Bila ku sedari, Diri disayangi
Langkah kaki ini, Semakin berani
Bila terkeliru, Ku ucap namamu
Terasa diriku, Semakin dipandu
Engkau yang pertama, Tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan, Engkaulah cahaya
Izinkanlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayangmu
Ku berserah diri
Sungguh.
Kehadiran seorang insan yang dianggap memahami, mengambil berat dan menenangkan
jiwa bisa menjadikan manusia terbang jauh ke sebuah dunia yang cukup indah. Dunia
yang menjadikan hidup ini terasa tiada sesiapa, melainkan dua jiwa itu sahaja.
Tiada apa-apa peraturan mahupun sempadan yang membataskan segala pergerakan dan
perbuatan.
Segalanya
indah.
Ramai
orang terbang ke dunia itu. Berlarian di tamannya. Bergurau senda di tepian
tasik. Membilang kata cinta dengan iringan merdu kicauan sang burung. Sesiapa
jua, apabila tiba di sana, terasa bagaikan tidak mahu pulang dan mahu selamanya
mengabdikan dirinya di sana.
Dan
dunia itu, ramai orang menamakannya sebagai ‘cinta’.
TARGET UTAMA
Muslim
yang Mukmin, nafasnya di atas muka dunia ini hanya dengan satu tujuan sahaja.
Iaitu menyerahkan segenap jiwa dan raganya kepada Sang Pencipta. Memastikan
setiap detik dari hayatnya diabdikan sebaik mungkin kepada Sang Penguasa
bernama Allah.
Dalam
hatinya terkandung perasaan cinta yang tebal sesama manusia, tetapi selepas
dicurahkan sehabis mungkin kepada Allah ta’ala.
Ini
kerana dia memahami, bahawa kasih sayang yang dipinjamkan kepadanya, harus
diabadikan terlebih dahulu kepada Allah dan Rasul-Nya. Selepas itu, barulah
sesama manusia. Firman Allah ta’ala :
Dan orang-orang beriman itu, sangat hebat
cinta mereka kepada Allah.
Di
dalam sebuah hadith Nabi s.a.w menyebut tentang tiga golongan yang berjaya
mengecapi kemanisan iman, di mana dua daripadanya adalah :
1- Mereka-mereka yang menjadikan Allah
dan Rasul sebagai pemilik CINTA yang paling tinggi melebihi sekalian makhluk
yang lain.
2- Mereka-mereka yang sekiranya mencintai
seseorang, dia hanya akan mencintai kerana Allah ta’ala.
Tiada
siapa dapat menafikan bahawa perkataan ‘cinta’ itu berkait rapat dengan iman
seseorang hamba kepada Allah dan RasulNya. Mencintai manusia yang lain melebihi
daripada cinta kepada Allah dan kasih kepada Rasul, samalah ertinya dengan
menjadikan tanah jiwa kering kontang dari baja dan siraman keimanan.
PELBAGAI MADAH CINTA
Lirik
yang saya tulis di atas mungkin hanya satu dari ribuan kata dan madah manusia
dalam bercinta. Tidak hairan, sampai ke satu tahap manusia sanggup melakukan
apa sahaja demi cintanya kepada manusia yang lain, tetapi dia tidak sanggup
melakukan perkara tersebut demi cintanya kepada Allah.
Ucapan
juga begitu.
Manusia
malu untuk menyebut bait-bait cinta dalam doanya di sepertiga malam. Manusia
malu untuk mengucapkan lafaz cinta, kasih dan sayang serta hamburan kerinduan
kepada Nabi s.a.w. Namun untuk mengucapkannya kepada kekasih hati, ia suatu
yang sungguh menyeronokkan. Bahkan pada sebahagian besar manusia, ucapan kepada
pasangan itu dianggap lebih romantik dan membahagiakan.
Demikian
juga dengan pengorbanan. Masa, tenaga dan wang ringgit.
Untuk
kekasih hati, nyatakan apa sahaja pasti akan dipenuhi. Berhabis puluhan ringgit
untuk makan tengahari bersama kekasih hati jauh lebih ringan berbanding
memasukkan lima ringgit ke dalam tabung masjid.
Menjawab
panggilan telefon dari kekasih hati dalam keadaan sibuk mahupun mengantuk jauh
lebih ringan berbanding menyahut seruan Allah di kala sibuk dan mengantuk.
DISKRIMINASI CINTA
Situasi
satu :
Seronok melayan internet dan menonton
video di Youtube. Sedar tak sedar, waktu zohor hampir ke hujung. Setengah jam
lagi masuk waktu asar. Astaghfirullah, aku belum solat. Lantas bergegas
bangkit. Tiba-tiba buah hati menegur di chat facebook. Ok sekejap, layankan
dulu, nanti boleh minta masa untuk solat. Kebetulan si dia sedang bersedih, ada
masalah. Berjela-jela mengadu gundah. Apa terjadi? Waktu solat makin sempit,
hendak ditinggalkan tak sampai hati. Akhirnya hati kekasih lebih utama dipilih
berbanding seruan Allah yang semakin larut.
Situasi
dua :
Ok selamat malam, esok saya kejut
tahajud. Mesej dihantar, dan keduanya tersenyum simpul di dua lokasi berbeza.
Menjelang sepertiga malam, mula berbalas missed call. Kemudian bangun,
mengambil wudhuk dan solat dua rakaat. Lama kelamaan, terasa seronok. ‘Nikmat’
bertahajud sebelum ini amat berlainan dengan sekarang. Dahulu terasa ‘sepi’,
sekarang rasa ‘berteman’. Akhirnya munajat bukan lagi kepada Tuhan, tetapi
dipenuhi dengan kerinduan dan angan-angan sesama insan. ‘Kebahagiaan’ yang
terbawa-bawa dalam sembahyang.
MENGIKAT JIWA DENGAN CINTA
Semua
itu berlaku disebabkan lalainya manusia dari mengawasi hati mereka dalam
bercinta. Mereka bermain-main di perigi buta yang tidak berpagar. Akhirnya
terjatuh ke lembah yang dalam.
Prasyarat
yang paling asas dalam bercinta tidak dipraktikkan, iaitu mengikat jiwa dengan
CINTA Yang Esa sebelum bercinta.
Akibatnya
sangat buruk. Manusia bisa menjadi ibarat layang-layang putus tali. Bertemu
angin lembut, seronoklah ia. Bertemu ribut taufan, hancur leburlah ia.
Lalu
lahirlah pelbagai ucapan yang selayaknya diutamakan kepada Yang Esa, tetapi
disandarkan kepada manusia. Banyak sekali lirik kata dan madah pujangga manusia
yang bersifat memuja sesama manusia. Mereka memuja cinta bagaikan tiada iman
dalam jiwa.
Mereka
meletakkan paksi bahawa dunia ini akan gelap, andainya tiada cinta dari si dia.
Bahkan sebenarnya dunia ini memang akan gelap, andainya tiada CINTA dari DIA.
Mereka
meletakkan nyawa mereka pada tangan si dia, walhal nyawa mereka kepunyaan Yang
Esa.
Mereka
menjadikan si dia sebagai pelindung dan pemberi ketenangan, sedangkan semua itu
hanya layak disandarkan kepada DIA.
Kesemua
ini memberi kesan kepada jiwa dan cara manusia berfikir. Mereka gagal melihat
Allah dalam hidup mereka, sebaliknya di mata mereka hanya ada kelibat manusia
yang lemah tiada kuasa. Kemabukan ini membawa kepada pelbagai musibah dan bala,
atas nama ‘pengorbanan’ dan ‘kasih sayang’.
Namun,
ketika layang-layang tadi dirobekkan oleh ribut kencang dan dipanah tajam oleh
sang petir, jatuh terduduklah ia dan gelap gelitalah dunianya.
Di
mana Allah ketika itu?
Tiada.
Apabila putus cinta, dia meraung derita. Walhal dia telah sekian lama menderita
kerana putus CINTA.
Bunuh
diri.
Gila.
Sakit
jiwa.
Semuanya
adalah bahana bercinta tanpa akidah CINTA yang betul.
SYAHADAH
Ajaklah
hatimu untuk bercinta, raikan fitrahmu demi sebuah cinta, namun jangan sesekali
kau lupa, ajak dan didik hatimu untuk CINTANYA yang lebih utama. Raikan jiwamu
yang sebenarnya tandus dan bisa mati tanpa CINTA dariNya.
Kembali
menghayati syahadahmu saban waktu.
Pastikan
Allah dan Rasul tetap utuh sebagai pemilik CINTA nombor satu, biar di mana
sekalipun engkau berada, pasti dan pasti engkau akan selamat dalam sebuah
Akidah Cinta.
Semoga
Allah memberi hidayahNya.