Followers

Monday, June 28

Ambillah waktu untuk bercinta

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 7:21 PM 0 comments

"KASIH SAYANG BUKAN HANYA SEKADAR UCAPAN, BUKAN SEKADAR MEMILIKI TAPI SESUATU YANG MEMBERI KITA NILAI UNTUK TERUS HIDUP, BERI KITA KEKUATAN DAN MAKNA SEBUAH PERHUBUNGAN"

TATKALA pedih dalam kesakitan, rasa cinta mampu menguranginya. Tatkala kelaparan, rasa cinta masih mampu memberikan kekuatan. Tatkala resah digelut masalah, rasa cinta membolehkan nafas ditarik lega.
Itulah kekuatan cinta. Satu perasaan yang mampu berkampung lama lagi dalam, atau sekadar singgah dan kemudian pergi. Semakin lama semakin dalam dan akan semakin menebalkan perisai yang memberi perlindungan. Jika cinta singgah sebentar kadang-kadang tergamit juga hati tatkala sunyi.
Cinta adalah mekanisme un-tuk berasa kuat tatkala lemah, kenyang tatkala lapar, segar tatkala mengantuk, berani tatkala takut, dan lain-lain seumpamanya. Oleh sebab itu, cinta tidak boleh dipandang lekeh sebab kekuatannya mendorong Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa mengembara ratusan tahun untuk kembali bertaut.
Kasih sayang ialah kenderaan cinta. Cinta terpupuk hebat oleh kasih sayang yang asalnya bibit-bibit kecil. Tatkala seorang telah cinta kepada Tuhannya, dia sanggup memperhambakan dirinya tanpa takut dan penat. Biar apapun ancaman yang diberi, Tuhan masih dilihat utama. Cinta sebegini paling agung.
Biasanya seseorang yang dibekali rasa cinta mampu berjalan lebih jauh, tetapi seseorang yang sedang digelut cinta juga boleh menjadi teramat lemah. Tatkala kerajaan China diserang Manchuria dalam zaman keagungan Dinasti Ming, Jeneral Wu tidak segan silu membukakan pintu gerbang kota untuk membolehkan tentera Manchuria masuk dengan mudah. Mengapa Jeneral Wu sanggup berbuat begitu? Disebabkan cintanya diragut oleh maharaja.
Ikut catatan sejarah, Jeneral Wu bercinta dengan seorang gadis bernama Chen, bagaimanapun pada suatu hari maharaja berkenan dengan Chen tanpa mengetahui kedua-duanya sedang bercinta. Maharaja telah mengambil Chen untuk dijadikan gundik daripada sekian ribu gundik yang ada. Jeneral Wu sangat kecewa dan berasa dikhianati oleh maharaja.
Apabila ada serangan dari luar, Jeneral Wu tidak teragak-agak untuk mengkhianati negaranya kerana merasakan tindakanya ialah balasan terbaik untuk seorang maharaja yang bernafsu buas. Padahal dia tahu perbuatannya itu turut memusnahkan dirinya sendiri. Demikianlah cinta boleh membodohkan manusia meskipun tidak dinafikan ramai manusia mencapai cita-cita mereka oleh cinta.
Kasih sayang ialah makanan roh. Memang manusia masih boleh hidup tanpa kasih sayang tetapi hidupnya hambar. Sudah tentu tiada bererti sebarang tubuh tanpa roh, tidak akan bererti seorang manusia tanpa perasaan sayang.
Ambillah waktu untuk berfikir, itulah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itulah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itulah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itulah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itulah hak istimewa yang diberikan Tuhan.


sumber dewan agama tahun 2006


0 Responses so far: