Followers

Tuesday, July 27

Tazkirah 4: Mujahadah (2)

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:52 AM 0 comments


Jihad melawan hawa nafsu ini pula terbahagi kepada 4 bahagian:-

1. Berjihad untuk mendapat hidayah(petunjuk) daripada Allah SWT.- kita berusaha, berikhtiar untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT.(petunjuk Allah ialah Islam itu sendiri).

2. Melaksanakan Islam, petunjuk Allah SWT itu di dalam kehidupan kita setiap hari dalam pelbagai aspek kehidupan kita.

3. Menyampaikan Islam yang telah kita laksanakan itu kepada orang lain.

4. Bersabar di dalam menyampaikan Islam kepada orang lain.


Jadi ada 4 peringkat jihad didalam melawan hawa nafsu ini yang mana apabila kita memperlengkapkan keempat-empat peringkat jihad ini maka barulah sempurna proses jihad kita melawan hawanafsu ini. Ini bermakna di dalam hidup kita ini setiap masa berkehendakkan kepada jihad dan lebih-lebih lagilah apabila kita hendak melahirkan dan melaksanakan Islam. Jadi di mana kita memperkatakan Islam maka di situlah kena ada jihad tidak kiralah sama ada diperingkat individu ataupun diperingkat jamaah. Kita seorang-seorang memerlukan jihad apabila nak melaksanakan Islam dan kita bersama-sama dengan sahabat-sahabat ataupun jamaah juga memerlukan jihad untuk melaksanakan Islam.

Mujahadah itu sebenarnya mempunyai makna yang cukup luas. Kita datang ke sini merupakan satu bentuk mujahadah, kita mendekatkan diri kita kepada suasana yang soleh, mendekatkan diri kepada sumber-sumber tarbiah yang betul seperti Al-Qur'an Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW serta buku-buku yang dikarang oleh ulama-'ulama' yang muktabar semua itu termasuk dalam mujahadah. Kita hadir dalam halaqat, dalam tamrin dan program-program yang kita rancang, itu juga dikira mujahadah. Kita pergi menziarahi sahabat-sahabat kita, kita pergi menziarahi sanak-saudara kita dalam rangka nak menyebarkan kefahaman Islam misalnya pun dikira sebagai mujahadah,mujahadah untuk kita mendapat hidayah/petunjuk daripada Allah SWT.

Kita mendampingi orang-orang yang tertentu yang boleh membawa kita ke jalan yang haq maka itu juga dikira sebagai mujahadah. Kita mengelakkan diri kita daripada gangguan-gangguan maksiat, menjauhkan diri kita, anak-isteri, keluarga dan sahabat-sahabat kita daripada suasana-suasana yang tidak Islam dan dorongan-dorongan hawanafsu yang menyesatkan semua itu juga termasuk dalam usaha kita bermujahadah. Jadi alangkah luasnya kerja-kerja mujahadah yang perlu kita lakukan dalam rangka untuk kita mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi semua usaha dan kerja-kerja yang kita lakukan sekiranya dibuat dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT maka itulah yang merupakan titik tolak yang betul ke arah untuk kita mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi sekiranya apa yang kita buat, niat kita lillahi taala maka itulah jalan yang akan menyampaikan kita kepada hidayah Allah dan seterusnya membawa kita kepada makam(kedudukan) al-muttaqin ataupun orang-orang yang bertaqwa.


