Pernahkah
anda berada di dalam situasi di mana anda diberikan satu tempoh masa untuk
melakukan sesuatu dan setelah tempoh itu habis, maka anda dilarang dari
melakukan perkara tersebut? Sekiranya perkara ini terjadi, maka apakah tindakan
yang akan anda lakukan?
Sebagai
contoh, anda diberi masa sebulan untuk menyiapkan sebuah kereta untuk satu
perlumbaan. Setelah tempoh sebulan berlalu, anda tidak dibenarkan lagi
melakukan apa-apa. Sudah tentu anda akan menggunakan masa sebulan itu dengan
sebaik mungkin untuk menyediakan kereta yang terbaik. Tayar terbaik digunakan,
minyak mencukupi dan berkualiti, badan kereta yang sesuai untuk berlumba dan
bermacam-macam lagi yang anda lakukan.
Berdasarkan
tajuk kali ini, pernahkah anda terfikir bahawa syaitan juga akan menggunakan
masa dan peluang yang ada dengan semaksima dan sebaik mungkin untuk persiapan
melalui bulan Ramadan?
Sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Daripada Rasulullah SAW:
“Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu
langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu
syaitan-syaitan” (riwayat Bukhari)
Berdasarkan mafhum hadis
ini, ketahuilah kita bahawa syaitan akan dibelenggu pada bulan Ramadan. Jadi sudah
tentu syaitan akan menghasut, mengerahkan segala usaha, menggunakan segala tipu
daya agar segala janji syaitan untuk menyesatkan manusia terlaksana walau dalam
keadaan mereka dibelenggu di bulan Ramadan.
Nafsu
manusia akan dilatih, disuap, dibelai dihidangkan dengan keseronokan dan
keasyikan agar di bulan Ramadan nanti, ia akan menjadi raja yang memerintah
manusia. Itulah yang sering terjadi. Walau di bulan Ramadan, masih ada
kerosakan dan maksiat yang dilakukan manusia.
Dengan
itu, ketahuilah kita bahawa masa atau fasa sebelum masuknya bulan Ramadan
adalah fasa dan waktu yang sangat kritikal. Ia akan menentukan keberjayaan dan
prestasi kita pada bulan Ramadan tersebut.
Sebagaimana
nabi kita Muhammad SAW mendidik kita dengan doa seperti yang diriwayatkan oleh
Anas RA bahawa Rasulullah SAW, apabila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah
berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadan – riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani.
Begitulah
antara isyarat-isyarat yang baginda tunjukkan kepada kita. Pentingnya
keberkatan dari Allah serta perlindungan dan rahmat-Nya pada fasa dan waktu
sebelum kita memasuki bulan Ramadan.
Jadi,bagaimanakah
caranya untuk kita persiapkan diri kita dalam tempoh waktu yang kritikal ini?
Apakah yang perlu kita lakukan?
Ada
beberapa perkara yang boleh kita lakukan antaranya:
1. Seperti
yang diajarkan oleh Rasulullah SAW hendaklah kita selalu berdoa “Ya Allah
berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadhan”. Kerana hanya dengan hidayah dan kasih sayang Allah sahaja yang mampu
menyelamatkan kita dari nafsu dan syaitan.
2. Bertaubat
yang benar. Agar hati kita bersih dari belenggu dosa dan nafsu yang
menyesatkan. Mudah bagi kita untuk melawan nafsu. Agar di bulan Ramadan, kita
seperti kain putih yang ingin dicorakkan dengan tarbiyyah Allah SWT.
3. Perbanyakkan
puasa sunat kerana ia mampu mendidik dan melatih nafsu kita. Mengawal diri kita
dari keinginan yang merosakkan. Puasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, puasa
Isnin dan Khamis. Jika ada puasa yang perlu diganti, maka bersegeralah
menggantikannya.
4. Perbanyakkan
berzikir dan membaca al-Quran. Agar waktu-waktu terluang kita diisi dengan
beribadah kepada Allah. Kerana jika tidak, sudah tentu kita akan mengisinya
dengan perkara yang sia-sia dan maksiat.
5. Menghidupkan
suasana di rumah dan di tempat-tempat yang selalu kita ada seperti di tempat
kerja dan juga di dalam kenderaan. Kita boleh menampal poster atau kad
berkaitan Ramadan,memasang lagu Ramadan, menghantar SMS dan kad ucapan Ramadan,
menanda kalendar agar kita sentiasa sedar akan kedatangan Ramadan dan bersedia
untuk menyambutnya.
6. Muhasabah
diri. Sekiranya dalam tempoh waktu yang kritikal ini kita masih lagi leka dan
alpa dengan perkara kemaksiatan dan perkara yang sia-sia seperti melihat
perkara yang haram, melayan movie yang tidak elok, bermain game 24
jam, mencarut, membuang masa, meringan-ringankan sembahyang, maka ketika itu
haruslah kita berhenti dan berazam meninggalkannya sebelum kita terlewat.
Kerana apabila kita sudah biasa melakukannya, maka kita akan terbiasa
melakukannya walau ketika bulan Ramadan.
7. Melatih
diri dari sekarang dengan bersedekah, qiamullail, berzikir, puasa sunat,
membaca quran, melawan perasaan malas.
8. Merancang
Ramadan anda. Kalau boleh sediakan borang atau senarai perkara-perkara yang
perlu dan ingin dicapai di bulan Ramadan. Seperti sasaran berapa kali hendak
khatam, solat fardhu jemaah di masjid, qiamullail, sedekah dan lain-lain.
Itulah
serba sedikit perkongsian persediaan-persediaan yang lebih utama kita lakukan
dalam tempoh kritikal sebelum kita menyambut Ramadhan.
Rugilah
bagi sesiapa yang melalui Ramadhan dan Allah tidak mengampunkan dosanya.