Semakin besar rasa cinta, semakin kencang denyut nadi kehidupan seseorang. Maknanya, setiap kali cinta seseorang bertambah hebat, cinta itu akan menambah denyut kehidupan manusia, kehidupannya menjadi lebih baik dan semakin dipenuhi dengan kasih sayang.
Lantas, apa yang kita cintai?
Ramai manusia yang mencintai harta. Tetapi sedar atau tidak, harta tersebut akan hancur binasa. Di saat ketika menemui ajal, kita akan meninggalkan harta-harta kita, dan ianya akan dibahagi-bahagikan setelah kita mati. Bahkan lebih malang apabila ada orang yang sanggup mati kerana harta.
Ada juga yang mencintai takhta dan kekuasaan! Tetapi sedar atau tidak bahawa apa yang dimilikinya itu akan lenyap atau minima akan ada orang lain yang menggantikan dia.
Ada juga yang tergila-gila pada wanita, wanita pula tergila-gila pada lelaki. Sedar atau tidak itu hanyalah dorongan syahwat. Ia akan hilang, akan berakhir atau mungkin akan berakhir dengan tragedi. Jika cintanya itu bukan berbasiskan kerana Allah, ia hanya “rayuan kosong” belaka, dan ia akan berakhir secara alami, lalu lenyap tidak meninggalkan kesan, atau berakhir dengan kematian salah satu daripada pecinta, atau akan ranap kerana pengkhianatan. Semua ikatan itu akan berakhir.
Kerana itulah, cinta yang perlu kita cari ialah cinta yang akan terus kekal dan tidak akan pernah binasa. Cinta yang akan menambah kekuatan kita, dan kita tidak takut akan berakhir dengan kekerasan, penentangan, pengkhianatan, atau keretakan. Ya.. cinta yang abadi.
Apakah kita mencintai Allah dengan sesungguhnya? Apakah mencintai Allah itu satu kewajipan atau kurnia? Apakah kita lebih mencintai anak-anak dan isteri kita daripada Allah? Apakah kita lebih mencintai meja study berbanding dengan Allah?
Ini baru pada taraf cinta yang dibenarkan. Lalu, apa pendapat kita tentang orang yang lebih mencintai maksiat daripada Alah? Apa pendapat kita tentang orang yang kemaruk cinta dengan -wanita yang tidak memiliki ikatan apapun dengannya- kemudian kita berjaya mendapatkan cinta wanita itu, dan wanita itu juga mencintai kita? Lalu, di mana cinta Allah? Apa pendapat kita tentang orang yang berbuat maksiat? Apa pendapat kita tentang para penagih dadah?
Memang. Berbicara mengenai masalah cinta memang sangat rumit dan pelik, tetapi kita akan cuba mengfokuskan perbincangan kepada cinta yang “halal”. Mengenai mereka yang lebih mencintai harta –walaupun harta itu halal– daripada Allah, apa pendapat kita mengenai orang ini?
Renungkan..
“Katakanlah: “Jika bapa-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”[QS At-Taubah, 9:24]
Cuba kita perhatikan, di dalam ayat ini, Allah SWT telah melukiskan sebuah gambaran seandainya ada saja lapan jenis rasa cinta di satu sisi timbangan, dan di sisi lainnya rasa cinta kepada Allah, Rasul dan jihad, kemudian keduanya ditimbang. Jika lapan hal itu lebih berat, walaupun hanya serambut atau seatom sahaja, maka bersiap siagalah menunggu apa yang kita akan peroleh.
Allah SWT memberitahu kita,
“Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
Maknanya, orang fasik ialah mereka yang lebih mencintai lapan hal tersebut daripada Allah, walaupun hukum lapan perkara itu mubah (boleh).
Salahkah jika kita mahu mencintai ibubapa kita? TIDAK. Bahkan berapa banyak perintah Allah SWT dalam al-Quran menyuruh kita berbuat baik kepada mereka. Sama juga dengan anak-anak, isteri-isteri.
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada keluarganya.”
[HR Tirmidzi, Ad-Darimi dan Ibn Hibban]
Harta kita, perniagaan kita, rumah kita yang megah. Semua itu boleh. Bahkan islam memerintahkannya dan mewasiatkannya. Siapa yang mati mempertahankan harta, maka dia mati syahid. Jadi? Ayat ini bukanlah untuk kita mematikan cinta kita terhadap semua perkara itu, tetapi untuk membandingkan. Allah SWT juga tidak memerintahkan kita untuk mencintai Dia, kemudian selesai. Tetapi Dia mahu agar kita mampu untuk membezakan kejujuran daripada kebohongan yang kita lakukan.
Allah telah menciptakan manusia supaya dia mengenal dan mencintai Pencipta-Nya. Maka, masuk akalkah kalau kita menjadi sibuk dengan hal cabang dan melupakan hal pokok? Allah telah memberikan kita kemampuan untuk mencintai isteri, anak, harta dan keluarga kita. Dialah yang menumbuhkan rasa cinta dalam hati kita, lalu Dia memberitahu kepada kita yang manakah yang lebih utama untuk dicintai. Maka jangan kita menaruh hal itu di atas cinta kita pada Allah.
Separuh Jiwaku Pergi?
Depends.
Kalau cinta itu mengarah kepada kemaksiatan. Maka, MATIKANLAH IA SEKARANG JUGA!
Kalau cinta itu mengarah kepada dunia, maka hidupkanlah ia, walaupun kita kena tahu dan sedar bahawa sampai suatu saat kelak ia akan tetap mati. Cuma kita kena sentiasa waspada kerana dunia ini sangat licik dan bijak menipu. Jangan sampai apabila ditimbang cinta dunia itu melebihi daripada cinta Allah, Rasul dan jihad. Kalau terlebih, maka bersedialah.
Kalau cinta itu mengarah kepada Allah, Rasul dan jihad, maka teruslah menghidupkan ia dan menjaganya dengan sangat baik. Jangan biarkan ia mati sebelum tiba waktunya.
Seorang laki-laki Arab badwi datang menemui Nabi SAW dan bertanya:
“Bila kiamat itu?”
Mendapat pertanyaan itu, Nabi SAW balik bertanya:
“Apa yang telah engkau persiapkan untuk itu?”
Dia menjawab:
“Demi Allah, saya tidak mempersiapkan amal yang banyak baik berupa solat atau puasa. Hanya saja saya mencintai Allah dan Rasul-Nya”
Nabi SAW bersabda:
“Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai”
Kata Anas bin malik:
“Aku belum pernah melihat kaum muslim berbahagia setelah masuk Islam karena sesuatu seperti bahagianya mereka ketika mendengar sabda Nabi itu”
[HR Bukhari]
Jika yang dicintainya itu kemaksiatan, maka dia akan bersama dengan kemaksiatan.
Jika yang dicintainya itu kebaikan, maka dia akan bersama dengan kebaikan.
Inilah Masanya Untuk Kita Ubah Diri.
Post a Comment