Followers

Thursday, October 20

SAYANG…BAHAGIAKAH KITA?

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 9:49 PM 1 comments


untuk merancakkan lagi pembacaan...sila dengar dulu ya..


SAYANG…BAHAGIAKAH KITA?
Sepasang suami isteri sedang menaiki basikal pada suatu petang. Suami di hadapan, manakala isterinya membonceng di belakang. Mereka melalui jalan berhadapan sebuah vila. Kebetulan di halaman vila tersebut sedang duduk pemilik dan isterinya sambil santai-santai minum petang.
Tiba-tiba pandangan kedua-dua pasangan suami isteri itu bertembung. Pasangan suami isteri yang sedang bersantai di halaman vila merenung pasangan suami isteri yang sedang berbasikal melalui hadapan vilanya.
Walaupun hanya seketika berpandangan tetapi hati mereka sempat berbicara…
“Alangkah bahagianya mereka,” bicara hati suami yang sedang menunggang basikal. “Rumah besar, duduk bersantai pula dengan menikmati makanan yang enak-enak. Isterinya cantik, kereta besar…”
Apa pula bicara hati suami yang sedang duduk bersantai di halaman vilanya?
“Oh, romantik sungguh kedua-dua suami isteri itu. Isterinya memeluk erat di belakang. Alangkah bertuahnya mendapat seorang isteri yang disayangi. Tidak seperti aku, sekalipun mempunyai harta yang melimpah ruah tetapi aku tidak bahagia seperti mereka…” begitulah bisik hati si suami kaya itu.
Justeru, siapakah antara kedua-dua mereka yang bahagia apabila masing-masing merasakan orang lain yang lebih bahagia? Apa ukuran sebuah rumah tangga yang bahagia? Mempunyai segala kekayaan dan kemewahan hidup? Rumah besar, perabot mahal dan kereta berjenama, itukah petanda rumah tangga yang bahagia?
Jika itulah petanda bahagia, tentu sahaja rumah tangga Rasulullah dan isteri-isterinya tidak bahagia. Betapa sejarah telah menukilkan sering kali dapur rumah Rasulullah tidak berasap kerana tidak ada makanan untuk dimasak. Alas tempat tidur Rasulullah sangat kasar sehingga berbekas di belakang Baginda apabila tidur di atasnya. Namun, rumah tangga Rasulullah s.a.w. itulah yang paling bahagia dan hingga kini menjadi contoh teladan untuk kita ikuti.
Apa sebenarnya bahagia itu? Hakikat nya ramai manusia masih tertanya-tanya dan teraba-raba tentangnya. Yang miskin berasa bahagia itu pada kekayaan. Namun apabila dia mencapai kekayaan, ada yang lain pula disangkanya bahagia, lalu itulah pula yang diburunya untuk mendapat bahagia.
Bagi orang yang sakit, sihat itu bahagia. Sebaliknya pada yang sihat, itu bukan bahagia. Buktinya betapa ramai orang yang sihat tubuh badan tetapi muram jiwanya.
Bagi orang biasa, ternama dan termasyhur itu bahagia. Anehnya ramai pula orang ternama yang menyamar dan ingin lari daripada paparazi kerana benci akan publisiti.
Bahagia Itu dari Hati yang Tenang
Jadi apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu bukan dari luar ke dalam, sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya, harta, nama dan lain-lain perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan penyumbang kepada kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari dalam diri dan sesuatu yang maknawi sifatnya.
Untuk menangani sesuatu yang berasal atau berpunca dari dalam diri, manusia tidak boleh bergantung kepada dirinya semata-mata. Manusia harus bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang Maha Mengetahui. Soal dalaman ialah soal hati atau roh. Itu sangat sedikit diketahui oleh manusia. Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia perlu kembali kepada Penciptanya (Allah).
Bahagia itu datang dari hati yang tenang. Hati yang tenang terhasil daripada sering mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan mengingati-Nya hati akan menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)
Dengan berzikir hati menjadi tenang dan dengan ketenangan hati itulah ter ciptanya kebahagiaan pada diri seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi ilmiah nya. Namun bagaimana pelaksanaannya?
Saya pernah mendengar kisah benar yang diceritakan oleh seorang bekas mufti tentang pengaduan seorang suri rumah tentang kebengisan suaminya. Bayangkan, suaminya “kaki masjid”, kuat berzikir dan memakai serban serta jubah. Namun anehnya, suami itu sangat garang dan ganas. Pantang salah sedikit, isterinya akan diherdik, ditampar malah ditendangnya. Lalu kita tertanya-tanya, mengapa suami yang kuat berzikir itu jadi begitu? Mengapa zikir yang ditegaskan sebagai sumber ketenangan itu gagal memberikan ketenangan kepada suami yang pemarah itu?
Lalu kita bertanya, bagaimana faktor zikrullah (mengingati Allah) ini dapat dipraktikkan dalam rumah tangga agar rumah tangga itu benar-benar mendapat ketenangan dan seterusnya kebahagiaan? Apakah suami, isteri dan seluruh anggota keluarga perlu berzikir sahaja sepanjang masa? Atau mengapa setelah zikir dipraktikkan, rumah tangga masih tidak tenang-tenang juga? Di mana salahnya?
