Di antara perkara yang dapat melapangkan dada dan melenyapkan awan kesedihan dan kesusahan, adalah berjalan menjelajah negeri melihat alam sampai ke pelusuk negeri dan berkeliling ke segala daerah bumi yang luas ini. Lihatlah bentangan alam yang terbuka luas ini untuk dikaji agar anda dapat melihat apa yang tertulis oleh pena kekuasaan Allah, bahawa di alam ini terdapat lembaran ayat-ayat Allah yang indah. Tujuannya agar anda dapat menyaksikan taman, kebun, sawah dan bukit-bukit hijau yang indah mempersona.
Cubalah anda keluar dari rumah, lalu perhatikanlah apa yang berada di sekitar anda, di hadapan anda, dan di belakang anda! Cubalah daki gunung-ganang, turunlah ke lembah-lembah, panjatlah batang-batang pepohonan, minumlah air yang jernih, dan ciumlah harum bunga mawar! Pada ketika itu, anda akan merasai jiwa anda benar-benar merdeka dan bebas sebagaimana burung yang beterbangan di angkasa melafazkan tasbih kebahagiaan.
Keluarlah dari rumah anda , lemparlah tabir hitam yang menghalangi pandangan anda, kemudian berjalanlah di bumi Allah yang sangat luas ini dengan sentiasa berzikir dan bertasbih!
Mengurung diri dalam bilik yang sunyi bersama kekosongan yang menyakitkan merupakan jalan untuk bunuh diri. Bilik anda bukanlah dunia yang sebenarnya dan anda bukanlah manusia satu-satunya di alam ini. Oleh yang demikian, mengapa anda harus menyerahkan diri dan berputus asa? Bukankah sebaiknya anda menyatukan pandangan, pendengaran dan hati untuk menyeru kepada diri anda sendiri :
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (At-Taubah 9:41)
marilah menyempatkan diri membaca Al-Qur’an, baik ketika sibuk mahupun ketika masa luang. Senandungkan Al-Qur’an di tepi-tepi sungai, di pinggiran hutan yang rimbun, di antara burung-burung yang sedang berkicau membaca untaian puisi cinta, atau di hadapan gemericik aliran air sungai yang sedang mengisahkan perjalanannya dari hulu ke hilir.
Menjelajah ke beberapa pelusuk negeri merupakan suatu kenikmatan yang disaranlan oleh para doktor terutama kepada mereka yang sedang stress menghadapi suatu persoalan dan tekanan yang berat dalam hidupnya dan bagi orang-orang yang terkurung dalam biliknya yang sempit. Oleh kerana itu, marilah sesekali kita berjalan menjelajah pelusuk negeri untuk mencari ketenangan, bergembira, berfikir, dan sekaligus menghayati ciptaan Allah yang sangat luas ini.
…dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : “Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau” …. (Ali-‘Imran : 191)
Post a Comment