Untuk menuju ke arah muttaqin, untuk sampai kepada kedudukan orang-orang yang bertaqwa ini, kita dapati banyak berlaku kesalahan-kesalahan. Kita dapati di sana orang-orang yang salah didalam memahami konsep mujahadah ini, mereka melakukan mujahadah dengan konsep mereka yang tersendiri. Maka dengan sebab itulah kita dapati ramai yang bermujahadah tetapi tidak sampai kepada natijah yang betul yakni tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT dan tidak dapat menjadi orang-orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka bermujahadah tetapi tidak mendapat hidayah dan taqwa. Jadi inilah yang betul-betul kita hendak jaga supaya jalan yang kita lalui itu betul-betul mendapat taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT. Dalam hendak memastikan kita bermujahadah ini dengan taufik/jalan yang dipersetujui oleh Allah SWT ini maka sebab itulah kita tidak memilih jalan yang lain melainkan jalan ataupun uslub yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam rangka kita bermujahadah ini dan juga dalam rangka kita nak kembali mengambil Islam. Jadi kita bermujahadah ikut uslub Rasulullah SAW dan kita mengambil Islam ini juga ikut uslub ataupun jalan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Justeru itu tidaklah boleh kita membuat kesimpulan manakala kita hendak bermujahadah kita buat menurut cara kita sendiri ataupun tektik tersendiri tanpa melihat dan mengikuti uslub yang sebenarnya yakni uslub Rasulullah SAW. Kita tidak boleh buat ataupun fikir dengan cara kita sendiri di dalam bermujahadah ini. Dalam hal mengikuti jalan yang betul untuk bermujahadah ini telah berlaku kekeliruan di dalam kefahaman dan jalan-jalan yang hendak diambil akibat daripada kejahilan seseorang itu tentang konsep mujahadah yang sebenarnya. Kejahilan seseorang itu terhadap jalan mujahadah yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW itulah yang menyebabkan berlakunya kesalahan-kesalahan, ketidak-fahaman dan kekeliruan-keliruan di dalam melaksanakan mujahadah ini.

Di sini perlulah memahami betul-betul qadiah ataupun permasalahan mujahadah ini dan jalan-jalan yang perlu kita ikuti di dalam rangka untuk kita mendapatkan hidayah daripada Allah SWT dan menjadi manusia yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Jadi sebagaimana yang kita jelaskan tadi sekirannya jalan yang kita ikuti dalam bermujahadah ini tidak betul, walaupun kita bersungguh-sungguh melakukan mujahadah ini, kita mencurahkan masa dan tenaga , wang ringgit dan harta benda yang banyak tetapi kejalan yang tidak betul maka semuanya itu akan menjadi sia-sia sahaja dan tidak akan mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Kita tidak akan sampai kepada petunjuk dan taqwa yang sebenarnya.

Di dalam hal bermujahadah ini Ustadz Syed Hawwa menjelaskan," Kita mestilah bermula daripada noktah iman kepada Allah SWT dan bermula dengan noktah mentauhidkan/mengEsakan Allah SWT ". Mujahadah yang betul itu mestilah bermula dengan beriman kepada Allah dan beriman kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain serta bermula dengan mentauhidkan dan mengEsakan Allah SWT. Mujahadah itu mestilah bertitik-tolak dengan beriman kepada Allah dan beriman kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain seperti beriman kepada Muhammadur Rasulullah dan yang lain-lain lagi. Hakikat ini mestilah diterima secara disedari .Ianya tidak boleh dialpakan ataupun dilalaikan sebab mungkin sesaorang muslim yang lahir di dalam suasana Islam ataupun yang lahir ditengah-tengah masyarakat Islam maka dia tidak akan merasai bahawa perkara ini disuruh dan dituntut yakni supaya dia bermujahadah bermula dengan beriman kepada Allah SWT. Bila kita sudah ada biah solehah(suasana yang Islamik) maka mungkin boleh berlaku di mana seseorang muslim yang lahir di dalam biah yang seperti ini, dia tidak merasa perkara ini dituntut yakni supaya dia bermujahadah bermula dengan keimanan kepada Allah SWT. Jadi inilah satu kesilapan yang besar yang telah berlaku di dalam sejarah Islam. Kita dapati apabila wujudnya Daulah Islamiah dalam waktu yang agak panjang maka telah lahirlah umat Islam yakni generasi-generasi yang baru di dalam daulah tadi tetapi manakala tidak diingatkan kepada mereka tentang perlunya mereka bermujahadah bermula dengan beriman kepada Allah SWT dalam ertikata yang sebenarnya maka berlakulah berbagai-bagai masalah di dalam perkembangan dakwah Islam ini.

