Followers

Sunday, October 6

Dia Cantik, Tapi Berbau

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:08 PM 0 comments


Jelek.
Mungkin itu reaksi pertama anda apabila membaca tajuk ini. Tak kurang juga pasti akan ada yang spontan mengomen : ” harap muka je cantik, bila pegi dekat..hampeh! ”
Sengaja saya mahu menarik perhatian kaum hawa di luar sana, dengan beberapa lontaran untuk mengajak anda berfikir bersama. Jangan pandang isu ini sebagai bukan isu, kerana sebenarnya ia merupakan satu isu besar yang sangat memberi kesan dalam hidup anda. Dari masa bujang sehinggalah mempunyai suami suatu masa nanti.

HAK KEPADA DIRI
Sebagai mukaddimah, saya mahu menyebut bahawa tubuh badan kita mempunyai hak ke atas kita. Antara haknya adalah untuk dibersihkan atau dimandikan. Membiarkan tubuh badan kita dalam keadaan kotor dan berdaki adalah suatu bentuk perlanggaran hak dan ia boleh dikategorikan sebagai satu kezaliman.
Mungkin ada yang menganggap ini sebagai satu pengetahuan am dan kurang melihat kaitannya dengan agama iaitu Islam.
Itu silap. Kerana sebenarnya isu kebersihan dan hak kepada tubuh badan ini sangat dititikberatkan dalam Islam. Cuba buka kitab Fiqh, anda pasti akan berjumpa Bab Thaharah ( bersuci ) sebagai bab pertama sekali. Kemudian barulah bertemu bab solat.
Rasionalnya adalah, Allah sebagai pencipta manusia, Dia Maha Tahu apa yang manusia perlu dam hidup mereka. Semua manusia dilahirkan dalam keadaan fitrahnya yang suka kepada kesucian. Cuba lihat bayi sebagai contoh, apabila membuang air kecil atau besar, dia pasti akan menangis sebagai isyarat supaya kita segera menukar lampin mereka. Bayi tidak akan merasa selesa dengan kekotoran najis yang ada bersamanya.
Begitu juga kita. Minda kita akan merasa lebih segar dan otak kita akan merasa lebih lapang selepas kita mandi. Kerana itu dalam Islam ada penekanan kepada cara bersuci, kemudian adanya syariat berwudhuk, mandi wajib dan sebagainya. Apa yang penting untuk difahami adalah, Islam mendorong kita supaya memberikan hak kepada tubuh badan kita sendiri yang mana matlamatnya untuk keselesaan dan kesenangan kita jua.

ANAK DARA DAN PEMBINAAN DIRI
Perlukah disebut anak dara sahaja? Kenapa tidak disebut sekali si teruna?
Saya kira, walaupun saya menyebut kepada anak dara, namun ia tidak bermakna menafikan perkara ini kepada teruna. Tetapi saya kira semua orang bersetuju bahawa anak dara lebih wajar mementingkan kebersihan tubuh badan dan pakaian mereka berganda-ganda lebih dari si teruna. Logiknya, kaum hawa lebih tebal sifat malunya berbanding kaum adam.
Saya ketepikan soal anak dara itu cantik, kurang cantik ataupun tidak cantik. Itu bukan skop perbincangan.
Apa yang mahu diketengahkan adalah isu pembinaan diri untuk masa hadapan. Saya ulang sekali lagi – PEMBINAAN DIRI.
Apabila disebut pembinaan, bermakna ia suatu proses yang ada permulaan, ada pertengahan dan ada kesudahan atau natijahnya. Berbeza jika disebut ‘lakonan’ , maka ia bukan satu proses sebaliknya hanyalah pergerakan ataupun peniruan watak demi matlamat tertentu. Maka sudah tentu, membina diri jauh lebih sukar berbanding berlakon atau hipokrit dengan diri sendiri.

GAMBARAN SITUASI
Minah salah seorang pelajar bidang pendidikan di sebuah kampus dalam negara. Dia tidak memiliki rupa paras yang cantik namun perwatakannya ada daya penarik. Kerap kali juga dirisik-risik oleh rakan sekampus. Minah belum menerima lamaran sesiapa namun tidak meletakkan halangan sekiranya dilamar dalam masa terdekat.
Namun ada satu masalah. Minah sangat tidak mementingkan penjagaan diri sendiri. Kerana sibuk dengan pelajaran dan agak aktif dalam persatuan, pakaiannya kadang-kadang sungguh comot dan selekeh. Sebagai anak gadis awal 20-an, ketidakpekaan Minah pada penjagaan imej dan diri sendiri itu mengundang rasa tidak senang sesama rakannya. Kadangkala, dia tidak kekok masuk ke dalam kumpulan rakan-rakannya untuk bersembang dan sebagainya walaupun pakaiannya berbau. Kerapkali juga ditegur, tetapi Minah hanya tersengih dan menjawab : alah, bukan ada orang nak tengok aku pun. Dengan korang je kan. Dah kawin nanti citer lain lah.

ITU BUKAN ANDA
Pakaian yang kotor dimasukkan dalam bakul. Pulang dari kuliah, baju disangkut kemas. Pakaian untuk seminggu digosok siap-siap dan disimpan dalam almari. Bilik tidur berbau harum dan nyaman, dengan pewangi yang sentiasa di refill. Penjagaan diri sendiri sangat dititikberatkan. Kalau baju pun pantang mempunyai bau yang kurang enak, apatah lagi tubuh badan. Semua itu dijaga dan diawasi dengan rapi. Apabila bergaul dengan rakan-rakan, akan dipastikan dirinya selesa dan menyelesakan.
Saya tanya ; ciri-ciri di atas sudah tentu sangat kontra dengan gambaran situasi pertama yang saya berikan. Pada anda, lelaki mana yang tidak mengimpikan ciri-ciri seperti itu wujud pada bakal isteri mereka? Seorang lelaki yang selekeh, tidak mungkin akan berminat untuk memperisterikan gadis yang juga terkenal dengan selekeh.
Lalu mungkin mereka akan menjawab ; kahwin itu kan satu proses untuk bentuk diri. Saya ubahlah perlahan-lahan. Nanti bila dah berkahwin, takkanlah nak selekeh macam ni lagi. Mestilah malu kalau badan atau pakaian berbau depan suami.
Mungkin, itu jawapan yang akan keluar. Saya tidak hairan jika ramai anak gadis berpendapat sedemikian dangkal, kerana mereka hanya berteori bahkan mereka tidak pun faham apa itu alam perkahwinan yang sebenarnya.
Maka izinkan saya berkata ; Anda tidak mungkin akan bertukar atau dengan mudah memiliki ciri-ciri seperti itu, kerana itu BUKAN anda.
Diri anda adalah seorang yang selekeh, tidak peka pada kebersihan diri sendiri, tidak kisah pada bau-bau yang tidak enak dan tidak ada masalah dengan bilik yang bersepah-sepah. Sejauh mana pun anda cuba untuk menjadi orang lain kerana malu dengan suami, atau kerana ego dan merasa ‘aku pun mampu jadi macam tu’ atau kerana-kerana yang lain, sampai ke satu tahap anda akan tetap balik kepada diri anda sendiri juga. Anda tidak akan selesa bahkan tidak akan mengecap erti kehidupan pun dengan lakonan-lakonan sedemikian.
Lagipun, berapa lama sangatlah anda mampu bertahan dengan sebuah lakonan?

JALAN KELUAR
Justeru, jalan keluarnya hanya satu. Iaitu dengan membina diri sendiri bermula dari sekarang. Dan proses membina diri ini bergantung kepada keadaan anda :
1- Berdamping dengan ‘kakak’ atau ‘senior’ yang anda hormati serta kagumi penampilannya, dan secara tidak langsung anda boleh belajar memperbaiki dan membina diri daripadanya. Lebih baik kalau dia bersikap terbuka dan jujur untuk menegur anda.
2- Atasi masalah-masalah yang ada bermula sekarang. Masalah pemalas, ubatnya hanya rajin. Masalah tidak kisah, ubatnya hanya tanam kesedaran dan bersungguh-sungguh untuk kisah lalu berubah. Masalah bau badan, ada cara dan rawatannya. Begitu juga masalah-masalah yang lain.
3- Bau busuk atau bau yang kurang enak tidak akan menjadikan sesiapa pun selesa. Lalu jangan tunggu ada suami baru anda mahu merasa ‘malu’, tetapi malulah dari sekarang. Mungkin rakan-rakan atau ‘geng’ anda tidak kisah, tetapi awas, tidak kisah mereka itu boleh menjadikan anda terus hanyut dan hanyut sehinggalah tabiat negatif itu melekat dalam diri anda.
4- Manusia yang normal, apatah lagi seorang muslim, tidak akan merasa selesa kiranya bau pakaian atau badannya mengganggu orang lain. Iman dalam dirinya mencetus rasa malu. Tetapi jika anda tidak mempunyai ‘perasaan’ itu, anda patut bermuhasabah kembali akan iman dalam diri anda sendiri. Jangan biarkan ia pudar tanpa sedar!
5- Jangan berlakon atau meniru-niru orang lain, sebaliknya jadilah diri anda sendiri. Apa yang perlu dibuat hanyalah mengambil ciri-ciri positif pada mereka dan latih dalam kehidupan anda. InsyaAllah, proses latihan ini kesannya cukup besar, kerana ia antara penentu kebahagiaan anda di masa hadapan.
Jadi, kepada mereka-mereka yang terlibat dengan sindrom ini, ataupun mempunya kawan-kawan seperti ini, sama-samalah kita tegur menegur. Besar pahalanya kalau seseorang itu beroleh kesedaran dan kemudiannya berubah dengan asbab teguran yang disampaikan oleh kita.

Sekian.

Continue...


Thursday, September 12

Panduan Bercinta. Jadikan Ia Motivasi, Bukan Air Liur Basi

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:50 AM 0 comments


” saya nak tanya sikit. macam mana nak tangani perasaan nak bercinta ni ye.. kahwin lambat lagi, mak saya kata tunggu habis belajar.. saya pun tak fikir pasal kahwin, tapi perasaan ni datang..”
Seorang sahabat berpangkat adik mengadu rasa baru-baru ini. Saya berfikir sejenak. Soal fitrah, bukan boleh disekat. Itu respon pertama saya.
Sebenarnya, ramai remaja keliru tika didatangi perasaan tersebut. Sebahagian mereka menyalahkan diri sendiri dan berusaha mencampakkan fitrah tersebut jauh-jauh. Fitrah yang mengusik jiwa itu dianggap sebagai parasit yang bisa ‘merosakkan’ cita-cita dan masa depan. Saya kurang bersetuju.
Lalu saya rumuskan satu panduan kepada sahabat tersebut. Soal fitrah sukakan berlainan jantina, itu normal. Hadirnya waktu ini, juga suatu yang normal. Yang tidak normal, sukakan sesama jantina. Maka, usah hukum diri sendiri sebaliknya ambillah perasaan tersebut sebagai motivasi.
Ketika anda didatangi perasaan tersebut, anda bayangkan perkahwinan sebagai suatu yang berbaur mustahil. Ini silap. Jangan anggap perkahwinan itu sebagai ‘terlampau jauh’ sehingga anda tidak mahu memikirkannya. Perkahwinan itu soal jodoh, ia kerja mutlak Sang Penguasa ; Allah. Sebagai manusia yang beriman dengan takdir tersebut, kita jahil tentang bila masanya dan siapa orangnya. Maka apa yang ada pada kita adalah usaha. Dan usaha itu, perlu dimulakan dari sekarang.
Dengan hadirnya perasaan bernama fitrah itu, ubahlah diri dan pemikiran anda untuk maju setapak. Anda bakal bergelar pemimpin kepada sebuah keluarga. Anda bakal naik ke jawatan suami melalui AGM yang dipengerusikan Tok Kadi. Itu suatu benda yang besar. Maka, benda sebesar itu perlukan persiapan dari sekarang. Tak kanlah rancangan kahwin nanti habis belajar, maka berfikir dan bersedia ke arah perkahwinan baru akan bermula selepas habis belajar?
Tidak. Segalanya bermula di sini dan hari ini. Tingkatkan pengetahuan dan bahan bacaan. Ubah personaliti diri. Bina daya kepimpinan. Maju setapak ke depan dengan berusaha keras menjadi seorang pemuda yang matang. Di samping pengajian di bilik kuliah, pengajian sampingan ke arah Bait Muslim itu perlu turut sama digiatkan.
Sedar atau tidak, anda sedang bergerak ke arah perkahwinan yang cemerlang. Melalui apa? Melalui tindakan bijak anda meraikan fitrah. Bukan hanyut dalam arus fitnah. Anda tidak akan menjadi seorang yang kuat berangan, leka bermain cinta, termenung siang malam dan hilang fokus pada pelajaran. Semuanya kerana sebuah fitrah yang menyuntik motivasi.

GANGGUAN?
Kita perlu mengubah minda dan tanggapan kita pada hal ehwal cinta, jodoh dan perkahwinan.
Kalau kita aktif dengan kerja dakwah di kampus, jangan jadikan rak buku kita hanya penuh dengan buku-buku gerakan dakwah tarbiyah semata-mata. Isikan juga dengan bahan bacaan tentang Baitul Muslim. Petua membina rumahtangga bahagia, panduan menangani konflik rumahtangga, pengurusan ekonomi keluarga, persoalan haid, nifas dan istihadhah, kesemuanya adalah bacaan wajib bagi anda. Kenapa perlu ada diskriminasi?
Ramai orang beranggapan semua perkara berkaitan rumahtangga sewaktu di alam belajar, adalah gangguan kepada pelajaran. Ini silap. Pemikiran sebegini cenderung menjadikan remaja lambat matang dan tidak berjiwa besar. Mereka seolah ‘dilalaikan’ dengan pembelajaran bersijil semata-mata, tanpa dititikberatkan nilai tambah yang lain. Pada mereka, perkahwinan itu lambat lagi. Sekarang fikir belajar dahulu.
Maka ketika didatangi fitrah dan perasaan inginkan teman hidup, mereka mula menggelabah. Terdesak kerana tidak nampak jalan yang ‘halal’, maka perhubungan jalan belakang menjadi pilihan. Mak ayah tidak tahu dan pembelajaran juga dianggap ‘selamat’. Mabuklah mereka dengan ucapan-ucapan kasih, rindu dan sayang. Lekalah mereka dengan keluar berduaan yang akhirnya menjebakkan diri mereka ke kancah nafsu yang hina lagi menghinakan.
Dalam masa yang sama, adakah soal menjadi pemimpin kepada keluarga, membina keluarga bahagia dan menuju perkahwinan yang cemerlang menjadi tumpuan dan fokus utama? Tidak. Mereka hanya leka bermain cinta, sedikit pun tiada suntikan motivasi.
Sebahagian besarnya tewas di tengah jalan, lantas menanggung penyesalan yang tidak berkesudahan.

MULIA
Ingatlah teman. Fitrah itu tidak pernah menjadikan anda hina. Fitrah itu secara dasarnya bertujuan untuk memuliakan anda sebagai anak adam.
Firman Allah ta’ala : ” Dan sesungguhnya telah kami muliakan Bani Adam..”
Tilik kembali ke dalam diri anda. Jika perkahwinan itu masih jauh dari perancangan anda, saya tidak mengajak anda supaya menjadikannya lebih cepat. Saya cuma mengajak anda mengubah cara fikir, dengan menjadikan perkahwinan itu sebagai suatu yang sedang mampir. Bererti, anda sedang menuju ke arahnya.
Maka, jika anda sedar hakikat tersebut, anda akan terus berusaha dari sekarang.
Contoh :
3 tahun lagi untuk berkahwin. Maka dalam buku perancangan anda, segera ditulis. Tahun pertama, ingin hadam buku motivasi berkaitan nilai komunikasi positif dalam rumahtangga. Juga buku penting berjudul ‘Men Are From Mars, Women Are From Venus’. Tahun kedua pula, kajian tentang pengurusan ekonomi keluarga beserta elemen tarbiyah asas suami dan isteri. Tahun ketiga pula, kitab Tarbiyatul Awlad ( Pendidikan Anak-anak ) akan diperhalusi dengan teliti.
Melihat kembali apa yang anda tulis, anda akan dapati bahawa masa yang anda ada sangat singkat!
Tidak ada banyak masa untuk masih leka dengan dunia ‘ulala’ budak-budak muda. Tidak banyak masa untuk membaca komik dan bermain games. Tidak ada banyak masa untuk mengorat si Timah dan si Minah. Tidak ada banyak masa untuk melayan perasaan syok kepada pelakon drama Korea!

MOTIVASI
Percayalah, anda akan berubah menjadi seorang yang penuh dengan motivasi dan ‘mimpi-mimpi’ yang bersedia untuk dijadikan realiti. Anda beruntung jika masih muda dan perkahwinan masih jauh dalam perancangan anda, kerana anda akan punya banyak masa untuk bersedia.
Jika anda sedar dan faham apa yang cuba saya sampaikan dalam entri ini, maka jangan ragu-ragu untuk berubah.
Asingkan diri anda dari kehidupan ‘biasa’ orang-orang bujang, kepada kehidupan ‘luar biasa’ orang-orang bujang.
Anda akan menjadi orang bujang yang rajin, kemas, matang dan positif sebagai ganti kepada orang bujang yang pemalas, selekeh, kebudak-budakan dan negatif.
InsyaAllah, jika anda sanggup mengambil fitrah itu sebagai Motivasi
Continue...


Tuesday, July 16

Hamba Allah Atau Kita Menjadi Perhambaan?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 3:01 PM 0 comments

Istilah hamba adalah label paling rendah dalam hidup manusia. Hamba difahami sebagai golongan yang tidak memiliki diri sendiri serta melakukan segala perkara untuk orang lain. Tiada ruang untuk merasa bahagia apatah lagi untuk rasa dihargai. Segala apa yang dilakukan dengan sepenuh masa dan tenaga, hanyalah semata-mata untuk beroleh keredhaan daripada bos besarnya sahaja. Sesiapa pun, sudah tentu tidak mahu menjadi hamba mahupun dianggap sebagai hamba.
Namun sebenarnya, dalam kehidupan manusia di dunia ini, mereka sebenarnya telah pun menjadi hamba dalam beberapa kategori.
Hamba nafsu, hamba seks, hamba wang ringgit, hamba wanita dan pelbagai jenis perhambaan yang lain. Cuba kita lihat, apakah kondisi serta halatuju kesemua perhambaan tersebut :

Hamba nafsu, hamba seks

Apa yang dicari dalam hidupnya setiap hari hanya kepuasan nafsu dan seksual semata-mata. Akal serta kekuatan fizikal yang ada padanya dipusatkan semaksima mungkin untuk memastikan nafsunya kenyang dan kehendak seksualnya tertunai. Ini termasuklah dengan menjebakkan diri dalam hubungan seks bebas, mengunjungi pusat-pusat pelacuran, menonton video-video lucah, melakukan onani serta hanyut dalam dunia imaginasi penuh fantasi. Sekiranya kehendak seksual dan tuntutan nafsunya tidak terlaksana, maka dirinya akan kelihatan tidak keruan. Otaknya bercelaru, fokusnya terganggu dan pekerjaannya tidak menentu.
Apabila kehendak nafsu dan seks itu tertunai, maka dia merasa lega dan tenang untuk seketika. Itulah ‘redha’ dari ‘tuan’ yang dijanjikan. Penipuan berpanjangan yang tiada kesudahan. Si pelaku ataupun hamba nafsu seks itu sebenarnya mahukan kehendaknya itu ‘redha’ ke atas dirinya, dengan makna, apabila dia buat maka dia akan terlepas dari belenggu serabut ataupun tekanan dan beralih kepada dunia yang penuh ketenangan. Sayangnya, ia cuma seketika. Nafsu itu akan terus membuas dengan pelbagai tuntutan dan permintaan yang seterusnya. Dan pelakunya, akan terus menerus mengikut dan mengikut tanpa bertemu dengan noktah ‘keredhaan’ yang diimpikannya.
Orang cerdik, orang alim, orang faham agama atupun tidak, kesemua mungkin sahaja termasuk dalam golongan ini. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran :
” Tidakkah kamu melihat golongan-golongan yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai tuhan, dan Allah menyesatkan mereka dalam keadaan mereka tahu ( ada ilmu ) dan Allah menutup pendengaran serta pintu hatinya, dan Allah menjadikan penghalang ke atas penglihatan mereka. Maka siapakah lagi yang boleh memberi hidayah selain daripada Allah? “

Hamba wang ringgit

Hidupnya setiap hari hanya dengan tujuan yang satu, iaitu duit. Kerana itu, dari celik mata sehingga pejam mata, hanya duit yang difikirkannya. Turun seawal pagi ke pejabat dan balik lewat malam tidak menjadi beban kepadanya, asalkan duit mencurah masuk setiap bulan. Namun untuk urusan solat ataupun membaca Al-Quran, ataupun meluangkan masa antara maghrib dan isyak untuk mendengar kuliah di masjid, kesemua itu menjadi bebanan yang sangat besar kepada mereka. Turun seawal pagi demi mengelak kesesakan lalulintas, maka solat subuh tidak lagi dianggap penting. Balik petang sampai malam, solat asar dan maghrib tidak lagi dianggap penting. Jika hari jumaat, urusan dengan client lebih penting berbanding solat jumaat.
Apa yang dicari adalah ‘keredhaan’ daripada wang ringgit. Dengan makna, apabila kaya raya, hati akan jadi senang dan hidup akan jadi tenang. Segala yang dihajati akan tertunai dengan mudah. Maka dia tidak kisah berhabis masa dan tenaga demi wang ringgit. Soalnya, adakah perhambaannya kepada duit itu mencapai matlamat yang diimpikan?
Tidak. Bekerja bagai nak gila, berkursus sini sana, pulangan gaji tetap cukup-cukup makan. Untuk merasa mewah jauh sekali. Makin dikerah diri untuk meraih wang ringgit, makin sedikit pula rezeki yang diperolehi. Apa yang diperolehi tetapi dirasakan tidak mencukupi.
Bagi yang kaya raya pula, matlamat perhambaan itu tetap tidak tercapai. Sangkanya, hidup akan senang, hati akan tenang. Rupanya setiap malam tidak dapat melelapkan mata, gara-gara memikirkan wang bertimbun dalam simpanan. Harta melimpah ruah, tetapi kerana tiada keberkatan, hati gundah gulana sepanjang malam dan siang. Lalu perhambaannya kepada wang ringgi tidak bertemu dengan apa yang diimpikan.

Hamba wanita

Segala yang si wanita mahu, akan sedaya upaya ditunaikan. Samada kehendak itu syarie ataupun tidak, bukan lagi persoalan. Apa yang penting, hati si wanita adalah keutamaan. Dia sanggup melutut bersujud semata-mata mahukan kasih sayang dari si wanita. Dia sanggup berhabis beribu bahkan berjuta, semata-mata mahukan keredhaan si wanita. Dalam hidupnya setiap hari, hanya si wanita fokus utama. Sangkanya, perhambaan itu akan menjamin kebahagiaan.
Rupanya tidak. Dia lupa kepada pemilik segala hati manusia itu adalah Allah. Pencetus kasih sayang dan penyatu sekalian hati manusia itu adalah Allah. Tetapi kehendak Allah diketepikan, kemahuan si wanita diutamakan. Samada si wanita itu kekasih ataupun isteri, hambanya akan memastikan segala impian si wanita tercapai. Biarpun terpaksa melanggar hukum Allah atau mengambil hak manusia yang lain.
Namun ‘keredhaan’ yang diimpikan itu tetap tidak kunjung datang. Makin lama, si wanita makin besar kepala, dan dia terus menjadi hamba. Ketika si wanita ada kemahuan, nampaklah sedikit kasih sayang. Tetapi ketika kehendaknya sudah tertunai, telinga hanya mampu menahan seranah dan cacian. Demi apa? Demi sebuah perhambaan kepada insan.
Mudahnya, kesemua perhambaan di atas adalah simptom daripada perhambaan seorang manusia kepada syaitan. Makhluk terlaknat itu tidak pernah jemu dalam mengajak manusia menyertai golongan hamba yang tidak taat kepada Tuhan. Namun di akhirat kelak, Syaitan itulah yang akan berlepas tangan dengan mudahnya bahkan mengejek pula golongan manusia yang telah berjaya diperdaya.

Hakikat Perhambaan : Hamba Allah

Berbeza dengan kesemua jenis perhambaan di atas, menjadi hamba Allah menjadikan seseorang itu bertambah mulia dan jauh dari kehinaan. Hidupnya sehari-hari hanya dipusatkan untuk Allah. Dari celik mata sehingga pejam mata, segalanya untuk Allah. Dia hanya mengambil dunia sekadar keperluannya sahaja, dan melebihkan akhirat sehingga orang menyangka dia gila.
Dalam apa yang dia sangat mahu, tetapi Allah larang, dia bermati-matian menjauhkan diri. Dalam apa yang dia sangat tidak mahu, tetapi Allah suruh, dia bermati-matian akan melaksanakan. Segalanya, hanya kerana hakikat dirinya selaku hamba. Dia merasa betapa tidak layaknya diri sebagai manusia yang diciptakan untuk membantah suruhan daripada Tuan yang menciptakan.
Perhambaan ini, matlamatnya adalah sebuah keredhaan. Dan dia benar-benar mencapai matlamat tersebut. Hidupnya biar miskin, tetapi bahagia. Tidak terkenal di kalangan manusia, tetapi masyhur di langit sana.  Dia tidak mulia kerana pangkat mahupun harta, tetapi dipandang mulia kerana kecantikan agama dalam dirinya.
Semuanya adalah pancaran daripada nilai perhambaan yang tulus ikhlas kepada Tuhan. Sesiapa yang merendahkan dirinya di hadapan Allah, nescaya Allah akan mengangkat dirinya di hadapan manusia.

Hamba Ramadhan

Ini suatu lagi istilah yang agak masyhur di bulan Ramadhan. Beribadah hanya kerana Ramadhan dan hanya di bulan Ramadhan, selesai Ramadhan, selesailah sesi ibadah dan kebaikan. Memanglah Ramadhan itu lebih istimewa daripada bulan-bulan yang lain, namun kita perlulah sedar, bahawa kita sedang menjadi hamba kepada Allah dan bukannya kepada bulan.
Justeru, istiqamahlah dalam melaksanakan ketaatan. Semoga kita benar-benar tergolong dalam golongan hamba kepada Ar-Rahman.
Jadi nilaian di sini kita hamba yang mana?
Continue...


Wednesday, June 5

Gedik Yang Di Ubah Suai

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 3:18 PM 0 comments

Pada hari ini, aku melihat kebanyakan muslimah yang ku kenali sangat goyah imannya. Bagaimana aku ingin menghuraikannya? Insya-Allah aku cuba. Tidak perlu melihat pada yang jauh, cukup pada mereka
yang berada di sekitarku. 
Fenomena 'berubah menjadi alim' sudah banyak berlaku. Lebih-lebih lagi aku melihat di laman sosial facebook yang beratus-ratus status dan post mengenai Islam di wall mereka. Terlalu banyak sehingga imanku tercabar. Aku hampir mendakwa mereka semua itu berlakon alim.
Maaf,  aku cuba untuk tidak berprasangka yang tidak baik kepada mereka. Selama ini aku sangat berpegang kepada husnudzon (bersangka baik) dan aku tetap dengan prasangka baik kepada mereka. Moga aku yang menulis ini dijauhkan daripada perasaan ria' dan juga berasa sudah cukup alim.
Melihat kepada sahabat terdekat, perubahan yang amat ketara telah ku perhatikan.  Aku sangat mengenalinya. Dahulu bertudung bawal sekarang sudah bertudung labuh. Dahulu FB nya penuh dengan luahan ketidak puas hatian, sekarang dipenuhi dengan kata-kata dan juga mutiara hikmah.
Sekali lagi iman ku tercabar apabila melihat kata-kata dan mutiara hikmah lebih ke arah mencari suami dan menanti suami yang soleh. Siapa solehah dapat suami soleh. Aku tidak pandai untuk mengarang ayat. Apapun, begitulah maksud yang ku simpulkan dari kebanyakan kata-kata yang tertera di laman terkenal itu.
Aku gembira dengan perubahan drastik itu, tetapi caranya mencabar imanku. Aku tidak layak nak tahu hatinya, berubah kerana apa. Husnodzon hati berbicara. Aku berjaya mengatasi prasangka buruk. Aku harap tulisan ini dapat membetulkan niat aku dan mereka yang ingin rapat dengan Allah.
Aku tidak pernah nafikan janji Allah dalam Alquran yang bermaksud;  
"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik "
(Surah an-Nur ayat 26)
Aku juga mengalami situasi mempunyai adik-beradik yang mempunyai teman wanita. Memang niatnya untuk memperisterikan teman wanitanya, tetapi caranya membimbangkan. Dia ingin mengubah wanita itu menjadi solehah. Lalu dia meminta teman wanitanya itu memakai tudung labuh dan berjubah, dia sentiasa memberi mesej kepada teman wanitanya untuk solat di awal waktu dan juga bangun tahajud.
Apakah semua itu?

Di suatu sudut yang lain pula, satu comment yang terpampang di wall rakan FB ku. Ku baca dengan teliti dan ingin ku kongsikan bersama kalian.
"Sangat geli melihat ustazah-ustazah berpurdah,bertudung labuh , berjubah tapi asyik post status rindukan 'imam', dan yg berkaitan dengannya. Sebaiknya gunakan imej yang terbaik itu untuk sampaikan nasihat dak dakwah buat panduan muslimah seluruhnya, bimbang orang akan gelar ini adalah contoh ' gedik yang solehah'."
Saat membacanya, apa yang kalian fikirkan? 
Aku cuma ingin berpesan, kepada mereka yang sudah berpunya atau sedang menanti, janganlah kalian berubah mengikut nafsu inginkan imam yang soleh. Dan janganlah kamu berubah kerana taat kepada kekasih hati yang ingin melihat kamu berubah.
Kalian pernah terfikir? Apakah kesudahan jika kamu berubah bukan kerana taat kepada Allah? Jika ditinggalkan oleh imam yang selama ini didamba-dambakan, bagaimana?
Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh imam yang benar-benar ditakdirkan oleh Allah untuk dijadikannya sebagai isteri. Tetapi bagaimana yang sebaliknya? berakhir di pertengahan jalan. Takdir Allah, memutuskannya dengan dua cara. Semasa hidup atau mati.
Aku bukan ingin mengatakan aku adalah terbaik, aku pun pernah melakukan kesilapan, aku juga bukan ahli agama. Atas asbab itulah, aku cuba sebatikan kata-kata imam Hassan al-basri dalam hidup.
"Sesungguhnya aku menasihati kamu bukanlah bermakna aku adalah yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."
Aku menulis bukan juga aku mencemburui sahabat-sahabatku yang lain. Aku akui aku tidak pernah mempunyai teman lelaki, bermesej dengan mereka tanpa bertujuan jauh sekali. Aku mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara tersebut kerana aku takut akan berubah hati kepada Allah.
Aku sedar, aku juga tergolong di kalangan mereka yang mudah terpesona dengan lelaki soleh. Justeru, satu cara aku menjauhi mereka dengan tidak berpersatuan dengan mereka yang nampak soleh dan aku sesekali tidak akan mempunyai teman lelaki kecuali dia yang bernama suami. Moga dengan cara ini aku lebih dekat dan teguh iman kepada Allah.
Mungkin juga ada yang berfikir aku tidak cantik, sebab itu tiada siapa yang minat kepadaku. Apapun yang kalian fikirkan, terserah pada kalian. Sesungguhnya kecantikan ini hanya untuk seorang yang halal untukku. Tiadakan ku kongsi pada mereka yang belum tentu menjadi suamiku.  
Pesan khusus untuk diriku dan sahabat-sahabat muslimah,  taatlah kepada Allah. Jangan lah 'taat' kepada mereka yang bukan bernama suami atau bakal suami sekalipun.Apa sahaja yang diminta oleh mereka, dengan relanya kita memberikannya.
Yakinlah, setiap yang tertutup itu lebih terindah, namun akan lebih indah lagi jika setiap yang ada pada diri itu tertutup rapat tanpa seoarang pun dapat melihatnya/membacanya.

Yang pernah melakukan kesilapan, aku berdoa kalian akan benar-benar berubah kerana taat kepada Allah. Aku sangat gembira jika Muslimah itu berubah kerana taat kepada Allah. Itu aku lebih utamakan.
"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat."
(Surah ali Imran ayat 132)
Aku harap tulisan ini dapat menjawab soalan sahabatku yang bertanya tentang keikhlasan mereka yang ingin berubah. Dahulu aku menjawab pertanyaan sahabatku dengan lisan. 
"siapa kita untuk mengukur niat seseorang, insyaAllah jika benar dia tidak ikhlas Allah akan betulkan, jika sebaliknya kita yang berdosa menuduhnya."
Aku terdiam dan menamatkan jawapan setakat itu. Aku harap inisiatif menulis coretan ini dapat menjawab persoalan sahabat-sahabat di luar sana agar Allah mengampuni dosa kita semua jika kita tersalah menduga yang tidak baik lebih-lebih lagi keikhlasan seseorang.
Continue...


Thursday, May 23

Di Usung Gelisah

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 12:21 AM 0 comments



Fitrah manusia itu suci dan bersih. Inilah perkara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Oleh sebab itu, bila terlanjur melakukan dosa atau setelah sekian lama bergelumang dengan perkara maksiat yang Allah tidak redha, maka hati akan merasa seakan satu tarikan magnet untuk kembali kepada keadaan asal, iaitu keadaan yang suci dan bersih daripada semua perkara noda tersebut.
Rontaan untuk kembali kepada fitrah.
Selagi tidak kembali, selagi itulah jiwa rasa gelisah dan segala benda yang dibuat pun akan dihantui serba salah.
Seorang pelajar yang malas dan suka melawan cakap guru, suka membantah cakap ibu bapa, ada ketikanya dia akan merasa bersalah dan mahu berubah. Seorang remaja yang hanyut dalam percintaan, keluar berduaan dan menghabiskan banyak masa untuk cinta monyet mereka, ada ketikanya akan dilamar rasa bersalah dan mahu berubah. Seorang pelaku maksiat yang suka meninggalkan solat, bercampur dengan golongan yang rosak agamanya serta jauh dari kehidupan bermoral, ada ketikanya akan disambar perasaan bersalah dan mahu berubah.
Jika kita mengalami keadaan ini, atau melihat orang yang berada dalam keadaan ini, suka diingatkan untuk janganlah kita menganggap refleksi itu sebagai ‘buang tebiat’ sebaliknya hendaklah kita fahami dengan yakin, bahawa itulah sebenarnya fitrah.
Suatu rahsia Allah yang diciptakan khas serta ditanam jauh di lubuk hati manusia.
Pakaian yang kotor akan menjadikan manusia gelisah. Pakaian yang bersih pula akan menjadikan manusia merasa tenang dan tidak gundah.

Soalnya : Mudahkah Berubah?
Situasi 1 :
Dua pasangan yang bercinta. Si wanita mahu tegas dalam menjaga perhubungan sebaliknya si lelaki mengambil sikap sambil lewa. Selalu menelefon untuk bercakap lama-lama dan seringkali mendesak untuk keluar bersama. Kerana rasa cinta, si wanita terpaksa mengikut namun dalam masa yang sama tetap berusaha menasihati si lelaki untuk berubah. Biarlah mereka bercinta kerana Allah dan mengikut syariat, begitulah kira-kira ungkapan si wanita.
Dalam pada berkeras dan tidak mahu peduli, satu masa timbul jua rasa kesedaran dalam diri si lelaki untuk berubah. Dia mengakui sepanjang menjalin hubungan pun jiwanya tidak tenteram, lantaran dia tahu hubungan tersebut bercanggah dengan disiplin dalam syariat. Berdua-duan atau berpegangan tangan, keduanya tetap haram.
Lantas jiwanya terasa lunak untuk melakukan perubahan. Dia meyakini itu adalah hidayah. Lalu dikhabarkan kepada si wanita bahawa dirinya mahu berubah, dan disambut dengan ucapan tahniah penuh kegembiraan. Mereka berdua berazam untuk meneruskan hubungan dengan mematuhi batas dan disiplin syariat.
Seminggu berlalu dengan baik. Si lelaki mula merasa tenang dan mula merapati kawan-kawan yang baik lagi soleh. Majlis tazkirah menjadi rutin lepak hariannya. Tiba-tiba masuk sms dari si wanita.
slm.awk esok sy keluar ke bazar ramadhan.boleh tak awk temankan sy?
Berderau darah si lelaki. Selama ini dia yang mengajak dan wanita tersebut pula ‘sangat menjaga’ , namun hari ini si wanita pula yang mengajak dalam keadaan dirinya yang mula mahu ‘menjaga’.
Justeru dia terpaksa memilih antara dua.
Hati kata ; jangan, engkau kan mahu berubah. Otak pula meningkah ; alah, bolehlah..sekali saja.

Situasi 2 :
Dia bukan seorang yang rajin belajar. Kesedaran untuk membina masa depan sangat kurang. Teman-teman rapatnya pula tidak sepertinya. Mereka rajin dan sangat berjaya. Masa mereka banyak depan buku, masa dia pula banyak depan komputer.
Sudah banyak dinasihati, baik oleh keluarga mahupun teman sebaya, dia tetap berkeras dengan sikap degilnya.
Suatu ketika, hatinya disapa rasa insaf dan terdetik untuk berubah. Fikirnya, dia banyak membuat benda yang sia-sia. Dengan kekuatan yang ada, dia bangkit mahu berubah. Segala yang melalaikan dalam jadual hidupnya akan disingkir habis-habisan. Dia mahu menyertai teman-temannya yang hidup mereka didominasi kesedaran untuk bejaya.
Baru dua hari dia membina azam dan menguatkan diri untuk berubah, tiba-tiba dia melihat teman-temannya pula bermalas-malasan dan membuang masa. Leka dengan internet bahkan temannya yang dikenali sebagai paling tegas dengan pelajaran, kerap pula mengajaknya bermain bowling!
Lantas dia berdepan dengan dua pilihan.
Hati menjerit ; teruskan niat kau untuk berubah. Otak pula bertempik ; Ah sudahlah! jangan hipokrit!

Hakikat Ujian
Saya percaya, semua orang tentunya pernah mengalami situasi seperti di atas, cuma mungkin dalam kondisi yang berbeza. Apapun, pokoknya tetap sama. Iaitu dalam melakukan perubahan, perkara yang pastinya akan mendatangi anda adalah ujian dan dugaan.
Pelakonnya adalah Syaitan.
Makhluk ini sejak dahulu lagi bersumpah di hadapan Allah ta’ala , bahawa dia akan berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan anak Adam.
Semua orang tahu bahawa hidup mereka berdepan dengan godaan daripada Syaitan, namun tidak ramai yang sedar dan berjaga-jaga dengan bentuk godaan tersebut. Adakala, Syaitan memang sangat cerdik dan licik dalam menipu kita. Dia tidak akan menunjukkan secara terang-terangan bahawa dia mahu menipu kita, sebaliknya dia menggunakan pelbagai taktik dan strategi yang bisa membuatkan kita binasa.
Contohnya kita mahu solat. Syaitan akan melaksanakan plan A terlebih dahulu, iaitu menghalang kita daripada solat. Dia memujuk kita supaya melewat-lewatkan solat atau melalaikan kita dengan rancangan di televisyen. Jika taktik itu tidak berjaya, dia akan terus ke plan B iaitu mengajak kita bersolat. Ya, dia akan memujuk kita supaya solat di masjid atau surau dengan pelbagai pujukan yang indah-indah, tetapi apabila kita pergi, disuntiknya pula dengan pujian-pujian mazmumah supaya kita merasa riak, ujuk dan bangga diri dengan ibadah yang kita lakukan.
Itu liciknya Syaitan.
Demikian juga dengan kita yang mahu berubah. Lebih-lebih lagi kalau kita berubah dengan niat yang tidak betul, maka tersangatlah mudah untuk Syaitan menghancurkan keazaman kita. Berubah kerana manusia, kerana merajuk, kerana kecil hati, kerana mahu perhatian dan pelbagai bentuk ‘kerana’ yang lain di mana kesemuanya tidak berpaksikan ‘kerana Allah’.

Berubahlah Kerana Allah
Justeru orang yang mahu berubah, pertama sekali wajib dipasakkan dalam diri bahawa perubahan itu adalah kerana Allah dan semata-mata mahukan keredhaanNya sahaja. Sama sekali bukan kerana manusia atau material yang lain. Jika mahu berubah meninggalkan maksiat atau mahu berubah menjadi baik – dengan niat kerana Allah, maka sekalipun didatangi dengan godaan yang kita tidak sangka, maka kita tetap akan bertahan dengan prinsip perubahan tersebut kerana niat asal kita adalah kerana Allah.
Berawaslah, kerana godaan Syaitan itu adakalanya tidak datang dalam bentuk yang kita duga. Kadang-kadang, perkara duniawi yang kita sangat mahukan sebelum berubah , itulah yang akan mendatangi kita dengan mudahnya selepas kita berubah.
Ketika kita mengejar kenikmatan dunia, ia lari dengan begitu pantas meninggalkan kita. Namun ketika kita berpaling mahu mengejar akhirat, ketika itulah dunia itu pula berlari pantas mengejar kita.
Inilah konsep yang harus kita fahami jika kita benar-benar mahu berubah, agar nantinya kita tidak goyah dengan suntikan nikmat daripada Syaitan.



Continue...


Sunday, April 28

Cerpen : Cinta Aku Sama

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 11:45 PM 1 comments



Cuaca yang sejuk mencengkam ubun-ubun rambut bagai di tarik-tarik dari akar rambut.  Aku nyaris tidak kuat dengan keadaan sel yang sangat menyiksa.. Aku memasuki hari-hari yang sangat berat. 
Bukan mudah untuk di lembutkan hati yang keras, mungkin lebih keras dari batu. Entah ilmu apa yang di pakai, semua cair begitu sahaja. Cinta sampai mati? Cinta hingga akhir hayat? Semuanya hanya madah berhelah.
“Kerana cinta, demi cinta, ku cinta dia, lautan berapi sanggup ku renangi, gunung berapi pun sanggup di redahi. Tambahan peribahasa baru, sungai yang penuh buaya akan ku berenang demi membuktikan cinta dan kasih pada mu duhai sayang.”

Bukan dulu aku tidak pernah mengikuti mana-mana program yang menghubungkan antara Sang Pencipta dan Yang Di ciptakan, tapi hati dan terlampau ikut nafsu, membuatkan hati terketuk dengan cinta lain.

Aku duduk bersandar di kerusi malas. Sambil memikirkan sesuatu. Benar aku cinta dia. Benar aku rindu dia. Tapi, rindu dan cintaku hanya untuk yang haq. Rindu dan cintaku hanya untuk Allah dan Rasul.

Hentian Pertama: Yang Menyusur Jalan Cinta Itu

“Abang Ad” Suara Aiman dan kuakan pintu rumah memecah gegendang telingaku. Aku menoleh. Dia memberi salam. Lantas aku menyahut.

“ Wah, Man. Orang beri salam dulu baru panggil nama. Ni tak, panggil nama dulu baru bagi salam. Cara baru ke?” Aiman hanya tersengih macam kerang busuk.

“ Ada apa pagi-pagi jumpa abang? Macam ada hal yang mustahak je? Selalu petang-petang baru nak jumpa.” Aku buat-buat nada merajuk dengan Aiman. Aiman adalah salah seorang anggota jemaah usrah yang aku kelolakan. Dia dari seorang budak nakal, menjadi seorang syabab yang berkualiti.
“ Erm.. Man sebenarnya datang jumpa abang ada hajat..”

“ Lah, ada hajat buat apa nak jumpa abang? Pergi tandas tu buang hajat.” Aku saja berseloroh buat tidak memahami.

“Abang, main-main pulak. Aiman nak tanya tentang chenta ni. Aiman sekarang ada terlibat akan perkara ni. Kadang-kadang Aiman rasa macam Aiman tak seimbang bila memikirkan perkara ini. Apa pendapat abang tentang chenta? Abang pernah lalui rasa chenta tak? Sebab abangkan penulis dan ada kipas susah mati sendiri, follower kat facebook pun ramai. Takkan tak boleh bagi nasihat sedikit kat Man?” Bertalu-talu soalan yang menerjah ke gegendang telinga. Pagi-pagi sudah di terjah dengan soalan mengenai cinta.
“ Bohonglah Aiman kalau abang cakap, abang tidak pernah jatuh chenta. Bagi abang, biarlah jatuh chenta itu hanya sekali. Bukan dua kali bukan tiga kali. Sebab apa? Jatuh cinta itu sakit tau.”
“Kenapa pulak sakit abang? Bukankah jatuh chenta itu bahagia?” Aiman semakin rapat dengan kerusi malas yang sedang aku duduk. Makin menghampiri dan mungkin makin rancak perbincangan mengenai chenta.
“ Sebab apa abang cakap jatuh chenta itu sakit? Sebab dah namanya jatuh. Mesti ada rasa sakit. Siapa yang jatuh tak sakit? Aiman kalau jatuh ada rasa sakit tak?” Aku ketawa kecil melihat Aiman menarik muka.
“ Iya abang faham soalan Aiman. Dan abang tidak setuju dengan perkataan Aiman, jatuh chenta itu membawa kepada bahagia. Ya. Sesetengah orang mungkin mengatakan jatuh chenta itu boleh membawa kebahagiaan. Sesetangah orang lagi tidak. Mereka akan tersungkur di tengah jalan yang panjang. Inilah syurga dunia aku. inilah kebahagiaan yang aku impikan. Kenapa selama ini aku tidak jumpa dan tidak jatuh chenta?” Aiman mencebik ke arah ku.
“ Tapi abang, Aiman rasa bahagia dengan rasa ni. abang nak tau kenapa? Sebab bila Aiman sedih Aiman cerita kat diakan, Aiman rasa lapang. Aiman tak da rasa sedih lagi. Semuanya hilang.” Aiman mengeluarkan hujah dia yang sedang hangat berchenta. Ya. Macam aku dulu. Aku yang sedang hangat bercinta semasa di bangku persekolahan. Aku lagi awal berjumpa dengan perkara yang di beri nama Inchik Chenta. Tapi perkara ini aku harus perbetulkan kembali agar Aiman tidak hanyut dan tidak menjadi macam aku sekarang. Sakit yang aku rasa berpanjangan.
“ Aiman, abang tak larang Aiman berchenta. Abang pun tidak menggalakkan Aiman berchenta. Tapi bagi abang biarlah Aiman letakkan rasa chenta itu bukan seratus sepuluh peratus pada dia. Sebab kalau Aiman letakkan rasa chenta itu seratus sepuluh peratus pada dia, bila Aiman di tinggalkan, Aiman akan rasa satu kesakitan yang mendalam dalam diri Aiman.. Itu yang abang tak nak. Abang dah kena sekali, abang tak nak orang yang abang kenal dan abang didik ini terkena sekali macam yang abang kena. Apa yang abang rasa biar abang sahaja yang rasa.”
Aku ingin mengupas isu tentang bahagia itu bukan sahaja berasal dari inchik chenta, tetapi rasa bahagia itu juga berasal dari rasa memberi. Ah, apakah Aiman akan mengerti? Rasa chenta itu akan menyakitkan bila tidak tiba pada tepat masanya?
“ Aiman, jom ikut abang pergi Nusajaya? Abang nak riadah sebenarnya ni. Sambil tu boleh abang cerita kat Aiman. Apa itu yang melahirkan bahagia.”

“ Aiman tak bawa kasut sukan. Boleh pakai abang punya?”

“ Man. Ambillah kasut ni, abang bagi kat Aiman, hadiah.” Aiman menoleh ke arah aku. Aku menghulurkan kasut sukan Nike yang paling aku sayang dan aku beli semasa menuntut di Politeknik Merlimau Melaka. Perkara yang aku sayang aku berikan pada Aiman yang sudah aku anggap macam adik aku sendiri.

“Man, abang nak cakap sikit ni.”
“ Apa dia bang?”
“ Orang yang menyelusuri jalan chenta ini, akan rebah di tengah jalan andai tiada rasa didikan dalam memberi chenta.” Aku menumpukan perhatian aku memandu kereta ke Nusajaya.

Hentian Kedua: Bahagia Itu Meditasi Jiwa.

Masing-masing tenggelam dalam dunia sendiri, aku dengan fokus pemanduan. Aiman dengan dunia dia. Barangkali bahagia dengan chenta yang baru berputik di hati.

Bila aku sebut pasal bahagia, aku teringat akan sahabat usrah semasa aku di Politeknik. Seorang murrabi yang banyak membimbing aku keluar dari dunia aku. dunia kecewa. Dunia hampa.

“ Saad, ana nak cakap sikit. Kenapa ana tengok anta banyak diam. Menyendiri. Ana tengok akhi lebih banyak dengan dunia akhi sendiri. Akhi kecewa dengan chenta manusiakah?”

Aku mengganguk sepi. Tanpa balasan.

“ Selama ni akhi mencari makna bahagia dengan makna chenta berlainan jeniskah?”

Aku mengganguk lagi.

“ Ana nak cari bahagia. Bahagia ada di mana?” aku membuka mulut memulakan soal bicara.

“ Bahagia itu sifat lumrah manusia Ad, bukan dengan berkasihan antara bukan mahram sahaja yang akan mendatangkan bahagia. Konsep yang perlu kita fahami dalam perchentaan adalah menerima dan memberi. Jika kita sudi memberi, maka kita akan rela menerima. Itu hakikat asal Ad. Bukan kita memberi, tapi kita langsung tak nak membuat penerimaan.”
“ Ana memberi contoh yang lain. Pemberian yang paling mudah. Luka di tangan, dan setitis air limau. Kalau akhi kena air limau yang di titiskan di tangan akhi rasa sakit?” Aku mengangguk kepala.
“Hmm.. samalah. Air limau yang di titiskan pada luka di tangan akan membuatkan luka tu bertambah pedih. Sama konsep dengan memberi dan menerima. Air limau itu memberi, dan tangan kita menerima. Sama juga dengan konsep hati. Akhi balik asrama dan fahamkan kata-kata ana.”


Hmm, sekarang aku terfikir sendirian. Kenapa bila di kaitkan dengan soal chenta, orang mesti akan mengaitkan bahagia itu dengan chenta. Owh, orang yang berchenta itu akan selalu bahagiakah? Tidak. Orang yang berchenta itu ada yang tergolek-golek lalu jatuh kebawah. Ada orang yang berchenta itu terbang naik ke awan lalu bersama menjadi sepasang burung yang terbang beriringan. Semua orang mengimpikan begini. Chenta yang ku damba hanyalah sementara.

Cuma kadang-kadang terfikir sejenak. Kenapa bila sebut dengan chenta, kita akan rasa, itulah bahagia yang aku impi. Bahagia bukan lahir dari rasa kita berchenta dengan berlainan jenis, tapi rasa bahagia lahir dari jiwa yang memberi. Kita memberi chenta, kita yang aka rasa bahagia. Tidak semestinya dengan memberi chenta kita akan menjadi bahagia. Oh, sleptikal yang menjadi-jadi sekarang. Sedangkan bahagia itu adalah sebahagian daripada meditasi jiwa. Owh, jiwa yang kosong begini jadinya. Tiba-tiba lagu Najwa Latiff Kosong berkumandang di corong radio. Lamunan aku terhenti sampai situ.

Hentian Ke tiga: Cinta Itu Tawanan.

“Man, jom kita pergi sebelah tasik sana. Kita duduk-duduk sambil bermuzakarah tentang masalah Aiman?” Aku mematikan engine kereta.

“ Abang, Aiman masih lagi berfikir tentang masalah tadi.” Aku melihat memberi isyarat dia menyambung kata-kata.

“ Abang tadi kata, kalau kita jatuh cinta, kita akan sakit. Dan abang sebelum kita gerak tadi ada kata. Orang yang menyelusuri jalan chenta ini akan rebah andai tiada di beri didikan dalam memberi. Apa maksud abang kat sini? Aiman dari tadi termenung. Memikirkan jawapan.” Aku berlari perlahan menuju ke arah Pearl Harbour. Sambil aku merenung dan memikirkan apa penerangan yang sesuai untuk aku berikan pada Aiman.

“ Aiman cuba lihat sana, ada pokok. Ada kapal layar. Mana yang Aiman berminat antara dua perkara ini? Antara tumbuhan dan kapal layar?”

“ Umm, sudah tentulah Aiman lagi minat dengan kapal layar.”

“ Sebab apa Aiman minat dengan kapal layar? Sebab dia cantik?”

“ Umm tak lah.. sebab kalau kita ada kapal layar, kita boleh bergerak dengan lebih bebas. Kita boleh bergerak jauh. Boleh duduk atas laut. “

“ Owh, kiranya sekarang ini Aiman tidak bebas? Abang lagi sukakan tumbuhan. Sebab tumbuhan memberi. Dia juga menerima.” Aku memandangnya sambil tersenyum.

“ Maksud abang? Kapal layar tu tak boleh memberi dan menerima?” aku menggeleng bukan untuk menafikan katanya, tapi untuk memberi pandagan dari sudut berbeza.

“ Abang lagi suka dengan tumbuhan sebab sifat dia. Sifat dia yang menerima dari kita karbon dioksida dari manusia dan memberikan oksigen kepada manusia. Sudah sunatullah, dalam kehidupan ni Man, ada yang memberi, dan mesti ada yang menerima. Kita memberi cinta pada orang lain, dan orang lain menerima cinta dari kita. Kita akan rasa bahagia. Tapi sebenarnya bila di luaskan lagi konsep memberi dan menerima bukan sahaja dalam konsep cinta. Banyak lagi. Contoh memberi penerangan macam abang beri kat Aiman ni.?”

“ Bila kita sudah jatuh cinta, kita memang akan rasa bahagia. Itu abang akui. Abang sendiri pernah lalui zaman tu. Abang sendiri pernah terduduk. Abang sendiri pernah menangis. Semua abang pernah. Sebab abang terjatuh dengan chenta. Kalau Aiman nak tau, abang tujuh tahun menderita. Abang tercari-cari dalam makna. Apa sebenarnya bahagia? Bukankah bahagia itu ada dalam sifat orang yang berchenta? Sampailah abang di temukan dengan kata-kata chenta itu tawanan, siapa yang tertawan dia akan terkorban.

Sebab itu dalam percintaan, siapa tertawan dia yang terkorban.




Nama: Mohd Saad Mubarok Bin Ahmad
Pekerjaan: Pembantu Jurutera
Umur: 24 tahun.
Pendidikan: Kejuteraan Mekatronik, Politeknik Merlimau Melaka


Continue...