Followers

Monday, August 22

Berapa Nilai Pegangan Akidah Kita?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 3:57 PM 1 comments


Alhamdulillah, semalam dah baca tentang pengalaman saya dengan tok ayah. Pengalaman bersama tok ayah ni banyak pengajaran yang saya akan dapati. Antaranya, bila kita berusaha, bila kita serah diri pada Allah, insyaAllah. Allah akan membantu diri. Kali ni saya nak kongsikan pengalaman saya semasa saya merantau di negeri orang. Tak jauh. Cuma Kelantan sahaja.

Masa ni, saya baru je habis SPM, sambung belajar kat sana. ambil dip sains. Kejadian ni masa saya nak balik kampung. Ni cerita betul tau. Bayangkanlah, dari Kelantan, dahla hujung nak balik ke hujung tanahair, berapa jam dalam bas? Nak balik Batu Pahat. Adalah dalam 10-11 jam dalam bas. Kadang-kadang cuti semester tak balik pun, sebab cuti tak puas. Satu hari dah habiskan masa dalam bas.

Ceritanya bermula macam ni, masa ni saya tak tau cakap Kelantan. Baru datang, saya dari asrama saya, pergilah ke Bandar Kota Bahru. Tak jauh. Saya jalan kaki je, adalah dalam 20-30 minit. Sampai sana, saya pergi stesen bas dia. Ingatkan stesen bas dia ni semua kawasan dia pergi, rupanya tak. Tengok kat tiket tu kena pergi ke terminal jalan langgar, tapi yang penting bukan jalan hamzah. Nak kena pergi dekat dengan kb mall.

Saya pun naik la bas ting-tong nak pergi ke kb mall ni. Sampai je sana. saya pun tanya ngan pakcik teksi.

Pakcik, jalan langgar mana?

Ha? Jalan Langgar? Mana ada jalan Langgar.

Saya masa ni dah kusut. Tengok jam casio kat tangan ni dah pukul 6.00. lagi setengah jam bas nak jalan. Tak sampai ni naya. Boleh tertinggal bas. Tiba-tiba je ada “ prebet” sapu tegur.

“adik nak pergi Jalan Langgar? Terminal bas tu? Pakcik hantarkan”

Pakcik-pakcik kat belakang tadi ketawa je. Dalam hati dah geram ni.

“ berapa ye pakcik bayaran dia?”

“ RM 10.”

“ ???” saya terkejut. Jauh ke tempat dia? Sampai RM10? Saya pun ikutlah pakcik tu. La, rupanya dekat je. Tak dalah jauh mana. Saya tak bayar RM10. Saya bayar Rm 6 saja. Cakap dengan pakcik tu tak da duit.

Sampai je saya kat sana. ada orang panggil saya.

“ Saad”

“ la kau ke? Kau naik apa pergi sini?”

“ aku? Jalan kaki la dari asrama. Bukan jauh pun.”

Saya dah mula geram je. Saya pun tak cakap banyak. Terus naik. Bas masih terus hidup, bergetar setempat seiring deruman enjin. Sudah hampir satu jam, ia masih belum bergerak dari terminal. Beginilah senario bas di tanah air. Kononnya dari kaunter terjerit-jerit, “ Johor, Johor!”Sedangkan bas baru tiba dan kita perlu tunggu hingga kesemua tempat duduk dipenuhkan.

Saya dapat tempat duduk berkembar pada barisan kedua dari belakang. Tiada berteman. Mujur ada sahabat setiaku, encik buku bernama “ Wilayah Cinta”, biarpun entah berapa kali aku mengkhatamnya. Saiz kompak, isi yang padat, beri kelebihan buat sang pengembara seperti saya.

Sekonyong-konyong, muncul seorang lelaki berjambang masuk ke dalam. Dari jauh di pintu depan, boleh saya agak dia ini dari negara arab jika dinilai dari pakaian jubah tradisionalnya. Keningnya berkerut, mulutnya memunjung. Jelas, di wajahnya penuh kecamuk. Lelaki itu terus berjalan ke barisan belakang sekali dan duduk di kerusi tunggal.

Selang beberapa saat, masuk seorang jejaka dengan beg kantung di sisinya sentiasa. Pastinya dia ini pengutip wang tiket dari caranya berjalan laju dan tangannya yang menggendong buku tiket. Dia berjalan ke arah lelaki Pakistan tadi dan meminta ongkos tiket yang diperlukan. Tidak semena-mena Lelaki Tiket itu bersuara.

“ Aik? Mana cukup ni. Nak pergi johor. Pikir cukup ke? Mana lagi RM 10?”

Suara lelaki tiket itu makin meninggi. Bingit. Bingit melampau, alamdulillah dalam bas tak ramai penumpang. Lelaki arab tadi pun jawab lembut je.

“ Tadi masa di kaunter saya tanya encik, pergi Johor, rm 35. Encik cakap cukup.”

Lagak lelaki itu makin menebal nampaknya. Matanya makin kemerah-merahan. Macam bianglala awan di langit luas. Dengan jari telunjuknya, di tuding-tuding kea rah encik arab.

“ ah, mana ada saya cakap. Cuba kau tanya semua kaunter nak pergi selatan. Berapa harga tiket nak balik batu pahat? Rm45. Ni mana cukup, kau fikir cukup ke rm 35? Ah, bak sini rm 10”

Kat dalam bas dah jadi macam pasar malam. Hingar binggar. Saya yang dari tadi nak tidur. Tak dapat lelap.

“ encik, saya tak cukup ringgit nak bagi encik. Kalau encik nak juga boleh saya bayar di batu pahat? Saya kena pergi money changer dulu.”

Lembut je lelaki arab tu merayu. Tulus ikhlas dari hati. Lelaki tiket pula makin tak senang.

“ ah, aku tau kau ada duit. Kau jangan nak tipu la. Kau Islam bukan? Kalau kau Islam, kau mesti tau, hokum menipu. Berdosa.

Kali ini pak arab tadi cuba pertahankan dirinya.

“ siapa tipu siapa? Tadi encik cakap harga tiket ni rm35. Ini tiba-tiba naik harga.”

Pak tiket tadi makin tak puas hati. Di letakkan buku tiket ke tepi. Di rapatkan badan kea rah pak arab.

“ hello bangla. Aku dah jumpa banyak orang macam kau. Pura-pura tak da duit ya?”

Bukkkkkk….

Satu tumbukan melepasi ke perut pak arab tadi. tebongkok-bongkok pak arab menahan sakit. Tapi masih lagi sempat merayu.

“ tolonglah kawan. Kita jangan macam gini. Saya sini empat bulan baru.”

Lelaki tadi mengangkat tangan setinggi yang mampu. Dia mengambil lajak yang jauh. Dia nak melepaskan lagi satu tumbukan pada pak arab. Orang kata tumbukan Siam. Siam juga yang dapat nama.

Sebelum sempat dia melepaskan tumbukan, sepantas kilat saya menahan tangan dia dari melepaskan tumbukan. Banyak mata memandang pada kami bertiga. Pada ketika itu perlahan, aku menyelitkan not merah ke dalam genggaman lelaki tiket.

Namun dengan cepat pak tiket menepis tangan saya.

“ tak payah bro, kau duduk situ diam-diam. Aku tak nak duit kau. Kena ajar orang-orang pendatang ni. Pendatang macam dia memang perlu di ajar”

Perlahan saya bisikkan pada telinganya,

Tuan, ambil duit ini. Selesai masalah. Tak payah bertumbuk-tumbuk.

Lelaki Tiket masih berdegil, tidak langsung mengendahkan kelibat saya di situ. Dia meluru semula ke pintu bas, dan menjerit dari jauh,

Kau, Mat Bangla. Cepat turun! Kalau tidak, aku panggil polis.

Pak arab terdiam. Dia memandangku penuh sayu. Perlahan kuhulurkan tanganku yang berisi 10 ringgit itu padanya.

Ambil ini, bayar pada dia.

Sepantas kilat lelaki Pakistan menyambar tanganku dan turun dari bas bersama Lelaki Tiket. Selang beberapa saat, mereka berdua naik semula dan meluru ke arah saya. Lelaki Tiket berkata dengan nada tinggi,

Hari ini saya maafkan dia, Bro. Kalau 10 orang Malaysia macam bro, kayalah pendatang.

Dalam renung yang dalam jauh ke ceruk matanya, aya menikam dengan kata-kata,

Tuan bercakap sebagai orang Malaysia. Tapi, Tuan tidak bercakap sebagai orang Islam.

Suasana di perut bas masih sunyi dan mengikuti perkembangan kami penuh hati-hati. Biarpun ngauman enjin dan bunyi penghawa dingin tidak berhenti, Lelaki Tiket tetap berpeluh-peluh. Lelaki Tiket tidak menjawab apa-apa. Perlahan dia ke pintu keluar dan turun dari bas.

Lelaki Pakistan segera memeluk saya, tanpa pedulikan tubuhnya yang basah lecun dengan peluh.

 Airmatanya seakan-akan tidak malu bercucuran.

Terima kasih, brother. Terima kasih. Kita brother. Kita brother.

 Saya balas pelukannya, seakan memujuk,

Ya… Ya… Kita brother.
Kemudian, bas bergerak, meninggalkan terminal bagi memulakan perjalanan. Lelaki Pakistan itu mohon duduk bersebelahan denganku. Dengan mesra, dia menunjukkan paspotnya sambil memperkenalkan namanya, Muhammad Waqqas. Dia menghulurkan beberapa keping wang Pakistan kepadaku. Kutolak pelawaannya, namun dia berkeras.

Ini, semuanya bernilai 10 ringgit. Ambillah. Saya bukan minta sedekah. Saya memang ada duit. Cuma belum tukar lagi.

Sepanjang perjalanan, kami berborak rancak. Kami ketawa, bila dia berjenaka. Saya menangis sedih bila dia ceritakan pengalaman dia kena pukul dengan majikan. Tak di bayar gaji. Macam-macam lagi. Dia pun menunjukkan passport. Owh. Salam Qudus. Orang Pakistan. Ceritanya amat menginsafkan diri saya ni. Ketabahannya membuatkan saya tertarik. Owh. Lagi indah orang-orang yang sabar. Allah bersama dengan merka yang sabar dan khusyuk.

Bagai saudara lama yang tidak bertemu. Bagai saudara lama yang sudah lama terpisah. Kemesraanku mengingatkan pada diriku sendiri. Aku percaya hanya teman seakidah sahaja yang memahami. Tanpa teman seakidah, diri kita memang tidak di hargai. Saya teringat akan kata-kata Allah:

Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujuraat, ayat 13)









1 Response so far:

kuti.kura said...

sedihnye kisah ni....