Inilah kesalahan yang telah berlaku di dalam masyarakat Islam beberapa masa yang lalu. Bila sudah banyak umat Islam, semua Islam, individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam dan daulah Islam maka terlupa mereka kepada satu hakikat untuk mengajak generasi yang baru ini kepada merasai apa yang pernah dirasai oleh generasi yang awal yakni bermujahadah dengan titik tolak keimanan kepada Allah SWT dan mentauhidkan serta mengEsakan Allah SWT. Dalam realiti kita, kalau kita tidak ambil berat ataupun kita tak memperdulikan perkara ini maka itulah yang akan membawa kepincangan kepada perkembangan Jamaah Islamiah yang kita dukung ini.

Biah ataupun suasana yang ada pada hari ini yang diwujud dan dirancang kewujudannya oleh sistem yang ada pada hari ini lambat laun akan mempengaruhi umat Islam dan tidak dinafikan kemungkinan kita juga boleh lari meninggalkan suasana Islam ini kepada suasana yang lain meskipun di sana masih terdapat keperibadian Islam yang masih boleh diperlihatkan. Namun sekiranya umat ini larut di dalam kemewahan syaksiah Islamiah sehinggakan terlupa kepada hakikat untuk bermujahadah ataupun perlunya setiap individu itu mengislahkan dan berusaha untuk dia kembali bermujahadah bermula dengan keimanan kepada Allah SWT maka kemungkinan untuk dia larut di dalam suasana yang tidak Islamik itu boleh berlaku.

Al-Qaid pernah berkata, " Perkara ini kalau kita tak perkenalkan atau kita tidak tekankan betul-betul di dalam proses tarbiah kita kepada generasi yang baru ini maka itu merupakan satu kesalahan yang besar di dalam kerja-kerja amal Islami yang kita lakukan ". Kalau kita tidak kata MUJAHADAH MESTI BERMULA DENGAN KEIMANAN KEPADA ALLAH SWT ,walaupun kita lahirkan mereka ditengah-tengah masyarakat Islam, tetapi kita akan kehilangan mereka, mereka akan diambil oleh sistem yang ada pada hari ini.

Walaupun kita berusaha ke arah perkembangan jamaah kita, kita menyusun banyak perancangan yang baru di dalam hendak memperkuatkan lagi struktur perkembangan Jamaah Islam tetapi bagi sahabat-sahabat yang baru janganlah kita lupa untuk memperjelaskan kepada mereka bahawa mujahadah ini mestilah bermula dengan kita beriman kepada Allah SWT. Mesti bermula dengan kita mentauhidkan Allah SWT dan mengEsakan Allah SWT. Maknanya di sini, setiap masa, setiap peringkat , setiap perkembangan dan setiap suasana , bagi setiap individu dan jamaah ataupun sesiapa sahaja yang berhajatkan kepada Islam maka mujahadahnya mestilah bermula dengan keimanan kepada Allah SWT. Tidak kira waktu, tidak kira tempat ataupun suasana, apabila dia bermujahadah maka dia mestilah bermula dengan menyelesaikan permasalahan awal iaitu beriman dan mentauhidkan Allah SWT. Itulah jalan mujahadah yang sebenarnya.

Kita dapati apabila berlaku kesilapan di dalam memahami konsep mujahadah ini maka akan berlakulah kerja yang sia-sia yang mana kita nampak semacam tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Oleh itu dalam rangka bermujahadah ini kita juga mengharapkan agar kita dapat mencerminkan sifat ataupun keperibadian Islam yang sebenar. Kita ingin menunjukkan Syaksiah Islam yang sempurna. Maka untuk tujuan itulah kita kena pastikan bahawa mujahadah yang kita lakukan mestilah bermula/bertitik tolak daripada keimanan kepada Allah SWT.

Kita lihat di dalam sirah yakni dizaman Rasulullah SAW dan para sahabat telah berlaku satu perubahan dan peralihan yang sungguh besar di dalam masyarakat Islam ketika itu di mana telah lahir betul-betul di dalam masyakat dan juga generasi para sahabat ketika itu mereka-mereka yang benar-benar bertaqwa dan beriman kepada Allah SWT. Proses mujahadah yang mereka lakukan benar-benar telah menampakkan perubahan dan peralihan yang menyeluruh yakni daripada kufur kepada Iman dan daripada jahiliah kepada Islam.

