Pakwe. Boyfriend. Teman
lelaki. Marka. Balak.
Namakan
apa saja. Ia tetap bukan seorang lelaki yang sah, bergelar suami. Tahap, taraf
dan martabatnya seinci pun tidak sampai ke kedudukan itu. Untuk ditaati,
dihormati, disayangi, dirindui, langsung tidak berkelayakan. Itu syariatullah
yang harus diakui oleh semua orang.
Saya kadangkala rajin juga melakukan blogwalking, samada dalam list sedia
ada, ataupun daripada komen pembaca, ataupun daripada pautan lain di blog-blog
mereka. Kebanyakan ‘perjalanan’ saya itu saya fikir masih berada dalam circle yang
sama, iaitu pembaca ataubloggers yang punya minat pada agama. Dalam
jiwa mereka, ada Islam.
Sebahagian besar mereka adalah remaja dan berjantina hawa. Isi
kandungan blog pula lebih berkisar tentang kehidupan mereka serta apa sahaja
yang dilalui. Sesekali diselit dengan tazkirah, dan kerap kali juga dipaparkan
pelbagai artikel yang disalin daripada blog ilmuan lain. Kesimpulan mudah yang
saya buat adalah, mereka ada jiwa untuk memberi, mempelajari dan mahu menjadi
muslimah sejati.
Namun saya perlu akui, sebahagian besar mereka itu sedang asyik
dalam kesilapan yang menjatuhkan maruah diri, dan lebih malang jika perkara itu
tidak disedari.
Dalam
blog, selain pelbagai widget di kiri atau kanan, gambar sendiri
diedit cantik dan dipamerkan. Ditambah lagi satu, gambar kekasih hati turut
sama terpampang. Gambar ‘budak lelaki’ itu juga diedit cantik dan ditulis
pelbagai kata cinta di atasnya. Sangat gedik dan geli. Gejala sama turut
menimpa para facebookers. Gambar
profil berpurdah hitam dengan paparan mata yang konon menawan.
Berpurdah katanya. Di bawahnya pula, status ‘in a relationship’ tertera penuh
bangga dengan lelaki yang bukan suaminya.
SYARI’ATULLAH
Dikisahkan, wanita itu sifat malunya lebih tebal berbanding
lelaki. Fitrah penuh hikmah yang diciptakan Allah. Islam datang mengangkat
martabat mereka dengan pelbagai peraturan dalam syariat. Dan Islam terbukti
sebagai sistem paling unggul dalam memuliakan wanita.
Ada perintah berhijab, merendahkan suara, menjaga pergaulan dan
tutur kata. Secara tersirat, elemen-elemen itulah yang menambahkan lagi harga
dan maruah seorang wanita. Mereka menjadi mulia dan mereka dimuliakan.
Tetapi apa akan terjadi, jika kesemua peraturan itu diabaikan?
Analogi yang selalu kita dengar, syariat itu umpama papan tanda
di lebuh raya. Bayangkan apa akan terjadi, jika lori balak sama-sama bersaing
di laluan kanan bersama motosikal dan kereta? Bayangkan pula, jika semua orang
bebas memandu ke arah mana yang mereka suka, tanpa ada lampu isyarat ataupun
papan tanda?
Begitu juga. Bayangkan bagaimana jika wanita yang seharusnya
lebih mahal dan lebih tinggi sifat malunya, membakulsampahkan kesemua sifat
tersebut di hadapan lelaki? Dan situasi ini sebenarnya telah banyak terjadi dan
terus terjadi, terutama di kalangan gadis remaja kita.
Gejala mempamerkan wajah sendiri telah
banyak diingatkan sebagai membahayakan maruah. Pelbagai bukti printscreen ditunjukkan
bagaimana gilanya manusia yang mencuri dan membuat editing pada gambar-gambar
kaum hawa. Namun kedegilan yang sama terus dipertahankan. Bahkan bertambah,
dengan trend meletakkan bersama gambar teman lelaki masing-masing.
Apakah mereka fikir, itu suatu bentuk kebanggaan?
MARUAH
” Sayang papa sampai mati “
” My beloved one..forever n
ever “
” Cayang kamuuu ..”
Ya. Itu antara ayat-ayat cinta ciptaan
mereka. Pernah saya cuba menyelidik, adakah si lelaki turut melakukan perkara
yang sama. Dan menyedihkan, kerana banyak yang saya lihat, si lelaki tidak pun
meletakkan gambar teman wanita mereka bahkan seboleh-bolehnya kelihatan seperti
mahu berlagak single dan belum berpunya.
Pernah juga saya lihat di facebook. Gadis muslimah tersebut, beriya-iya
menukilkan madah cinta di wall teman lelakinya. Bahkan menggunakan
aplikasi tulisan yang pelik-pelik penuh warna warni semata-mata untuk
menyatakan ‘ saya sayang pakwe saya ‘. Di wall si lelaki, berderet ucapan yang sama,
setiap hari. Tetapi aneh, si lelaki langsung tidak membalas. Si lelaki seolah
‘rimas’ dan seboleh-bolehnya mahu ‘berlepas diri’ dari kesemua perkara
tersebut. Hanya post dari rakan-rakannya sahaja yang dibalas dengan ‘rela’.
Saya terfikir, si gadis seperti itu sebenarnya mengapa? Sakit
jiwakah dia? Sudah hilang rasa malukah dia?
Oh, gambar profil facebook gaya
arab. Pakai niqab hitam. Status-status yang ditulis, mengajak cinta kepada
Allah. Ajak berburu Lailatul Qadr. Tetapi dia sanggup menghabiskan masa yang
banyak ( pada hemat saya ) untuk membuat editing gambarnya dan dicantum dengan gambar
si lelaki. Ditambah dengan pelbagai effect dan tulisan. Berhabis masa pula untuk
membuat tulisan kelip-kelip , dedikasi untuk orang yang dia sayang. Apa
sebenarnya yang dia cari?
Apa sekalipun rasa hati, mereka yang berada dalam situasi
seperti ini harus segera sedar. Anda sedang menjatuhkan maruah diri anda
sendiri.
MULIANYA ANDA
Jangan jadi gula-gula yang terdedah tanpa balutan plastik,
kerana tiada orang akan memilih gula-gula itu berbanding yang masih tertutup
dan tersimpan rapi di dalam bekas. Gula-gula yang terdedah, samalah seperti
ucapan dan perbuatan yang menjatuhkan maruah. Pakaian anda, tudung atau jubah,
tidak memberi sebarang makna jika anda sanggup merendahkan darjat anda ke tahap
itu di alam maya.
Tidak ada sesiapa yang akan berbangga
dengan status ‘ in a relationship ‘ anda di facebook, walaupun anda dan dia sudah bertunang. Kalau
pertunangan itu pun disuruh rahsiakan, apatah lagi jika anda dan dia langsung
tidak ada apa-apa ikatan dan sekadar bermain perasaan?
Menjadi trend, di usia
remaja wajib punya pasangan. Seawal tingkatan satu, sudah punya teman istimewa
dan diisytihar merata-rata. Bahkan ada juga yang memanggil budak lelaki mereka
sebagai ‘hubby‘
atau suami. Kemudian, putus di tengah jalan. Lalu ditulis pula status-status
penuh kesedihan.
” Saya relakan awak pergi. Mungkin kita tiada
jodoh. Saya redha dengan suratan Ilahi. Kalau kita cintakan seseorang, kita
pasti akan sanggup lepaskan dia untuk melihat dia bahagia..”
Gurindam putus cinta dari anak remaja yang baru tingkatan tiga.
Tidak berapa lama, gambar berganti. Dapat
pula teman lelaki yang lain. Dapat boyfriend baru. Cinta berputik kembali. Gambar
ditayang lagi. Hanyut kembali dalam ombak perasaan yang tidak bertepi.
Muliakah anda dalam situasi itu? Tinggikah nilaian anda dengan
melakukan perkara seperti itu? Tenang dan damaikah jiwa anda dengan mainan
perasaan seperti itu?
JALAN PULANG
Mungkin masih ramai menganggap, gambar teman lelaki kesayangan
mereka itu sumber inspirasi. Dan kisah cinta mereka adalah pencetus motivasi.
Tetapi sebenarnya, anda sedang bermain dengan harga diri. Islam mengangkat anda
ke tempat yang cukup tinggi semata-mata untuk memuliakan anda sebagai wanita.
Islam prihatin dengan sifat malu yang menjadi benteng maruah diri anda.
Jangan biarkan Syaitan terus-terusan menghiasi amalan anda.
Hayati kembali keindahan syariat Islam. Perhalusi kembali hikmah di sebalik
larangan.
Bercinta dan berhubungan dengan bukan mahram adalah satu dosa,
dan mengisytiharkan dosa itu dengan bangga di khalayak ramai menambahkan satu
lagi dosa. Di sebaliknya, maruah anda sebagai wanita sedang terhina.
Kembalilah pulang.
Masih belum terlambat untuk beralih
memperbaiki kesilapan. Buang lah kesemua gambar teman lelaki anda kerana tidak
ada apa yang hendak dibanggakan. Bangga sangatkah mempamerkan perlanggaran
hukum Tuhan? Di facebook juga begitu, berhentilah dari status ‘in a relationship ‘
dengan kaum adam yang bukan mahram. Lebih parah jika sampai tahap status ‘ married to ‘ yang tergamak dipaparkan dengan
lelaki yang tiada ikatan.
Saya kasihan, kerana saya yakin, dalam diri mereka ada kecintaan
kepada Islam. Dan mudah-mudahan, artikel ini mampu menyuntik sedikit kesedaran.
Sayangilah diri anda sebagai kaum hawa yang dimuliakan Tuhan. Moga Allah
memberi kekuatan untuk melakukan perubahan.
Sekian.
Blog best ni : Belog ini best
Syg! Kalau pahit bercinta tak membawanya pulang mendekati CINTA ALLAH... Namun kian berganti& berganti pasangan. waliyazubiLlah. Allah bg apa yang ada dalam HATI hambaNYA. Simpanlah 'sekelumit' harapan pun cuma untuk nak jadi 'orang baik' di sisiNYA. Hati milik ALLAHHHH.....
ReplyDeleteassalamualaikum...bagaimana dgn seseorg tu yg letakkan status 'in a relationship' dgn adik beradik perempuan atau ibu sendiri bg yg lelaki begitu juga sebaliknya bg wanita.
ReplyDeleteAssalamualaikum...
ReplyDeleteBagaimana pula dengan seseorg yg letakkan status 'in a relationship'dgn adik beradik(wanita) atau ibu,bg yg lelaki begitu juga sebaliknya.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeletepilihlah antara syurga dan neraka..mana satu pilihan kamu..kamu yg memilih dengan rela maka kamu yang menanggungnya tanpa menyalahkan sesiapa..renung2kanlah sejenak..
ReplyDeleteye betul..moga anak2 sentiasa beringat2 ketika mendampingi.. berwaspada dengan keasyikkannya..
ReplyDelete