Followers

Monday, August 29

Kau Sanggup? Aku Tidak.

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 1:47 PM 0 comments


Anak-anak kecil masih belum mengerti, apakah fungsinya tiga batang lilin ini kunyalakan. Mereka merasakan tiada signifikannya kehidupan mereka yang terlalu hijau itu dengan lilin yang menyala di hadapan. Aku cuba menarik perhatian mereka.


Adik-adik…

Tiada balasan. Mereka masih lagi bergelak ketawa, bersenda gurau dengan rakannya sebelah menyebelah. Beginilah halnya tika mentarbiyah anak-anak kecil, mengekalkan fokus mereka sepanjang slot adalah cabaran terbesar bukan sahaja buat kami, malah guru-guru dan ibu bapa juga menghadapinya.


Dengan bantuan mikrofon, aku memanggil sedikit cergas dan pantas.


Adik-adik!

Mereka menyahut panggilanku serentak.


Boleh!

Sedikit demi sedikit, masing-masing mulai memandang ke depan. Suasana kian sunyi. Metod sahut menyahut ini dilakukan oleh kami tenaga penggerak sepanjang Kem Kepimpinan Remaja Islam ini. Perhatian mereka perlu dicuri sentiasa melalui respons segera secara dua hala.


Adik-adik~~

Panggilanku kali ini lebih lembut, dan beralun lenggoknya.


Boleh~~

Audien menjawab juga dengan alun dan lenggok yang sama. Indah bunyinya bila perkataan itu dilagukan bersama. Kini semuanya memandang tepat ke arah lilin yang sedang menyala di atas pentas ini. Wajah mereka itu bisa ditebak, ingin menanyakan apa gunanya lilin-lilin itu.


Abang tawarkan kepada mana-mana pemimpin yang sanggup ke depan, mendekatkan tangannya pada api lilin ini.

Beberapa orang mengangkat tangannya menawarkan diri, lalu kupilih seorang daripadanya ke depan. Anak itu mendekatkan telapak tangannya dengan wajah selamba.


Bagaimana? Apa perasaan?

- Panas.

Baiklah, adik jangan duduk dulu. Cadangkan kepada abang satu nama kawan adik untuk ke depan.

-Si Polan

Ayuh, Si Polan merasai lilin ini, boleh?

Lalu bangun seorang daripada mereka dan berlari ke hadapan. Setelah kutanyakan perasaan Si Polan, kuulang panggil anak-anak yang lain bagi mengumpulkan jawapan mereka. Seorang demi seorang ke depan melakukan hal yang sama, dan jawapan mereka serupa. Mereka mengatakan api lilin itu tetap panas.


Sehinggalah sedikit demi sedikit mulut anak-anak itu terlopong, dan di kepala mereka sarat dengan tanda tanya. Aku memahami mereka tidak dapat ‘membaca’ apa tujuannya aku melakukan begitu.


Aku menyuruh mereka yang kupanggil tadi kembali ke tempat duduk mereka semula. Suasana dewan terbuka itu kekal sunyi, seakan-akan seluruh penghuninya menantikan sesuatu daripadaku, berkenaan hikmahnya aktiviti tadi.


Adik-adik. Begitulah kehidupan di dunia. Panasnya lilin ini masih belum mencapai tahap di neraka nanti.

Suaraku mulai diburu getar, sama frekuensinya dengan denyut nadi ini. Kutahan jua air mata ini, mengenangkan dosa-dosa yang pernah kulakukan sebelum ini.


Tapi, adik-adik. Kita seolah-olah, sukar sekali menghalang kawan-kawan kita daripada menyentuhnya. Dengan mudahnya kita tergoda oleh hasutan syaitan, mengajak kawan kita sama-sama ke lembah neraka itu.

Sambil tangan kiri memegang mikrofon, tangan kananku sesekali menyeka mataku yang mulai berembun. Aku amat kasihankan diriku. Terasa begitu kerdil, kerana sujudku saban malam masih belum cukup kurasakan membayar dosa-dosa lalu. Hari ini, aku hadir kepada mereka, demi menghalang mereka menyentuh lagi panasnya api lilin itu, seperti yang pernah kulakukan dulu semasa hidup ini.


Kalau kita buat dosa, kita masuk neraka itu pasti. Namun, sanggupkah kita heret orang tersayang kita sama-sama merasakan azab di neraka itu? Ibu… Ayah… Adik-adik… Kawan-kawan… Guru-guru… Jangankan mahu dilihat, mendengarkan jerit mereka saja di neraka nanti, pasti sedih sekali. Sanggup tak, adik-adik?

Tiada jawapan dari mereka. Masing-masing menunduk dan sunyi. Ada di antara mereka mulai menitiskan airmata, tanpa dipaksa-paksa.


Sebagai pemimpin, kita nampak dosa-dosa di sana-sini. Apa yang akan adik-adik lakukan? Cuba beritahu abang…

Seorang demi seorang mengeluarkan suara perlahan, sayu,


-Cegah.

-Halang

-Lapor pada guru

-Nasihat

Kali ini, senyumku kembali menguntum seri.





0 Responses so far: