Dalam penulisan, sering terjadi sesuatu frasa yang kita anggap paling indah, bernas dan hebat sebenarnya tidak sebegitu dalam realitinya. Walaupun selalu diingatkan supaya kita melakukan “self editing” tetapi frasa yang kononnya sangat indah itu tidak akan kita buang. Munasabahkan kita membuang sesuatu yang kita sayang?
Justeru, kita perlukan orang lain menyunting tulisan kita. Dan hanya pada ketika itu sahaja frasa “kesayangan” kita dipotong atau diperbaiki. Kill your darling, itu istilah yang selalu digunakan dalam bidang penulisan. Hasilnya, hasil tulisan kita akan menjadi lebih baik, bernas dan tepat.
Teman, kekadang kehidupan seperti itu juga. Sentiasa ada individu, sikap, pendirian atau pandangan hidup yang kita anggap benar tetapi hakikatnya tidak. Walaupun kita cuba bermuhasabah, ia tidak akan kelihatan juga sebab ia sudah terlalu dekat dengan diri kita. Cuba dekatkan sedekat-dekatnya tapak tangan kita ke mata sendiri. Semakin dekat, semakin kecil radius penglihatan kita dan ia menjadi semakin kabur. Maka begitulah sikap, pandangan dan individu yang terlalu hampir dengan kita… kekadang sudah terlalu hampir hingga kita menjadi “buta” untuk melihatnya.
Boleh jadi dia seorang teman yang rapat. Tetapi dia hakikatnya dia adalah musuh mu yang ketat. Tetapi oleh sebab terlalu sayang, onarnya kabur di mata kita. Mungkin kerana pandainya dia melayani perasaan dan impian kita, lalu kita letakkan seluruh kepercayaan, padahal dia sedang bersiap sedia mengkhianati kita.
Mungkin ia sebuah buku, yang kita kelek ke sana ke mari. Kita baca berulang kali, lalu pengarangnya kita sanjung dan junjung. Namun hakikatnya, buku itu jauh dari hidayah, tersasar dari taufik Allah. Sedangkan bertahun-tahun kita sudah berhujah, membuat keputusan dan bertindak atas suluhan buku yang kabur itu.
Mungkin juga dia sebuah organisasi atau syarikat yang kita anggap payung dan pelindung, tetapi sebenarnya ia adalah penyekat karier dan kerjaya kita untuk pergi lebih jauh. Kita sangkakan ia pelindung dari hujan dan mentari, tetapi rupa-rupanya tidak… ia adalah hijab fikiran dan minda kita untuk melihat horizon peluang dan ruang yang lebih luas dan dalam.
Ah, boleh jadi ia satu amalan, yang kita anggap sangat menyelamatkan. Mungkin juga satu gelar kesolehan, “status ibadah” atau status sosial yang begitu menenteramkan, melegakan, namun tanpa disedari itulah terowong bagi ujub, riyak dan sum’ah mencelah. Rasa baik, tenteram dan aman yang “dihadiahkan” oleh amal dan gelar itu rupa-rupanya membawa kita ke daerah “rasa tidak atau kurang berdosa” – satu jurang yang paling ditakuti oleh para solihin dan mukminin.
Cari-carilah di mana kecintaan mu yang mungkin membutakan mata hati mu. Belajar dari kesah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan menyembelih kecintaannya Nabi Ismail AS – seorang anak yang soleh, taat dan setia manakan mungkin menjadi hijab cintanya kepada yang Esa? Namun, Allah menguji Nabi Ibrahim AS, agar mengutamakan cinta Allah daripada yang lain. Siapa sangka Ibrahim yang pernah tega “menyembelih” kebencian pada wajah ratusan berhala, kemudian di perintahkan menyembelih “kecintaan” di wajah anaknya sendiri?
Teman, aku seperti kamu. Kerap dibutakan oleh cinta. Siapakah “Ismail-Ismail” dalam hidup kita? Carilah semua itu di sebalik pendirian, prinsip, gelaran, jawatan, amal, isteri, teman dan segala yang menjadi kesayangan mu. “Sunting” tulisan hidup mu dengan imbasan dan suluhan doa. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kita panduan dan keberanian untuk jadi seperti Ibrahim AS… “Kill your darling” dalam kehidupan!
Sering kita alpa, bahawa yang paling kita cinta itulah kerap menjadi hijab untuk mendapat CINTA. Bukan untuk menimbulkan dikotomi (pertentangan) apalagi dilema) antara cinta manusia dengan cinta Allah… tetapi selalunya begitulah kita teruji. Lepaskanlah cinta yang kecil untuk mendapat cinta yang lebih besar. Apabila kita mendapat cinta yang besar, cinta yang kecil akan menyerah dengan rela.
Apakah nabi Ibrahim AS kehilangan Ismail yang rela dikorbankannya? Tidak, bila dia “melepaskan” Ismail, Ismail kekal menjadi anak yang dincintainya. Malah dia dikurniakan seekor kibasy yang gemuk sebagai hadiah dan barakah kesediaannya mengorbankan Ismail AS. Allah mengajar kita supaya “kill your darling” bukan untuk mendera, tetapi begitulah yang dinamakan cinta… sentiasa menagih ujian.
Selepas diuji layaklah seorang hamba Allah mendapat cinta dan CINTA (sekaligus) kerana berjaya “mengorbankan” cinta demi CINTA!
No comments:
Post a Comment
Yang suka berbual