Ada sepasang suami isteri yang meng hadapi masalah dalam rumah tangga. Isteri keletihan menguruskan anak-anak yang masih kecil manakala suaminya pula keletihan bekerja untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka sama-sama letih. Setelah mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan Sayidina Ali mendapat kekuatan daripada berzikir dengan kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, mereka pun terus mengamalkannya. Sayangnya, mereka tidak mendapat ketenangan seperti yang dialami oleh Siti Fatimah dan Sayidina Ali.
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?
Zikir itu bukanlah sekadar menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih penting menghayatinya dengan hati dan mempraktikkannya dengan perbuatan. Oleh sebab itu, zikir itu terbahagi kepada tiga dimensi – lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi’li). Inilah yang hendak dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.
Zikir pada lidah, ramai yang sudah tahu. Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah zikir sama ada semasa solat, selepas solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga, perlu ada program zikir secara rasmi dan tidak rasmi agar seluruh anggota keluarga berzikir sama ada secara berjemaah ataupun individu. Seelok-eloknya setiap keluarga ada amalan-amalan zikir yang khusus dan diamalkan secara istiqamah. Pilih sahaja sama ada al-Ma’thurat, Manzil atau zikir-zikir warisan keluarga yang berasal daripada tarekat-tarekat yang muktabar. Atau ambil sahaja daripada zikir-zikir yang telah terbukti autentik daripada petikan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
Tidak cukup sekadar “membaca” atau “menyebut” kalimah zikir, tetapi paling utama mesti dihayati maknanya. Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci Allah. Apa maksud Maha Suci Allah itu? Allah suci daripada segala kekurangan, kelemahan dan lain-lain sifat negatif sama ada dari segi zat, sifat, perbuatan dan nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada segala sifat buruk, hodoh dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya yang serba-serbi lemah, kurang dan hina.
Untuk menghayati zikir Subhanallah, seseorang mesti memahami makna dan pengertiannya. Untuk mengetahui dan memahami, seseorang mesti belajar. Setelah itu barulah erti Subhanallah itu dibawa dalam kehidupan dalam bentuk penghayatan apabila bertemu dengan pelbagai insiden dalam rumah tangga. Katakan “Subhanallah” apabila Allah disifatkan dengan sesuatu yang negatif atau apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada buruk atau baik, suka atau duka, untung atau rugi dalam rumah tangga kita.
Tidak cukup dihayati sahaja, tetapi praktik “Subhanallah” itu hendaklah diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh suami atau isteri mestilah mencerminkan mereka benar-benar menyucikan Allah. Orang yang benar-benar menyucikan Allah tidak akan marah-marah, mengherdik apalagi memukul pasangannya. Adakah mereka berani berbuat demikian jika mereka merasakan yang suci, yang hebat dan kuat hanya Allah? Orang yang marah-marah, bengis dan mudah naik angin boleh dianggap tidak menyucikan Allah dalam kehidupannya sebaliknya dia “menyucikan” dirinya sendiri.
Ya, kebahagiaan itu datang daripada ketenangan. Ketenangan itu pula datang daripada zikir. Namun bukan semua zikir menghasilkan ketenangan. Zikir yang menghasilkan ketenangan hanyalah zikir yang diamalkan secara bersepadu antara lidah, hati dan anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu yang memberi ketenangan pada hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba dalam hidup.
Hati yang tenang akan bersyukur apa bila menerima nikmat, sabar apabila ditimpa musibah, rela mem beri maaf apabila dipinta, mudah meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia.
Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?
(Insya Allah, kita sambung nanti)
Sebelum ini ikutilah dialog ini:
 Malam dingin dengan sapaan angin membelai sekali-sekala. Saya renung wajahnya. Jelas sudah retak-retak pada pelipis matanya. Pipinya, walaupun masih merah seperti dulu, tapi sudah ada riak-riak kedutan yang mula bertamu.
”Bang, bahagiakah kita?”
Masih terngiang-ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.
”Bahagia itu di mana?” tanya saya semula.
Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.
“Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama,” kata saya.
Pertanyaannya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. Kekadang, soalan dan luahan… sukar dibezakan.
Dalam suram wajahnya saya renung. Mata kami bertembung. Tidak ada bicara, namun rasa dalam rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu demi satu. Masih harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama tangan kami bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan purnama menghiasi kamar pengantin. Tapi sekarang… jari-jari itu tidak sehalus dan semulus dulu. Telah banyak diguris kesusahan, sudah sering diguris keperitan. Pun seri wajahnya, retak juga dipagut usia.
Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami…
”Apa perasaan mu?”
Dia senyum.
”Saya bahagia.”
”Hari ni boleh jadi bahagia… tapi insya-Allah kita masih ada ribuan hari lagi yang akan dilalui bersama. Berdoalah, seperti mana muqaddimahnya, begitulah nanti natijahnya….” kata saya seakan berbisik. Senyum kami menguntum. Oh, alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. Tetapi akhirnya ’mentari’ kehidupan pun menyala petanda ’bulan’ bermadu telah berakhir. Hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.  
Dan hari demi hari terus berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat surya. Putera dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. Tribulasi datang dan pergi. Berpindah dari satu daerah ke satu daerah. Roda kehidupan berputar laju. Kekadang di atas, sering juga di bawah. Ada ketikanya, senyum, suka dan ceria. Acapkali juga ada muram, duka dan air mata. Anehnya, dia terus bersama saya. Kadang tegurannya tajam, menikam… saya pedih. Namun, jauh di sudut hati, terbujuk juga – itu kerana sayang. Pernah juga belaian dan manjanya melekakan… mujur hati sering diingatkan – dia adalah ’hadiah’ Tuhan untuk saya. Masakan hadiah lebih besar daripada Pemberinya?  
Kekadang kolek rumah-tangga gegar dipukul gelombang. Untunglah, kesabaran masih mampu bertahan… pelayaranpun diteruskan.
”Bahagiakah kita?”
Soalan itu kembali mengusik rasa.
”Di mana bahagia itu?”
”Di hujung atau di pangkalnya?”
Lalu saya temukan jawapannya…
”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan… tetapi ia ada di sepanjang jalan.”
”Bahagia itu apa?”
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan  rasa. Mampukah?
”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
”Ketenangan itu apa?”
”Hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian… sama sahaja.”
”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”
”Ingat Allah… hati akan menjadi tenang.”
Bertalu-talu monolog diri itu menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama… terburai semuanya di malam ini – ditusuk sebuah pertanyaan: ’Bang, bahagiakah kita?”
”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”
”Isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai. Jika kau tanyakan, bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita… kau sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”
”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”
”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu… apakah aku telah tenang?”
”Kenapa?”
”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan…”
”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan… semakin diselam, semakin dalam.”
Malam kian larut di kolam buana. Mata saya kembali merenung wajah isteri. Dia yang tidak pernah meninggalkan saya ketika apapun jua. Ketika orang memuji, dia mengingatkan. Ketika orang mengeji, dia menggiatkan. Bagi saya itulah ketenangan yang dihadiahkannya… Walaupun mungkin itu hanya serpihan dari hakikat ketenangan yang hakiki. Namun itupun sudah memadai. Monolog hati saya terus bergema:
”Isteriku, apakah perjalanan kita ini masih panjang ataupun pendek… entahlah, aku tidak pasti. Namun, selagi antara kau dan aku masih ada DIA – Tuhan kita. Selama itulah kita akan tenang. Jika kau ingat, kaulah sumber ketenanganku. Jika aku ingat, akulah sumber ketenanganmu. Jika kita sama-sama mengingati-Nya, maka bahagialah kita. Sebaliknya, jika kita sama-sama lupa… musnahlah kita.”
Lalu dalam suram kamar yang sederhana… saya sentuh tangannya. Walaupun tidak halus dan mulus seperti dulu, tapi sentuhan itu membelai hati saya. Kali ini bukan rasa tahap rendah yang membara. Tapi rasa tahap tinggi yang menyala-nyala. Isteriku… kita bahagia!
Perlahan-lahan, saya bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan sewaktu berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan peribadi. Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak ”Jauh itu dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:   
Kembali kita berjauhan…
salam terpisah, senyum tertahan
rindu berbuah, sayang merendang
jauh-jauh begini…
menguji percintaan
Suaramu telus di langit kelabu
setiamu selimut dingin hujanku
arca bayang-bayang malam
sinar remang-remang siang
melukis setiamu di awan gemawan
Terpisah semakin indah
kian terlarut keruhan rasa
terimbau semula nostalgia lama  
jari-jari merahmu…
di malam pertama
Sayang… Jauh itu DEKAT!





1 Response so far:

alfa said...

senang bngat aku bca semua notamu...