Followers

Thursday, February 2

Berilah Nasihat Selagi Kamu Mampu

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:55 PM 1 comments


Alhamdulillah. Hari ini saya mulakan entry bertajuk macam ni. ada apa-apa yang musykil? Mungkin ada yang pelik. Kenapa tajuk saya macam ni. macam keras sangatkan?

Saya ada terbaca komen di saya punya page. Untuk menasihati, tidak perlu menjadi sempurna. Cukuplah sekadar kita berpesan-pesan kepada mereka hakikat kebenaran.

Untuk mengeluarkan nasihat kepada orang lain, jangan tunggu sehingga anda sempurna seperti malaikat. Kerana anda seorang manusia, bukan malaikat. Malaikat juga adalah malaikat, dan bukan seorang manusia.
Saya berehat sebentar dari berhadapan dengan buku-buku yang banyak. Izinkan saya.
Banyak ilmu, sempurna pendidikan, kuatnya iman tidak menjadi ukuran untuk seseorang memberi nasihat sesama manusia. Ada yang salah sangka apabila diri belum menjadi seorang yang sangat baik, maka dia tidak layak untuk memberi nasihat.
Sesiapa yang berfikiran seperti ini, anda silap.
Nasihat Dari Orang Lain Untuk Orang Lain

Saya sebenarnya kurang suka mendengar orang mengatakan seperti ini,
“Alaa. Dia nak beri nasihat kat orang lain, padahal diri sendiri pun taklah baik mana. Eksyen baik aja lebih. Nak jadi pak Ustaz konon!”

Sejujurnya, kata-kata orang seperti di atas adalah kata-kata seorang yang sombong.
Kenapa seorang yang berilmu tinggi sahaja yang menjadi syarat untuk sesetengah orang menerima nasihat? Kalau seorang petani miskin, apa nasihatnya tidak boleh dipakaikah? Manusia nak mengambil nasihat berdasarkan kedudukan atau berdasarkan pedoman yang ada melalui kata-kata yang diucapkan?
Sekiranya ada orang ingin memberikan nasihat, maka izinkanlah dia. Hatta orang itu seorang budak kecil. Adalah menjadi hak budak kecil itu tadi untuk kita mendengar apa yang diperkatakannya. Dan hak anda sebagai pendengar adalah untuk mendengar, kemudian terpulang kepada anda untuk menerima nasihat tersebut untuk dipraktikkan atau tidak.
Orang yang rendah hati itu, menerima nasihat dari pelbagai golongan.
Menasihati Itu Bukan Mudah, Ada Hisabnya

Menasihati orang lain, tidak semudah berkata-kata. Kerana orang yang mengeluarkan nasihat itulah yang perlu lebih untuk mempraktikkan apa yang pernah diperkatakannya. Dan sekiranya ALLAh izinkan, si penasihat itu tadi pasti akan teruji dengan apa yang pernah diperkatakannya. Sama ada dia buat atau tidak.
Oh, itu ujian buat si pemberi nasihat.
Dan ALLAh tidak suka kepada seseorang yang menyeru sesuatu tetapi dia sendiri tidak melakukannya. Nah, berat bukan tanggungjawab ini? Kenapa? Bukanlah ALLAh ingin merendahkan kita, tetapi ALLAh ingin kita berdisiplin dan istiqamah dengan apa yang kita kerjakan.
Cubaan itu latihan. Bukan hanya sebuah hisab.
Nasihat Itu Tugas Semua Muslim

Berilah nasihat walaupun pahit untuk melafazkannya.
Saya suka dengan cara seorang guru saya. Apabila dia memberi nasihat kepada anak didiknya, maka dipertengahan nasihatnya itu, dia akan berkata seperti ini,
“Aku hanya memberi nasihat dan teguran pada kamu semua. Kamu tersinggung, kecil hati, merajuk dengan teguran ini, itu kamu punya urusan. Yang aku tahu, aku tegur kamu dan beri nasihat kerana aku sayang pada kamu. Tapi, minta maaflah kepada sesiapa yang terkena tepat pada wajah sendiri ya..”

Saya akui, kadang-kadang beliau bercakap secara umum, namun saya juga pernah turut terasa dengan teguran guru saya itu tadi. Dan bagi saya, itu latihan untuk mendidik diri memberi dan menerima nasihat.
Benar, nasihat biar kena pada caranya.
Namun, dalam kelembutan memberi nasihat itu, biar ketegasan turut bersama.
Baca kalam ALLAh ini, Surah al-Asr [1-3]
Demi Masa. Sesungguhnya SEMUA manusia itu di dalam kerugian. KECUALI mereka yang berIMAN, dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan pada kebaikan, dan berpesa-npesan pada kesabaran.

Subhanallah. Lihatkan bagaimana ALLAh memberi panduan kepada orang yang tidak rugi itu tugasnya apa? Salah satunya adalah, berpesan-pesan kepada kebaikan.
MashaALLAh.
Saling Menasihati, Manusia Bukan Malaikat

Kita bukan malaikat yang setiap detik hatinya hanya untuk ALLAh SWT. Manusia itu ialah makhluk yang sering terlupa. Makanya, ALLAh yang sangat memahami memberitahu bahawa pentingnya untuk saling memperingati.
Kita tidak selalu berada di atas. Dan tidak selama-lamanya kita berada di bawah.
Yang memberi nasihat, harus lebih bermujahadah dan istiqamah terhadap apa yang meluncur keluar dari bibirnya. Manakala yang mendengar nasihat harus berlapang dada dan jangan sesekali menyindir nasihat seseorang. Dengarkan apa yang ingin dikatakannya, dan nilailah.
Anda tidak akan rugi.
Setiap apa yang kita lakukan, kita perkatakan, pasti akan dihisab pada hari akhirat kelak.
Manusia memang sifatnya pelupa. Oleh itu jangan ego, hidup di dunia. Biarlah hati itu tunduk lebih rendah dari rumput yang ada di bumi. Kerana disitu kemuliaan seorang hamba. Terimalah nasihat saudaramu dengan seadanya dan berlapang dada. InshaALLAh, ALLAh itu sentiasa menilai setiap satu dari kita semua.
Entri ini adalah nasihat untuk diri saya sendiri terutamanya.
Semoga ALLAh merahmati.


1 Response so far:

Anonymous said...

yupz,,sampaikan walau satu ayat,,nice sharing.. may ALLAH bless,keep on writting keranaNYA