Followers

Thursday, January 19

Yakin! InsyaAllah.. Pasti Ada Jalannya.

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 10:19 PM 1 comments

ALLAH telah menciptakan dunia untuk menguji manusia. Sebagai hamba yang sentiasa menerima ujian, kadang-kala DIA menguji manusia dengan kesenangan dan ada masanya dengan kesukaran. Individu yang tidak menilai setiap peristiwa dengan cahaya Al-Quran, gagal menanggapi hikmah di sebalik kejadian lalu lekas kecewa dan lemah pengharapan. Walau bagaimanapun, ALLAH tetap mendedahkan rahsia paling penting di dalam Al-Quran, di mana hanya hamba yang beriman dan bertaqwa sahaja yang mampu melihat. Rahsia yang dimaksudkan adalah seperti berikut:


“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)

Seperti mana yang ALLAH telah jelaskan pada ayat-ayat tersebut, walau apapun kesukaran yang dihadapi atau bagaimana ia diatasi, ALLAH menyediakan jalan keluar dan memberikan berita gembira buat hamba-hambaNYA yang beriman. Sesungguhnya, setiap hambaNYA akan dapat menyaksikan bahawa ALLAH sentiasa mengurniakan kemudahan pada kesulitan yang dialami selagi mana hambaNYA itu kekal sabar. Dalam firmanNYA yang lain, ALLAH memberikan khabar gembira berupa petunjuk dan rahmat buat para hamba yang sentiasa takut dan mengharap padaNYA.


“...Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluannya).” (Surah a-Talaq: 2-3)

ALLAH tidak akan membebankan seseorang melebihi kadar kemampuannya.


ALLAH Yang Maha Pemurah, Pengasih lagi Maha Adil menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran dan menguji manusia dalam lingkungan kemampuan mereka. Cara pengabadian seorang hamba kepada ALLAH, kepayahan yang diberi untuk menguji manusia, tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang, semuanya adalah pada kadar kemampuan individu itu. Inilah berita gembira buat manusia yang bertaqwa dan ia dijelmakan pada sifatNYA Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. ALLAH menyatakan rahsia ini di dalam firmanNYA:



“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil walaupun dia adalah kerabatmu, dan penuhilah janji ALLAH. Yang demikian itu diperintahkan ALLAH kepadamu agar kamu ingat.” (Surah al-An’aam: 152)

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-A’raf: 42)

“Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya.” (Surah al-Mukminun: 62)

Tidak sukar untuk hidup berlandaskan agama ALLAH

Ramai di kalangan kita beranggapan bahawa agama hanya akan menyulitkan kehidupan dan dipaksa untuk mematuhi pada hukum-hukumnya yang sukar dan payah. Ini hanyalah khayalan yang dibisikkan oleh syaitan bagi menyesatkan manusia. ALLAH dengan jelas menyatakan bahawa DIA pasti akan menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran hidup bagi hamba-hambaNYA yang beriman. Di samping itu, perkara-perkara asas dalam Islam seperti beriman kepada ALLAH juga qada’ dan qadar mampu meringankan beban, menghilangkan kesukaran juga mengelakkan diri daripada berputus asa atau murung. Mereka yang patuh pada hukum ALLAH tidak akan ditimpa rasa gundah, sedih atau putus asa. Di dalam firmanNYA, ALLAH berjanji untuk sentiasa membantu hambaNYA yang menyerah diri kepadaNYA dan yang membantu agamaNYA, dan akan mengurniakan kehidupan yang bahagia di dunia dan juga di akhirat kelak. ALLAH, yang tidak mungkin memungkiri janjiNYA, berfirman:


“Dan katakan kepada orang-orang yang bertaqwa: ‘Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘(ALLAH telah menurunkan) kebaikan.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa.” (Surah an-Nahl: 30)

ALLAH menyediakan berita gembira buat para hambaNYA yang beriman berupa kejayaan bagi mereka yang mematuhi agamaNYA:



“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan ALLAH) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyediakan baginya jalan yang mudah.” (Surah al-Layl: 5-7)

Dengan pendedahan rahsia ini, barangsiapa yang memilih untuk patuh pada agamaNYA sedari awal dengan penuh ikhlas, maka mereka telah mengambil jalan paling mudah yang membawa kepada kejayaan dan kelebihan di dunia dan akhirat. Sebaliknya pula berlaku kepada mereka yang tidak beriman. Mereka diselubungi kegundahan, kesedihan juga kerugian di dunia juga di akhirat kelak. Pada saat mereka memilih untuk tidak beriman, mereka kehilangan dunia apatah lagi akhirat. Ini dinyatakan pada firmanNYA:


“Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.” (Surah al-Layl: 8-10)

ALLAH, Tuhan Yang Maha Memiliki juga Maha Menciptakan segala. Pastinya kekuasaan dan pertolonganNYA melebihi apa yang dapat diberikan oleh manusia apabila seseorang itu mengharapkan keakraban, bantuan dan sokongan ALLAH semata-mata. Mereka yang mengambil ALLAH sebagai tempat bergantung dan menyerahkan segalanya pada ALLAH akan hidup dengan limpahan anugerah dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat tanpa rasa bimbang akan apa-apa yang dapat memudaratkannya. Oleh kerana itu, setiap manusia yang bijak dan percaya pada kata hatinya perlu memahami setiap rahsia yang tersimpan di dalam Al-Quran lalu memilih jalan yang lurus dan diredhaiNYA. Manusia yang tidak beriman tidak akan dapat memahami bahawa fakta yang jelas ini merupakan sebuah rahsia kehidupan. Tidak kira bagaimana bijak atau tinggi taraf pendidikan mereka, individu ini tidak menggunakan kebolehan menaakul dengan baik, maka mereka tidak berupaya memahami dan melihat fakta ini dengan jelas. 


1 Response so far:

ameer faris said...

Assalamualaikum,entry yg bgus..truskan mnulis!ukhuwah fillah.. =)