Followers

Tuesday, September 6

Allah Sangat Merindui Diri Kita

Posted by Abdullah Imrran As-Sabar on 1:17 PM 0 comments


“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang – orang yang bertaqwa”
Al-Imran: 133
Allah sangat merindui kita. Tidak kira sejauh mana telah kita lari dan terpesong pada jalan Allah, Dia tetap menanti kepulangan kita. Dan rindunya Allah terhadap kita, bukan sahaja Allah menanti kepulangan kita, bahkan Allah berikan tanda – tanda di sekitar kita supaya kita sedar kita telah sesat dan mencari jalan pulang kepadaNya. Allah sangat merindui kita, pulanglah kepada Allah.
Tanda – tanda Itu di Sekitar Kita
Baru – baru ini, sewaktu saya balik ke Batu Pahat Dari Skudai, saya menggunakan jalan yang tidak pernah saya gunakan. Dahulunya saya lebih senang naik ke lebuhraya untuk ke Batu Pahat dari Skudai tetapi kali ini saya mahu meneroka Pontian. Sebabnya nak balik kampung, sekarang dah kerja ni lalu kampung je best.
Sampai di Pontian Kechil, terdapat satu simpang ke Pekan Nanas dan Skudai, saya terlepas simpang tersebut dan menghala ke Kukup. Saya mula sedar saya sudah menghala ke jalan yang salah apabila saya melihat persekitaran saya. Persekitarannya yang agak kekampungan dan sangat berbeza dengan jalan sebelum ini. Batu tanda pun tidak kelihatan seperti jalan – jalan utama yang biasa. Saya pun berpatah balik dan akhirnya saya sampai ke simpang yang saya terlepas tadi. Dan benar sekali, saya terlepas simpang tersebut.
Begitulah dalam hidup ini. Apabila kita mula tersalah jalan. Menyimpang daripada jalan Allah, maka Allah akan berikan tanda – tanda di sekitar kita. Supaya kita sedar dan kembali. Allah tidak akan membiarkan kita begitu sahaja.
Tanda – tanda itu datang dalam pelbagai bentuk. Boleh jadi hati kita tidak tenang walaupun hidup kita dikurniakan rezeki yang mewah. Boleh jadi apa yang kita usahakan tidak menjadi. Boleh jadi nikmat – nikmat yang sangat kita inginkan atau sesuatu yang sangat kita sayangi pergi meninggalkan kita.
Yang penting, tanda itu akan buat kita rasa sesuatu yang tidak kena di sekeliling kita. Ada cetusan yang akan timbul. Berbalik pada diri kita untuk memejamkan mata kita daripada tanda – tanda tersebut atau mengambil langkah untuk berubah, kembali kepada Allah.
Kesukaran itu Tanda Cinta Allah
Kesukaran demi kesukaran yang hadir adalah tanda cinta Allah kepada makhlukNya. Kesukaran itu supaya kita kembali kepadaNya. Kesukaran menyebabkan kita mulai sedar kelemahan diri kita. Sedar akan hakikat diri kita yang memerlukan pada nikmat – nikmat kurniaan Allah bagi melangsungkan penghidupan kita.
Kita adalah makhluk yang sering alpa dan lalai. Kita mudah hanyut dibuai kesenangan dunia. Nikmat – nikmat kurnian Allah gagal kita uruskan kepada jalan mentaatiNya sebaliknya, kita gunakan untuk memenuhi keinginan nafsu kita dan melanggar aturan – aturan Allah.
Apabila kita ditimpa kesukaran, barulah kita mula sedar hakikat diri kita yang kerdil dan tidak upaya menyelesaikan masalah – masalah yang mendatang. Kesukaran itu Allah kirimkan untuk menumpaskan ego kita yang sombong daripada sentiasa mengharap dan bersyukur padaNya. Janganlah kita terlalu ego untuk mengakui hakikat diri kita sebagai makhlu ciptaanNya dan wajib kembali kepadaNya. Wajib mengharap padaNya.
Sedarlah, tanda kecintaan Allah kepada kita, hamba yang mudah alpa dengan kesenangan dunia adalah dengan menarik kesenangan – kesenangan kita supaya kita kembali meletakkan harap kita hanya pada Allah Yang Maha Kuasa. Janganlah kita sombong dan ego untuk merendahkan diri dan memohon keampunan kepadaNya dan dilepaskan kita daripada kesukaran – kesukaran.
Takutlah Dan Haraplah kepada Allah.
Takutlah kita pada azab Allah di dunia dan di akhirat. Takutlah kita kepada kemurkaan Allah Yang Maha Keras. Diri kita terlalu jauh daripada Allah. Takutlah kita dengan ancaman – ancaman yang Allah sentiasa ingatkan dalam Kitabullah. Ampunlah keampunan padaNya.
Dalam masa yang sama, harapkanlah keampunan Allah yang Maha Pengampun dan maha Penyayang. Bukankah Kasih Sayang Allah itu melebihi KemurkaanNya? Letakkanlah harapan tertinggi kepada keampunan Allah. Bersegeralah melangkah ke pintu taubat dan menyintai Allah kerana sesungguhnya Dia sangat menyintai kita. Allah sangat merindui kita, kembalilah segera kepada Allah.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang – orang yang bertaqwa”


0 Responses so far: