Followers

Monday, December 10

Mencari Hingga Terhenti

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 2:11 PM 0 comments


BAGI mereka yang masih mencari pasangan, jangan terlalu menyukarkan diri meletakkan piawaian tertentu seperti mahu menunggu insan yang ideal atau sempurna.

Meletakkan ‘sasaran’ untuk bertemu dengan pasangan soleh dan solehah termasuk beriman, mempunyai tujuan hidup, pengetahuan agama yang baik selain memiliki rupa paras menarik tidak salah malah digalakkan Islam.

Cuma, jangan terlalu menyempitkan usaha itu sehingga akhirnya menyerah kalah atau mengambil keputusan enggan berkahwin apabila menemui kegagalan.


Memang kita tidak boleh mengambil remeh usaha mendapatkan insan terbaik kerana mereka yang akan menemani kita sepanjang hayat.


Pokok pangkalnya, bersederhana kerana tahap soleh dan solehah yang diimpikan itu memerlukan proses didikan serta penghayatan berpanjangan.



Lebih baik setiap orang meletakkan sandaran lebih tinggi buat diri mereka berbanding pasangan.

Dalam soal mencari suami menurut kaedah Islam, pastinya setiap wanita amat mengharapkan pasangannya seorang suami yang bertanggung jawab. 

Namun, ia tidak akan berjaya jika hanya sebelah pihak saja. Suami isteri perlu bekerjasama erat dalam membangunkan rumah tangga mereka.

Siapa yang mahukan pasangan hidup yang baik, perlu berusaha menjadi lebih baik.
Apakah kriteria yang selayaknya bagi seorang lelaki itu dipilih untuk dijadikan suami?

Banyak ciri yang digariskan, antaranya sejauh mana mereka bersedia memikul tanggungjawab memimpin keluarganya. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan, sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan). (Surah an-Nisa’ 4: 34)

Itu bagi menjamin kebahagiaan dan pengurusan keluarga yang baik. Bagi memiliki daya kepimpinan yang baik, suami perlu memiliki ilmu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)

Manusia tidak memiliki kekuatan begitu juga dengan soal jodoh. Semuanya atas keizinan dan pertolongan Allah. Sebab itu sesiapa yang mahu mendapat jodoh perlu sentiasa berdoa kepada Allah. Dalam Surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: “Mereka yang berdoa dengan berkata, “Wahai Tuhan kami, beri kami beroleh isteri-isteri zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hatinya melihatnya dan jadikan kami imam ikutan bagi orang yang mahu bertakwa.”

Setiap perubahan ke arah lebih baik tidak bermula dari orang yang kita inginkan mereka berubah sebaliknya diri kita dulu perlu melakukan perubahan.


Itu adalah jalan terbaik bagi memastikan matlamat yang diidamkan daripada ikatan itu tercapai dengan sempurna.

Tidak dinafikan, pilihan sendiri mungkin dibuat atas dasar mengenali hati budi tetapi ada ketikanya kriteria pemilihan bukan berdasarkan pemikiran yang matang.

Pilihan orang tua pula mungkin baik pada mata mereka tetapi pandangan anak mengenai orang yang boleh menyokong hala tuju kehidupan mereka mungkin berbeza dengan ibu bapa.

Oleh itu, andai kedua-dua aspek itu boleh digabungkan, sudah tentu dapat melahirkan ikatan yang membuahkan kasih sayang kukuh di antara semua pihak.

Keegoan dalam menentukan hak membuat keputusan boleh merencatkan hubungan kekeluargaan yang sepatutnya seperti ‘air yang dicincang tidak akan putus.

Allah memberikan tanggungjawab Qiwamah (memimpin) kepada lelaki.

Ramai yang menganggap ia satu penghormatan namun realitinya satu tanggungjawab yang besar. Kedua-dua pihak perlu faham peranan suami sebagai pemimpin rumah tangga bukanlah dalam bentuk hubungan majikan dengan pekerja atau tuan dengan hamba.

Kepimpinan dan ketaatan dalam ruang lingkup rumah tangga adalah bersendikan kasih sayang (mawaddah dan rahmah). Itu adalah matlamat ikatan perkahwinan.

Sebab itu, kasih sayang menjadi elemen paling penting yang perlu dipupuk dalam rumah tangga. Jika suami memimpin dengan kasih sayang dan isteri pula mentaati dengan kasih sayang, rumah tangga menjadi “rumahku syurgaku.

Wanita perlu memilih lelaki terbaik untuk menjadi pasangan hidup mereka kerana kehidupan masa depan akan ditentukan oleh lelaki yang dipilihnya itu.

Kita sering mendengar saranan Islam kepada lelaki mengenai kriteria pemilihan calon isteri, namun jangan kita lupa kriteria itu juga perlu menjadi piawaian bagi wanita memilih calon suami mereka.

Walaupun wali mempunyai hak memutuskan calon suami bagi seseorang anak dara, Islam tidak menolak suara mereka sebelum keputusan dibuat untuk menerima pinangan seseorang lelaki.

Bahkan ulama amat menggalakkan serta mengatakan ia adalah sunat. Tidak salah untuk ‘perigi mencari timba’ asalkan melalui proses yang selari dengan kehendak syarak dan tidak canggung dari segi adat seperti dilakukan Saidatina Khadijah.

Pada pandangan Islam, apa yang Saidatina Khadijah lakukan itu bukan saja membabitkan kehidupan di dunia semata-mata tetapi juga akhirat.

Penentuan jodoh adalah termasuk dalam qada dan qadar Allah.

Dalam beriman dengan qada dan qadar Allah, kita diajar sunnatullah iaitu konsep sebab dan akibat atau usaha dan hasil.

Sama juga halnya dengan bab jodoh, segala ketetapan hanya Allah yang menentukan. Sebagai hamba kita perlu berusaha mencari yang terbaik.






Jangan Lupa Dengan Memohon Bantuan Allah


Dalam proses mencari atau memilih jodoh terbaik, jangan sekali-kali lupa untuk memohon bantuan daripada Allah seperti berdoa, solat hajat dan solat istikharah.

Jika cepatnya perkahwinan itu tidak semestinya membawa kebahagiaan manakala lambat juga tidak semestinya membawa penderitaan. Ada ketikanya, kelewatan itu membuka ruang untuk bertemu dengan calon yang lebih baik.

Manakala perkahwinan awal memberi ruang waktu yang panjang untuk saling memperbaiki kelemahan diri demi persefahaman dan kebahagiaan bersama.

Yang penting, dalam hal ini ialah kesungguhan untuk menjaga diri daripada terjebak dalam perbuatan yang keji dan maksiat.

Memilih calon suami bukan seperti memilih pakaian untuk dipakai.

Pakaian yang cantik dan memuaskan hati, boleh terus dipakai manakala pakaian buruk dan menampakkan kita hodoh, boleh dibuang tanpa meninggalkan apa-apa kesan kepada kita.

Kita mungkin rugi dari segi kewangan, namun, memilih calon suami sangat berbeza kerana jika mendapat yang terbaik berbahagialah seorang wanita itu.

Sebaliknya, jika salah membuat pilihan, ia meninggalkan kesan terhadap fizikal, emosi, harta benda, bahkan zuriat jika memilikinya.

Suami tidak boleh ditukar ganti seperti mana kita menukar ganti pakaian.
Justeru, proses memilih suami perlulah melalui langkah yang sangat teliti dan berhati-hati supaya tidak tersalah pilih.

Gunalah apa saja ruang yang ada selagi tidak bertentangan dengan syarak untuk mengenali ciri sebenar lelaki yang bakal dijadikan ketua keluarga kita.





0 Responses so far: