Fitrah manusia itu
suci dan bersih. Inilah perkara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Oleh
sebab itu, bila terlanjur melakukan dosa atau setelah sekian lama bergelumang
dengan perkara maksiat yang Allah tidak redha, maka hati akan merasa seakan satu
tarikan magnet untuk kembali kepada keadaan asal, iaitu keadaan yang suci dan
bersih daripada semua perkara noda tersebut.
Rontaan
untuk kembali kepada fitrah.
Selagi
tidak kembali, selagi itulah jiwa rasa gelisah dan segala benda yang dibuat pun
akan dihantui serba salah.
Seorang
pelajar yang malas dan suka melawan cakap guru, suka membantah cakap ibu bapa,
ada ketikanya dia akan merasa bersalah dan mahu berubah. Seorang remaja yang
hanyut dalam percintaan, keluar berduaan dan menghabiskan banyak masa untuk
cinta monyet mereka, ada ketikanya akan dilamar rasa bersalah dan mahu berubah.
Seorang pelaku maksiat yang suka meninggalkan solat, bercampur dengan golongan
yang rosak agamanya serta jauh dari kehidupan bermoral, ada ketikanya akan
disambar perasaan bersalah dan mahu berubah.
Jika
kita mengalami keadaan ini, atau melihat orang yang berada dalam keadaan ini,
suka diingatkan untuk janganlah kita menganggap refleksi itu sebagai ‘buang
tebiat’ sebaliknya hendaklah kita fahami dengan yakin, bahawa itulah sebenarnya
fitrah.
Suatu
rahsia Allah yang diciptakan khas serta ditanam jauh di lubuk hati manusia.
Pakaian
yang kotor akan menjadikan manusia gelisah. Pakaian yang bersih pula akan
menjadikan manusia merasa tenang dan tidak gundah.
Soalnya : Mudahkah Berubah?
Situasi 1 :
Dua
pasangan yang bercinta. Si wanita mahu tegas dalam menjaga perhubungan
sebaliknya si lelaki mengambil sikap sambil lewa. Selalu menelefon untuk
bercakap lama-lama dan seringkali mendesak untuk keluar bersama. Kerana rasa
cinta, si wanita terpaksa mengikut namun dalam masa yang sama tetap berusaha
menasihati si lelaki untuk berubah. Biarlah mereka bercinta kerana Allah dan
mengikut syariat, begitulah kira-kira ungkapan si wanita.
Dalam
pada berkeras dan tidak mahu peduli, satu masa timbul jua rasa kesedaran dalam
diri si lelaki untuk berubah. Dia mengakui sepanjang menjalin hubungan pun
jiwanya tidak tenteram, lantaran dia tahu hubungan tersebut bercanggah dengan
disiplin dalam syariat. Berdua-duan atau berpegangan tangan, keduanya tetap
haram.
Lantas
jiwanya terasa lunak untuk melakukan perubahan. Dia meyakini itu adalah
hidayah. Lalu dikhabarkan kepada si wanita bahawa dirinya mahu berubah, dan
disambut dengan ucapan tahniah penuh kegembiraan. Mereka berdua berazam untuk
meneruskan hubungan dengan mematuhi batas dan disiplin syariat.
Seminggu berlalu dengan baik. Si lelaki mula merasa tenang dan
mula merapati kawan-kawan yang baik lagi soleh. Majlis tazkirah menjadi rutin
lepak hariannya. Tiba-tiba masuk sms dari si wanita.
slm.awk esok sy keluar ke bazar ramadhan.boleh
tak awk temankan sy?
Berderau
darah si lelaki. Selama ini dia yang mengajak dan wanita tersebut pula ‘sangat
menjaga’ , namun hari ini si wanita pula yang mengajak dalam keadaan dirinya
yang mula mahu ‘menjaga’.
Justeru
dia terpaksa memilih antara dua.
Hati
kata ; jangan, engkau kan mahu berubah. Otak pula meningkah ; alah,
bolehlah..sekali saja.
Situasi 2 :
Dia
bukan seorang yang rajin belajar. Kesedaran untuk membina masa depan sangat
kurang. Teman-teman rapatnya pula tidak sepertinya. Mereka rajin dan sangat
berjaya. Masa mereka banyak depan buku, masa dia pula banyak depan komputer.
Sudah
banyak dinasihati, baik oleh keluarga mahupun teman sebaya, dia tetap berkeras
dengan sikap degilnya.
Suatu
ketika, hatinya disapa rasa insaf dan terdetik untuk berubah. Fikirnya, dia
banyak membuat benda yang sia-sia. Dengan kekuatan yang ada, dia bangkit mahu
berubah. Segala yang melalaikan dalam jadual hidupnya akan disingkir
habis-habisan. Dia mahu menyertai teman-temannya yang hidup mereka didominasi
kesedaran untuk bejaya.
Baru
dua hari dia membina azam dan menguatkan diri untuk berubah, tiba-tiba dia
melihat teman-temannya pula bermalas-malasan dan membuang masa. Leka dengan
internet bahkan temannya yang dikenali sebagai paling tegas dengan pelajaran,
kerap pula mengajaknya bermain bowling!
Lantas
dia berdepan dengan dua pilihan.
Hati
menjerit ; teruskan niat kau untuk berubah. Otak pula bertempik ; Ah sudahlah!
jangan hipokrit!
Hakikat Ujian
Saya
percaya, semua orang tentunya pernah mengalami situasi seperti di atas, cuma
mungkin dalam kondisi yang berbeza. Apapun, pokoknya tetap sama. Iaitu dalam
melakukan perubahan, perkara yang pastinya akan mendatangi anda adalah ujian
dan dugaan.
Pelakonnya
adalah Syaitan.
Makhluk
ini sejak dahulu lagi bersumpah di hadapan Allah ta’ala , bahawa dia akan
berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan anak Adam.
Semua
orang tahu bahawa hidup mereka berdepan dengan godaan daripada Syaitan, namun
tidak ramai yang sedar dan berjaga-jaga dengan bentuk godaan tersebut. Adakala,
Syaitan memang sangat cerdik dan licik dalam menipu kita. Dia tidak akan
menunjukkan secara terang-terangan bahawa dia mahu menipu kita, sebaliknya dia
menggunakan pelbagai taktik dan strategi yang bisa membuatkan kita binasa.
Contohnya
kita mahu solat. Syaitan akan melaksanakan plan A terlebih dahulu, iaitu
menghalang kita daripada solat. Dia memujuk kita supaya melewat-lewatkan solat
atau melalaikan kita dengan rancangan di televisyen. Jika taktik itu tidak
berjaya, dia akan terus ke plan B iaitu mengajak kita bersolat. Ya, dia akan
memujuk kita supaya solat di masjid atau surau dengan pelbagai pujukan yang
indah-indah, tetapi apabila kita pergi, disuntiknya pula dengan pujian-pujian
mazmumah supaya kita merasa riak, ujuk dan bangga diri dengan ibadah yang kita
lakukan.
Itu
liciknya Syaitan.
Demikian
juga dengan kita yang mahu berubah. Lebih-lebih lagi kalau kita berubah dengan
niat yang tidak betul, maka tersangatlah mudah untuk Syaitan menghancurkan keazaman
kita. Berubah kerana manusia, kerana merajuk, kerana kecil hati, kerana mahu
perhatian dan pelbagai bentuk ‘kerana’ yang lain di mana kesemuanya tidak
berpaksikan ‘kerana Allah’.
Berubahlah Kerana Allah
Justeru
orang yang mahu berubah, pertama sekali wajib dipasakkan dalam diri bahawa
perubahan itu adalah kerana Allah dan semata-mata mahukan keredhaanNya sahaja.
Sama sekali bukan kerana manusia atau material yang lain. Jika mahu berubah
meninggalkan maksiat atau mahu berubah menjadi baik – dengan niat kerana Allah,
maka sekalipun didatangi dengan godaan yang kita tidak sangka, maka kita tetap
akan bertahan dengan prinsip perubahan tersebut kerana niat asal kita adalah
kerana Allah.
Berawaslah,
kerana godaan Syaitan itu adakalanya tidak datang dalam bentuk yang kita duga.
Kadang-kadang, perkara duniawi yang kita sangat mahukan sebelum berubah ,
itulah yang akan mendatangi kita dengan mudahnya selepas kita berubah.
Ketika kita mengejar kenikmatan dunia, ia
lari dengan begitu pantas meninggalkan kita. Namun ketika kita berpaling mahu
mengejar akhirat, ketika itulah dunia itu pula berlari pantas mengejar kita.
Inilah
konsep yang harus kita fahami jika kita benar-benar mahu berubah, agar nantinya
kita tidak goyah dengan suntikan nikmat daripada Syaitan.