Followers

Sunday, August 12

Menjadi Isteri Super Saiya

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 5:14 PM 1 comments


Berkahwin dan memiliki sebuah keluarga sentiasa menjadi keinginan seorang wanita.
Jika ditanya pula pada seorang wanita yang baru mendirikan rumahtangga, kebanyakannya ingin menjadi isteri yang baik kepada suami dan ibu yang baik kepada anak-anaknya.
Antara lain harapan yang diletakkan ialah ingin mengekalkan kebahagiaan hingga ke anak cucu, malah ada yang ingin kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.
Sekalipun matlamat dan harapan cukup jelas, ramai yang gagal meramal atau menjangka laluannya tidak semudah yang disangka.
Alasannya cukup mudah, jika yang diinginkan ialah kebahagiaan, sudah tentu yang diuji adalah ketahanan dan pengorbanan setiap individu yang inginkan kebahagiaan tersebut.
Bahagia tidak datang secara percuma, juga bahagia bukan sesuatu yang boleh diperturunkan oleh sesiapa kepada sesiapa.
Kebahagiaan perlu diusahakan.
Laluannya perlu difahami, teknik dan strategi perlu dipelajari, rintangan dan halangan perlu dijangka lebih awal, persediaan mental, fizikal dan kejiwaan perlu sentiasa dibina dan ditingkat, kemahiran asas dan tambahan perlu dipelajari, petua dari yang orang yang berjaya dan berpengalaman perlu sentiasa dituntut dan yang penting sekali perhubungan dengan Yang Maha Berkuasa perlu sentiasa dihidupkan.
Bagi seorang wanita yang ingin menjadi isteri yang solehah, mereka perlu jelas dengan apa yang dinyatakan tadi.
Isteri solehah di sisi Allah selayaknya diberi ganjaran syurga. Sementara syurga itu adalah tempat orang yang juga mendapat tempat disisi Allah.
Orang yang mendapat tempat disisi Allah pula bukanlah orang yang sembarangan, bukan orang yang kalah bila diuji, yang melatah bila ditimpa kesusahan dan putus asa bila diuji dengan kesabaran.
Isteri yang solehah boleh dikatakan sebagai isteri yang luar biasa pada masakini.
Pada masa ini terdapat lebih ramai isteri yang biasa-biasa saja dari segi ketaatan dan kepatuhan kepada suami juga biasa-biasa sahaja dari segi ketahanan jiwa dan mentalnya dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.
Sesuai dengan apa yang diceritakan oleh Nabi dalam Isra' baginda dimana kebanyakan dari penghuni neraka adalah wanita, termasuklah wanita yang derhaka kepada Allah dan suaminya.
Jika sudah itu kenyataannya sudah tentu di dunia kini kita dapat melihat banyak wanita yang bergelar isteri mempunyai ciri-ciri ahli neraka. Juga pada masa yang sama jika terdapat golongan wanita yang mempunyai ciri-ciri ahli syurga sudah tentu sedikit bilangannya.
Maka dari kiraan statistiknya kumpulan yang terkeluar dari populasi yang ramai atau yang biasa dinamakan sebagai kumpulan yang luar biasa.
Dalam konteks sebuah perkahwinan, kedudukan wanita atau isteri di sisi suaminya adalah sebagai pembantu atau suri dalam kehidupan. Jika suami ibarat raja yang boleh bertitah dan mengeluarkan perintah, isteri pula umpama menteri yang menerima segala arahan dan wajib mentaati serta merealisasikan  perintah tersebut.
Dalam ertikata yang lain, isteri bertanggungjawab mentaati perintah suami.
Dalam Al-Quran jelas menyatakan perkara tersebut dimana isteri wajib mentaati suami selagimana perintah suami tidak bercanggah dengan perintah Allah Taala.
Isteri yang luarbiasa perlu lulus segala ujian. Ujian seorang isteri terletak dibawah kemampuannya mentaati perintah Allah dan juga perintah suaminya. Isteri yang ingin lulus dengan jayanya perlu mengetahui beberapa perkara yang menjadi kunci atau asas kejayaan.
01.Pertama, isteri perlu meletakkan Allah sebagai pusat ketaatan yang tertinggi dan utama atas segala-galanya.
Sementara suami wajib ditaati selagi apa yang diperintah tidak menyalahi atau membelakangi ketaatan isteri kepada Allah.
Dalam ertikata lain, isteri perlu tahu dan faham bahawa ketaatan beliau kepada suami adalah kerana Allah memerintahkan beliau untuk berbuat demikian, bukan kerana suami yang mengkehendaki sedemikian.
Adalah penting untuk isteri memahami perkara ini kerana kebanyakan isteri yang 'biasa-biasa' mudah merasa putus asa untuk terus mentaati apa yang dikehendaki oleh suami terutama apabila keinginan suami bercanggah dengan keinginan sendiri atau suami tidak membalas ketaatan dan kebaikan yang isteri lakukan.
Isteri yang luarbiasa mempunyai matlamat yang juga luarbiasa atau yang tidak dapat dilihat oleh isteri yang 'biasa-biasa'.
Jika isteri yang 'biasa-biasa' melihat hubungan antara suami dan isteri sebagai interaksi antara pasangan bercinta, isteri yang luarbiasa melihat hubungan tersebut dan interaksi antaranya sebagai ibadah kepada Allah Taala.
Maka tidak kiralah samada suami membalas atau tidak kebaikan yang dilakukan, isteri sebegini tidak akan berhenti dari terus melaksanakan kewajiban yang ditetapkan oleh Allah Taala.
02.Kedua, isteri perlu sentiasa menjana kekuatan mental dan spiritualnya.
Tanggungjawab seharian seorang isteri sangat mencabar kekuatan jiwa. Apatah lagi jika isteri tersebut bekerjaya. Tuntutan tanggungjawab yang berterusan mudah menekan perasaan naluri isteri yang secara fitrahnya sememangnya lembut dan halus.
Lebih mencabar lagi jika isteri tersebut mempunyai suami yang kurang sensitif atau kurang bertimbangrasa dalam hal-hal berhubung tanggungjawab di rumah.
Walau apapun keadaannya, apa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada seorang isteri akan kekal sebagai tanggungjawab yang bakal disoal di akhirat kelak.
Dalam ertikata yang lain, sekalipun isteri tersebut bekerja, tidak sekali-kali dia terkecuali atau dikurangkan dari tanggungjawab asasnya terhadap rumahtangganya.
Dalam keadaan ini jika tekanan tidak dapat dikurangkan seorang isteri yang luarbiasa akan sentiasa meningkatkan kekuatan mental dan spiritualnya melalui hubungannya dengan Allah Taala.
Semakin kuat tekanan, semakin rapat hubungannya dengan Allah. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullullah s.a.w;
"Barangsiapa menjadikan semua kebimbangannya kepada satu kebimbangan (akhirat) Allah akan melenyapkan semua kebimbangan keduniaannya, dan barangsiapa yang membimbangkan tentang hal-hal keduniaan, Allah akan membiarkannya tenggelam dalam kebimbangannya"
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman yang kira-kira bermaksud:
"Wahai anak Adam! Luangkanlah masa kamu untuk beribadah kepadaKu dan Aku pastinya akan memenuhi dadamu dengan kekayaan dan kesenangan (iaitu merasa puashati dan bebas dari kesusahan) dan membebaskan kamu daripada bergantung (pada orang lain untuk keperluanmu) tetapi sekiranya kamu tidak melakukannya maka Aku akan memenuhi dadamu dengan perasaan gelisah  dan rasa bersalah dan tidak akan membebaskanmu daripada bantuanmu (dan keperluan)."
Dengan kata lain, semakin bertambahnya kekayaan, kamu akan bertambah bakhil dan kamu akan sentiasa dalam kebuntuan.
Isteri yang luar biasa menjadikan Allah sebagai tempat mengadu, tempat bergantung dan memohon kekuatan.
Dalam keadaan bebanan tanggungjawab yang semakin bertambah; melayan dan memenuhi keperluan suami, mendidik dan mengasuh anak-anak, mengurus kerja-kerja rumahtangga yang tidak pernah berkesudahan, kemudian di tambah lagi dengan tuntutan tanggungjawab kerjaya sudah tentu kudrat manusia biasa tidak termampu untuk menanggungnya sendirian, apatah lagi oleh wanita yang berjiwa halus dan  berfizikal lembut.
Dalam keadaan ini hanya Allah sahaja yang mampu memberi kekuatan, tempat mengadu yang menyediakan pemahaman yang amat mendalam dan tempat menggantung doa serta harapan yang tidak pernah mengecewakan.
Isteri luarbiasa mempunyai pertalian yang luarbiasa dengan Penciptanya.
03.Ketiga, isteri luarbiasa jiwanya penuh dengan kasih sayang.
Kasih sayang tersebut sentiasa mendorongnya untuk memberi berbanding menerima, memahami berbanding menuntut orang lain memahaminya, mengutamakan berbanding diutamakan, berkorban berbanding mengharap orang lain berkorban untuknya.
Isteri sebegini sedar dimana beliau dapat menyalurkan kedukaan dan keluhan agar tidak sampai nampak pada pandangan suami apatah lagi menyusahkan suami.
Bagi seorang isteri yang luarbiasa akhlaknya, tanggungjawabnya lebih utama dari hak yang perlu dituntut. Tanggungjawab akan dikira di depan Allah berbanding dengan hak.
Isteri solehah lebih gusar jika tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak dipenuhi olehnya berbanding dengan hak yang perlu diterima.
Isteri solehah lebih gusar jika kemuraman dan kemasaman wajahnya menyusahkan suami berbanding menuntut suami melayani perasaan dan kekecewaannya. Dalam ertikata yang lain,isteri yang luarbiasa juga mempunyai ketahanan mental dan emosi yang cukup tinggi.
Bagi setiap wanita yang bergelar isteri, yang bercita-cita untuk menjadi isteri yang solehah, sebaiknya mengukur kemampuan dan kesanggupan diri sendiri untuk memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan tadi.
Jika  belum mampu, pertingkatkan usaha. Menjadi seorang isteri merupakan anugerah yang cukup tinggi bagi seorang wanita. Memiliki suami umpama memiliki jambatan bonus untuk meniti ke syurga. Namun tanpa ketaatan terhadap suami umpama tidak menghargai peluang yang ada.
Mengenepikan suami atau menderhakai suami pula, umpama merobohkan jambatan tersebut dan memilih untuk berenang ke syurga. Arahnya sama, namun sayang kemudahan tiada. Isteri yang luarbiasa sahaja yang  berjaya tiba ke syurga yang dijanjikan Allah padanya.
Syurga pula ganjaran tertinggi bagi hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Apa yang perlu diingat selalu, sesuatu yang bernilai tinggi tidak diberi secara percuma juga tidak murah harga dan nilainya.

Continue...


Friday, August 10

Mengapa Mengkhianati Setelah Bertahun Di Kasihi?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 9:28 PM 2 comments


Saya berbual dengan seorang sahabat tentang kasih sayang. Juga tentang bagaimana menghargai kasih sayang yang dikurniakan. Sebelum saya huraikan hasil perbualan kami, saya ingin menyoal anda dengan pertanyaan saya ini.
Kamu fikir, siapakah sebenarnya yang paling sayang kepada kamu?
Mungkin ada yang menjawab ibu, pasangan hidup, sahabat karib, dan lain-lain. Mungkin. Tetapi, jika ada yang memberikan jawapannya adalah Allah, ketahuilah bahawa jawapan kamu itu bersamaan dengan jawapan saya.
Ya, yang paling sayang kepada kita ialah Dia. Pencipta kita. Pembuat kita. Allah.
Bayangkan, kita sebagai manusia yang lemah ini pun akan sayang kepada sesuatu yag dihasilkan dengan titik peluh kita sendiri, bagaimana pula dengan Dia yang mengakui secara jelas bahawa Dialah Yang Maha Penyayang.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Perasaan Sayang Yang Makhluk Miliki Adalah Kurniaan Allah
Kita biasa melihat betapa sayangnya seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Juga perasaan sayang seorang iteri kepada suaminya. Namun, biasakah kita melihat bahawa perasaan sayang mereka ini, Allahlah yang mengurniakannya kepada mereka.
Berkenaan perkara ini, sahabat nabi, Abu Hurairah R.A. ada  meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya,
"Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Allah telah menjadikan kasih sayangNya terbagi dalam seratus bahagian. Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi. Dari satu bahagian itulah para makhluk saling kasih-mengasihi sehingga seekor ibu binatang mengangkat cakarnya dari anaknya kerana takut melukainya." [riwayat Imam Muslim]
Bayangkan, betapa banyaknya kasih dan sayang yang Allah miliki. Maka betapa besarnya pula kasih sayang Allah kepada manusia kerana manusialah makhluk yag paling dikasihiNya.
Pernah suatu hari Sayyidina Umar datang menghadap Rasulullah s.a.w. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?" Para sahabat menjawab: "Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya."
Begitu sekali kasihnya Allah kepada hambaNya. Tidakkah kita patut berfikir untuk menghargainya?
Menghargai Kasih Sayang Allah
Kita ini, bila kita tahu ibu bapa sayang kepada kita, kita jadi tak tergamak untuk lukakan hati mereka. Tak sampai hati hendak buat perkara yang mereka tak suka kita buat. Tetapi, kita buat juga secara sembunyi.
Namun, Allah lain. Dia tak sama dengan orang yang kita sayang. Allah, bila Dia menyuruh kita berbuat sesuatu, atau melarang kita dari melakukan sesuatu yang lain, Dia sentiasa Melihat kita. Maka, di sinilah nilaian kepada sejauh mana kita menghargai kasih dan sayang yang Allah berikan.
Adakah kita tetap buat yang Allah larang?
Atau masih tak laksanakan perkara yang Dia suruh?
Sedangkan Dia tetap melihat apapun yang kita lakukan.
Tinggalkan Dosa Kerana Hutang Kasih
Kita selalu dengar ustaz-ustaz kita pesan supaya tinggalkan maksiat kerana setiap maksiat kita itu balasannya adalah neraka Allah. Neraka pula azabnya tidak terfikir oleh otak, tidak terucap pula oleh lidah. Betapa dahsyat.
Tapi masih ramai yang tidak tinggalkan maksiat.
Jadi, selain dari ancaman azab-azab yang sangat mengerikan itu, saya ingin mengajak kita kepada menghindar maksiat dengan menginsafi bahawa kita sudah terlalu banyak berhutang kasih kepada Allah. Sangat banyak. Kasih Allah kepada kita bukan sekadar semasa kita hidup, bahkan sebelum kita hidup dan selepasnya.
Diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tatkala Allah menciptakan makhluk, Allah telah menuliskan dalam kitab catatan-Nya yang berada di sisi-Nya di atas arsy bahawa sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku" [riwayat Imam Muslim].
Sahabat-sahabat, tergamaknya kita membalas kasih sayang Allah dengan kemungkaran. Hamba apakah kita ini? 

Salam Ramadhan. Mari menggapai 10 malam terakhir.



Continue...


Saturday, July 28

Relakah Kau Menanti?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 7:23 AM 0 comments


“Pada saya bila ditanya antara cinta dan sayang , maka saya berpandangan sayang mempunyai skop yang cukup luas berbanding cinta. Ini kerana cinta mempunyai sifat tidak ingin berkongsi. Berbeza berbanding sayang ia bersifat universal, sebab itu kita tak boleh memanggil isteri dengan cinta.

Sebagai contoh: “Cinta, cinta cinta cinta?, Cinta cinnnta Cinta. Kan kurang enak bunyinya”, apalagi kalau ditukar menjadi cipan lagi buruk bunyinya.. Tapi kalau sayang ia akan lebih enak : Sayang, sayang sayang sayang?, Sayang sayang Sayang”. Tapi kalau isteri orang Terengganu jangan panggil sayang, ia jadi Nasi Ayang, Ayang Goreng dan sebagainya”. Dewan ceria dengan ungkapan beliau.

Itulah kata-kata Ustaz Badlishah yang merupakan Pegawai Agama Daerah Temerloh yang berasal dari terengganu dalam Program Halaqah. Merungkai konsep cinta dan sayang.

Realiti dan Harapan

Setiap yang hidup pasti mati, pertemuan maka pasti akhirnya perpisahan. Kata orang, bila diri cuma memberi maka dia akan menerima. Mungkin ia berbeza dengan cinta. Ramai yang mencari bahagia namun masih ramai yang belum ketemu cinta itu. Mencari dilautan luas namun bertemu dialam sempit tak bermaya, namun semakin terang menuju jalan bahagia. Ungkapan ini mungkin saya akan dicop orang yang jiwang, kata-kata senget masyarakat sekarang. Namun ingin sekali hati berbicara tentangnya yang mana titik akhirnya berpaut didahan yang satu dengan seribu pandangan.



Ramai yang mencarinya, dan kebanyakkan mereka bertemu dengannya. Namun, kenapa diakhirnya berlaku perpisahan. Kononnya bercinta sampai kemati namun cinta berakhir ditengah jalan tanpa bertemu jalan. Manusia, khususnya kaum adam perlu melihat jauh ke hadapan, berkasih jika sekadar ingin memilih maka pilihan itu mungkin bertemu kegagalan. Ada mereka yang kononnya “memasang” ramai kononnya “ Bila lagi nak pilih, masa bujang la”. Betul dan tidak dinafikan. Tetapi fikirkanlah tentang perasaan orang. Begitu juga dengan wanita. Perlu difahami golongan ini memandang jauh ke hadapan sehinggakan menjerumus mereka kepada perkara seperti lelaki iaitu “Memasang” ramai. Inilah realiti sekarang, tulisan ini bukan sindiran sekadar meluahkan apa yang terbuku.


“ Kepedihan mencapai cita-cita adalah nikmat, keletihan dalam mewujudkan obsessi adalah ketenangan, peluh kerana kerja adalah pewangi, dan pujian yang baik adalah wewangi yang semerbak.” Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni Pandangan Setitis dari Lautan Nan Meluas

Ramai yang mencari bahagia dalam hidup, menunggu dan terus menunggu. Namun sedarkah kita keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Ramai manusia yang mencari bahagia dengan mengorbankan bahagia yang sedia ada. Ada perkahwinan yang tidak mendapat persetujuan daripada ibubapa. Tega sungguh hati seorang anak meninggalkan ibu ayah demi meletakkan kesetiaan kepada yang belum pasti. Ingatlah redha Allah bersama dengan redha kedua ibubapa.

Bahagia tak semestinya memiliki tetapi ia sentiasa memberi. Tak semestinya cinta berakhir dengan terbinanya masjid yang tersergam indah namun ahli jawatankuasa di dalamnya bergolak. Namun alangkah indahnya bila kita menjadi peng”imarah” masjid itu yang mana menyelesaikan segala pergolakkan di dalamnya.

Persoalan Ikhtilat


Pernah diri ini disuruh untuk mengunkap persoalan ikhtilaf, sungguh jiwa ini tak mampu, bimbang ianya terkena pada diri. Namun, ramai rakan-rakan yang sudah berpunya, bermain SMS yang telefon bimbit tak lekang ditangan. Pernah aku berpesan kepada seorang rakan, biar lah sekadar SMS dan jangan keluar, Kerana jika keluar ia akan membawa kepada beberapa keburukan yang lain. Namun bagi mereka yang tersungkur di tengah jalan maka ingatlah satu Firman Allah;

“Diwajibkan kamu berperang, sedangkan ia yang kamu benci. Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah Ayat 216)

Pesanku, jika sayangkan seseorang maka relakanlah cintamu menunggu, menunggu kala syariat membenarkan. jika kamu seorang penanti cinta, maka relakanlah dirimu untuk menerima. Jika berat bagimu, maka relakanlah melepaskan ia pergi jauh nun sana. Jika kesanggupanmu mengatasi kebimbangan maka sabarlah dengan ujian. Ingat, sayang harta, kelak hilang ditelan zaman, cintakan dunia kelak dunia melambai pergi tatkala terdengar tiupan, sayangkan manusia kelak ia menjenguk terus menghilang. Labuhkanlah cintamu kepada Allah, kerana Dia kekal abadi.

Nasihat Buat Teman Yang Berkasih

Jangan menabur janji seribu benih, bimbang tumbuhnya beribu buah dendam,
Jangan panjang angan-angan bimbang tak terjangkau akal,
Jangan banyak bermain dengan maaf, kerana sukar untuk diterima,
Jangan terlalu bermain dengan kata-kata, bimbang sukar ditarik,
Jangan suka bersikap tidak jujur, bimbang pecah tembelang,


Dalam meniti hidup sikap kasih perlu tulus,
Hati sentiasa sangka baik pada yang lain,
Bangunlah dari kecewa, terus berlari menuju Allah,
Allah pinta diampunkan segala dosa,
Sesalkan hati penuh luka bila malam tiba,
Tempatkanlah diri bersama golongan mereka yang dikasihi Allah,
Moga nusrah tetap bersama.




Continue...


Sunday, July 8

Separuh Jiwa Ku Akan Pergi?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 6:29 PM 0 comments



Manusia tidak akan mampu menjalani kehidupannya tanpa cinta. Tanpa cinta, kehidupan akan gersang, hati menjadi keras, tubuh menjadi kurus kering laksana mayat. Memang seharusnya manusia itu hidup dengan perasaan cinta kasih. Manusia yang kehilangan perasaan cinta, biasanya tubuhnya laksana mayat, atau menderita depresi dan gangguan kejiwaan atau kesedihan. Kerana dia telah kehilangan sesuatu yang sepatutnya menjadi pemacu utama dalam satu nilai kehidupan.



Semakin besar rasa cinta, semakin kencang denyut nadi kehidupan seseorang. Maknanya, setiap kali cinta seseorang bertambah hebat, cinta itu akan menambah denyut kehidupan manusia, kehidupannya menjadi lebih baik dan semakin dipenuhi dengan kasih sayang.


Lantas, apa yang kita cintai?

Ramai manusia yang mencintai harta. Tetapi sedar atau tidak, harta tersebut akan hancur binasa. Di saat ketika menemui ajal, kita akan meninggalkan harta-harta kita, dan ianya akan dibahagi-bahagikan setelah kita mati. Bahkan lebih malang apabila ada orang yang sanggup mati kerana harta.

Ada juga yang mencintai takhta dan kekuasaan! Tetapi sedar atau tidak bahawa apa yang dimilikinya itu akan lenyap atau minima akan ada orang lain yang menggantikan dia.

Ada juga yang tergila-gila pada wanita, wanita pula tergila-gila pada lelaki. Sedar atau tidak itu hanyalah dorongan syahwat. Ia akan hilang, akan berakhir atau mungkin akan berakhir dengan tragedi. Jika cintanya itu bukan berbasiskan kerana Allah, ia hanya “rayuan kosong” belaka, dan ia akan berakhir secara alami, lalu lenyap tidak meninggalkan kesan, atau berakhir dengan kematian salah satu daripada pecinta, atau akan ranap kerana pengkhianatan. Semua ikatan itu akan berakhir.

Kerana itulah, cinta yang perlu kita cari ialah cinta yang akan terus kekal dan tidak akan pernah binasa. Cinta yang akan menambah kekuatan kita, dan kita tidak takut akan berakhir dengan kekerasan, penentangan, pengkhianatan, atau keretakan. Ya.. cinta yang abadi.

Apakah kita mencintai Allah dengan sesungguhnya? Apakah mencintai Allah itu satu kewajipan atau kurnia? Apakah kita lebih mencintai anak-anak dan isteri kita daripada Allah? Apakah kita lebih mencintai meja study berbanding dengan Allah?

Ini baru pada taraf cinta yang dibenarkan. Lalu, apa pendapat kita tentang orang yang lebih mencintai maksiat daripada Alah? Apa pendapat kita tentang orang yang kemaruk cinta dengan -wanita yang tidak memiliki ikatan apapun dengannya- kemudian kita berjaya mendapatkan cinta wanita itu, dan wanita itu juga mencintai kita? Lalu, di mana cinta Allah? Apa pendapat kita tentang orang yang berbuat maksiat? Apa pendapat kita tentang para penagih dadah?

Memang. Berbicara mengenai masalah cinta memang sangat rumit dan pelik, tetapi kita akan cuba mengfokuskan perbincangan kepada cinta yang “halal”. Mengenai mereka yang lebih mencintai harta –walaupun harta itu halal– daripada Allah, apa pendapat kita mengenai orang ini?


Renungkan..

“Katakanlah: “Jika bapa-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatirkan  kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
[QS At-Taubah, 9:24]
Cuba kita perhatikan, di dalam ayat ini, Allah SWT telah melukiskan sebuah gambaran seandainya ada saja lapan jenis rasa cinta di satu sisi timbangan, dan di sisi lainnya rasa cinta kepada Allah, Rasul dan jihad, kemudian keduanya ditimbang. Jika lapan hal itu lebih berat, walaupun hanya serambut atau seatom sahaja, maka bersiap siagalah menunggu apa yang kita akan peroleh.
Allah SWT memberitahu kita,

“Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Maknanya, orang fasik ialah mereka yang lebih mencintai lapan hal tersebut daripada Allah, walaupun hukum lapan perkara itu mubah (boleh).

Salahkah jika kita mahu mencintai ibubapa kita? TIDAK. Bahkan berapa banyak perintah Allah SWT dalam al-Quran menyuruh kita berbuat baik kepada mereka. Sama juga dengan anak-anak, isteri-isteri.

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada keluarganya.” 
[HR Tirmidzi, Ad-Darimi dan Ibn Hibban]

Harta kita, perniagaan kita, rumah kita yang megah. Semua itu boleh. Bahkan islam memerintahkannya dan mewasiatkannya. Siapa yang mati mempertahankan harta, maka dia mati syahid. Jadi? Ayat ini bukanlah untuk kita mematikan cinta kita terhadap semua perkara itu, tetapi untuk membandingkan. Allah SWT juga tidak memerintahkan kita untuk mencintai Dia, kemudian selesai. Tetapi Dia mahu agar kita mampu untuk membezakan kejujuran daripada kebohongan yang kita lakukan.

Allah telah menciptakan manusia supaya dia mengenal dan mencintai Pencipta-Nya. Maka, masuk akalkah kalau kita menjadi sibuk dengan hal cabang dan melupakan hal pokok? Allah telah memberikan kita kemampuan untuk mencintai isteri, anak, harta dan keluarga kita. Dialah yang menumbuhkan rasa cinta dalam hati kita, lalu Dia memberitahu kepada kita yang manakah yang lebih utama untuk dicintai. Maka jangan kita menaruh hal itu di atas cinta kita pada Allah.

Separuh Jiwaku Pergi?

Depends.

Kalau cinta itu mengarah kepada kemaksiatan. Maka, MATIKANLAH IA SEKARANG JUGA!

Kalau cinta itu mengarah kepada dunia, maka hidupkanlah ia, walaupun kita kena tahu dan sedar bahawa sampai suatu saat kelak ia akan tetap mati. Cuma kita kena sentiasa waspada kerana dunia ini sangat licik dan bijak menipu. Jangan sampai apabila ditimbang cinta dunia itu melebihi daripada cinta Allah, Rasul dan jihad. Kalau terlebih, maka bersedialah.

Kalau cinta itu mengarah kepada Allah, Rasul dan jihad, maka teruslah menghidupkan ia dan menjaganya dengan sangat baik. Jangan biarkan ia mati sebelum tiba waktunya.
  
Seorang laki-laki Arab badwi datang menemui Nabi SAW dan bertanya: 
“Bila kiamat itu?” 
Mendapat pertanyaan itu, Nabi SAW balik bertanya: 
“Apa yang telah engkau persiapkan untuk itu?” 
Dia menjawab: 
“Demi Allah, saya tidak mempersiapkan amal yang banyak baik berupa solat atau puasa. Hanya saja saya mencintai Allah dan Rasul-Nya” 
Nabi SAW bersabda: 
“Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai” 
Kata Anas bin malik: 
“Aku belum pernah melihat kaum muslim berbahagia setelah masuk Islam karena sesuatu seperti bahagianya mereka ketika mendengar sabda Nabi itu” 
[HR Bukhari]

Jika yang dicintainya itu kemaksiatan, maka dia akan bersama dengan kemaksiatan.

Jika yang dicintainya itu kebaikan, maka dia akan bersama dengan kebaikan. 

Kita di mana?

Inilah Masanya Untuk Kita Ubah Diri.
Continue...