Laman Pautan Lain

Tuesday, August 21

Mak Apa Sebenarnya Kehidupan?


Mak ayah,

Aku menulis khas buat mak ayah yang disayangi. Banyak persoalan yang terbuku dihati. Untuk berterus terang, aku tak punya kekuatan. Untuk berbicara, lidahku kelu dengan kata-kata. Untuk bersemuka, berat untuk ku aturkan sebuah langkah. Yang mampu aku lakukan hanyalah menulis sebuah coretan yang ku hadiahkan khas buat mak ayah tersayang.

Mak ayah,

Aku tertanya-tanya. Daripada masa kecilku, seringkali ku dimarahi. Terkadang bukan atas silapku sendiri. Kesilapan adik-adik, aku yang dipersalahkan. Aku yang dihukum. Aku yang dipukul dengan rotan itu. Rotan yang sama. Dengan alasan aku yang paling sulung. Sedangkan ketika itu aku hanyalah berusia 8 tahun. Masih anak kecil yang membutuhkan perhatian. Apakah silapku menjadi anak pertama? Yang akhirnya jiwa kecilku memberontak. Dari sehari ke sehari aku berkata pada diriku sendiri. Aku ingin menutup telingaku daripada mendengar kata-kata mak ayah. Oleh sebab mak ayah sendiri tak pernah mendengar kata-kataku walaupun yang benar. Jadilah aku seorang anak yang degil.

Mak ayah,

Pada usiaku menginjak 13 tahun, aku dihantar ke sekolah berasrama penuh. Di situ, kami disuruh untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mulanya aku liat. Terasa amat payah lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Di rumah, tak pernah pula aku diajak untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mak ayah sekadar bertanya sama ada aku sudah solat atau belum. Di sini untuk minggu pertama, selalu aku terlambat untuk memulakan solat berjemaah bersama. Jadi, bila jemaah sudah masuk ke rakaat kedua, ketiga, keempat, aku tinggal terpinga-pinga. Bagaimana aku mahu masuk solat jemaah? Kerana mak ayah tak pernahpun mengajarku berkenaan “makmun masbuk”. Sehinggalah aku perlu belajar sendiri di sekolah.

Mak ayah,

Setelah tamat pelajaran di sekolah menengah, aku berjaya masuk ke universiti tempatan. Aku mula bergaul dengan teman-teman yang datang daripada berlainan latar belakang. Di sini aku sudah tidak di”paksa” untuk solat berjemaah lagi. Semua orang hidup dengan cara tersendiri. Pada awalnya aku masih rajin untuk pergi ke surau kolej kediaman. Tapi, lama kelamaan aku sangat sibuk dengan assignments yang bertimbunan. Solat pun makin aku lambat-lambatkan. Terkadang aku cepat-cepat solat untuk mengejar waktu menghadiri kuliah. Bila menelefon mak ayah, mak ayah tak pernah bertanyakan tentang solatku. Jadi tinggallah aku untuk menentukan cara hidupku sendiri. Solatku tetap tak pernah ku tinggalkan, namun hatiku sedikitpun tak terasa bertaut dengan ibadahku. Aku lakukan hanya sekadar untuk melengkapkan rutin harian.

Mak ayah,

Makin lama aku terasa diriku makin kosong. Aku seperti hilang arah tujuan. Aku penat dengan studyku. Aku penat dengan kehidupanku. Aku tiba-tiba bertanya kepada diriku sendiri. Sebenarnya, untuk apa aku hidup di dunia ini? Adakah semata-mata untuk study? Adakah semata-mata untuk mengumpul kekayaan? Adakah semata-mata untuk bekerja? Adakah semata-mata untuk berkahwin, mempunyai anak? Dan selepas tu??

Mak ayah,

Pada suatu hari, aku bertanya kepada seorang kakak yang rapat denganku kerana aku bingung tentang apa makna sebuah kehidupan. Dia yang tersenyum mesra terus menyebut bait-bait ayat Al-Quran yang selalu aku baca, tapi tak pernah sedikitpun aku tahu maksudnya,
“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat:56)

“Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi serta apa yang berada di antara keduanya kecuali dengan Haq” (Al-Hijr:85)

“Bukankah Aku telah mengambil perjanjian (perintahkan) kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus“ (Yasin:60-61)

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu’minun:115)

Mak ayah,

Di usiaku yang sudah menginjak 23 tahun, barulah aku tahu apa tujuan aku diciptakan oleh Allah. Kenapa sebelum ini mak dan ayah tak pernahpun memberitahu aku tentang hal ini? Betul, aku diajar solat, diajar mengaji, disuruh puasa, tapi tak sedikitpun aku diterangkan dengan apa maksud yang sebenar-benarnya tentang setiap ibadah yang aku lakukan melainkan hanya mengikut apa yang dibuat mak dan ayah. Perjalanan kehidupanku yang dibiarkan bebas sendirian.

Mak ayah,

Aku kan anakmu. Aku kan adalah amanah Allah untukmu. Tapi adakah kalian telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadamu. Di mana janjimu pada Allah tika mana Dia menganugerahkan aku pada kalian berdua? Di mana janjimu pada Allah untuk menunjukkan kepadaku jalan mana yang sepatutnya aku ikuti? Jalan yang akan mendekatkan aku dengan Yang Maha Esa. Aku dibiarkan hanyut dalam gelombang kehidupan, ibadah yang diringan-ringankan, pergaulan lelaki dan perempuan yang tiada batasan, pakaianku yang membalut aurat dibiarkan, cukuplah selagi aku masih bertudung. Adakah sehelai tudung cukup untuk mendefinasikan kehidupan sebenar seorang Muslimah?

Mak ayah,

Aku tak tahu. Tolong, ajarilah aku apa makna sebenar sebuah kehidupan. Dalam neraca Islam.

Salam sayang,

Anakmu.
“Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak adalah anugerah Allah. Yang dilahirkan suci bersih ibarat kain putih. Ibubapalah yang mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mencorakkannya.
Nota yang ditulis di atas adalah sekadar satu rekaan. Tapi jika kita perhatikan secara realitinya, tidak mustahil untuk ada dikalangan anak-anak yang mungkin ingin meluahkan hal yang sama dengan tulisan di atas. Anak-anak yang tertanya-tanya, adakah ibubapa sudah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah kepada mereka. Tanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak tentang ilmu agama yang secukupnya, tentang Islam yang sebenar-benarnya, tentang matlamat kita hidup di dunia.
Dan jika soalan ini tidak ditanyakan di sini, mungkin bakal dipersoalkan di akhirat nanti.
Cukupkah sekadar menyuruh solat lima waktu? Cukupkah sekadar mengajar bagaimana membaca Al-Quran? Cukupkah sekadar mengajak puasa bersama-sama? Cukupkah sekadar menghantar anak-anak menghadiri kelas-kelas agama? Tanpa kita sendiri yang menunjukkan tauladan yang sebenarnya kepada anak-anak. Tanpa diberikan penjelasan yang mendalam tentang Islam, tanpa memberikan kefahaman sejelas-jelasnya kepada anak-anak bahawa Islam itu bukan sekadar sebuah agama semata-mata. Sedangkan Islam yang sebenar-benarnya adalah satu cara hidup. Islam is the way of life.

Saya teringat pertanyaan seorang kakak kepada saya pada awal tahun ini. Persoalannya tentang apakah yang membezakan kita seorang manusia sebagai ibu kepada seorang anak jika hendak dibandingkan dengan seekor buaya yang merupakan ibu kepada anaknya.
Kelu untuk memberikan jawapan selain daripada perbezaan manusia dan seekor buaya, kakak itu tersenyum sambil berkata bahawa perbezaannya adalah di mana seekor ibu buaya hanya mengajar anaknya cara untuksurvive di dunia. Cara untuk mencari bekalan untuk hidup supaya tidak mati kelaparan dan juga cara bagaimana untuk melarikan diri daripada pemangsa dan pemburu untuk meneruskan kehidupan.
Berbeza dengan seorang manusia sebagai ibu. Seorang manusia bukan hanya mengajar anaknya bagaimana mencari bekalan untuk meneruskan hidup di dunia, tapi juga bagaimana caranya untuk mencari bekalan yang cukup untuk dibawa ke akhirat sana.
Ini mungkin hanyalah sekadar sebuah perumpamaan untuk membuatkan kita benar-benar berfikir. Untuk kita imbas kembali perjalanan sebuah kehidupan.
Bagi yang sudah mempunyai anak, sebanyak mana sudah ilmu agama telah kita ajarkan kepada anak-anak. Adakah benar cara kita membesarkan anak-anak sudah selari dengan apa yang dituntut Islam?
Bagi yang belum mempunyai anak, sebanyak mana pula persiapan yang ada pada diri sendiri untuk mengajarkan tentang Islam kepada anak-anak yang bakal dilahirkan. Sebanyak mana guidelines yang mampu kita berikan kepada anak-anak untuk menuntun diri mereka dalam misi mencari bekalan secukupnya sebelum pulang ke kediaman yang abadi di akhirat nanti.

Jangan kita menyamakan diri sendiri dengan ibu buaya, menunjukkan anak-anak jalan untuk mendapatkan bekalan sekadar cukup untuk hidup di dunia saja.

Benar, jika terdapat kekurangan di mana-mana, kesalahan bukanlah terletak sepenuhnya ke atas ibubapa yang mungkin masih belum menyedari hakikat kehidupan yang sebenar. Namun, bagi kita yang sudah disapa hidayah kesedaran, yang tahu makna sebenar sebuah kehidupan, biarlah kita yang meletakkan diri sebagai peneraju untuk menjadi ibubapa contoh dalam membina generasi harapan seterusnya. Biar si kecil itu tahu apa matlamat hidupnya di dunia. Biar si kecil itu sedar apa agenda yang perlu dia bawa sepanjang hidupnya.
Jadi, dengan waktu yang masih tersisa, mari kita sama-sama memperbaiki diri sendiri untuk memimpin cahaya mata penyejuk hati. Moga mampu kita tersenyum bangga di kemudian hari sambil berkata, “Itulah anak kami.” Satu kata yang bakal dirindui untuk disebut di syurga nanti.
Hak seorang anak adalah kamu hendaklah menyedari bahawa dia berasal daripada kamu. Jika dia baik atau jahat, semuanya berkait dengan kamu. Kamu bertanggungjawab untuk membesarkan, mendidik dan membimbingnya ke jalan Allah serta membantunya menjadi anak-anak yang taat. Kamu wajib melakukan sedemikian sehingga jika kamu berbuat baik kepadanya, kamu yakin kamu akan mendapat ganjaran dan jika kamu berbuat tidak baik kepadanya, kamu akan mendapat seksaan…” (Imam As-Sajjad ibn Hussain ibn Ali ibn Abi Talib)


No comments:

Post a Comment

Yang suka berbual