Laman Pautan Lain

Wednesday, January 4

Ishk..Kahwin..Jangan Tak Kahwin...

Ishk, kahwin jangan tak kahwin

‘ Kenapa termenung panjang je tu Pak Rahim?’  Aku mencuit bahu rakan seusrah yang kelihatan sugul semacam yang boleh membawa kepada dua macam. Boleh ke satu macam di bawa kepada dua macam? Masa masih ada lagi tinggal tiga puluh minit sementara menunggu kedatangan pak ustaz di Tadika Mutiara Ghufran Batu Pahat. Ini kesempatan yang baik untuk di gunakan oleh aku untuk bertanya khabar dengan teman seusrah.

‘ Jadi manusia ni, semuanya serba tak kena. Susah aku nak penuhi hasrat semua manusia lain. Macam-macam kerenahnya.’ Cerita Pak Rahim sambil mengawali perbualan di luar tadika.

Dahulu, kata Pak Rahim, sewaktu anak terunanya mahu menamatkan zaman bujangnya semasa masih menuntut di salah satu institut pengajian tinggi tempatan, Pak Rahim sekeluarga di hujani beribu pertanyaan yang tidak dapat di rungkaikan dengan 1001 jawapan. Sudah di jawab, ada lagi soalan yang perlu di jawab. Seakan-akan wartawan popular yang menghujani artis dengan pelbagai soalan. ‘ Anak, masih lagi belajar, kenapa cepat sangat nak kahwin?’ ni satu soalan. Soalan yang memeningkan kepala. ‘ Anak tu dah terlanjur ke sampai nak kahwin awal?’

Tetapi Uzeir anak Pak Rahim berjaya menangkis persoalan demi persoalan yang datang bertubi-tubi macam tembakan peluru yang datang menujah. Menepis menggunakan kereta perisai dan balasan peluru-peluru yang boleh mematahkan hujahan lawan. Bukan sahaja telah mematahkan hujahan dan tembakan lawan dengan hujahan yang bernas, tetapi Uzeir juga telah membuktikan dengan menjadi seorang doktor yang berjaya dan mendapat anugerah dekan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Malah Uzeir juga telah mengharumkan nama orang kampungnya sendiri dengan menjadi seorang Doktor Pakar di sebuah hospital di Malaysia iaitu Hospital Serdang.
          
Ini kes pertama anak lelaki Pak Rahim. Fikirnya, bila anak lelakinya berjaya membuktikan kejayaan dan mengharumkan nama orang kampungnya dengan menjadi seorang doktor akan menutup mulut orang lain. Tapi, ada lain kesnya pula. Anak sulung Pak Rahim. Cik Melah Markonah (bukan nama sebenar) yang sudah menginjakkan usia ke 30 tahun. Melah, seorang yang cantik, sopan dan mempunyai jawatan yang tinggi di Kementerian Pertahanan. Tapi sehingga kini tidak berkahwin lagi. ( Takkan sebab kerja di bahagian pertahanan nak pertahankan membujang?) Mereka sekeluarga juga seringkali di hujani dengan pelbagai persoalan kenapa belum kahwin? Terlalu memilih atau tak da jodoh? (Kena mandi bunga anak kau ni Pak Rahim.) Jangan menghampiri syubhah yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah.
          
‘ Aduhai Ad, pening kepala kami sekeluarga.’

          ‘ Inilah manusia. Suka bertanya. Bertanya tu bagus Pak Rahim. Tapi, macam tu la manusia. Dan tidak pernah puas dengan sesuatu. Malahan manusia juga seringkali bertanyakan soalan yang hendak memuaskan hati mereka sendiri. Bila hati sudah puas, mahu tanya lagi dengan soalan yang lain. Mungkin kalau mereka hidup di alam semut lain pula gayanya. Lain pula caranya. Kalau kita lihat kaum Nabi Musa yang tidak pernah puas dengan sesuatu. Kaum Nabi Soleh yang juga tidak pernah puas dengan sesuatu. Memang sifat manusia dah macam ni Pak Rahim. Jadi, Pak Rahim kenalah bersabar. Ajal, maut, jodoh pertemuan, rezeki semuanya di tentukan oleh Allah. Kita perlu berusaha, lantas kita hanya perlu serahkan sahaja pada Allah semata. Adalah tu nanti Pak Rahim jodoh dia.’ Aku menepuk-nepuk bahu dia untuk meredakan tekanan yang ada di dalam hatinya.

          Rasanya keresahan yang di alami oleh Pak Rahim itu adalah mewakili ribuan ibu bapa yang resah melihat anaknya yang mendapat jodoh terlalu awal dan juga terlalu lambat…… ( macam saya juga seorang anak yang tiada jodoh )

          Ada istilah perigi mencari timba. Tetapi biarlah kita padamkan sebentar istilah itu. Istilah perigi mencari timba kita terbalikkan menjadi timba mencari perigi. Sebagai ibu bapa, kita mestilah menjadikan perumpaan itu sebagai satu realiti. Berusahalah mencarikan jodoh anak-anaknya dengan jodoh yang baik. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dengan membiarkan anak-anak mencari kejodohan sendiri sampai jumpa. Cuba kita contohi Saidatina Khadijah RA tatkala merisik calon suami untuknya. Beliau menggunakan bapa saudaranya untuk merisik khabar kepada baginda Rasulullah S.A.W. Sedangkan pada waktu itu Saidatina Khadijah adalah seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Tetapi Rasulullah pula pekerjanya sahaja.

          Tetapi Saidatina Khadijah R.A tidak ego dan tulus dalam merisik Rasulullah s.a.w.

          Usaha ini perlu di contohi. Kita galakkan anak-anak mendapat jodoh yang baik, beragama, berakhlak mulia dan sahsiah yang tinggi.

          Tidak dapat di nafikan semakin meningkat usia seseorang, keinginan untuk berumahtangga pun makin pudar. Sebab apa? Dah terbiasa dengan hidup membujang.

          Di samping ilmu akademik. Ilmu agama, ilmu perkahwinan, ke ibu bapaan, kehidupan alam rumah tangga hendaklah sentiasa di suburkan. Ini adalah pelengkap kepada kehidupan diri kita sendiri dan juga anak-anak. ( cakap macam dah jadi ayah je, hehe). Ini semua adalah untuk persediaan anak-anak bagi menempuh alam perkahwinan supaya tidak kekok dengan alam perkahwinan.

Abdullah Imran
-                                          
Tk tak pernah lepaskan peluang berdoa dan bangun malam untuk mendapat zaujah yang baik, di kurniakan anak-anak yang baik, ahli keluarga yang baik malahan keluarga mentua yang baik.-
Seberang Perai, Pulau Pinang.
30/ Oktober / 2011
3.40 a.m.

No comments:

Post a Comment

Yang suka berbual