” saya nak tanya sikit. macam mana nak tangani perasaan nak bercinta ni ye.. kahwin lambat lagi, mak saya kata tunggu habis belajar.. saya pun tak fikir pasal kahwin, tapi perasaan ni datang..”
Seorang sahabat berpangkat adik mengadu rasa baru-baru ini. Saya berfikir sejenak. Soal fitrah, bukan boleh disekat. Itu respon pertama saya.
Sebenarnya, ramai remaja keliru tika didatangi perasaan tersebut. Sebahagian mereka menyalahkan diri sendiri dan berusaha mencampakkan fitrah tersebut jauh-jauh. Fitrah yang mengusik jiwa itu dianggap sebagai parasit yang bisa ‘merosakkan’ cita-cita dan masa depan. Saya kurang bersetuju.
Lalu saya rumuskan satu panduan kepada sahabat tersebut. Soal fitrah sukakan berlainan jantina, itu normal. Hadirnya waktu ini, juga suatu yang normal. Yang tidak normal, sukakan sesama jantina. Maka, usah hukum diri sendiri sebaliknya ambillah perasaan tersebut sebagai motivasi.
Ketika anda didatangi perasaan tersebut, anda bayangkan perkahwinan sebagai suatu yang berbaur mustahil. Ini silap. Jangan anggap perkahwinan itu sebagai ‘terlampau jauh’ sehingga anda tidak mahu memikirkannya. Perkahwinan itu soal jodoh, ia kerja mutlak Sang Penguasa ; Allah. Sebagai manusia yang beriman dengan takdir tersebut, kita jahil tentang bila masanya dan siapa orangnya. Maka apa yang ada pada kita adalah usaha. Dan usaha itu, perlu dimulakan dari sekarang.
Dengan hadirnya perasaan bernama fitrah itu, ubahlah diri dan pemikiran anda untuk maju setapak. Anda bakal bergelar pemimpin kepada sebuah keluarga. Anda bakal naik ke jawatan suami melalui AGM yang dipengerusikan Tok Kadi. Itu suatu benda yang besar. Maka, benda sebesar itu perlukan persiapan dari sekarang. Tak kanlah rancangan kahwin nanti habis belajar, maka berfikir dan bersedia ke arah perkahwinan baru akan bermula selepas habis belajar?
Tidak. Segalanya bermula di sini dan hari ini. Tingkatkan pengetahuan dan bahan bacaan. Ubah personaliti diri. Bina daya kepimpinan. Maju setapak ke depan dengan berusaha keras menjadi seorang pemuda yang matang. Di samping pengajian di bilik kuliah, pengajian sampingan ke arah Bait Muslim itu perlu turut sama digiatkan.
Sedar atau tidak, anda sedang bergerak ke arah perkahwinan yang cemerlang. Melalui apa? Melalui tindakan bijak anda meraikan fitrah. Bukan hanyut dalam arus fitnah. Anda tidak akan menjadi seorang yang kuat berangan, leka bermain cinta, termenung siang malam dan hilang fokus pada pelajaran. Semuanya kerana sebuah fitrah yang menyuntik motivasi.
GANGGUAN?
Kita perlu mengubah minda dan tanggapan kita pada hal ehwal cinta, jodoh dan perkahwinan.
Kalau kita aktif dengan kerja dakwah di kampus, jangan jadikan rak buku kita hanya penuh dengan buku-buku gerakan dakwah tarbiyah semata-mata. Isikan juga dengan bahan bacaan tentang Baitul Muslim. Petua membina rumahtangga bahagia, panduan menangani konflik rumahtangga, pengurusan ekonomi keluarga, persoalan haid, nifas dan istihadhah, kesemuanya adalah bacaan wajib bagi anda. Kenapa perlu ada diskriminasi?
Ramai orang beranggapan semua perkara berkaitan rumahtangga sewaktu di alam belajar, adalah gangguan kepada pelajaran. Ini silap. Pemikiran sebegini cenderung menjadikan remaja lambat matang dan tidak berjiwa besar. Mereka seolah ‘dilalaikan’ dengan pembelajaran bersijil semata-mata, tanpa dititikberatkan nilai tambah yang lain. Pada mereka, perkahwinan itu lambat lagi. Sekarang fikir belajar dahulu.
Maka ketika didatangi fitrah dan perasaan inginkan teman hidup, mereka mula menggelabah. Terdesak kerana tidak nampak jalan yang ‘halal’, maka perhubungan jalan belakang menjadi pilihan. Mak ayah tidak tahu dan pembelajaran juga dianggap ‘selamat’. Mabuklah mereka dengan ucapan-ucapan kasih, rindu dan sayang. Lekalah mereka dengan keluar berduaan yang akhirnya menjebakkan diri mereka ke kancah nafsu yang hina lagi menghinakan.
Dalam masa yang sama, adakah soal menjadi pemimpin kepada keluarga, membina keluarga bahagia dan menuju perkahwinan yang cemerlang menjadi tumpuan dan fokus utama? Tidak. Mereka hanya leka bermain cinta, sedikit pun tiada suntikan motivasi.
Sebahagian besarnya tewas di tengah jalan, lantas menanggung penyesalan yang tidak berkesudahan.
MULIA
Ingatlah teman. Fitrah itu tidak pernah menjadikan anda hina. Fitrah itu secara dasarnya bertujuan untuk memuliakan anda sebagai anak adam.
Firman Allah ta’ala : ” Dan sesungguhnya telah kami muliakan Bani Adam..”
Tilik kembali ke dalam diri anda. Jika perkahwinan itu masih jauh dari perancangan anda, saya tidak mengajak anda supaya menjadikannya lebih cepat. Saya cuma mengajak anda mengubah cara fikir, dengan menjadikan perkahwinan itu sebagai suatu yang sedang mampir. Bererti, anda sedang menuju ke arahnya.
Maka, jika anda sedar hakikat tersebut, anda akan terus berusaha dari sekarang.
Contoh :
3 tahun lagi untuk berkahwin. Maka dalam buku perancangan anda, segera ditulis. Tahun pertama, ingin hadam buku motivasi berkaitan nilai komunikasi positif dalam rumahtangga. Juga buku penting berjudul ‘Men Are From Mars, Women Are From Venus’. Tahun kedua pula, kajian tentang pengurusan ekonomi keluarga beserta elemen tarbiyah asas suami dan isteri. Tahun ketiga pula, kitab Tarbiyatul Awlad ( Pendidikan Anak-anak ) akan diperhalusi dengan teliti.
Melihat kembali apa yang anda tulis, anda akan dapati bahawa masa yang anda ada sangat singkat!
Tidak ada banyak masa untuk masih leka dengan dunia ‘ulala’ budak-budak muda. Tidak banyak masa untuk membaca komik dan bermain games. Tidak ada banyak masa untuk mengorat si Timah dan si Minah. Tidak ada banyak masa untuk melayan perasaan syok kepada pelakon drama Korea!
MOTIVASI
Percayalah, anda akan berubah menjadi seorang yang penuh dengan motivasi dan ‘mimpi-mimpi’ yang bersedia untuk dijadikan realiti. Anda beruntung jika masih muda dan perkahwinan masih jauh dalam perancangan anda, kerana anda akan punya banyak masa untuk bersedia.
Jika anda sedar dan faham apa yang cuba saya sampaikan dalam entri ini, maka jangan ragu-ragu untuk berubah.
Asingkan diri anda dari kehidupan ‘biasa’ orang-orang bujang, kepada kehidupan ‘luar biasa’ orang-orang bujang.
Anda akan menjadi orang bujang yang rajin, kemas, matang dan positif sebagai ganti kepada orang bujang yang pemalas, selekeh, kebudak-budakan dan negatif.
InsyaAllah, jika anda sanggup mengambil fitrah itu sebagai Motivasi