Followers

Tuesday, July 16

Hamba Allah Atau Kita Menjadi Perhambaan?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 3:01 PM 0 comments

Istilah hamba adalah label paling rendah dalam hidup manusia. Hamba difahami sebagai golongan yang tidak memiliki diri sendiri serta melakukan segala perkara untuk orang lain. Tiada ruang untuk merasa bahagia apatah lagi untuk rasa dihargai. Segala apa yang dilakukan dengan sepenuh masa dan tenaga, hanyalah semata-mata untuk beroleh keredhaan daripada bos besarnya sahaja. Sesiapa pun, sudah tentu tidak mahu menjadi hamba mahupun dianggap sebagai hamba.
Namun sebenarnya, dalam kehidupan manusia di dunia ini, mereka sebenarnya telah pun menjadi hamba dalam beberapa kategori.
Hamba nafsu, hamba seks, hamba wang ringgit, hamba wanita dan pelbagai jenis perhambaan yang lain. Cuba kita lihat, apakah kondisi serta halatuju kesemua perhambaan tersebut :

Hamba nafsu, hamba seks

Apa yang dicari dalam hidupnya setiap hari hanya kepuasan nafsu dan seksual semata-mata. Akal serta kekuatan fizikal yang ada padanya dipusatkan semaksima mungkin untuk memastikan nafsunya kenyang dan kehendak seksualnya tertunai. Ini termasuklah dengan menjebakkan diri dalam hubungan seks bebas, mengunjungi pusat-pusat pelacuran, menonton video-video lucah, melakukan onani serta hanyut dalam dunia imaginasi penuh fantasi. Sekiranya kehendak seksual dan tuntutan nafsunya tidak terlaksana, maka dirinya akan kelihatan tidak keruan. Otaknya bercelaru, fokusnya terganggu dan pekerjaannya tidak menentu.
Apabila kehendak nafsu dan seks itu tertunai, maka dia merasa lega dan tenang untuk seketika. Itulah ‘redha’ dari ‘tuan’ yang dijanjikan. Penipuan berpanjangan yang tiada kesudahan. Si pelaku ataupun hamba nafsu seks itu sebenarnya mahukan kehendaknya itu ‘redha’ ke atas dirinya, dengan makna, apabila dia buat maka dia akan terlepas dari belenggu serabut ataupun tekanan dan beralih kepada dunia yang penuh ketenangan. Sayangnya, ia cuma seketika. Nafsu itu akan terus membuas dengan pelbagai tuntutan dan permintaan yang seterusnya. Dan pelakunya, akan terus menerus mengikut dan mengikut tanpa bertemu dengan noktah ‘keredhaan’ yang diimpikannya.
Orang cerdik, orang alim, orang faham agama atupun tidak, kesemua mungkin sahaja termasuk dalam golongan ini. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran :
” Tidakkah kamu melihat golongan-golongan yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai tuhan, dan Allah menyesatkan mereka dalam keadaan mereka tahu ( ada ilmu ) dan Allah menutup pendengaran serta pintu hatinya, dan Allah menjadikan penghalang ke atas penglihatan mereka. Maka siapakah lagi yang boleh memberi hidayah selain daripada Allah? “

Hamba wang ringgit

Hidupnya setiap hari hanya dengan tujuan yang satu, iaitu duit. Kerana itu, dari celik mata sehingga pejam mata, hanya duit yang difikirkannya. Turun seawal pagi ke pejabat dan balik lewat malam tidak menjadi beban kepadanya, asalkan duit mencurah masuk setiap bulan. Namun untuk urusan solat ataupun membaca Al-Quran, ataupun meluangkan masa antara maghrib dan isyak untuk mendengar kuliah di masjid, kesemua itu menjadi bebanan yang sangat besar kepada mereka. Turun seawal pagi demi mengelak kesesakan lalulintas, maka solat subuh tidak lagi dianggap penting. Balik petang sampai malam, solat asar dan maghrib tidak lagi dianggap penting. Jika hari jumaat, urusan dengan client lebih penting berbanding solat jumaat.
Apa yang dicari adalah ‘keredhaan’ daripada wang ringgit. Dengan makna, apabila kaya raya, hati akan jadi senang dan hidup akan jadi tenang. Segala yang dihajati akan tertunai dengan mudah. Maka dia tidak kisah berhabis masa dan tenaga demi wang ringgit. Soalnya, adakah perhambaannya kepada duit itu mencapai matlamat yang diimpikan?
Tidak. Bekerja bagai nak gila, berkursus sini sana, pulangan gaji tetap cukup-cukup makan. Untuk merasa mewah jauh sekali. Makin dikerah diri untuk meraih wang ringgit, makin sedikit pula rezeki yang diperolehi. Apa yang diperolehi tetapi dirasakan tidak mencukupi.
Bagi yang kaya raya pula, matlamat perhambaan itu tetap tidak tercapai. Sangkanya, hidup akan senang, hati akan tenang. Rupanya setiap malam tidak dapat melelapkan mata, gara-gara memikirkan wang bertimbun dalam simpanan. Harta melimpah ruah, tetapi kerana tiada keberkatan, hati gundah gulana sepanjang malam dan siang. Lalu perhambaannya kepada wang ringgi tidak bertemu dengan apa yang diimpikan.

Hamba wanita

Segala yang si wanita mahu, akan sedaya upaya ditunaikan. Samada kehendak itu syarie ataupun tidak, bukan lagi persoalan. Apa yang penting, hati si wanita adalah keutamaan. Dia sanggup melutut bersujud semata-mata mahukan kasih sayang dari si wanita. Dia sanggup berhabis beribu bahkan berjuta, semata-mata mahukan keredhaan si wanita. Dalam hidupnya setiap hari, hanya si wanita fokus utama. Sangkanya, perhambaan itu akan menjamin kebahagiaan.
Rupanya tidak. Dia lupa kepada pemilik segala hati manusia itu adalah Allah. Pencetus kasih sayang dan penyatu sekalian hati manusia itu adalah Allah. Tetapi kehendak Allah diketepikan, kemahuan si wanita diutamakan. Samada si wanita itu kekasih ataupun isteri, hambanya akan memastikan segala impian si wanita tercapai. Biarpun terpaksa melanggar hukum Allah atau mengambil hak manusia yang lain.
Namun ‘keredhaan’ yang diimpikan itu tetap tidak kunjung datang. Makin lama, si wanita makin besar kepala, dan dia terus menjadi hamba. Ketika si wanita ada kemahuan, nampaklah sedikit kasih sayang. Tetapi ketika kehendaknya sudah tertunai, telinga hanya mampu menahan seranah dan cacian. Demi apa? Demi sebuah perhambaan kepada insan.
Mudahnya, kesemua perhambaan di atas adalah simptom daripada perhambaan seorang manusia kepada syaitan. Makhluk terlaknat itu tidak pernah jemu dalam mengajak manusia menyertai golongan hamba yang tidak taat kepada Tuhan. Namun di akhirat kelak, Syaitan itulah yang akan berlepas tangan dengan mudahnya bahkan mengejek pula golongan manusia yang telah berjaya diperdaya.

Hakikat Perhambaan : Hamba Allah

Berbeza dengan kesemua jenis perhambaan di atas, menjadi hamba Allah menjadikan seseorang itu bertambah mulia dan jauh dari kehinaan. Hidupnya sehari-hari hanya dipusatkan untuk Allah. Dari celik mata sehingga pejam mata, segalanya untuk Allah. Dia hanya mengambil dunia sekadar keperluannya sahaja, dan melebihkan akhirat sehingga orang menyangka dia gila.
Dalam apa yang dia sangat mahu, tetapi Allah larang, dia bermati-matian menjauhkan diri. Dalam apa yang dia sangat tidak mahu, tetapi Allah suruh, dia bermati-matian akan melaksanakan. Segalanya, hanya kerana hakikat dirinya selaku hamba. Dia merasa betapa tidak layaknya diri sebagai manusia yang diciptakan untuk membantah suruhan daripada Tuan yang menciptakan.
Perhambaan ini, matlamatnya adalah sebuah keredhaan. Dan dia benar-benar mencapai matlamat tersebut. Hidupnya biar miskin, tetapi bahagia. Tidak terkenal di kalangan manusia, tetapi masyhur di langit sana.  Dia tidak mulia kerana pangkat mahupun harta, tetapi dipandang mulia kerana kecantikan agama dalam dirinya.
Semuanya adalah pancaran daripada nilai perhambaan yang tulus ikhlas kepada Tuhan. Sesiapa yang merendahkan dirinya di hadapan Allah, nescaya Allah akan mengangkat dirinya di hadapan manusia.

Hamba Ramadhan

Ini suatu lagi istilah yang agak masyhur di bulan Ramadhan. Beribadah hanya kerana Ramadhan dan hanya di bulan Ramadhan, selesai Ramadhan, selesailah sesi ibadah dan kebaikan. Memanglah Ramadhan itu lebih istimewa daripada bulan-bulan yang lain, namun kita perlulah sedar, bahawa kita sedang menjadi hamba kepada Allah dan bukannya kepada bulan.
Justeru, istiqamahlah dalam melaksanakan ketaatan. Semoga kita benar-benar tergolong dalam golongan hamba kepada Ar-Rahman.
Jadi nilaian di sini kita hamba yang mana?
Continue...