Istilah
hamba adalah label paling rendah dalam hidup manusia. Hamba difahami sebagai
golongan yang tidak memiliki diri sendiri serta melakukan segala perkara untuk
orang lain. Tiada ruang untuk merasa bahagia apatah lagi untuk rasa dihargai.
Segala apa yang dilakukan dengan sepenuh masa dan tenaga, hanyalah semata-mata
untuk beroleh keredhaan daripada bos besarnya sahaja. Sesiapa pun, sudah tentu
tidak mahu menjadi hamba mahupun dianggap sebagai hamba.
Namun
sebenarnya, dalam kehidupan manusia di dunia ini, mereka sebenarnya telah pun
menjadi hamba dalam beberapa kategori.
Hamba
nafsu, hamba seks, hamba wang ringgit, hamba wanita dan pelbagai jenis
perhambaan yang lain. Cuba kita lihat, apakah kondisi serta halatuju kesemua
perhambaan tersebut :
Hamba nafsu, hamba seks
Apa
yang dicari dalam hidupnya setiap hari hanya kepuasan nafsu dan seksual
semata-mata. Akal serta kekuatan fizikal yang ada padanya dipusatkan semaksima
mungkin untuk memastikan nafsunya kenyang dan kehendak seksualnya tertunai. Ini
termasuklah dengan menjebakkan diri dalam hubungan seks bebas, mengunjungi
pusat-pusat pelacuran, menonton video-video lucah, melakukan onani serta hanyut
dalam dunia imaginasi penuh fantasi. Sekiranya kehendak seksual dan tuntutan
nafsunya tidak terlaksana, maka dirinya akan kelihatan tidak keruan. Otaknya
bercelaru, fokusnya terganggu dan pekerjaannya tidak menentu.
Apabila
kehendak nafsu dan seks itu tertunai, maka dia merasa lega dan tenang untuk
seketika. Itulah ‘redha’ dari ‘tuan’ yang dijanjikan. Penipuan berpanjangan
yang tiada kesudahan. Si pelaku ataupun hamba nafsu seks itu sebenarnya mahukan
kehendaknya itu ‘redha’ ke atas dirinya, dengan makna, apabila dia buat maka
dia akan terlepas dari belenggu serabut ataupun tekanan dan beralih kepada
dunia yang penuh ketenangan. Sayangnya, ia cuma seketika. Nafsu itu akan terus
membuas dengan pelbagai tuntutan dan permintaan yang seterusnya. Dan pelakunya,
akan terus menerus mengikut dan mengikut tanpa bertemu dengan noktah
‘keredhaan’ yang diimpikannya.
Orang
cerdik, orang alim, orang faham agama atupun tidak, kesemua mungkin sahaja
termasuk dalam golongan ini. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran :
” Tidakkah kamu melihat golongan-golongan yang menjadikan hawa
nafsu mereka sebagai tuhan, dan Allah menyesatkan mereka dalam keadaan mereka
tahu ( ada ilmu ) dan Allah menutup pendengaran serta pintu hatinya, dan Allah
menjadikan penghalang ke atas penglihatan mereka. Maka siapakah lagi yang boleh
memberi hidayah selain daripada Allah? “
Hamba wang ringgit
Hidupnya
setiap hari hanya dengan tujuan yang satu, iaitu duit. Kerana itu, dari celik
mata sehingga pejam mata, hanya duit yang difikirkannya. Turun seawal pagi ke
pejabat dan balik lewat malam tidak menjadi beban kepadanya, asalkan duit
mencurah masuk setiap bulan. Namun untuk urusan solat ataupun membaca Al-Quran,
ataupun meluangkan masa antara maghrib dan isyak untuk mendengar kuliah di
masjid, kesemua itu menjadi bebanan yang sangat besar kepada mereka. Turun seawal
pagi demi mengelak kesesakan lalulintas, maka solat subuh tidak lagi dianggap
penting. Balik petang sampai malam, solat asar dan maghrib tidak lagi dianggap
penting. Jika hari jumaat, urusan dengan client lebih penting berbanding solat
jumaat.
Apa
yang dicari adalah ‘keredhaan’ daripada wang ringgit. Dengan makna, apabila
kaya raya, hati akan jadi senang dan hidup akan jadi tenang. Segala yang
dihajati akan tertunai dengan mudah. Maka dia tidak kisah berhabis masa dan
tenaga demi wang ringgit. Soalnya, adakah perhambaannya kepada duit itu
mencapai matlamat yang diimpikan?
Tidak.
Bekerja bagai nak gila, berkursus sini sana, pulangan gaji tetap cukup-cukup
makan. Untuk merasa mewah jauh sekali. Makin dikerah diri untuk meraih wang
ringgit, makin sedikit pula rezeki yang diperolehi. Apa yang diperolehi tetapi
dirasakan tidak mencukupi.
Bagi
yang kaya raya pula, matlamat perhambaan itu tetap tidak tercapai. Sangkanya,
hidup akan senang, hati akan tenang. Rupanya setiap malam tidak dapat
melelapkan mata, gara-gara memikirkan wang bertimbun dalam simpanan. Harta
melimpah ruah, tetapi kerana tiada keberkatan, hati gundah gulana sepanjang
malam dan siang. Lalu perhambaannya kepada wang ringgi tidak bertemu dengan apa
yang diimpikan.
Hamba wanita
Segala
yang si wanita mahu, akan sedaya upaya ditunaikan. Samada kehendak itu syarie
ataupun tidak, bukan lagi persoalan. Apa yang penting, hati si wanita adalah
keutamaan. Dia sanggup melutut bersujud semata-mata mahukan kasih sayang dari
si wanita. Dia sanggup berhabis beribu bahkan berjuta, semata-mata mahukan
keredhaan si wanita. Dalam hidupnya setiap hari, hanya si wanita fokus utama.
Sangkanya, perhambaan itu akan menjamin kebahagiaan.
Rupanya
tidak. Dia lupa kepada pemilik segala hati manusia itu adalah Allah. Pencetus
kasih sayang dan penyatu sekalian hati manusia itu adalah Allah. Tetapi
kehendak Allah diketepikan, kemahuan si wanita diutamakan. Samada si wanita itu
kekasih ataupun isteri, hambanya akan memastikan segala impian si wanita
tercapai. Biarpun terpaksa melanggar hukum Allah atau mengambil hak manusia
yang lain.
Namun
‘keredhaan’ yang diimpikan itu tetap tidak kunjung datang. Makin lama, si
wanita makin besar kepala, dan dia terus menjadi hamba. Ketika si wanita ada
kemahuan, nampaklah sedikit kasih sayang. Tetapi ketika kehendaknya sudah
tertunai, telinga hanya mampu menahan seranah dan cacian. Demi apa? Demi sebuah
perhambaan kepada insan.
Mudahnya, kesemua perhambaan di atas adalah simptom daripada
perhambaan seorang manusia kepada syaitan. Makhluk terlaknat itu tidak pernah
jemu dalam mengajak manusia menyertai golongan hamba yang tidak taat kepada
Tuhan. Namun di akhirat kelak, Syaitan itulah yang akan berlepas tangan dengan
mudahnya bahkan mengejek pula golongan manusia yang telah berjaya diperdaya.
Hakikat Perhambaan : Hamba Allah
Berbeza
dengan kesemua jenis perhambaan di atas, menjadi hamba Allah menjadikan
seseorang itu bertambah mulia dan jauh dari kehinaan. Hidupnya sehari-hari
hanya dipusatkan untuk Allah. Dari celik mata sehingga pejam mata, segalanya
untuk Allah. Dia hanya mengambil dunia sekadar keperluannya sahaja, dan
melebihkan akhirat sehingga orang menyangka dia gila.
Dalam
apa yang dia sangat mahu, tetapi Allah larang, dia bermati-matian menjauhkan
diri. Dalam apa yang dia sangat tidak mahu, tetapi Allah suruh, dia
bermati-matian akan melaksanakan. Segalanya, hanya kerana hakikat dirinya
selaku hamba. Dia merasa betapa tidak layaknya diri sebagai manusia yang
diciptakan untuk membantah suruhan daripada Tuan yang menciptakan.
Perhambaan
ini, matlamatnya adalah sebuah keredhaan. Dan dia benar-benar mencapai matlamat
tersebut. Hidupnya biar miskin, tetapi bahagia. Tidak terkenal di kalangan
manusia, tetapi masyhur di langit sana. Dia tidak mulia kerana pangkat
mahupun harta, tetapi dipandang mulia kerana kecantikan agama dalam dirinya.
Semuanya
adalah pancaran daripada nilai perhambaan yang tulus ikhlas kepada Tuhan.
Sesiapa yang merendahkan dirinya di hadapan Allah, nescaya Allah akan
mengangkat dirinya di hadapan manusia.
Hamba Ramadhan
Ini
suatu lagi istilah yang agak masyhur di bulan Ramadhan. Beribadah hanya kerana
Ramadhan dan hanya di bulan Ramadhan, selesai Ramadhan, selesailah sesi ibadah
dan kebaikan. Memanglah Ramadhan itu lebih istimewa daripada bulan-bulan yang
lain, namun kita perlulah sedar, bahawa kita sedang menjadi hamba kepada Allah
dan bukannya kepada bulan.
Justeru,
istiqamahlah dalam melaksanakan ketaatan. Semoga kita benar-benar tergolong
dalam golongan hamba kepada Ar-Rahman.
Jadi nilaian di sini kita hamba yang mana?
Post a Comment