Mak ayah,
Aku menulis khas buat mak ayah yang disayangi. Banyak persoalan
yang terbuku dihati. Untuk berterus terang, aku tak punya kekuatan. Untuk
berbicara, lidahku kelu dengan kata-kata. Untuk bersemuka, berat untuk ku
aturkan sebuah langkah. Yang mampu aku lakukan hanyalah menulis sebuah coretan
yang ku hadiahkan khas buat mak ayah tersayang.
Mak ayah,
Aku tertanya-tanya. Daripada masa kecilku, seringkali ku dimarahi.
Terkadang bukan atas silapku sendiri. Kesilapan adik-adik, aku yang
dipersalahkan. Aku yang dihukum. Aku yang dipukul dengan rotan itu. Rotan yang
sama. Dengan alasan aku yang paling sulung. Sedangkan ketika itu aku hanyalah
berusia 8 tahun. Masih anak kecil yang membutuhkan perhatian. Apakah silapku
menjadi anak pertama? Yang akhirnya jiwa kecilku memberontak. Dari sehari ke
sehari aku berkata pada diriku sendiri. Aku ingin menutup telingaku daripada
mendengar kata-kata mak ayah. Oleh sebab mak ayah sendiri tak pernah mendengar
kata-kataku walaupun yang benar. Jadilah aku seorang anak yang degil.
Mak ayah,
Pada usiaku menginjak 13 tahun, aku dihantar ke sekolah berasrama
penuh. Di situ, kami disuruh untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mulanya
aku liat. Terasa amat payah lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Di rumah, tak
pernah pula aku diajak untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mak ayah
sekadar bertanya sama ada aku sudah solat atau belum. Di sini untuk minggu
pertama, selalu aku terlambat untuk memulakan solat berjemaah bersama. Jadi,
bila jemaah sudah masuk ke rakaat kedua, ketiga, keempat, aku tinggal
terpinga-pinga. Bagaimana aku mahu masuk solat jemaah? Kerana mak ayah tak
pernahpun mengajarku berkenaan “makmun masbuk”. Sehinggalah aku perlu belajar
sendiri di sekolah.
Mak ayah,
Setelah tamat pelajaran di sekolah menengah, aku berjaya masuk ke
universiti tempatan. Aku mula bergaul dengan teman-teman yang datang daripada
berlainan latar belakang. Di sini aku sudah tidak di”paksa” untuk solat
berjemaah lagi. Semua orang hidup dengan cara tersendiri. Pada awalnya aku
masih rajin untuk pergi ke surau kolej kediaman. Tapi, lama kelamaan aku sangat
sibuk dengan assignments yang bertimbunan. Solat pun makin aku
lambat-lambatkan. Terkadang aku cepat-cepat solat untuk mengejar waktu
menghadiri kuliah. Bila menelefon mak ayah, mak ayah tak pernah bertanyakan
tentang solatku. Jadi tinggallah aku untuk menentukan cara hidupku sendiri.
Solatku tetap tak pernah ku tinggalkan, namun hatiku sedikitpun tak terasa
bertaut dengan ibadahku. Aku lakukan hanya sekadar untuk melengkapkan rutin
harian.
Mak ayah,
Makin lama aku terasa diriku makin kosong. Aku seperti hilang arah
tujuan. Aku penat dengan studyku. Aku penat dengan kehidupanku. Aku tiba-tiba
bertanya kepada diriku sendiri. Sebenarnya, untuk apa aku hidup di dunia ini?
Adakah semata-mata untuk study? Adakah semata-mata untuk mengumpul kekayaan?
Adakah semata-mata untuk bekerja? Adakah semata-mata untuk berkahwin, mempunyai
anak? Dan selepas tu??
Mak ayah,
Pada suatu hari, aku bertanya kepada seorang kakak yang rapat
denganku kerana aku bingung tentang apa makna sebuah kehidupan. Dia yang
tersenyum mesra terus menyebut bait-bait ayat Al-Quran yang selalu aku baca,
tapi tak pernah sedikitpun aku tahu maksudnya,
“Dan
tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah
kepadaKu”
(Adz-Zariyat:56)
“Dan
tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi serta apa yang berada di antara keduanya
kecuali dengan Haq” (Al-Hijr:85)
“Bukankah
Aku telah mengambil perjanjian (perintahkan) kamu wahai anak-anak
Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata
terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu;
inilah jalan yang lurus“ (Yasin:60-61)
“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami
menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa
kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu’minun:115)
Mak ayah,
Di usiaku yang sudah menginjak 23 tahun, barulah aku tahu apa
tujuan aku diciptakan oleh Allah. Kenapa sebelum ini mak dan ayah tak pernahpun
memberitahu aku tentang hal ini? Betul, aku diajar solat, diajar mengaji,
disuruh puasa, tapi tak sedikitpun aku diterangkan dengan apa maksud yang
sebenar-benarnya tentang setiap ibadah yang aku lakukan melainkan hanya
mengikut apa yang dibuat mak dan ayah. Perjalanan kehidupanku yang dibiarkan
bebas sendirian.
Mak ayah,
Aku kan anakmu. Aku kan adalah amanah Allah untukmu. Tapi adakah
kalian telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan
kepadamu. Di mana janjimu pada Allah tika mana Dia menganugerahkan aku pada
kalian berdua? Di mana janjimu pada Allah untuk menunjukkan kepadaku jalan mana
yang sepatutnya aku ikuti? Jalan yang akan mendekatkan aku dengan Yang Maha
Esa. Aku dibiarkan hanyut dalam gelombang kehidupan, ibadah yang
diringan-ringankan, pergaulan lelaki dan perempuan yang tiada batasan,
pakaianku yang membalut aurat dibiarkan, cukuplah selagi aku masih bertudung.
Adakah sehelai tudung cukup untuk mendefinasikan kehidupan sebenar seorang
Muslimah?
Mak ayah,
Aku tak tahu. Tolong, ajarilah aku apa makna sebenar sebuah
kehidupan. Dalam neraca Islam.
Salam sayang,
Anakmu.
“Setiap bayi
dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanyalah yang
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim)
Anak adalah anugerah Allah. Yang dilahirkan
suci bersih ibarat kain putih. Ibubapalah yang mempunyai tanggungjawab yang
besar untuk mencorakkannya.
Nota yang ditulis di atas adalah sekadar satu
rekaan. Tapi jika kita perhatikan secara realitinya, tidak mustahil untuk ada
dikalangan anak-anak yang mungkin ingin meluahkan hal yang sama dengan tulisan
di atas. Anak-anak yang tertanya-tanya, adakah ibubapa sudah melaksanakan
sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah kepada mereka.
Tanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak tentang ilmu agama yang secukupnya,
tentang Islam yang sebenar-benarnya, tentang matlamat kita hidup di dunia.
Dan jika soalan ini tidak ditanyakan di sini,
mungkin bakal dipersoalkan di akhirat nanti.
Cukupkah sekadar menyuruh solat lima waktu? Cukupkah sekadar
mengajar bagaimana membaca Al-Quran? Cukupkah sekadar mengajak puasa
bersama-sama? Cukupkah sekadar menghantar anak-anak menghadiri kelas-kelas
agama? Tanpa kita sendiri yang menunjukkan tauladan yang sebenarnya kepada
anak-anak. Tanpa diberikan penjelasan yang mendalam tentang Islam, tanpa
memberikan kefahaman sejelas-jelasnya kepada anak-anak bahawa Islam itu bukan
sekadar sebuah agama semata-mata. Sedangkan Islam yang sebenar-benarnya adalah
satu cara hidup. Islam
is the way of life.
Saya teringat pertanyaan seorang kakak kepada
saya pada awal tahun ini. Persoalannya tentang apakah yang membezakan kita
seorang manusia sebagai ibu kepada seorang anak jika hendak dibandingkan dengan
seekor buaya yang merupakan ibu kepada anaknya.
Kelu untuk memberikan jawapan selain daripada perbezaan manusia dan
seekor buaya, kakak itu tersenyum sambil berkata bahawa perbezaannya adalah di
mana seekor ibu buaya hanya mengajar anaknya cara untuksurvive di dunia. Cara untuk mencari bekalan
untuk hidup supaya tidak mati kelaparan dan juga cara bagaimana untuk melarikan
diri daripada pemangsa dan pemburu untuk meneruskan kehidupan.
Berbeza dengan seorang manusia sebagai ibu.
Seorang manusia bukan hanya mengajar anaknya bagaimana mencari bekalan untuk
meneruskan hidup di dunia, tapi juga bagaimana caranya untuk mencari bekalan
yang cukup untuk dibawa ke akhirat sana.
Ini mungkin hanyalah sekadar sebuah perumpamaan
untuk membuatkan kita benar-benar berfikir. Untuk kita imbas kembali perjalanan
sebuah kehidupan.
Bagi yang sudah mempunyai anak, sebanyak mana
sudah ilmu agama telah kita ajarkan kepada anak-anak. Adakah benar cara kita
membesarkan anak-anak sudah selari dengan apa yang dituntut Islam?
Bagi yang belum mempunyai anak, sebanyak mana pula persiapan yang
ada pada diri sendiri untuk mengajarkan tentang Islam kepada anak-anak yang
bakal dilahirkan. Sebanyak mana guidelines yang mampu kita berikan kepada
anak-anak untuk menuntun diri mereka dalam misi mencari bekalan secukupnya
sebelum pulang ke kediaman yang abadi di akhirat nanti.
Jangan kita menyamakan diri sendiri dengan ibu buaya, menunjukkan
anak-anak jalan untuk mendapatkan bekalan sekadar cukup untuk hidup di dunia
saja.
Benar, jika terdapat kekurangan di mana-mana,
kesalahan bukanlah terletak sepenuhnya ke atas ibubapa yang mungkin masih belum
menyedari hakikat kehidupan yang sebenar. Namun, bagi kita yang sudah disapa
hidayah kesedaran, yang tahu makna sebenar sebuah kehidupan, biarlah kita yang
meletakkan diri sebagai peneraju untuk menjadi ibubapa contoh dalam membina
generasi harapan seterusnya. Biar si kecil itu tahu apa matlamat hidupnya di
dunia. Biar si kecil itu sedar apa agenda yang perlu dia bawa sepanjang
hidupnya.
Jadi, dengan waktu yang masih tersisa, mari
kita sama-sama memperbaiki diri sendiri untuk memimpin cahaya mata penyejuk
hati. Moga mampu kita tersenyum bangga di kemudian hari sambil berkata, “Itulah
anak kami.” Satu kata yang bakal dirindui untuk disebut di syurga nanti.
Hak seorang anak adalah kamu hendaklah
menyedari bahawa dia berasal daripada kamu. Jika dia baik atau jahat, semuanya
berkait dengan kamu. Kamu bertanggungjawab untuk membesarkan, mendidik dan
membimbingnya ke jalan Allah serta membantunya menjadi anak-anak yang taat.
Kamu wajib melakukan sedemikian sehingga jika kamu berbuat baik kepadanya, kamu
yakin kamu akan mendapat ganjaran dan jika kamu berbuat tidak baik kepadanya,
kamu akan mendapat seksaan…” (Imam
As-Sajjad ibn Hussain ibn Ali ibn Abi Talib)
Post a Comment