mahukah kamu membeli seorang hamba Arab yang degil?” Nu’ayman bertanya.
“Ya, tentu sahaja” jawab mereka.
“Cuma, aku ingatkan kamu bahawa dia itu banyak mulut. Nanti dia akan mendakwa bahawa dia itu orang merdeka dan bukan hamba. Kalau keteranganku ini menyebabkan kamu tidak mahu membelinya, maka lupakan sahaja hal ini. Jangan susahkan aku dengan masalah lelaki itu!” tegas Nu’ayman.
“Tidak mengapa. Kami mahu membelinya!” orang ramai bersetuju dengan tawaran tersebut.
Setelah mengambil beberapa ekor haiwan ternakan sebagai tukaran, Nu’ayman membawa mereka kepada Suwaybit.
“Hah, itu pun dia!” kata Nu’ayman.
“Eh, aku lelaki merdeka. Aku bukan hamba abdi!” Suwaybit meronta-ronta mahu melepaskan diri.
“Sudahlah. Dia (Nu’ayman) telah pun menceritakan segalanya tentang kamu kepada kami” balas orang ramai itu.
Mereka mengikat Suwaybit dengan tali hingga ke leher dan membawanya pergi.
Tidak lama selepas itu Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu kembali. Terkejut dengan apa yang berlaku, Abu Bakr memulangkan kembali haiwan ternakan pada Nu’ayman kepada pemilik-pemiliknya dan membebaskan Suwaybit. Hal itu dibawa kepada Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.
Baginda tidak marah.
Malah Baginda ketawa.
Ketawa bersama para sahabat hingga ke beberapa tahun selepas itu setiap kali mereka teringatkan gelagat Nu’ayman.
Kisah ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad daripada Ummu Salamah radhiyallaahu ‘anha. 


0 Responses so far: