Laman Pautan Lain

Wednesday, September 21

[ Perkongsian] Bila Di tikam Dari Belakang


Macam mana rasa sakitnya bila di tikam dari belakang? Daripada seseorang yang anda sendiri hormati? mungkin mereka yang bersama di jalan sahabat? Sama-sama menjadi da’ie? Saya nak cerita kisah sikit. Mula-mula, mereka menjemput saya menjadi sesuatu di ruangan portal mereka. Saya pun cakap, saya tidak dapat begitu konsisten dengan portal ini. Dia tidak kesah. Selepas itu, mereka melantik saya kepada jawatan. Saya pun suruh mereka berbincang dengan sahabat perngurusan yang lain. Tau-tau, dah di lantik organisasi. Saya bukan nak mengeluh. Cuma, saya rasa terbeban. Di pendekkan cerita saya telah di buang begitu sahaja. Bukan apa, Cuma saya terasa sahaja dengan cara mereka. Rasa di khianati. Bila di perlukan, saya di ambil. Bila sudah menaikkan nama, saya di buang bagai sampah.

Apakah perasaan anda jika anda ingin perkara seumpama itu tidak berlaku (malah tidak pun menyangkanya) tetapi ia berlaku juga dalam episod hidup yang singkat ini? Ya, anda, saya dan kita semua pasti melalui episod yang sedih dan tidak disangka itu dalam hidup. Jika tidak berkali-kali, pasti sekali kita mesti ’terkena’.
Saya ingin tegaskan… mesti ada rasa takut, jeran dan kecewa. Malah kadangkala anda menjadi curiga dan berprasangka buruk dengan semua orang. Insiden pahit yang sekali itu menjadi trauma dalam jiwa yang menyebabkan kita sukar mempercayai sesiapa lagi. Ya, jika dia yang begitu akrab dengan kita, mungkin begitu tinggi ilmunya, mungkin telah banyak budi dan jasanya…  pun tergamak melakukanya, apatah lagi orang lain? Begitu getus rasa kita.
Jika itulah akibatnya, hidup kita akan hilang bahagia. Kita tidak akan ceria lagi. Bila kita sudah tidak ceria, apa yang dibuat pasti tidak menjadi. Hari-hari yang indah bertukar gundah. Kita rasa malas melangkah dan segala potensi diri pudar tidak menyerlah!
Jika itulah yang berlaku, kita sebenarnya sedang memberi kemenangan total kepada orang yang mengkhianati kita. Dia akan berjaya memporak-perandakan kehidupan kita berkali-kali. Jangan biarkan dia menang. Sebaliknya, berhentilah mengenang perbuatannya. Jauhkan diri dan berhati-hati dengan ’gunting dalam lipatan’ ini.
Tetapkan satu jarak yang jauh tetapi jangan memutuskan. Sekiranya tidak mampu melupakan, tidak mengapa, tetapi belajarlah memaafkan. Jangan membalas. Jangan kita mengkhianati diri sendiri hasil pengkhianatan orang kepada kita!
Bersabar atas karenah pergaulan dengan manusia adalah tuntutan agama. Kita tidak hidup dalam masyarakat malaikat – yang tidak alpa dan tidak berdosa. Tarik nafas dalam-dalam dan helakannya panjang-panjang. Cubalah bermuhasabah dengan diri sendiri penuh berani dan jujur. Acapkali, kita dikhianati kerana pernah mengkhianati. Atau kita berdiam diri apabila orang lain dikhianati dan dizalimi. Padahal, membela dan bersuara atas kebenaran itu satu tuntutan. Jangan dayus, penakut dan peangpu… itu umpama syaitan bisu.
Sudah lumrah dalam hidup ini, kita terpaksa hadapi perkara yang tidak kita inginkan. Kita tidak mampu mengawal semua yang berlaku agar sentiasa cocok dengan keinginan dan kemampuan kita. Justeru, selalu berlaku perkara-perkara yang kita sendiri tidak inginkan berlaku. Lantas kita akan mengalami ketakutan – takut sakit, takut gagal, takut dicerca orang dan sebagainya. Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini.
Itu semua adalah realiti dan basahan dalam hidup yang terpaksa kita hadapi. Soalnya, bagaimana kita dapat menangani semua itu dengan cara yang sebaik-baiknya? Hingga dengan itu bukan sahaja kita dapat mengatasinya, malah dapat memanfaatkannya untuk terus mencapai kejayaan. Salah satu caranya ialah dengan membesarkan cita-cita. Ya, cita-cita yang besar akan mengecilkan kritik, pengkhianatan dan sabotaj oleh musuh dalam selimut!
Bayangkan dalam perang Khandak yang hebat itu. Musuh – tentera-tentera Ahzab mengepung di luar kota Madinah, manakala Yahudi menikam dari dalam kota Madinah. Ditambah oleh tipu daya licik para munafik. Bekalan makanan pun kekurangan. Bagaimana Rasulullah menghadapi ya?
Ya, dengan menanamkan satu berita dan cita-cita besar – Rom dan Parsi – dua kuasa besar dunia ketika itu akan tersembam di telapak kaki umat Islam. Jika difikirkan mana logiknya? Sedangkan tentera gabungan puak Quraisy dan pengkhianatan pihak Yahudi sedang mencengkam pada saat yang sangat kritikal itu. Namun itulah Rasulullah… penderitaan dunia yang  sedang dihadapi diperkecilkannya dengan janji syurga, ancaman musuh di peringkat ’local’  dipermudahkannya dengan kejatuhan musuh besar di peringkat internasional.
Jangan trauma dengan pengkhianatan masa silam. Jangan bimbang dengan pengkhianatan masa akan datang. Tetapi binalah cita-cita besar yang mampu ’meremehkan’ semua itu. Dengan cita-cita besar kita akan menjadi raja. Bukan raja untuk berbangga tetapi raja yang mempunyai keyakinan diri dan kemurnian reputasi. Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang yang menikam kita dari belakang… kerana dia hakikatnya  lemah, penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan!
Tidak ada orang yang mahu menendang anjing yang telah mati. Maka begitulah kita, selagi ada tenaga, upaya dan keinginan yang menyala-nyala maka akan sentiasa ada ’musuh’ dalam selimut  yang ingin mengacau kita. Kritik yang tidak adil adalah pujian yang tidak rasmi. Tikaman dari belakang petanda kita gagah dan digeruni untuk dihadapi secara berdepan.
Yang penting, bermusabah diri. Jaga hati agar sentiasa lurus dan tulus. Jaga perlakuan agar sentiasa diikat oleh syariat. Jika itu telah dapat kita usahakan… pengkhianatan akan dapat kita hadapi dengan senyuman. Strategi liciknya akan membelit dirinya sendiri. Dan dia akan terjerumus dalam lubang yang digalinya sendiri!
Kita? Biarlah tetap menjadi hamba Allah. Tetapi menjadi raja kepada diri kita sendiri!
Nikmatilah tulisan ini:
JADILAH SEORANG RAJA!

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!
“Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…
Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok!Yes, Tan Sri!


Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.
“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.
“Mengapa?” tanya saya simpati.
“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”
“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”
Dia merenung jauh.
“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”
“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”
“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.
“Aku sedih, itu sahaja…”
“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”
Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.
“Apa maksud kau?”
Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:  Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.
“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.
“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”
“Kerana serban besar yang tuan pakai.”
Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.
“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”
Mat ketawa mendengar cerita saya.
“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”
“Betul ke?”
“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”
“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”
“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”
Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.  “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku  bukan diri ku!”
Sekali lagi Mat ketawa.
“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”


Kemudian, giliran  Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.


“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”
“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”
“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”
“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”
“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”
Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”
“Saya raja,” jawab petani.
“Raja?”
“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.

No comments:

Post a Comment

Yang suka berbual