Followers

Saturday, October 30

Antara Keinginan Dan Keperluan Mana Yang Di dahulukan?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 4:32 AM 1 comments

Fitrah manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin dicintai dan menyintai, ingin dikasihi dan mengasihi, ingin dirindui dan merindui. Dari yang si kecil sehinggalah dewasa. Semua menginginkannya. Hatta Nabi Adam a.s sendiri menginginkannya. Walau pun diberi kebijaksanaan mengenal seluruh isi bumi, dianugerahkan segala-galanya namun Nabi Adam a.s tetap terasa sepi dan sunyi.

Maka lahirlah Hawa untuknya. Begitulah juga kita, menginginkan untuk memiliki seseorang yang disayangi dan pada masa yang sama turut dicintai.

Inginkan seseorang yang memiliki ciri-ciri yang sempurna juga fitrah manusia. Menginginkan yang cantik, lawa, menarik dan mempesonakan pandangan mata. Pendek kata yang memiliki keindahan, kekayaan, kebijaksanaan, kejayaan. Semuanya menjadi pilihan. Dengan pelbagai usaha digunakan untuk mendapatkannya, hinggalah ada yang sanggup bertumpahan darah seperti Qabil dan Habil, bergadai nyawa seperti Laila dan Majnun, sehidup semati ibarat Romeo dan Juliet. 

Kerana ingin memiliki kasih sayang dan kononnya demi cinta suci. Akhirnya terkubur jasad ke tanah tanpa pengakhiran yang membahagiakan. Beginikah dikatakan ingin memiliki dan dimiliki. Apa yang pasti janji cuma tinggal janji..

Agama tidak melarang seseorang menginginkan teman dalam hidupnya. Namun apakah yang kita inginkan adalah yang kita perlukan? Adakah pasti yang diingini akan kita miliki? Seseorang yang kita inginkan belum tentu yang kita perlukan, dan seseorang yang kita perlukan juga belum tentu yang kita inginkan. Jadi, mana yang akan dipilih, yang diinginkan ataukah yang diperlukan? Ikut hati tentulah yang diingini tapi tanya akal pula pastilah yang diperlukan. Alamak, akal dan hati sentiasa berperang dan bermusuhan. 

Lantaran itulah Allah s.w.t turunkan Al-Quran sebagai panduan dan sunnah Rasullullah s.a.w sebagai ikutan. Kandungannya banyak memberi petunjuk jalan agar usaha dan keputusan yang kita lalui sentiasa lurus, diredhai dan penuh keberkatan.

Malangnya, ramai antara kita belajar dari artis-artis Hollywood, Bollywood dan entah apa entah wood lagi. Novel-novel, majalah-majalah cinta pula sebagai rujukan utama. Maka, lahirlah ‘sektor perkapalan’ haram yang mengemudi bahtera bersama kelasinya. Ke hulu ke hilir membelah lautan biru menuju ke destinasi bahagia, kononnya. Tapi, yakinkah kita itulah kebahagiaan, itukah yang kita inginkan dan adakah itu yang kita perlukan? Tatkala, ada di antara kita yang tidak menginginkan seseorang itu sebagai teman hidupnya namun ditakdirkan menjadi miliknya. Umpama Nabi Yusuf a.s menolak cinta Siti Zulaikha akhirnya menjadi isteri yang paling disayangi dan dikasihi. Bukan didesak oleh keinginan hati tapi kerana memerlukan insan seperti Siti Zulaikha, menjadi isteri kerana Allah.

Kini, kenyataan telah terukir. Sesuatu yang kita perlukan itulah yang kita inginkan. Maka agama itulah yang kita perlukan bukan selain darinya. Sebagaimana yang tercoret dalam hadis Rasulullah s.a.w pilihlah seseorang itu kerana kecantikannya, hartanya, keturunan dan agamanya. Maka, pilihlah agamanya insya Allah kita akan temui kebahagiaan yang sebenar, wallahua’lam..


1 Response so far:

Mrs. EL said...

mohon share.. tq ye...