Followers

Wednesday, June 5

Gedik Yang Di Ubah Suai

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 3:18 PM 0 comments

Pada hari ini, aku melihat kebanyakan muslimah yang ku kenali sangat goyah imannya. Bagaimana aku ingin menghuraikannya? Insya-Allah aku cuba. Tidak perlu melihat pada yang jauh, cukup pada mereka
yang berada di sekitarku. 
Fenomena 'berubah menjadi alim' sudah banyak berlaku. Lebih-lebih lagi aku melihat di laman sosial facebook yang beratus-ratus status dan post mengenai Islam di wall mereka. Terlalu banyak sehingga imanku tercabar. Aku hampir mendakwa mereka semua itu berlakon alim.
Maaf,  aku cuba untuk tidak berprasangka yang tidak baik kepada mereka. Selama ini aku sangat berpegang kepada husnudzon (bersangka baik) dan aku tetap dengan prasangka baik kepada mereka. Moga aku yang menulis ini dijauhkan daripada perasaan ria' dan juga berasa sudah cukup alim.
Melihat kepada sahabat terdekat, perubahan yang amat ketara telah ku perhatikan.  Aku sangat mengenalinya. Dahulu bertudung bawal sekarang sudah bertudung labuh. Dahulu FB nya penuh dengan luahan ketidak puas hatian, sekarang dipenuhi dengan kata-kata dan juga mutiara hikmah.
Sekali lagi iman ku tercabar apabila melihat kata-kata dan mutiara hikmah lebih ke arah mencari suami dan menanti suami yang soleh. Siapa solehah dapat suami soleh. Aku tidak pandai untuk mengarang ayat. Apapun, begitulah maksud yang ku simpulkan dari kebanyakan kata-kata yang tertera di laman terkenal itu.
Aku gembira dengan perubahan drastik itu, tetapi caranya mencabar imanku. Aku tidak layak nak tahu hatinya, berubah kerana apa. Husnodzon hati berbicara. Aku berjaya mengatasi prasangka buruk. Aku harap tulisan ini dapat membetulkan niat aku dan mereka yang ingin rapat dengan Allah.
Aku tidak pernah nafikan janji Allah dalam Alquran yang bermaksud;  
"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik "
(Surah an-Nur ayat 26)
Aku juga mengalami situasi mempunyai adik-beradik yang mempunyai teman wanita. Memang niatnya untuk memperisterikan teman wanitanya, tetapi caranya membimbangkan. Dia ingin mengubah wanita itu menjadi solehah. Lalu dia meminta teman wanitanya itu memakai tudung labuh dan berjubah, dia sentiasa memberi mesej kepada teman wanitanya untuk solat di awal waktu dan juga bangun tahajud.
Apakah semua itu?

Di suatu sudut yang lain pula, satu comment yang terpampang di wall rakan FB ku. Ku baca dengan teliti dan ingin ku kongsikan bersama kalian.
"Sangat geli melihat ustazah-ustazah berpurdah,bertudung labuh , berjubah tapi asyik post status rindukan 'imam', dan yg berkaitan dengannya. Sebaiknya gunakan imej yang terbaik itu untuk sampaikan nasihat dak dakwah buat panduan muslimah seluruhnya, bimbang orang akan gelar ini adalah contoh ' gedik yang solehah'."
Saat membacanya, apa yang kalian fikirkan? 
Aku cuma ingin berpesan, kepada mereka yang sudah berpunya atau sedang menanti, janganlah kalian berubah mengikut nafsu inginkan imam yang soleh. Dan janganlah kamu berubah kerana taat kepada kekasih hati yang ingin melihat kamu berubah.
Kalian pernah terfikir? Apakah kesudahan jika kamu berubah bukan kerana taat kepada Allah? Jika ditinggalkan oleh imam yang selama ini didamba-dambakan, bagaimana?
Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh imam yang benar-benar ditakdirkan oleh Allah untuk dijadikannya sebagai isteri. Tetapi bagaimana yang sebaliknya? berakhir di pertengahan jalan. Takdir Allah, memutuskannya dengan dua cara. Semasa hidup atau mati.
Aku bukan ingin mengatakan aku adalah terbaik, aku pun pernah melakukan kesilapan, aku juga bukan ahli agama. Atas asbab itulah, aku cuba sebatikan kata-kata imam Hassan al-basri dalam hidup.
"Sesungguhnya aku menasihati kamu bukanlah bermakna aku adalah yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."
Aku menulis bukan juga aku mencemburui sahabat-sahabatku yang lain. Aku akui aku tidak pernah mempunyai teman lelaki, bermesej dengan mereka tanpa bertujuan jauh sekali. Aku mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara tersebut kerana aku takut akan berubah hati kepada Allah.
Aku sedar, aku juga tergolong di kalangan mereka yang mudah terpesona dengan lelaki soleh. Justeru, satu cara aku menjauhi mereka dengan tidak berpersatuan dengan mereka yang nampak soleh dan aku sesekali tidak akan mempunyai teman lelaki kecuali dia yang bernama suami. Moga dengan cara ini aku lebih dekat dan teguh iman kepada Allah.
Mungkin juga ada yang berfikir aku tidak cantik, sebab itu tiada siapa yang minat kepadaku. Apapun yang kalian fikirkan, terserah pada kalian. Sesungguhnya kecantikan ini hanya untuk seorang yang halal untukku. Tiadakan ku kongsi pada mereka yang belum tentu menjadi suamiku.  
Pesan khusus untuk diriku dan sahabat-sahabat muslimah,  taatlah kepada Allah. Jangan lah 'taat' kepada mereka yang bukan bernama suami atau bakal suami sekalipun.Apa sahaja yang diminta oleh mereka, dengan relanya kita memberikannya.
Yakinlah, setiap yang tertutup itu lebih terindah, namun akan lebih indah lagi jika setiap yang ada pada diri itu tertutup rapat tanpa seoarang pun dapat melihatnya/membacanya.

Yang pernah melakukan kesilapan, aku berdoa kalian akan benar-benar berubah kerana taat kepada Allah. Aku sangat gembira jika Muslimah itu berubah kerana taat kepada Allah. Itu aku lebih utamakan.
"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat."
(Surah ali Imran ayat 132)
Aku harap tulisan ini dapat menjawab soalan sahabatku yang bertanya tentang keikhlasan mereka yang ingin berubah. Dahulu aku menjawab pertanyaan sahabatku dengan lisan. 
"siapa kita untuk mengukur niat seseorang, insyaAllah jika benar dia tidak ikhlas Allah akan betulkan, jika sebaliknya kita yang berdosa menuduhnya."
Aku terdiam dan menamatkan jawapan setakat itu. Aku harap inisiatif menulis coretan ini dapat menjawab persoalan sahabat-sahabat di luar sana agar Allah mengampuni dosa kita semua jika kita tersalah menduga yang tidak baik lebih-lebih lagi keikhlasan seseorang.


0 Responses so far: