BAGI
mereka yang masih mencari pasangan, jangan terlalu menyukarkan diri
meletakkan piawaian tertentu seperti mahu menunggu insan yang ideal
atau sempurna.
Meletakkan
‘sasaran’ untuk bertemu dengan pasangan soleh dan solehah
termasuk beriman, mempunyai tujuan hidup, pengetahuan agama yang baik
selain memiliki rupa paras menarik tidak salah malah digalakkan
Islam.
Cuma, jangan terlalu menyempitkan usaha itu sehingga akhirnya menyerah kalah atau mengambil keputusan enggan berkahwin apabila menemui kegagalan.
Memang
kita tidak boleh mengambil remeh usaha mendapatkan insan terbaik
kerana mereka yang akan menemani kita sepanjang hayat.
Pokok
pangkalnya, bersederhana kerana tahap soleh dan solehah yang
diimpikan itu memerlukan proses didikan serta penghayatan
berpanjangan.
Lebih
baik setiap orang meletakkan sandaran lebih tinggi buat diri mereka
berbanding pasangan.
Dalam soal mencari suami menurut kaedah
Islam, pastinya setiap wanita amat mengharapkan pasangannya seorang
suami yang bertanggung jawab.
Namun, ia tidak akan
berjaya jika hanya sebelah pihak saja. Suami isteri perlu bekerjasama
erat dalam membangunkan rumah tangga mereka.
Siapa yang
mahukan pasangan hidup yang baik, perlu berusaha menjadi lebih
baik.
Apakah kriteria yang selayaknya bagi seorang lelaki itu
dipilih untuk dijadikan suami?
Banyak ciri yang digariskan,
antaranya sejauh mana mereka bersedia memikul tanggungjawab memimpin
keluarganya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Lelaki
itu adalah pemimpin bagi perempuan, sebab Allah melebihkan setengah
mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari
hartanya (untuk perempuan). (Surah an-Nisa’ 4: 34)
Itu bagi
menjamin kebahagiaan dan pengurusan keluarga yang baik. Bagi memiliki
daya kepimpinan yang baik, suami perlu memiliki ilmu.
Allah
berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya
adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan
keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia
perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang
diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)
Manusia tidak
memiliki kekuatan begitu juga dengan soal jodoh. Semuanya atas
keizinan dan pertolongan Allah. Sebab itu sesiapa yang mahu mendapat
jodoh perlu sentiasa berdoa kepada Allah. Dalam Surah al-Furqan ayat
74 yang bermaksud: “Mereka yang berdoa dengan berkata, “Wahai
Tuhan kami, beri kami beroleh isteri-isteri zuriat keturunan kami
perkara-perkara yang menyukakan hatinya melihatnya dan jadikan kami
imam ikutan bagi orang yang mahu bertakwa.”
Setiap perubahan
ke arah lebih baik tidak bermula dari orang yang kita inginkan mereka
berubah sebaliknya diri kita dulu perlu melakukan perubahan.
Itu
adalah jalan terbaik bagi memastikan matlamat yang diidamkan daripada
ikatan itu tercapai dengan sempurna.
Tidak dinafikan, pilihan
sendiri mungkin dibuat atas dasar mengenali hati budi tetapi ada
ketikanya kriteria pemilihan bukan berdasarkan pemikiran yang
matang.
Pilihan orang tua pula mungkin baik pada mata mereka
tetapi pandangan anak mengenai orang yang boleh menyokong hala tuju
kehidupan mereka mungkin berbeza dengan ibu bapa.
Oleh itu,
andai kedua-dua aspek itu boleh digabungkan, sudah tentu dapat
melahirkan ikatan yang membuahkan kasih sayang kukuh di antara semua
pihak.
Keegoan dalam menentukan hak membuat keputusan boleh
merencatkan hubungan kekeluargaan yang sepatutnya seperti ‘air yang
dicincang tidak akan putus.
Allah memberikan
tanggungjawab Qiwamah (memimpin) kepada lelaki.
Ramai
yang menganggap ia satu penghormatan namun realitinya satu
tanggungjawab yang besar. Kedua-dua pihak perlu faham peranan suami
sebagai pemimpin rumah tangga bukanlah dalam bentuk hubungan majikan
dengan pekerja atau tuan dengan hamba.
Kepimpinan dan ketaatan
dalam ruang lingkup rumah tangga adalah bersendikan kasih sayang
(mawaddah dan rahmah). Itu adalah matlamat ikatan perkahwinan.
Sebab
itu, kasih sayang menjadi elemen paling penting yang perlu dipupuk
dalam rumah tangga. Jika suami memimpin dengan kasih sayang dan
isteri pula mentaati dengan kasih sayang, rumah tangga menjadi
“rumahku syurgaku.
Wanita perlu memilih lelaki terbaik untuk
menjadi pasangan hidup mereka kerana kehidupan masa depan akan
ditentukan oleh lelaki yang dipilihnya itu.
Kita sering
mendengar saranan Islam kepada lelaki mengenai kriteria pemilihan
calon isteri, namun jangan kita lupa kriteria itu juga perlu menjadi
piawaian bagi wanita memilih calon suami mereka.
Walaupun wali
mempunyai hak memutuskan calon suami bagi seseorang anak dara, Islam
tidak menolak suara mereka sebelum keputusan dibuat untuk menerima
pinangan seseorang lelaki.
Bahkan ulama amat menggalakkan
serta mengatakan ia adalah sunat. Tidak salah untuk ‘perigi mencari
timba’ asalkan melalui proses yang selari dengan kehendak syarak
dan tidak canggung dari segi adat seperti dilakukan Saidatina
Khadijah.
Pada pandangan Islam, apa yang Saidatina Khadijah
lakukan itu bukan saja membabitkan kehidupan di dunia semata-mata
tetapi juga akhirat.
Penentuan jodoh adalah termasuk dalam
qada dan qadar Allah.
Dalam beriman dengan qada dan qadar
Allah, kita diajar sunnatullah iaitu konsep sebab dan akibat atau
usaha dan hasil.
Sama juga halnya dengan bab jodoh, segala
ketetapan hanya Allah yang menentukan. Sebagai hamba kita perlu
berusaha mencari yang terbaik.
Jangan
Lupa Dengan Memohon Bantuan Allah
Dalam proses mencari
atau memilih jodoh terbaik, jangan sekali-kali lupa untuk memohon
bantuan daripada Allah seperti berdoa, solat hajat dan solat
istikharah.
Jika cepatnya perkahwinan itu tidak semestinya
membawa kebahagiaan manakala lambat juga tidak semestinya membawa
penderitaan. Ada ketikanya, kelewatan itu membuka ruang untuk bertemu
dengan calon yang lebih baik.
Manakala perkahwinan awal
memberi ruang waktu yang panjang untuk saling memperbaiki kelemahan
diri demi persefahaman dan kebahagiaan bersama.
Yang penting,
dalam hal ini ialah kesungguhan untuk menjaga diri daripada terjebak
dalam perbuatan yang keji dan maksiat.
Memilih calon suami
bukan seperti memilih pakaian untuk dipakai.
Pakaian yang
cantik dan memuaskan hati, boleh terus dipakai manakala pakaian buruk
dan menampakkan kita hodoh, boleh dibuang tanpa meninggalkan apa-apa
kesan kepada kita.
Kita mungkin rugi dari segi kewangan,
namun, memilih calon suami sangat berbeza kerana jika mendapat yang
terbaik berbahagialah seorang wanita itu.
Sebaliknya, jika
salah membuat pilihan, ia meninggalkan kesan terhadap fizikal, emosi,
harta benda, bahkan zuriat jika memilikinya.
Suami tidak boleh
ditukar ganti seperti mana kita menukar ganti pakaian.
Justeru,
proses memilih suami perlulah melalui langkah yang sangat teliti dan
berhati-hati supaya tidak tersalah pilih.
Gunalah apa saja
ruang yang ada selagi tidak bertentangan dengan syarak untuk
mengenali ciri sebenar lelaki yang bakal dijadikan ketua keluarga
kita.