Cinta adalah suatu ungkapan yang cukup mudah disebut. Hari ini, mana ada bumi yang dipijak tanpa didengar kalimah cinta. Itulah anugerah Allah kepada manusia, sebagai anugerah yang paling istimewa. Tunjang kepada erti sebuah kehidupan.
Namun untuk bercinta, itu tidak semudah mengungkap kalimahnya. Untuk menyemarakkan cinta, itu tidak seringkas menyebut namanya. Kalau dikhabarkan kepada orang bahawa cinta itu susah dipraktikkan, tentu ramai orang yang tidak akan percaya.
Apatah lagi bila kita memperjuangkan ‘ cinta selepas nikah’ sebagai Cinta Hakikat, bukan Cinta Plastik semata-mata.
KOMUNIKASI
Apabila saya menyebut bahawa ramai lelaki tidak romantik, sebenarnya ia bukanlah semata-mata telahan saya. Sebaliknya ia adalah rumusan dari beberapa kajian sedia ada. Lelaki yang tidak romantik dan tidak pandai untuk menjadi romantik memang wujud dalam dunia kita hari ini.
Dan apabila saya memilih untuk bercakap tentang tajuk ini, hakikatnya saya sedang membuka perbincangan dan meluaskan sudut pandang kita tentang isu komunikasi, terutamanya komunikasi alam rumahtangga.
Penyatuan jiwa antara dua insan ditentukan kebahagiaannya oleh faktor komunikasi. Bagaimana kedua insan tersebut berhubung. Bagaimana lelaki memahami wanita dan menggabungkan hidupnya dengan wanita tersebut serta bagaimana wanita memahami lelaki dan menggabungkan hidupnya dengan lelaki tersebut.
Romantik adalah salah satu dari isu komunikasi. Lelaki yang tidak romantik atau tidak pandai bersikap romantik, sebenarnya adalah lelaki yang gagal dalam komunikasi mereka dengan wanita.
ROMANTIK ITU BAGAIMANA
Sukar mendefinisikan romantik kerana ianya sangat subjektif. Namun ia sering dikaitkan dengan soal kejiwaan dan dipraktikkan pula secara meluas oleh anak muda yang sedang asyik meneroka erti cinta. Pokoknya, romantik adalah soal bagaimana seorang lelaki menghidupkan komunikasi cemerlang dengan pasangannya, menghidupkan tautan jiwa sepanjang masa dan merancakkan proses menyulam cinta antara mereka.
Ini dicontohkan oleh idola agung kita, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Di dalam banyak hadith, diriwayatkan betapa hebatnya komunikasi Baginda s.a.w dengan para isteri. Ada hadith yang menceritakan tentang ringannya tulang Baginda membantu para isteri. Ada hadith menceritakan tentang lunaknya Baginda dalam memanggil nama isteri, bahkan dengan panggilan yang cukup istimewa. Ada juga hadith menceritakan romantiknya Baginda yang mandi bersama dan minum pula dari bekas yang sama dengan isteri.
Barat ternyata lebih bijak mencedok qudwah tersebut, meskipun akhirnya diterjemahkan dalam layar jahiliah.
Kita sering melihat bagaimana barat menggambarkan romantik dalam filem-filem mereka. Ada babak lelaki bangun dan menarik kerusi untuk teman wanitanya. Ada babak lelaki dan wanita yang sedang bercinta minum dalam gelas yang sama dengan satu straw. Ada babak lelaki menggenggam tangan teman wanitanya dan memandang tepat ke anak mata ketika berbicara. Semua ini dipotretkan kepada kita sebagai bentuk-bentuk perilaku romantik yang seharusnya dibuat oleh seorang lelaki kepada kekasihnya.
Hakikatnya, sumber yang diambil tetap sama iaitu kehidupan bercinta Baginda s.a.w. Cuma diselewengkan dari sudut praktikalnya sahaja. Bukankah kita melihat dalam hadith di mana Nabi s.a.w meminum dari gelas yang sama dengan isterinya, bahkan dari bekas bibir yang sama? Itu sebenarnya suatu perilaku paling romantik dari seorang lelaki kepada wanita.
BEBERAPA KESILAPAN
Malangnya, umat Islam sangat samar dalam meneliti qudwah yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dalam hal seperti ini. Tidak kurang juga ramai yang menganggapnya sebagai remeh. Mereka hanya bersemangat mengikut contoh Nabi s.a.w dalam perihal solat dan puasa, namun sangat terkebelakang dalam mengikut contoh Nabi s.a.w bersabit perihal komunikasi dan muamalat.
Ada juga segelintir lelaki Muslim yang gagal membezakan antara konsep islamiah dengan karat jahiliah.
Sebagai contoh, dalam soal berlaku romantik. Perilaku romantik itu sendiri dek kerana banyak dibaca dan ditonton dari kacamata barat, maka kesemuanya ditolak atas nama ‘cinta yang tidak syar’ie’. Kelunakan seorang lelaki dengan teman wanitanya dipandang sebagai dosa. Kehalusan seorang lelaki dalam membuai jiwa teman wanitanya dipandang sebagai maksiat. Apa yang ditanam dalam kepala hanya satu ; mengejar cinta bersyariat iaitu cinta selepas nikah. Bagaimana rupa cinta, apa itu cinta, kaedah dalam bercinta, komunikasi sebuah cinta dan seribu satu hal berkait cinta sebolehnya tidak mahu didengar melainkan selepas kahwin semata-mata.
Say NO to couple. Say NO to cinta sebelum nikah.
Kebaikannya ada, namun dari satu sudut mereka buta dalam membeza sekaligus menjadikan mereka mengambil sikap ‘pukul sama rata’. Walhal, Ibn Qayyim seorang ulamak yang hebat pernah menyebut : Di mana sahaja kamu menemui kebaikan ( kemaslahatan, kecantikan, keindahan ) maka itulah syariat Allah.
Seorang lelaki yang menzahirkan perhatian, cinta serta kasih sayang sebegitu rupa kepada seorang wanita, sehingga wanita tersebut merasa dihargai, disayangi dan dilindungi, maka itu hakikatnya adalah salah satu kelopak dari bunga Islam. Cuma, barat menggabungkan keindahan tersebut dengan budaya berpasangan secara bebas tanpa nikah, yang mana itu adalah praktikaliti yang salah. Adapun konsep romantik yang ditunjukkan, maka sewajarnya diambil sebaik mungkin untuk dimanfaatkan dalam rumahtangga.
Kita sedih apabila ramai lelaki Muslim tidak menganggap romantik itu suatu perkara penting dalam bercinta sebaliknya memandang ia sebagai hal remeh temeh semata-mata. Fikiran seperti ini biasanya muncul kerana budaya malas membaca, malas menimba pengalaman dan bersikap ‘bodoh sombong’ dalam kehidupan berumahtangga.
ROMANTIK IMPIAN YANG BUKAN MUDAH
Sebab itu di awal entri ini saya menyebut, mempraktikkan cinta itu bukan suatu hal yang mudah. Ini kerana di sana ada golongan yang memperjuangkan ‘ cinta selepas kahwin ‘ tetapi langsung tidak tahu bagaimana untuk bercinta selepas kahwin. Akibatnya, lahirlah ramai pasangan yang berjaya berkahwin tanpa cinta tetapi gagal bercinta selepas kahwin.
Menjadi lelaki yang romantik bukan mudah. Sebab itulah ia bernilai IBADAH.
Ada orang hairan, mengapa pasangan yang suka bercouple kelihatan lebih romantik berbanding pasangan yang berkahwin secara sah. Mereka hairan mengapa bercinta sebelum kahwin lebih romantik daripada bercinta selepas kahwin.
Ada banyak sebab, antara sebab utamanya adalah peranan Syaitan. Makhluk terlaknat ini hanya akan mengusahakan dua benda. Pertama, jika pasangan ini bercinta sebelum kahwin maka akan dicampakkan kemanisan ‘cinta’ kepada mereka sehingga berzina. Kedua, jika pasangan ini mahu bercinta selepas kahwin maka akan dicampakkan kejemuan untuk bercinta kepada mereka sehingga terasa bosan dan tawar untuk bercinta.
Ini diakui oleh Allah ta’ala dalam firmanNya :
” Dan Syaitan menghiasi amal perbuatan mereka sehingga mereka tersimpang dari jalan kebenaran dan mereka tidak diberi petunjuk ”
Di tengah-tengah impian besar seorang wanita untuk mendapat seorang suami yang romantik, betapa ramai daripada mereka terpaksa ‘pasrah’ apabila suami mereka tidak pandai menjadi seperti itu. Bila bergurau terasa kaku. Bila bercakap terasa sehala. Bila berdua terasa keseorangan jua.
Ramai lelaki Muslim tidak tahu bahawa menjadi romantik bukan perkara teknikal, seumpama memberikan nafkah atau belanjawan setiap bulan. Sebaliknya ia adalah perkara kejiwaan yang sangat dititikberatkan oleh Islam. Bahkan, betapa ramai yang masih memandang frasa ‘nafkah batin’ sebagai hubungan seksual semata-mata?
Sedangkan Allah ta’ala berfirman :
” Dan bergaullah ( berkomunikasilah ) dengan mereka menggunakan cara ( method ) yang paling baik “.
Para ulamak menyebut tentang nafkah batin bahawa ianya bukanlah soal melempiaskan nafsu seksual semata-mata, bahkan bersifat pergaulan yang baik, komunikasi yang cemerlang, pandai mengambil hati, memujuk dan memanjakan serta memberikan tarbiyah agama secukupnya kepada mereka.
Ini disokong pula oleh kajian para ahli psikologi yang menyebut beberapa fakta tentang komunikasi suami isteri, antaranya : ” Wanita atau isteri mahu dirinya dipeluk oleh suami tidak kurang dari lapan kali sehari, iaitu pelukan yang bukan bersifat rangsangan seksual.”
Nah. Dengan sedemikian banyak dalil dan hujah pun, rupanya masih ramai lelaki yang egoistik serta tidak menganggap ‘kejahilan’ mereka dalam bersikap romantik sebagai satu masalah. Bukankah ini suatu perkara yang malang pada mereka dan kasihan pada si wanita?
KESIMPULAN
Romantik itu sunnah. Itu perkara pertama yang harus kita ingat. Teliti kembali sirah dan hadith, kerana teladan yang ditinggalkan Nabi s.a.w sebenarnya ada faedah yang sangat besar untuk dipraktikkan dan bukannya sekadar ‘bed story‘.
Romantik itu susah. Memandang anak mata isteri ketika bercakap, memanggilnya dengan panggilan istimewa lagi lunak, mengucup dahinya saat dia penat atau memuji usahanya dengan kata-kata indah, kesemua ini hakikatnya cukup susah dipraktikkan pada pasangan ‘halal’ berbanding yang ‘haram’ di sisi syarak.
Romantik itu ibadah. Jangan jadikan wanita sebagai nombor dua dalam rumahtangga, sebaliknya jadikan dirinya bersama dengan kita di nombor pertama meskipun peranan berbeza. Biasakan diri menghargai wanita dan jangan ‘dibisukan’ mereka atau ‘dimatikan’ personaliti mereka atas nama ‘patuh dan taat’ semata-mata. Bertolak ansur dan berlemah lembut serta menyemarakkan cinta dalam perlakuan saban hari, itu sebenarnya adalah IBADAH.
Meskipun artikel saya tentang romantik ini tidak mampu mensegala-galakannya, namun setidak-tidaknya biarlah ia menjadi bacaan berguna kepada kita. Meskipun teori dan praktikal jarang-jarang sama, namun sekurang-kurangnya mengajak kita berubah atau bersedia dalam proses membina bahagia.
Kerana di akhirnya saya tetap percaya, maksud sebenar artikel ini hanya akan difahami setelah anda berumahtangga.
No comments:
Post a Comment
Yang suka berbual