Setelah terlaksana proses mujahadah yang bermula dengan beriman dan mentauhidkan Allah SWT serta memperbetulkan aqidah kita maka selepas itu barulah akan sampai pula kepada marhalah ataupun peringkat mujahadah yang kedua iaitu mujahadah untuk melaksanakan tugas-tugas yang diwajibkan, mujahadah untuk melaksanakan kewajipan yang difardukan oleh Islam dan juga mujahadah untuk meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam. Manakala telah sempurna mujahadah yang pertama tadi yakni mujahadah untuk beriman dan mentauhidkan Allah SWT maka barulah dia sampai kepada peringkat yang kedua yakni menyempurnakan Islam yang minima mengerjakan semua yang wajib dan meninggalkan semua yang dilarang oleh Allah SWT) di dalam semua aspek kehidupan kita setiap hari . Diperingkat ini barulah seseorang itu dapat melakukan ibadahnya dengan betul, dia mendirikan solat lima waktu dengan betul, berpuasa pada bulan ramadan dengan betul, memberi zakat, naik haji dan melaksanakan amal Islami (kerja-kerja Islam) yang betul dalam ertikata yang sebenarnya.

Jadi kita sebagai anggota-anggota di dalam jamaah Islamiah yang mengikuti tarbiah ini mestilah terlebih dahulu mengikatkan hati kita dengan keimanan kepada Allah SWT. Sekiranya hati ini tidak diikat dengan keimanan kepada Allah SWT terlebih dahulu maka mujahadah-mujahadah yang lain itu dia akan jadi satu tradisi sahaja. Solat jadi tradisi, puasa tradisi ataupun dalam realiti kita yang berulang-alik menghadiri program-program halaqat, tamrin dan sebagainya tetapi tidak jelas betul-betul pada kita tentang hakikat mujahadah yang pertama ini maka penglibatan kita itu juga akan menjadi tradisi sahaja. Tidak ada keberkesanan yang sebenarnya. Maka sebab itulah di dalam proses tarbiah ini kita nak bawa hati dan jiwa kita ini merasai betul-betul akan hakikat keimanan dan hakikat mentauhidkan Allah SWT. Kita hendak ikatkan hati kita ini dengan keimanan kepada Allah SWT dan bukannya hendak ikatkan dia kepada yang rutin. Kita tak mahu berlaku yang macam ini, misalnya dalam halaqat dia hadir, dalam tamrin dia hadir dan dalam aktiviti-aktiviti yang lain dia juga hadir tetapi tidak diikat betul-betul dengan keimanan kepada Allah SWT. Jadi kita nak dia hadir itu adalah dalam rangka untuk merasai hubungan dia dengan Allah SWT, hubungan hati dan ruh dia dengan pencipta dia yakni Allah SWT.

Apabila telah sampai keperingkat mujahadah yang kedua tadi, kita melaksanakan yang fardu dan meninggalkan yang haram dengan betul maka insyaAllah penigkatan diri kita akan menjadi suatu yang cukup soleh. Akan bertambah lagi hidayah Allah SWT kepada kita yang seterusnya akan meningkatkan dan menyempurnakan lagi ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Itulah diantara beberapa panduan mengenai jalan-jalan mujahadah yang perlu kita lalui dan kita nak ajak mereka-mereka yang lain, anak-isteri kita, keluarga kita, saudara-mara dan masyarakat semua melaluinya dalam rangka untuk menyempurnakan perhambaan kita kepada Allah SWT dan dalam rangka untuk kita menuju kepada taqwa dalam ertikata yang sebenarnya. Kuatnya kita (umat Islam) ini adalah kerana kuatnya taqwa yang ada pada setiap individu di dalam Jamaah Islamiah ini. Kekuatan taqwa ini hendaklah sentiasa kita jaga dengan proses mujahadah ini, proses di mana kita berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan hidayah Allah SWT pada setiap masa, setiap suasana dan setiap ketika.


0 Responses so far: