Followers

Thursday, March 15

La Tahzan : Jangan Menangis Sayang

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 11:22 PM 2 comments


La Tahzan : Jangan Menangis Sayang

Apabila ada orang menghinamu, maka bersabarlah duhai hati. Janganlah dikau terlalu mengambil hati, janganlah di kau terlalu memikirkan apa yang di hina dan jangan pula di kau menghadapi mereka dengan cara yang agresif. Kerana apa? Dari sekian orang yang menghina dirimu, mereka tidak mengetahui maksud dari hinaan itu sendiri. Mereka juga lebih senang kalau hinaan itu di tanggapi oleh diri kita sendiri dan dengan kata spontan mereka akan terus menghinanya seperti api yang di sirami bahan bakar.

Sayang….

Usah biarkan dirimu mudah tersinggung kerana ia akan menumpulkanmu dari membuat  sesuatu. Serahkan semuanya hanya kepada Allah. Jangan biarkan dirimu tertekan dengan cercaan dan makian orang kerana orang tidak akan berbuat demikian melainkan engkau telah mendahului mereka dalam sesuatu aspek. Sedangkan mereka tidak memperoleh apa yang di kau peroleh.

Jadilah seperti singa yang tidak menghiraukan gigitan nyamuk terhadap dirinnya, kerana si singa mempunyai rencana yang lebih besar dari si nyamuk.

Ketahuilah sayang ku….

Hari ini akan terus berjalan. Berjalan dan terus berjalan. Setiap jam, setiap minit, setiap saat dan setiap detik… ia terus berlalu meninggalkan kita tanpa tunggu sebentar. Di sebalik sebuah cercaan, ada tersembunyi sebuah rahmat dan kemuliaan yang besar. Ada keampunan, di sebalik dosa. Ada kekenyangan di sebalik kelaparan dan setelah melalui jalan yang bengkok akan melalui jalan yang lurus. Setelah badai melanda, hujan pula membasahi bumi, setelah mendaki gunung yang tinggi akan ada penurunan curam yang jurang. Semuanya akan berjalan mengikut Qada’ Allah.

‘ Telah pasti datangnya ketentuan Allah, maka janganlah kamu meminta di segerakan datangnya…’ ( An-Nahl :1)

Sikap yang terbaik adalah dengan kembali kepada-Nya lantas memohon perlindungan-Nya.

‘…. Dan dari kejahatan orang yang dengki’ ( Al-Falaq :5)

Sayangku, adakah engkau ingat lagi akan pesanan dan nasihat dari Al-Qarni yang mententeramkan hati itu?

‘ Berapa banyak kalian meminta, tapi Dia selalu memberi. Berapa banyak kalian memohon, Dia pun memberikan secara percuma. Berapa banyak kalian melakukan kesalahan, Dia yang meluruskannya. Berapa banyak kalian mengalami kesusahan, Dia kemudian yang akan memudahkannya dan berapa banyak kalian berdoa, Dialah Allah yang akan memakbulkannya.’

Seandainya Allah telah menghinakan seseorang, maka siapakan yang akan memuliakannya? Kalau Allah memuliakannya, maka tiada satu makhluk pun yang akan menghinakannya, walau seluruh makhluk parasit bergabung untuk menghinakan diri mu.
Abu Dzuaib At-Hudzati melantunkan syairnya:

Ku tujukan ketabahan kepada orang-orang yang telah menghinaku,
Bahawa aku tidak pernah gusar terhadap kebimbangan zaman,
Jika kematian telah menjulurkan kukunya,
Semua jimat yang kau pergunakan tidak akan berguna…

Masyarakat pada masa itu telah menghina dan mencerca Abu Dzuaib kerana masalah dan ujian yang telah menimpa ke atas dirinya. Tapi, beliau hanya tetap melantunkan syair beliau.

Akan tetapi, apabila hinaan telah bertalu, dan engkau rasa tidak mampu untuk menampung hinaan dan cercaan, dan engkau juga merasakan beratnya air mata tidak kunjung berhenti tumpah kerananya, akal telah di pengaruhi, hati mulai rapuh, mata mulai gelap menghadapinya, maka jauhkanlah diri daripada mereka.

Wahai sayangku…

Jangan bersedih, kerana kesedihan hanya akan membuatkan airmata yang segar terasa pahit, sekuntum bunga yang indah di nampak sepeti buah labu, taman yang rimbun tampak seperti gurun pasir yang tandus dan kehidupan di dunia menjadi penjara yang gelap. Yang indah jadi tawar, yang manis jadi gelap.

Jangan menangis kerana hinaan. Menangis kerana hinaan hanya akan membuatkan hatimu jatuh berkeping-keping, menyurutkan semangatmu. Jangan pula kau mengangis kerana kehinaan, kerana ia hanya akan menghentikan langkahanmu, merosakkan perjuanganmu, mematikan cita-cita mu, membuatkan orang senang melihatmu dan yang mengerikan adalah membuatmu berputus asa dari rahmat Allah.

Jangan menangis kerana hinaan, kerana Allah akan mengembalikan kemuliaan kepada dirimu, kerana Allah sentiasa bersamamu. Kerana Allah juga masih sayang pada mu. Kerana itu, Dia berikan kau sedikit ibrah ujian kepadamu berbentuk hinaan supaya engkau bertambah mulia dengan hinaan.

Adakah engkau tidak sedar wahai sayang?

Rasulullah di hina tatkala baginda sedang berdakwah?

Baginda di cerca menyebarkan Islam?

Baginda di baling dengan batu tatkala sedang memberikan kebenaran,

Baginda di tuduh sebagai pendusta, pembohong dan pembawa fitnah.

Bukankah kemudian hari baginda di angkat menjadi orang yang paling mulia di kalangan masyarakat waktu itu?

Sedar tidak wahai sayang?

Jangan di kau menangis kerana hinaan, kerana hanya milik Allah segala kemuliaan. Jika engkau berangan-angan semua orang mencitaimu dan tidak ada yang menghinamu, itu sama seperti engkau rindukan bulan di siang hari, ia adalah mustahil. Sama ertinya seperti engkau mahu memasukkan kembali bayi yang baru lahir ke dalam rahim ibunya.

Wahai sayang, aku Cuma mampu memberikan kata-kata pendorong, bukan pemangkin semangat.

Continue...


Tuesday, March 13

Macam Mana Nak Jadi Baik?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 5:03 AM 0 comments


Jika ingin membaiki dunia, kita perlu perbaiki manusia. Jika kita ingin perbaiki manusia, hatinya kita perlu perbaiki. Jika kita ingin perbaiki hatinya, solat kena perbaiki. Bermula dengan solat. Kita lihat solatnya adakah sempurna dari wudhu’nya?

Ungkapan itu sebenarnya satu kesimpulan yang terhasil dari sebuah perbincangan yang di ajukan oleh seorang sahabat saya.

‘ Saya nak baiki diri saya. Daripada mana perlu saya mula?’

‘ Mulakan dengan memperbaiki solat,’ saya memberi cadangan.

‘ Mengapa dengan solat?’

‘ Awak nak jadi baik bukan?’

‘ Awak jawab soalan dengan tanya soalan.’ Katanya tersenyum. Kemudian dia mengangguk mengiyakan.

‘ Kalau nak jadi baik perlu solat.’

Dia diam termenung. Berfikir barangkali.

‘ Saya tetap tak faham.’

Saya pun menceritakan kepadanya bagaimana satu ketika yang telah di riwayatkan oleh Abu Hurairah, telah bertanya kepada Rasulullah tentang orang yang mengerjakan solat tapi masih lagi mencuri. Abu Hurairah bertanya bagaimana keadaan orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat-laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri

‘ Tapi kalau orang itu masih lagi jahat juga setelah mengerjakan solat bagaimana?’

‘ Itu yang saya katakan, dia perlu memperbaiki mutu solatnya.’

 Bagaimana Nak Perbaiki Solat?

Bagaimana nak perbaiki solat?

Mulakan dengan mencari ilmu tetang kesempurnaan solat, iaitu software dan 
hardware.

Solat pun ada software?

Hardware solat itu rukun fi’li atau perbuatan fizikalnya seperti berdiri dengan betul, rukuk, sujud.

Bagaimana pula dengan software?

Rukun qauli pada makna bacaannya di lidah dan rukun qalbi yang bacaannya di hati.

Kali ini perbincangan di sampuk oleh si dia.

‘ Kita nak cari ilmu yang macam mana?

Saya teringat ungkapan:

‘Kalau kita bertanya, kita akan kelihatan bodoh 5 minit, tetapi kalau kita tidak bertanya kita akan kekal dalam bodoh.’

Mula-mula sekali kita cari ilmu makna bacaan solat, kita cari ilmu makna fatihah, kita cari ilmu makna doa iftitah. Bukan sahaja setakat kita cari makna dalam solat, tapi juga simbolik dalam solat.

Kita juga perlu menghayati rasa diri ini hina, mengharap pengampunan, malu, takut, kagum kepada Allah dalam sujud kita. Itu yang paling utama.

Teringat saya akan amaran Imam Al-Ghazali,

‘Jika solat di persembahkan kepada Allah tanpa ada sebarang rasa, sama keadaaannya seperti menyerahkan bangkai yang tidak bernyawa.’

Nak Jadi Baik Memang Makan Masa.

Kemudian perbincangan kami berlanjutan sehingga ke bab khusyu.

‘kalau tak khusyu’, kita solat ini macam tiada gunanya. Betul?’

‘ Betul. Nak dapat khusyu’ memang kena solat dulu. Perlahan-lahan kita tingkatkan mutunya. Lagi elok bersolat dari tidak bersolat. Nak tunggu khusyu’ sampai bila nak solat?’

‘lambat la kalau macam tu?”

“ Nak jadi baik. Memang lambat. Membina mengambil masa,meruntuh kebaikan tu sekelip mata.”

Tapi pokoknya macam mana nak jadi baik?

Nak jadi baik. Kita perlu ajak diri kita dengan melakukan ibadah solat. Ibadah wajib dan juga ibadah yang sunat. Bukankah solat itu dapat cegah dari perbuatan yang mungkar?

Tapi pesoalan yang menjadi di kepala kita.

Kenapa manusia tidak mahu bersolat?

Sebab dia sudah rasa diri dia tidak memerlukan Allah dalam kehidupan dia. Dia tidak bersolat pun Allah bagi kemewahan. Dia tidak nampak atau buta hati dalam keagungan dan kekuasaan Allah.

Kenapa jadi macam ni?

Sebab orang yang tidak nampak kebesaran Allah, kerana dia tidak rasa dirinya ini kerdil. Dia merasakan dirinya sama hebat dengan Allah. Dia berasakan hartanya yang lebih besar. Itu yang nanti jadi tamak haloba. Bila dah tamak haloba, bertuhankan harta daripada Allah.

Persoalan yang saya nak kongsi bersama………

Menjadi hamba kepada diri sendiri atau kepada hamba orang lain. Bukan 
hamba ALLAH?

Abdullah Imran,
Sebarkanlah Cinta-Nya,
HALUAN MALAYSIA yang dulu di kenali sebagai pro Cast Consultant 80’an- 2012,



Continue...


Tuesday, March 6

Alim Bukan Tiket Dia Baik.

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:11 AM 0 comments

Alim Bukan Tiket Dia Baik.



Alhamdulillah, bertemu lagi kita untuk edisi bulan tiga. Padahal saya dah tertaip awal perkongsian ni. tajuk kali ni ada sikit kontrovesi. Alim bukan tiket dia ni baik?

Ye ke?

Kalau bukan tiket yang dia baik. Yang baik tu macam mana?

Sebenarnya saya pernah di tanya di email saya. Mengenai makna baik. Makna alim. Saya akan buat dua perkongsian yang berbeza mengenai baik dan alim.
Alim ni sebenarnya adalah bermaksud wara’ dan sentiasa ikut perintah agama dan tuntutan Islam. Yang rata-rata orang melihat orang yang alim ini atau lebih familiar dengan gelaran ‘orang agama’, ada latar belakang keluarga beragama. Kemungkinan, maknya seorang ustazah. Kemungkinan juga ayahnya seorang imam. Boleh jadi ia adalah definisi alim bagi setiap individu.

Kalau tak alim tu tak ikut perintah agamalah? Tak juga.

Adakah Selamat Bersama Dengan Orang Yang Alim

Saya akan selitkan perbualan antara saya dan dia.

‘ Salam, ustaz. Saya ada sikit kemusykilan nak tanya pada ustaz. Saya nak tanya hal alim. Adakah orang yang alim ni dia ni seorang yang penyelamat?’

‘ boleh terangkan dengan lebih jelas? Apa yang saudari mahu kan penjelasan?’

‘ Macam ni ustaz. Kawan saya pernah bertanya pada saya. Orang alim ni tak lihat perempuankan? Orang alim ni tak keluar dengan perempuankan?’

Saya tersenyum baca soalan. Yang menarik perhatian saya orang ‘alim’. Title orang alim di gunakan dalam perbincangan. Dia menyambung lagi soalan.

‘ Itu hari. Mak kawan saya tak bagi kawan saya ni tengok wayang dengan seorang rakan dia. Nama rakan dia ni A. tapi yang saya peliknya dia bagi pula bila si B ajak rakan saya ni keluar tengok wayang. Dan kawan saya ni ada cakap, dalam ramai-ramai rakan lelaki. Mak dia hanya percaya pada si B. dia kata, mak dia  sukakan si B ni sebab si B ni perwatakan alim. Dan mungkin mak dia sudah rasakan yang kawan saya ni dah selamat. Kerana si B ni berlatang belakang sekolah agama. Ada agama. Pandai hormat orang tua. Dan adakah alim ni tiket untuk kita keluar dengan perempuan? Dan adakah alim ni sudah merasakan dia ni dapat menyelamatkan orang?’

Saya tertarik dengan perkataan penyelamat dan tiket. Benarkah selamat jika pasangan kita berpendidikan agama? insyaAllah. Jika dia amalkan apa yang dia pelajari dia akan selamat…. Bukan dia sahaja yang selamat. Bahkan pasangan dia juga selamat. Tak kirala, pasangan dia lelaki atau perempuan. InsyaALLAH selamat jika amalkan apa yang dia pelajari. Sebab itu ilmu untuk di pelajari dan di gunakan, bukan ilmu untuk di pelajari dan di jadikan perhiasan di tubuh 
sahaja.

Alim pun bukan satu tiket untuk kita keluar berdua-duaan. Bukan juga tiket untuk kita pergi main bowling bersama. Memang bowling tu elok untuk kesihatan. Tapi, cara kita nak main bowling tu. Kena tak caranya? Malahan, alim juga bukan tiket untuk kita pergi tengok wayang. Tu bukan alim namanya. Kalau tengok wayang pun berdua. Tu sama saja macam orang biasa. Yang tak tahu hukum agama.

Orang alim tidak melihat perempuan? Isyk.. sapa cakap macam tu orang alim tidak melihat perempuan? Alangkan wali Allah pada zaman Rabiah melihat dan berguru dengan Rabiah sendiri. Seperti Hassan Al-Basri.Cuma orang alim menjaga batas pandangan antara lelaki dan perempuan. Tetapi, Rabiah menutup wajahnya dari di lihat dari pandangan bukan ajnabi. Menjaga batas syariat antara lelaki dan perempuan. Bukan main redah banjir.

Untungnya Lelaki Yang Bergelar ‘Orang Agama’

Kalaulah boleh di nilai dari latar belakang lelaki. Sudah tentu, orang yang berstatus ‘orang agama’ ni beruntung. habis orang lelaki yang biasa-biasa? 
Yang hanya tahu secebis dua hal agama tapi dia amalkan? Macam mana pula persepsi dan pandangan orang ramai pada dia?

Saya bukan nak hentam sesiapa di sini. Bukan nak bermadah indah kali ini. Cuma kalau tidak di perbetulkan persepsi orang ramai mengenai alim dan baik ini. Nama orang alim ini akan busuk. Macam tong sampah yang majlis tak angkat sebulan. Bayangkan baunya macam mana?

Cuma kali ini saya nak cerita sesuatu fenomena yang cukup luar biasa di facebook. Iaitu post ayat alim. Patutlah bila saya lihat, orang yang post ayat Islamik lebih di gilai wanita. Dengan adanya janggut sejemput. Dan ayat yang Islamik. Akan menjadi pujaan kaum wanita.

Teringin pula saya ingin menjadi seperti si B yang mengajak seorang wanita keluar. Tak tonton wayang. Keluar makan. Pun jadilah. Sekadar berbasa-basi. Tak keluar makan, sekadar bertukar-tukar gambar pun ok. Ini kan semuanya titik tolak permulaan kita melakukan perkenalan? Bukankah orang pun panggil saya dengan gelaran ustaz?

Teringat saya pada satu hadis sahih Bukhari ada menceritakan:
Ketika Rasulullah masuk ke dalam rumahnya, rakan-rakan Aisyah ra segera menutup aurat mereka dari pandangan Rasulullah. Begitu juga di mana ketika mana Aisyah mempunyai budak kecil wanita. Apabila Rasulullah pulang dan masuk ke dalam rumah. Budak kecil wanita itu segera keluar. Apabila Rasulullah keluar ke rumah. Budak kecil itu segera masuk ke dalam rumah. –sahih bukhari dalam adab menjaga pandangan-

Terfikir saya sewaktu mengetahui hadis ini. Mengapa mereka menutup aurat dan ada yang bersembunyi dari Rasulullah? Bukankah Rasulullah adalah manusia yang mampu menjaga pandangannya? Bukankah dia lelaki yang paling sempurna akhlaknya dalam mengawal syahwatnya? Bahkan dia adalah manusia yang paling mulia di atas muka bumi dan seluruh alam. Sudah pasti Rasulullah lebih alim dari si B?

Malah Ummu Kalthum anak kepada Saidina Ali ra yang masih kanak-kanak pernah berkata, ‘Jika Umar Al-Khatab bukan Amirul Mukminin, nescaya ia akan mencungkil biji mata Umar’.

Peristiwa ini berlaku ketika mana Umar ra terlihat betis Ummu Kalthum ketika ingin meminangnya. Bukankah Umar ra lebih jujur berlatar belakangkan agama lebih daripada jejaka pada zaman ini?

Orang Agama Bukan Tiket Menghasilkan Perhubungan.

Memanglah tidak di nafikan. Fitrah manusia adalah memilih orang yang ada latar belakang agama yang kuat berbanding latar belakang agama yang lemah. Ini penyebabnya adalah. Agama merupakan benteng pertahanan buat diri kita dari melakukan kemaksiatan. Kenapa? Bila kita dah melakukan kemaksiatan. Kita sendiri akan menzalimi diri sendiri. Kenapa? Kita sendiri yang akan di seksa. Kita ni ada ‘appoiment’ dengan kematian? Boleh tunda-tunda kematian?
Tapi. Status orang agama ini bukan satu jaminan untuk menghalalkan sesuatu hubungan.

Saya sebagai lelaki. Saya sebagai seorang muslimin berpesan kepada muslimat sendiri. Berhati-hatilah kepada saya. Sebab apa? Takut saya hanya bertopengkan meseg dan penulisan Islamik di blog. Dan hati-hatilah dengan meseg Islamik dari sang Arjuna. Belum tentu Islamik katanya, maka tiada nafsunya. Belum tentu jernih wajahnya, ia bebas dari sebarang dosa. Belum tentu senyuman manis di bibir, ia bebas dari niat yang bermacam-macam.
Ingatlah bahawa tatkala berduan dengan siapa pun dia. Syaitan pasti akan menyelit. Teringat kisah seorang wali Allah yang bertahun sujud kepada Allah yang beribu-ribu muridnya, yang bermacam-macam karamah yang Allah berikan akhirnya sujud kepada Iblis. Kerana dengan berzina. Akhirnya dia sujud di kaki Iblis.

Maka tidak mustahil. Setinggi mana kopiah yang dia pakai. Nak pakai songkok macam orang Turki yang panjang ke atas pun, akan tumpas juga andai perintah Allah ‘jangan menghampiri zina’ itu di langgar.

Di sini juga akan saya selitkan perbezaan antara PERBEZAAN AL'ALIM BILLAH DAN AL'ARIF BILLAH

AL'ALIM BILLAH - mempercayai Allah atas dasar hujjah ilmu dan aqal...
Atas dasar ilmu dan keyakinan, akalnya tidak dapat menolak kewujudan 
dan kekuasaan Allah
 
 
AL'ARIF BILLAH - 
mengenal Allah dengan makrifat yang mendalam
Selain ilmu, perasaannya dikuatkan oleh hati yang menghayati
dan merasa jiwa kehambaan kepada Tuhan
 
 
AL'ALIM BILLAH - 
suka berbahas, berforum, bermujadalah..namun
ilmu  yang dibincangkan tidakpun dihayati oleh hati dan jiwanya
- bercakap atas dasar ilmu pengetahuan
 
 
AL'ARIF BILLAH - 
cinta dan takut Allah amat mendalam
Perasaan itu payah diungkaikan 
- bercakap atas dasar pengalaman
 
 
AL'ALIM BILLAH - 

sifat2 riyak, megah, suka pujian dan glamour
Ingin dipuji dan dikenang jasanya
tidak sabar dengan ujian dan kejian
 
 
AL'ARIF BILLAH - 
sanjungan dan pujian tidak disukainya
Itulah yg dibenci dan menyeksa hatinya...
Ujian dan kejian dianggap hiburan dan ubat penyubur jiwa...

Orang alim ialah dia ikut perintah Allah. Orang baik? Nantikan edisi seterusnya dari saya.

Abdullah Imran,
Founder Tautan Hati,
3 Febuari 2012.
Sebarkanlah Cinta-Nya Ke Seluruh Alam.
Continue...


Tuesday, February 28

Perkongsian Takdir: Ya Allah, Aku Sudah Mati??

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 1:24 AM 1 comments


Perkongsian Takdir: Ya Allah, Aku Sudah Mati??

Hujan turun renyai-renyai sewaktu saya pulang dari tempat kerja. Cuaca malam yang gelap di tambah dengan hujan yang turun menambahkan kegelapan malam.

Sedang saya melalui satu selekoh di lebuhraya sewaktu pulang, saya terlihat sebuah kenderaan yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan. Mungkin rosak. Saya mengabaikan insiden tadi dengan bergegas mahu pulang. Isya’ belum saya tunaikan sewaktu pulang dari tempat kerja.

BMW memecut laju membelah kepekatan malam. Sepanjang saya melalui salah satu lagi selekoh di kawasan lebuhraya, saya ada terlihat satu penghadang jalan yang terputus dua. Ada kemungkinan kereta saya yang termasuk ke dalam ngangaan penghadang jalan kalau pihak plus tidak membetulkan. Saya istighfar berbanyak kali. Berkhayal semasa memandu.
Kebimbingan saya akhirnya menjadi kenyataan. Sensor kereta berbunyi.

‘ Allah, sensor brek bunyi.’

Saya cuba memaut stereng untuk mengikut alunan selekoh. Tapi gagal. Hala kereta saya tepat menuju ke belahan penghadang jalan.

Lalu kereta bmw hitam yang saya pandu setiap hari ke tempat kerja itu menjunam jatuh ke dalam gaung di tepi jalan.

Nasibnya, lebih teruk dari saya. Remuk. Hancur. Dah tak serupa dengan kereta.
Alhamdulillah, nasib saya memang baik. Tiada luka langsung. Saya menerobos keluar memecahkan cermin hadapan kereta yang sedia berderai.

Saya berdiri tidak jauh dari kereta saya. Saya istighfar banyak kali. Mungkin Allah nak selamatkan saya. Saya sedih melihat keadaan kereta kesayangan yang tak serupa kenderaan. Bila dia sakit, saya cepat-cepat hantar ke ‘klinik’ untuk membetulkan apa masalah kesihatan.

Dalam keasyikkan melihat keadaan kereta saya yang remuk, orang yang entah dari mana datangnya menyerbu turun melihat keadaan kenderaan saya. Dalam masa lima minit, ramai yang dah mengerumuni bmw kesayangan saya.

Namun, yang terbit di dasar hati saya adalah perasaan aneh. Aneh mengapa mereka tidak menghiraukan saya? Sedangkan saya berhampiran dengan kenderaan saya yang terbalik. Yang tayar mencanak ke langit. Mereka langsung tidak menghiraukan saya, malah lebih risaukan kenderaan saya. Saya masih lagi bersangka baik. Mungkin dia tidak risaukan saya kerana melihat saya duduk bersandar dan hanya luka-luka kecil di tangan. Itu pun akibat saya pecahkan cermin kereta tadi. Ataupun mereka tidak tahu yang saya memandu kereta itu. Ini pun boleh jadi kemungkinan. Orang yang berpakaian biasa yang berusia dua puluhan memandu bmw, memang tidak masuk dek akal.

Namun, lama kelamaan rasa curiga menyerbu datang dalam hati saya.
‘ kenapa diorang tengok dalam kereta? Diorang nampak cemas? Ada yang membuat panggilan? Siapa yang cedera dalam kereta aku? aku balik sorang tadi. Ah, tak boleh jadi ni, aku kena tengok sapa yang cedera. Aku kena tolong. Mana tau orang tu menyelinap masuk ke dalam kereta tanpa aku sedar?’ persoalan demi persoalan menerobos masuk laju ke dalam minda.

Makin mencurigakan saya bila kedengaran bunyi siren di bahagian jalan. Saya dongak. Ambulans dan bomba sedang menunggu. Anggotanya bergegas terus membawa alatan kecemasan. Makin saya risau. Makin saya cemas.
Saya bergerak ke kereta saya. Saya menyelit di antara celahan orang ramai yang mengerumuni kenderaan saya. Yang bertambah aneh, orang ramai seakan tidak merasakan kehadiran saya. Saya tolak seorang demi seorang ke tepi. Mudah. Saya mudah menembusi mereka. Setelah berusaha sedaya upaya. Saya sampai di hadapan kereta. Saya tergamam. Betulkah ni?

Saya cuit orang sebelah untuk bertanya, tiada nyahutan.

Darah saya mengalir laju. Macam lava gunung berapi yang mengalir keluar.
Ya Allah! Ketika itu barulah saya sedar. Yang mereka risaukan adalah saya. Saya di dalam kereta. Darah memenuhi muka. Pecahan cermin hadapan penuh di muka saya. Seluruh tubuh saya bermandi dengan darah. Keadaan lebih teruk dari kenderaan saya. Patah riuk.

Keras dan kaku.

Habis yang berdiri di hadapan ini siapa? Yang berada di dalam kereta itu siapa? Jika di dalam kereta itu saya, siapa yang berdiri melihat sekujur jasad yang terbaring?

Namun rasa insaf tiba-tiba menujah dalam lubuk hati. Seakan ada suara yang membisik lembut di telinga saya. Haruman wangian semerbak tiba-tiba mengelilingi kawasan tempat saya kemalangan.

“ Kamu dah mati Saad! Kamu sudah mati. Dunia ini tempat persinggahan sementara. Dunia kamu sudah berakhir. Dan di dalam kenderaan itu adalah jasad kamu. Dan kamu adalah diri yang sebenar. Percayalah dengan keyakinan dan keimanan dalam diri kamu. Yang kematian itu benar. Yang akhirat itu benar. Yang syurga dan neraka itu benar. Dan selamatkanlah diri kamu dari bakaran api neraka walaupun seminit dunia. kerana seminit dunia tidak sama dengan seminit di akhirat. Saad. Ini adalah diri kamu yang sedang dalam perjalanan untuk menghadap Allah. Terimalah Saad. Dari Allah kamu datang, kepada Allah kamu di kembalikan.” Seakan-akan rasa ada tepukan lembut di bahu meminta saya terima kenyataan. Dia menggengam erat tangan saya.

Ketika itulah terbit rasa kesal dalam hati. Saya tidak menunaikan solat isya’ secara berjemaah di surau tempat kerja. Saya tidak menunaikan solat sunat awabin yang biasa saya lakukan. Saya membatalkan tazkirah maghrib yang biasa saya lakukan di tempat kerja. Rasa menyesal menujah-nujah dalam diri. Sebabnya saya tidak sabar untuk pulang ke rumah. Untuk berehat. Barulah saya terfikir. Allah tidak pernah berehat walau seminit.

Tetapi semuanya sudah terlambat. Sebab sekarang saya sudah mati. Ya! Sudah mati. Saya hanya menunggu saat di mandikan, di kafankan dan di tanam di liang lahad. Sudah tiada lagi Isya’ saya selepas ni. tiada lagi tazkirah maghrib saya selepas ini. Saya mengambil dunia dengan mahu berehat dan membuang akhirat dari memberi tazkirah. Allah!

‘Apa aku dah lakukan hari ni? ada ke amalan kebaikan yang aku lakukan hari ni? terima ke amalan solat aku selama ni? ikhlaskah aku selama memberi tazkirah maghrib selama ini? Allah ampunkan kah dosa aku sebelum ni? dosa aku banyak.. Allah…’  saya merintih sayu. semuanya menujah-nujah ke dalam lubuk hati.

Kemudian terfikir pula tentang hutang piutang yang bertimbun. Adakah amalan saya akan tergantung kerana hutang yang menimbun? Risau.

Ketika itu saya menangis semahu-mahunya. Tiada lagi penyesalan kedua. Tiada lagi peluang kedua. Namun apa yang pasti. Semuanya sudah terlambat. Saya memang terlambat.

Tiba-tiba saya terdengar satu tempikan yang kuat. Satu tempikan yang menyakitkan telinga. Menyuruh saya bangun dan kuatkan semangat.
Suara yang agak asing bagi saya.

Saya membuka kelopak mata saya, sedar-sedar saya sedang tidur di atas sejadah kesayangan. Pemberian arwah tok ayah saya. Sejadah yang berusia sama dengan tafsir quran pemberian tok ayah. Berusia hampir 14 tahun dalam simpanan. Dua hadiah inilah hadiah yang paling bermakna sebelum tok ayah pergi. Rupanya saya bermimpi. Saya kerling jam di tangan. Waktu sudah menginjakkan ke dinihari. Hampir pukul empat pagi. Saya terus ambil wudu’. Saya terus sujud syukur. Dan solat malam. Menghadap sang Pencinta. Kerana Allah telah memberikan saya satu lagi peluang untuk hidup. Walaupun mimpi, ia memang mengisafkan saya.

Kerana, dengan satu mimpi. Saya tidak pernah berlengah melakukan kebaikan. Saya tidak berlengah membantu orang yang sedang dalam kesusahan. Saya tidak berlengah menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba Allah.
Walaupun ia hanya mimpi, airmata masih lagi mengalir.

Walaupun ia hanya mimpi, bau haruman itu masih melekat di tangan saya.

Walaupun ia hanya mimpi, ia menjadi satu getaran dalam jiwa dan diri saya.

Haruman melekat sewaktu ‘dia’ menggengam erat tangan saya. Saya mencium haruman di tangan saya. Saya sebak. Siapa ‘dia’? siapa yang datang dalam mimpi saya walaupun sekejap?

Saya ambil cuti seminggu. Peristiwa ini membuatkan jiwa saya kacau. Jiwa saya kosong.

Bila saya balik kampung, mak bertanya pada saya tentang keharuman yang saya pakai. Saya tidak pakai bau-bauan. Memang jarang saya memakai bau-bauan. Kecuali nak bersolat. Tapi kali ini, mak pun perasan.
Mak cuma cakap;

‘ Haruman ni mak bau masa di Madinah. Di Raudhah.’

Ya, saya teringat masa mak saya baru balik haji. Tiga tahun lepas. Memang haruman yang melekat pada tubuh mak, berlainan. Sama dengan haruman di tangan saya. Masa itu saya mencium sepuas-puasnya tangan mak. Untuk membau haruman tangan mak. Bukan minyak kasturi biasa. Tapi, haruman yang tak pernah saya hidu.

Saya menangis. Saya sebak. Saya nak pergi Madinah. Saya nak pergi. Saya nak pergi. Tekad dalam hati saya. Saya mahu mencium haruman ini di Raudah. Ya Allah. Berikanlah daku keizinan untuk menjadi tetamu-Mu. Berikanlah daku keizinan untuk menjadi tetamu Rasul Mu.

Terimalah sajak ringkas ini dari saya. Saya masih lagi dalam mood sedih. Kerana ini adalah peristiwa benar yang berlaku dalam diri saya. Bahkan baru sahaja berlaku. Sebab itu saya tiada mood menulis sebarang perkongsian baru dan hanya memetik dari blog-blog lain. Jadi bila saya menulis puisi ringkas. Tidak menarik. Sebab saya tidak reti menulis puisi. Yang penting saya membaca, dan saya sebak. Madinah, aku datang……….

Rindukan Raudah. Rindukan Madinah.

Ya muhaimin,
Ku tahu Kau menegur aku dengan hikmah,
Kau menegur aku dengan penuh kasih,
Kau menegur aku penuh dengan sayang dan cinta.
Kau jua menegur aku dengan belas Mu.

Ya Muhaimin,
Jika kali ini aku tersasar jauh,
Kau kembalikanlah daku kembali,
Jika kali ini aku tenggelam dalam nikmat dunia,
Kau tariklah daku kembali.

Aku tak sanggup kehilangan kasih-Mu,
Aku tak sanggup kehilangan sayang-Mu,
Aku tak sanggup kehilangan sifat pemurah-Mu,
Aku jua tak sanggup kehilangan hidayah-Mu.

Ya Muhaimin,
Aku tahu,
Kau memanggil aku untuk menjadi tetamu-Mu,
Kau menyeru aku supaya terus dalam keimanan kepada-Mu,
Aku,
Aku,
Aku tidak akan sesekali mensia-siakan panggilan-Mu.

Yang Maha Penyayang,
Jika aku jatuh hati kepada kekasih-Mu… jangan biarkan ianya berlalu pergi… jangan biarkan aku bertatih keseorangan.. jangan biarkan aku jatuh dalam kegelapan.. jangan kau biarkan aku terkontang-kanting di lembah rindu..

Facebbok akaun: Abdullah Imran,
Founder Tautan Hati,
Bekas penerbit eksekutif dan ex-penulis di ilmi-islam.com dan antara orang terawal menggerakkan laman ilmi-islam.com,
          Tautan Hati
Sebarkan Cinta-Nya Ke Seluruh Alam,
Jurutera ,
6 Disember 2011,
5.45 pagi.



Continue...