Sebenarnya sapa yang nak buku Interlok ni di batalkan penerbitan? Dah keluar, baru nak batalkan. Sebenarnya tak banyak beza antara Interlok dengan Hadapan Pulau. Dua-dua buku novel ni berkisar mengenai zaman perang. Zaman perang Jepun menawan tanah Melayu.Sekarang cuba korang baca dan bandingkan sinopsis Interlok dan Hadapan Pulau Ni.
Novel Interlok
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama dua puluh satu tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu. Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.
2
Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering kali bertentangan pendapat dengan bapanya dan dia juga suka berkawan dan bermain dengan budak-budak Melayu terutamanya Lazim. Perkara yang dilakukannya itu memang tidak disukai oleh bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu. Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng yang menjadi kepala kuli di situ.
3
Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat ranggi untuk dijadikan isterinya. Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.
4
Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-sama dengan pelajar yang lain.
5
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman. Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang.
6
Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.
7
Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.
8
Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.
9
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.
10
Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.
Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di pekan kecil di kawasan tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima.
Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga, Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.
Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka.
Ni pulak novel Di Hadapan Pulau
Bab 1
Petang itu, Aziz duduk di tepi laut menikmati keindahan alam semula jadi. Dia terkenang akan ayahnya yang telah meninggal dunia dua bulan yang lalu dan ibunya yang telah meninggal dunia serta adiknya yang tidak pernah ditemui. Sekarang Aziz tinggal bersama-sama dengan mak ciknya, Joyah. Aziz terpaku melihat sebuah pulau kecil di tengah-tengah laut dan sangat ingin pergi ke pulau itu yang dikaitkan dengan pelbagai cerita. Tuk Marzuki telah berjanji untuk membawanya ke pulau itu tetapi sehingga kini janjinya tidak tertunai. Secara tiba-tiba Aziz akan terkenang akan ayahnya lalu menangis kesedihan sambil berlari di sepanjang pantai. Ketika hidup, ayahnya juga berjanji untuk membawanya ke pulau itu, tetapi sekarang ayahnya sudah tiada. Afidah membuat air kopi untuk datuknya, Tuk Marzuki. Tuk Marzuki sedih memikirkan nasib malang cucunya akibat perceraian ibu bapanya. Tuk Marzuki menyuruh Afidah mencari Aziz pada keesokan harinya supaya dapat membawanya ke pulau itu.
Bab 2
Hari itu panas. Raihan memandang berek tentera Australia sambil menanti kedatangan rakannya, Zubir untuk turun ke laut. Ketika itu, kem askar semakin sesak dengan tentera. Raihan terus mengelamun mengenangkan salah seorang sahabatnya, Ridwan, yang telah pergi ke San Francisco dan Rahim yang telah ke Tokyo. Bagi Raihan, memadai dia menjadi nelayan, menyimpan sedikit wang untuk masa depan dan meminang Wan Rohani. Lamunan Raihan terganggu oleh kehadiran Zubir. Zubir menerangkan bahawa perang telah meletus tetapi belum sampai ke tempat mereka. Seterusnya mereka berbincang tentang peluang mencari pekerjaan kerana sebagai nelayan, mereka tidak dibenarkan turun ke laut atas sebab keselamatan diri. Syed Fikri, seorang lelaki Arab tua singgah di sebuah kedai untuk minum sambil memerhatikan Aziz, Lazim dan Razip bermain. Mereka mencium tangannya dan Syed Fikri bertanyakan budak-budak itu sama ada mereka bersekolah atau tidak, tentang sembahyang dan ibu bapa mereka. Syed Fikri sedih kerana Aziz sudah menjadi anak yatim piatu dalam usia semuda itu. Beliau menasihati mereka supaya bersembahyang. Pada ketika itu, Masimah dan Basir datang membawa berita bahawa peperangan telah meletus.
Bab 3
Keadaan di kampung sunyi dan penduduk kampung hampir seminggu bergelap. Mereka dilarang memasang lampu pada waktu malam kerana dikhuatiri diserang musuh. Joyah dapat menyesuaikan diri setelah lima malam berlalu. Pada malam keenam, Budin, suaminya balik dalam keadaan mabuk. Barang-barang kemas isterinya sudah habis dipajak oleh Budin untuk tujuan memenuhi ketagihannya. Aziz kurang senang dengan sikap pak ciknya itu. Penduduk kampung mengalami pelbagai kesulitan termasuk untuk mendapatkan bekalan makanan. Aziz teringat akan pesanan gurunya yang meminta semua orang berjimat cermat dan menyimpan makanan, tidak memasang lampu pada waktu malam demi keselamatan dan segera masuk ke shelter jika mendengar siren amaran. Suasana peperangan semakin terasa. Kawalan dan sekatan jalan raya semakin ketat dijalankan. Bekalan beras samakin sukar untuk diperoleh dan harganya mula naik. Semenjak akhir-akhir ini, siren kecemasan sering dibunyikan semata-mata untuk melatih penduduk kampung agar cekap menyelamatkan diri. Tuk Marzuki dan Dorani ingin pergi ke Merlimau untuk mendapatkan beras dan gula manakala Raihan dan Zubir ingin mencari pekerjaan di kem askar. Aziz dan Afidah berbual-bual tentang peperangan dan Aziz berasa susah hati kerana mak ciknya Joyah telah kehilangan pekerjaan di kem askar.
Bab 4
Kempen urat saraf terhadap musush telah bermula. Kanak-kanak sekolah dan nelayan mengutuk Hitler kerana menjadi punca peperangan itu. Para nelayan berasa hidup mereka bertambah perit. Kini, sudah jelas ada tanda-tanda wujud sikap saling tidak mempercayai dalam kalangan penduduk. Perigi pun dikunci pagarnya kerana khuatir dicuri airnya. Syed Fikri terkenang sepupunya, Syed Zuhri yang menipu orang ramai ketika berniaga minyak atar dan batu akik. Syed Zuhri juga telah berkahwin banyak tetapi tidak bertanggungjawab kepada keluarganya. Syed Fikri bertekad untuk terus beramal menurut agama Islam. Dia berasa hairan juga kerana banyak ibu bapa yang bersifat materialistik dan tidak mementingkan kerohanian kepada anak-anak. Pak cik Budin balik dalam keadaan mabuk lalu memukul isterinya, Joyah. Aziz berasa sedih melihat telatah pak ciknya itu dan teringat akan ayahnya yang penyayang dan menasihatinya supaya pandai berusaha untuk berdikari. Awal pagi itu, Aziz sampai di rumah Syed Fikri ketika itu Syed Fikri sedang bercucuk tanam.
Bab 5
Pihak tentera sibuk berkemas pertahanan dengan melingkungi kem tentera dan kubu dengan kawad berduri dan benteng kampit pasir. Pemeriksaan dijalankan di hujung jambatan. Jalan raya di pekan menjadi lengang. Aziz dan Afidah menunggu kepulangan Tuk Marzuki dari Merlimau. Sepeninggalan Tuk Marzuki, Afidah ditumpangkan di rumah Mak Ketong. Azizi duduk di bangku yang berada di hadapan gerai yang ditutup. Aziz ternampak perahu kecil yang menunjukkan masih ada orang yang turun ke laut untuk mencari rezeki. Aziz berasa bahawa dia perlu bekerja kerana mak ciknya, Joyah gagal mendapat sebarang pekerjaan. Siren terus dibunyikan dan pada waktu itu, penduduk kampung bergegas berlari ke shelter untuk menyelamatkan diri. Di dalam shelter, keadaan penuh sesak. Raihan dan Zubir berasa bimbang kerana belum mendapat pekerjaan manakala Afidah pula berasa risau kerana datuknya, Tuk Marzuki belum balik dari Merlimau.
Bab 6
Hujan turun dan berlaku banjir di dalam shelter. Penduduk kampung yang sudah hampir tiga jam berlindung di dalam shelter masih menanti bunyi siren yang membenarkan mereka keluar. Kini, kehidupan semakin susah walaupun peperangan belum meletus di tempat mereka. Syed Fikri berpendapat bahawa peperangan telah mejejaskan perniagaan batu akik dan minyak atarnya serta usaha berdakwahnya. Semua orang di shelter itu dikejutkan oleh bunyi letupan bom yang kuat. Afidah memberitahu Aziz bahawa datuknya sudah pulang dari Merlimau. Syed Fikri datang dan memberitahu Aziz tentang pengeboman di pekan semalam sehingga memaksa penduduk bandar berpindah. Dia turut menasihati kanak-kanak supaya sentiasa bersama-sama dengan keluarga dan berbincang dengan Dorani untuk membuka kelas agama di madarasah yang terbiar. Dorani datang memberitahu Afidah bahawa Tuk Marzuki sakit kerana dia terjatuh. Taksiah mengajak Joyah bekerja di kem askar. Akhirnya dia berjaya mendapatkan pekerjaan untuk Joyah melalui seorang askar yang bernama Rahmat.
Bab 7
Penduduk sudah biasa dengan bunyi siren berombak dan melurus dan banyak menghabiskan masa berlindung di dalam shelter. Ada penduduk yang menjadi malas dengan kebiasaan ini dan malas balik ke rumah. Mak Ketong pula tidak mahu berlindung di dalam shelter kerana berpendapat bahawa di mana-mana pun manusia akan mati. Tuk Marzuki teringat bahawa beras yang dibawa dari Merlimau sudah habis. Dia mengajak Dorani mencari beras di kem askar. Tuk Marzuki terkenang semula akan kepulangannya ke Merlimau bukan sekadar mencari beras tetapi ingin menyerahkan Afidah kepada Mustaffa sekeluarga. Malangnya Mustaffa sudah berpindah dan meninggalkan adiknya, Rukiah dalam keadaan nyanyuk dan keseorangan. Lamunan Tuk Marzuki terhenti apabila Afidah mempelawanya minum air kopi. Afidah berlari sambil menangis. Aziz dan rakan-rakannya mengekori Afidah. Taksiah memberitahu Mak Ketong bahawa shelter berhampiran jambatan telah dibom. Ramai yang meninggal dunia dalam kejadian itu. Tuk Marzuki ditarik keluar dari shelter itu dalam keadaan parah. Tuk Marzuki berpesan supaya Afidah mencari pak cik Mustaffa dan mak cik Rukiah. Tidak lama kemudian, Tuk Marzuki telah meninggal dunia di hadapan Afidah. Afidah berada di hadapan kubur Tuk Marzuki pada awal pagi itu. Dia menangis di kubur itu. Aziz turut bersimpati dengan nasib malang Afidah dan dia turut menangis. Lazim turut datang ke kubur itu bersama-sama dengan kakaknya, Wan Rohani. Afidah dipelawa untuk tinggal di rumah Wan Rohani, Mak Ketong atau mak cik Joyah.
Bab 8
Kawasan yang berhampiran dengan kem tentera menjadi semakin bahaya. Penduduk yang berlindung di kawasan bukit berhampiran dengan kem askar berpindah setelah tempat itu dibom oleh tentera Jepun. Dalam kejadian itu, dua belas orang telah terbunuh dan sembilan orang tercedera. Tentera Jepun telah dipercayai semakin hampir. Selepas menolong Syed Fikri di kebun, Azizi menemani Afidah ke kubur datuknya. Afidah teringat tentang pengorbanan datuknya, Tuk Marzuki dan perjalanan hidupnya. Ayahnya meninggalkan rumahnya setelah bergaduh deangan ibunya. Dia tinggal bersama-sama dengan ibunya selama tiga tahun sebelum dipelihara oleh pak cik Mustaffa dan mak cik Rukiah selama dua tahun sebelum dibawa ke situ oleh arwah Tuk Marzuki. Aziz menganggap nasibnya dengan Afidah sama sahaja. Aziz dan Afidah terkejut apabila mendengar bunyi siren berombak dan berlari ke dalam shelter untuk berlindung. Di langit mereka melihat kapal terbang menggugurkan kertas yang mengandungi dakyah Jepun. Pihak Jepun meminta kerajasama dan sokongan penduduk tempatan untuk membebaskan Asia daripada penjajah Eropah. Tidak lama kemudian, kedengaran bom digugurkan dan penuduk di shelter berdoa.
Bab 9
Askar Jepun telah menundukkan tentera Melayu dan Australia. Mereka telah mengambil-alih kem tentera. Semua penduduk diarah berkumpul di kem tentera. Bau bangkai amat bususk. Penduduk dikumpulkan mengikut kumpulan orang dewasa, kanak-kanak dan kaum wanita. Orang lelaki dibekalkan cangkul dan pongkes untuk membersihkan kawasan kem dan mengangkat mayat dan dilontarkan terus ke dalam lubang yang masih digali dan dibesarkan. Orang lelaki dewasa dipaksa menaiki dua buah trak tentera. Sesiapa yang engkar munurut perintah dihentak dengan belakang senapang. Tiga orang yang cuba melarikan diri telah ditembak mati oleh askar Jepun. Wanita dan kanak-kanak menangis melihat kejadian itu. Fikiran Joyah dalam keadaan kusust. Dia telah kehilangan pekerjaan di kem askar. Kini, Jepun membenarkan penduduk memasang pelita pada waktu malam. Namun, kekejaman tentera Jepun memungkinkan sebarang kejadian ngeri. Joyah bertambah runsing memikirkan hal suaminya, Budin kerana suaminya masih belum pulang. Aziz yang pergi ke rumah Syed Fikri pun belum pulang. Dia tahu juga bahawa Rosiah, Taksiah, Wan Rohani , Zubir, Raihan dan Soejono masih dalam tahanan tentera Jepun. Aziz memecit badan Syed Fikri yang sakit setelah dikerah oleh askar Jepun untuk membersihkan kem. Syed Fikri teingat bahawa beberapa orang telah mati katak apabila ditembak askar Jepun. Beberapa orang dewasa termasuk Soejono yang dibawa dengan trak belum pulang lagi. Aziz pulang ke rumah meninggalkan Syed Fikri seorang diri. Hari telah siang. Aziz dan Afidah datang ke rumah Syed Fikri dan dia masih tidur. Afidah mahu menjual jam pusaka Tuk Marzuki kepada tentera Jepun, tetapi dilarang oleh Aziz. Syed Fikri yang bangun menyuruh Afidah dan Aziz pulang ke rumah kerana trak-trak tentera Jepun telah datang. Beberapa orang tentera Jepun kelihatan melompat turun dari trak dan pergi ke rumah-rumah berhampiran.
Bab 10
Mak Ketong, Joyah dan Latiffah menyambut kepulangan Wan Rohani dan Rosiah yang ditahan selama empat hari oleh tentera Jepun. Taksiah masih terus ditahan oleh tentera Jepun. Ramai ingin tahu perkara yang terjadi kepada mereka sepanjang ditahan oleh tentera Jepun tetapi kedua-duanya enggan berkongsi pengalaman itu. Dorani pulang pada waktu malam setelah lima hari ditahan oleh askar Jepun. Di rumahnya, sudah tidak ada makanan. Dia teringat akan anaknya, Mohideen yang setiap bulan mengiriminya wang tetapi tidak pernah mempelawa Dorani tinggal dengannya. Dorani percaya bahawa Mohideen takut akan isterinya, Kunimah. Dorani teringat akan pengalaman semasa dia menjadi nelayan selama dua tahun dan kemudian menjadi kelasi kapal dan merantau ke seluruh dunia. Akhirnya, dia pulang ke kampung kerana menghidap penyakit lemah jantung. Kedatangan Aziz dan Afidah yang membawa bubur untuknya, membuatkan lamunan Dorani tersekat.
Bab 11
Zaman pemerintahan Jepun penuh keperitan. Ada yang mati, membunuh diri, dan terbiar begitu sahaja. Bagaimanapun Jepun menasihati semua penduduk supaya bersabar dan tahan menghadapi ujian. Orang lelaki dipaksa bekerja untuk pihak Jepun. Mak Ketong tidak mampu lagi memberikan makanan kepada Aziz dan Afidah dan meyuruh mereka mencari makanan sendiri. Aziz dan Afidah keluar mencari makanan. Afidah menangis kelaparan. Aziz mengajaknya mencari makanan di kem askar tetapi tiba-tiba kedengaran bunyi siren. Mereka bersembunyi di gerai kosong. Kapal terbang tentera British semakin dekat. Siren berbunyi menandakan musuh sudah berlalu. Keengganan Afidah mencari makanan di kem askar menyebabkan Aziz menajaknya mencari makanan di sebuah kubu lama. Kawasan itu memang menakutkan, tetapi Aziz memberanikan diri kerana kononnya di situ bersembunyi makanan. Di sebalik busut dia terserempak dengan Rosiah dan seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan. Rosiah memberi Aziz makanan dan berpesan supaya dia merahsiakan peristiwa itu daripada pengetahuan orang ramai. Afidah berasa gembira melihat Aziz membawa makanan dan mengajaknya untuk mengambil makanan lebih banyak tetapi Aziz enggan. Aziz tidak menyangka apa yang dilihatnya, apatah lagi Rosiah adalah seorang yang alim dan bersopan satun. Afidah ingin tahu apa yang disaksikan oleh Aziz tetapi Aziz merahsiakan perkara itu. Afidah memberikan makanan kepada Mak Ketong dan Mak Ketong melarangnya ke kubu lama itu lagi, sebaliknya dia sendiri akan ke situ untuk mengambil makanan. Seterusnya Afidah ke kubur datuknya dan merintih mengenai nasibnya. Aziz turut mengikutnya. Walaupun zaman perang, masih ramai orang membeli todi. Aziz dan Afidah ke kedai todi untuk mengambil upah daripada orang di situ untuk membeli todi. Akhirnya seorang lelaki kurus mengupah untuk membeli todi dan mereka gembira kerana mendapat rezeki.
Bab 12
Aziz dan Afidah pergi ke sebelah barat pantai yang sunyi kerana khabarnya di situ tertanam banyak makanan. Mereka tidak menemukan makanan, sebaliknya di kawasan busut bertemu dengan Kapten Hebat (Mahmud) yang sedang mengerang kesakitan. Lutut Kapten Hebat terkena tokak (penyakit kulit) dan berdarah. Kapten Hebat menunjuk ke suatu tempat dan apabila Afidah pergi, Afidah menemui Mokmeng, monyet peliharaan Mak Ketong yang telah dimakan sebelah tangan dan kakinya. Malam itu, Aziz, Afidah dan Mak Ketong bersandar di dinding berhadapan dengan rumah kotak Mokmeng. Keadaan hidup semakin menekan. Penyakit malaria, beri-beri, tokak dan kudis semakin berleluasa dan nyawa manusia murah sekali. Orang didapati mati pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Aziz mengajak Afidah bercucuk tanam tetapi Afidah enggan kerana ada orang yang akan mencurinya. Mak Ketong mengajak mereka berpindah sahaja. Aziz teringat akan kawan-kawan dan orang-orang kampung yang sudah tidak ditemuinya lagi. Mak Ketong mengajak Aziz dan Afidah ke pulau itu sahaja kerana dia mempercayai bahawa di situ ada makanan. Aziz menganggap inilah masa yang sesuai untuk ke pulau itu. Semboyan bahaya berbunyi lagi. Manusia di sekeliling menjadi kecoh. Jip dan kereta kebal bergerak. Derungan kapal terbang semakin dekat lalu diikuti bunyi tembakan meriam. Mak Ketong, Aziz dan Afidah duduk sahaja. Mereka seolah-olah menunggu bahaya lagi.
Post a Comment