Followers

Thursday, October 25

Romantik : Impian Dan Kegagalan

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 7:50 PM 0 comments



Cinta adalah suatu ungkapan yang cukup mudah disebut. Hari ini, mana ada bumi yang dipijak tanpa didengar kalimah cinta. Itulah anugerah Allah kepada manusia, sebagai anugerah yang paling istimewa. Tunjang kepada erti sebuah kehidupan.
Namun untuk bercinta, itu tidak semudah mengungkap kalimahnya. Untuk menyemarakkan cinta, itu tidak seringkas menyebut namanya. Kalau dikhabarkan kepada orang bahawa cinta itu susah dipraktikkan, tentu ramai orang yang tidak akan percaya.
Apatah lagi bila kita memperjuangkan ‘ cinta selepas nikah’ sebagai Cinta Hakikat, bukan Cinta Plastik semata-mata.
KOMUNIKASI
Apabila saya menyebut bahawa ramai lelaki tidak romantik, sebenarnya ia bukanlah semata-mata telahan saya. Sebaliknya ia adalah rumusan dari beberapa kajian sedia ada. Lelaki yang tidak romantik dan tidak pandai untuk menjadi romantik memang wujud dalam dunia kita hari ini.
Dan apabila saya memilih untuk bercakap tentang tajuk ini, hakikatnya saya sedang membuka perbincangan dan meluaskan sudut pandang kita tentang isu komunikasi, terutamanya komunikasi alam rumahtangga.
Penyatuan jiwa antara dua insan ditentukan kebahagiaannya oleh faktor komunikasi. Bagaimana kedua insan tersebut berhubung. Bagaimana lelaki memahami wanita dan menggabungkan hidupnya dengan wanita tersebut serta bagaimana wanita memahami lelaki dan menggabungkan hidupnya dengan lelaki tersebut.
Romantik adalah salah satu dari isu komunikasi. Lelaki yang tidak romantik atau tidak pandai bersikap romantik, sebenarnya adalah lelaki yang gagal dalam komunikasi mereka dengan wanita.

ROMANTIK ITU BAGAIMANA
Sukar mendefinisikan romantik kerana ianya sangat subjektif. Namun ia sering dikaitkan dengan soal kejiwaan dan dipraktikkan pula secara meluas oleh anak muda yang sedang asyik meneroka erti cinta. Pokoknya, romantik adalah soal bagaimana seorang lelaki menghidupkan komunikasi cemerlang dengan pasangannya, menghidupkan tautan jiwa sepanjang masa dan merancakkan proses menyulam cinta antara mereka.
Ini dicontohkan oleh idola agung kita, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Di dalam banyak hadith, diriwayatkan betapa hebatnya komunikasi Baginda s.a.w dengan para isteri. Ada hadith yang menceritakan tentang ringannya tulang Baginda membantu para isteri. Ada hadith menceritakan tentang lunaknya Baginda dalam memanggil nama isteri, bahkan dengan panggilan yang cukup istimewa. Ada juga hadith menceritakan romantiknya Baginda yang mandi bersama dan minum pula dari bekas yang sama dengan isteri.
Barat ternyata lebih bijak mencedok qudwah tersebut, meskipun akhirnya diterjemahkan dalam layar jahiliah.
Kita sering melihat bagaimana barat menggambarkan romantik dalam filem-filem mereka. Ada babak lelaki bangun dan menarik kerusi untuk teman wanitanya. Ada babak lelaki dan wanita yang sedang bercinta minum dalam gelas yang sama dengan satu straw. Ada babak lelaki menggenggam tangan teman wanitanya dan memandang tepat ke anak mata ketika berbicara. Semua ini dipotretkan kepada kita sebagai bentuk-bentuk perilaku romantik yang seharusnya dibuat oleh seorang lelaki kepada kekasihnya.
Hakikatnya, sumber yang diambil tetap sama iaitu kehidupan bercinta Baginda s.a.w. Cuma diselewengkan dari sudut praktikalnya sahaja. Bukankah kita melihat dalam hadith di mana Nabi s.a.w meminum dari gelas yang sama dengan isterinya, bahkan dari bekas bibir yang sama? Itu sebenarnya suatu perilaku paling romantik dari seorang lelaki kepada wanita.

BEBERAPA KESILAPAN
Malangnya, umat Islam sangat samar dalam meneliti qudwah yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dalam hal seperti ini. Tidak kurang juga ramai yang menganggapnya sebagai remeh. Mereka hanya bersemangat mengikut contoh Nabi s.a.w dalam perihal solat dan puasa, namun sangat terkebelakang dalam mengikut contoh Nabi s.a.w bersabit perihal komunikasi dan muamalat.
Ada juga segelintir lelaki Muslim yang gagal membezakan antara konsep islamiah dengan karat jahiliah.
Sebagai contoh, dalam soal berlaku romantik. Perilaku romantik itu sendiri dek kerana banyak dibaca dan ditonton dari kacamata barat, maka kesemuanya ditolak atas nama ‘cinta yang tidak syar’ie’. Kelunakan seorang lelaki dengan teman wanitanya dipandang sebagai dosa. Kehalusan seorang lelaki dalam membuai jiwa teman wanitanya dipandang sebagai maksiat. Apa yang ditanam dalam kepala hanya satu ; mengejar cinta bersyariat iaitu cinta selepas nikah. Bagaimana rupa cinta, apa itu cinta, kaedah dalam bercinta, komunikasi sebuah cinta dan seribu satu hal berkait cinta sebolehnya tidak mahu didengar melainkan selepas kahwin semata-mata.
Say NO to couple. Say NO to cinta sebelum nikah.
Kebaikannya ada, namun dari satu sudut mereka buta dalam membeza sekaligus menjadikan mereka mengambil sikap ‘pukul sama rata’. Walhal, Ibn Qayyim seorang ulamak yang hebat pernah menyebut : Di mana sahaja kamu menemui kebaikan ( kemaslahatan, kecantikan, keindahan ) maka itulah syariat Allah.
Seorang lelaki yang menzahirkan perhatian, cinta serta kasih sayang sebegitu rupa kepada seorang wanita, sehingga wanita tersebut merasa dihargai, disayangi dan dilindungi, maka itu hakikatnya adalah salah satu kelopak dari bunga Islam. Cuma, barat menggabungkan keindahan tersebut dengan budaya berpasangan secara bebas tanpa nikah, yang mana itu adalah praktikaliti yang salah. Adapun konsep romantik yang ditunjukkan, maka sewajarnya diambil sebaik mungkin untuk dimanfaatkan dalam rumahtangga.
Kita sedih apabila ramai lelaki Muslim tidak menganggap romantik itu suatu perkara penting dalam bercinta sebaliknya memandang ia sebagai hal remeh temeh semata-mata. Fikiran seperti ini biasanya muncul kerana budaya malas membaca, malas menimba pengalaman dan bersikap ‘bodoh sombong’ dalam kehidupan berumahtangga.

ROMANTIK IMPIAN YANG BUKAN MUDAH
Sebab itu di awal entri ini saya menyebut, mempraktikkan cinta itu bukan suatu hal yang mudah. Ini kerana di sana ada golongan yang memperjuangkan ‘ cinta selepas kahwin ‘ tetapi langsung tidak tahu bagaimana untuk bercinta selepas kahwin. Akibatnya, lahirlah ramai pasangan yang berjaya berkahwin tanpa cinta tetapi gagal bercinta selepas kahwin.
Menjadi lelaki yang romantik bukan mudah. Sebab itulah ia bernilai IBADAH.
Ada orang hairan, mengapa pasangan yang suka bercouple kelihatan lebih romantik berbanding pasangan yang berkahwin secara sah. Mereka hairan mengapa bercinta sebelum kahwin lebih romantik daripada bercinta selepas kahwin.
Ada banyak sebab, antara sebab utamanya adalah peranan Syaitan. Makhluk terlaknat ini hanya akan mengusahakan dua benda. Pertama, jika pasangan ini bercinta sebelum kahwin maka akan dicampakkan kemanisan ‘cinta’ kepada mereka sehingga berzina. Kedua, jika pasangan ini mahu bercinta selepas kahwin maka akan dicampakkan kejemuan untuk bercinta kepada mereka sehingga terasa bosan dan tawar untuk bercinta.
Ini diakui oleh Allah ta’ala dalam firmanNya :
” Dan Syaitan menghiasi amal perbuatan mereka sehingga mereka tersimpang dari jalan kebenaran dan mereka tidak diberi petunjuk ”
Di tengah-tengah impian besar seorang wanita untuk mendapat seorang suami yang romantik, betapa ramai daripada mereka terpaksa ‘pasrah’ apabila suami mereka tidak pandai menjadi seperti itu. Bila bergurau terasa kaku. Bila bercakap terasa sehala. Bila berdua terasa keseorangan jua.
Ramai lelaki Muslim tidak tahu bahawa menjadi romantik bukan perkara teknikal, seumpama memberikan nafkah atau belanjawan setiap bulan. Sebaliknya ia adalah perkara kejiwaan yang sangat dititikberatkan oleh Islam. Bahkan, betapa ramai yang masih memandang frasa ‘nafkah batin’ sebagai hubungan seksual semata-mata?
Sedangkan Allah ta’ala berfirman :
” Dan bergaullah ( berkomunikasilah ) dengan mereka menggunakan cara ( method ) yang paling baik “.
Para ulamak menyebut tentang nafkah batin bahawa ianya bukanlah soal melempiaskan nafsu seksual semata-mata, bahkan bersifat pergaulan yang baik, komunikasi yang cemerlang, pandai mengambil hati, memujuk dan memanjakan serta memberikan tarbiyah agama secukupnya kepada mereka.
Ini disokong pula oleh kajian para ahli psikologi yang menyebut beberapa fakta tentang komunikasi suami isteri, antaranya : ” Wanita atau isteri mahu dirinya dipeluk oleh suami tidak kurang dari lapan kali sehari, iaitu pelukan yang bukan bersifat rangsangan seksual.”
Nah. Dengan sedemikian banyak dalil dan hujah pun, rupanya masih ramai lelaki yang egoistik serta tidak menganggap ‘kejahilan’ mereka dalam bersikap romantik sebagai satu masalah. Bukankah ini suatu perkara yang malang pada mereka dan kasihan pada si wanita?

KESIMPULAN
Romantik itu sunnah. Itu perkara pertama yang harus kita ingat. Teliti kembali sirah dan hadith, kerana teladan yang ditinggalkan Nabi s.a.w sebenarnya ada faedah yang sangat besar untuk dipraktikkan dan bukannya sekadar ‘bed story‘.
Romantik itu susah. Memandang anak mata isteri ketika bercakap, memanggilnya dengan panggilan istimewa lagi lunak, mengucup dahinya saat dia penat atau memuji usahanya dengan kata-kata indah, kesemua ini hakikatnya cukup susah dipraktikkan pada pasangan ‘halal’ berbanding yang ‘haram’ di sisi syarak.
Romantik itu ibadah. Jangan jadikan wanita sebagai nombor dua dalam rumahtangga, sebaliknya jadikan dirinya bersama dengan kita di nombor pertama meskipun peranan berbeza. Biasakan diri menghargai wanita dan jangan ‘dibisukan’ mereka atau ‘dimatikan’ personaliti mereka atas nama ‘patuh dan taat’ semata-mata. Bertolak ansur dan berlemah lembut serta menyemarakkan cinta dalam perlakuan saban hari, itu sebenarnya adalah IBADAH.
Meskipun artikel saya tentang romantik ini tidak mampu mensegala-galakannya, namun setidak-tidaknya biarlah ia menjadi bacaan berguna kepada kita. Meskipun teori dan praktikal jarang-jarang sama, namun sekurang-kurangnya mengajak kita berubah atau bersedia dalam proses membina bahagia.
Kerana di akhirnya saya tetap percaya, maksud sebenar artikel ini hanya akan difahami setelah anda berumahtangga.

Continue...


Monday, October 22

Jauhi Cinta Palsu

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 8:19 PM 0 comments


USIA remaja adalah musim cinta berbunga. JadI salah satu fenomena remaja adalah menjadi pencari cinta dan mahu dicintai.
Rata-rata kita dapati remaja bercinta, ada yang selamat menaiki bahtera rumah tangga malah ada juga yang karam, tenggelam dan hanyut ditelan arus cinta ganas. 
Cinta sebenarnya satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Ia juga makhluk tidak bernyawa dan tidak berjisim, tidak berjirim, tidak punya rupa dan fizikal.

Tetapi ia ajaib dan berkuasa. Ia menjalar dalam jiwa dan menggetarkan rasa.
Cinta adalah biasan daripada Penciptanya Yang Maha Pencinta. Ia dibiaskan kepada segala ciptaan-Nya supaya mereka dapat hidup dalam cinta, kasih sayang dan aman bahagia. 
Cinta dan permasalahannya menjadi perkara serius yang dihadapi umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta palsu menyebabkan golongan remaja menghadapi dilema perasaan yang kronik.

Krisis cinta palsu menyebabkan remaja memusnahkan etika spiritual membunuh solidariti dan menodai sosial hingga ada yang sanggup membunuh serta membunuh diri akibat tekanan perasaan yang sukar dikawal.

Menguruskan cinta satu perkara yang amat sulit, apatah lagi kalau cinta yang didambakan itu bersalut dengan cinta nafsu, sekadar cinta monyet atau cinta sekadar untuk berseronok saja.

Apa lagi kalau cinta yang tidak ada ‘pakej’ ketuhanan dan keredaan Yang Maha Pencinta. Cinta sejati adalah seperti cinta Allah kepada hamba-Nya dan cinta Rasulullah kepada umatnya hingga yang diinginkan Allah daripada hamba-Nya hanyalah kebaikan, kesempurnaan, kemuliaan dengan membenci segala kemungkaran serta kejahatan.

Seorang Muslim tidak mengenal cinta monyet, cinta buta, cinta dusta, cinta palsu dan cinta bodoh. Ia hanya mengenal cinta suci mulia yang penuh kearifan dan kesedaran yang melahirkan cinta kepada Allah serta Rasul-Nya.

Satu ketika, seorang Arab Badwi menghadap Nabi dan bertanyakan perihal datangnya kiamat, lalu beliau balik bertanya: “Apa yang kau persiapkan?” Ia menjawab: “Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.” Beliau menyahut: “Engkau bersama siapa yang kau cintai” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah menjadi ‘penyaring’ berkenaan baik buruk, sekali gus ukuran dalam mencintai sesuatu. Dengan demikian, cinta yang tulus kerana Allah yang boleh bertahan sementara cinta bermotif lain pasti cepat berubah, bersifat sementara dan membuahkan penyesalan.

Sedikit panduan kepada mereka yang ingin dan tengah meredah samudera cinta supaya lebih berhati-hati supaya mendapat cinta yang diredhai Allah:
  • Jaga jangan sampai berkhalwat dan berdua-duaan kerana sabda Rasulullah: “Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan menjadi orang ketiga. Perlu juga diketahui bahawa khalwat itu bukan pada fizikal saja, tetapi juga pada hati, malah khalwat hati itu lebih terdahulu bermula kerana setiap perbuatan dan perkataan adalah hasil dari ilham hati. Khalwat jasadi (badan) hadir setelah khalwat qalbi (hati).

  • Jangan saling mengurat dan menggoda dengan bertentang mata nafsu. Bukan tak boleh tengok pasangan tapi merenung yang diikuti dengan nafsu bakal diiringi panahan syaitan.

    Seperti sabda nabi: “Pandangan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya” (Hadis riwayat at-Tabrani dan al-Hakim).

  • Jaga jangan sampai bersentuhan, tangan dan badan bergesel-gesel nanti menaikkan nafsu syahwat. Besarnya dosa bersentuhan seperti sabda Rasulullah:
    “Jika kepala kamu ditikam dengan besi, itu lebih baik daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal untuk kamu” (Hadis riwayat at Tabrani dan al Baihaqi).

  • Tidak terlalu bebas hingga menjadi pendorong kepada perbuatan zina. Surah al-Israk ayat 32 menyatakan: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”

    Berusaha menutup aurat dan menyembunyikan perhiasan serta dan kecantikan.
    Malah, bertunang juga bukan tiket untuk menghalalkan segalanya dalam perhubungan.
  • Continue...