Apabila
dikisahkan tentang peristiwa Isra’ wal Mikraj, di mana Nabi s.a.w mengatakan
bahawa Baginda melihat ramai kaum wanita di neraka, maka ramai di kalangan
muslimah kita merasa risau serta bimbang. Bimbang dengan keadaan kaum mereka
yang dinyatakan banyak menjadi penghuni mereka. Bertitik tolak dari rasa
bimbang, mereka berusaha menjaga diri mereka sewaktu di dunia dari segala
aspek, supaya kelak mereka terselamat dari menjadi salah seorang penghuni
neraka.
Dan inilah namanya Taqwa. Rasa takut dan bimbang dengan tempat
tinggal kita apabila telah pergi tak kembali.
Kali ini, apa yang mahu ditulis adalah secebis daripada sokongan
kepada usaha-usaha muslimah tersebut, iaitu supaya mereka dapat meningkatkan ‘
sistem kawalan ‘ ke atas diri mereka yang mungkin kadang-kadang terlepas
pandang.
”SUIS”
LELAKI
Wanita diciptakan Allah dengan penciptaan yang cukup berbeza
dengan lelaki. Termasuk dalam bab syahwat. Kalau ditilik dalam ilmu seksologi,
ransangan pada lelaki berbeza dengan ransangan kepada wanita. Ransangan atau
‘suis’ seorang lelaki lebih mudah terpetik meskipun hanya melalui pandangan.
Dek kerana itu, bab menjaga mata dan pandangan sangat
dititikberatkan kepada kaum Adam. Dari kerana mata, rosak iman dalam hati dan
menghamburlah nafsu ke dunia tak bertepi.
Namun begitu, keazaman seorang lelaki untuk menjaga mata dan
pandangan akan menjadi sukar sekiranya tidak mendapat kerjasama dari wanita.
Kata mudahnya, keadaan lelaki akan menjadi payah sekiranya ‘suis’ mereka sering
terpetik dan dipetik oleh kaum wanita.
MASALAH PAKAIAN
Mungkin tajuk ini sering dibicarakan dengan memfokuskan kepada
kaum wanita yang tidak ‘berbaju penuh’ atau kaum wanita yang mana terlampau
kaya sehingga menjadi ‘miskin’ lalu pakaian yang dipakai juga berlubang di sana
sini. Tetapi kali ini, fokus kita adalah kepada muslimah yang disebutkan
ciri-ciri mereka di awal artikel.
Muslimah yang benar-benar mahu selamat dari Neraka Allah.
Muslimah yang benar-benar mahu mengambil berat tentang aspek kawalan diri
mereka.
Mereka-mereka ini, pakaiannya Alhamdulillah menutup aurat. Itu
kalau mengikut tafsiran ramai manusia, bahawa menutup aurat adalah membalut
tubuh, meskipun ketat atau longgar tetapi nipis. Adapun mengikut tafsiran
syarak, itu belum dikira menutup aurat dengan sempurna.
Contohnya, mereka memakai baju kurung dan tudung. Katakan tudungnya
tidaklah terlalu besar atau labuh, tetapi menutup bahagian dada. Tetapi JENIS
KAIN kedua-duanya samada baju atau tudung adalah dari jenis yang nipis.
Bermakna, apabila mereka berdiri atau berjalan di bawah sinaran
cahaya ( lampu atau matahari ) maka bentuk tubuh atau leher akan kelihatan
dengan jelas ataupun samar-samar.
SENGAJA ATAU TIDAK
Timbul pula persoalan, mereka memang sengaja memilih pakaian
atau jenis kain begitu ataupun tidak sengaja? Sebab, ada muslimah yang memang
jenis suka bergaya. Terhalang kerana Islam tidak membenarkan ketat-ketat atau
nampak bentuk tubuh, maka dipilih jenis kain yang nipis dan ‘boleh tembus’.
Ada juga muslimah yang mahu beriltizam dengan pakaian muslimah,
tetapi keinginan untuk berfesyen itu tetap tinggi. Lalu dia memakai jubah dan
menyarung kain lace. Apabila dilihat oleh lelaki, akan menimbulkan daya tarikan
dan ‘suprise’ terhadap pakaian yang dipakainya.
Pada saya, ketepikan dulu soal dia sengaja atau tidak. Niat di
dalam hati manusia hanya Allah Yang Maha Tahu. Kadang-kadang, kerana terlalu
sibuk menduga dan mengkaji niat orang, kita tidak bertindak mendekati orang
tersebut untuk ‘diselamatkan’.
PERANAN
Kita perlu sedar, bukan semua orang yang beriltizam dengan
pakaian muslimah seumpama jubah, tudung labuh, baju kurung, tudung menutupi
dada dan sebagainya itu adalah orang yang berasal ataupun mendalami JURUSAN
AGAMA. Atau pendek kata, mereka bukan semuanya ustazah.
Begitu juga, bukan semua ustazah atau jurusan agama itu
pakaiannya seperti itu. Ada yang pakaiannya langsung tiada ciri-ciri pakaian
mengikut syarak, bahkan ditambah dengan solekan tebal, perfume yang dapat
dihidu sejauh dua batu dan sebagainya
Maka kita kembali kepada apa yang saya sebut di awal artikel,
iaitu muslimah yang sifatnya mahukan Syurga Allah dan menggeruni Neraka Allah.
Tidak kiralah dari jurusan apa sekalipun.
Niat yang baik perlu dikembarkan dengan ilmu yang benar. Memakai
pakaian muslimah perlukan ilmu, barulah terbeza ciri-ciri jahiliah pada sesuatu
pakaian. Kita risau, jika kita menyangka pakaian kita adalah menepati syarak
namun hakikatnya telah tercampur dengan ciri jahiliah.
Justeru, kekurangan ilmu menjadi salah satu punca utama fenomena
atau permasalahan tersebut. Ia perlu di atasi dengan mencari ilmu tersebut.
Belajar dari guru meskipun tidak mampu menghadam setiap nas atau dalil.
Peranan muslimah yang telah sempurna pemakaiannya dan bebas dari
permasalahan yang disebutkan pula adalah mendekati, memperbetulkan atau
setidak-tidaknya mengangkat SYIAR pada pakaian yang kita pakai, supaya ia dapat
dicontohi oleh rakan-rakan yang tahap kefahamannya tidak seperti kita.
PENUTUP
Jangan jadikan sikap kita sebagai penghalang untuk mereka
beroleh kefahaman dan peningkatan dari segi berpakaian sama seperti kita.
Asasnya, perlu difahami bahawa mereka juga adalah muslimah yang baik dan mahu
terus menjadi baik.
Soal berfesyen mungkin saya tidak sentuh di sini. Tetapi soal
jenis pakaian yang jarang dan nipis, ia sangat perlu diambil perhatian.
Mudah-mudahan, dengan amalan saling menasihati dan menegur, akan berkuranglah
amalan atau kebiasaan pemakaian seperti itu di kalangan muslimah kita.
Secara tidak langsung, ia memberi keselamatan kepada ‘bakal
imam’ kita juga suatu hari nanti. Kita tentu tidak ingin menjadi ‘penekan suis’
atau ‘perosak iman’ kepada mereka, bukan?
Salam perubahan.
No comments:
Post a Comment
Yang suka berbual