Laman Pautan Lain

Monday, June 25

Ramadhan Akan Menjelma Lagi




Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda diberikan satu tempoh masa untuk melakukan sesuatu dan setelah tempoh itu habis, maka anda dilarang dari melakukan perkara tersebut? Sekiranya perkara ini terjadi, maka apakah tindakan yang akan anda lakukan?

Sebagai contoh, anda diberi masa sebulan untuk menyiapkan sebuah kereta untuk satu perlumbaan. Setelah tempoh sebulan berlalu, anda tidak dibenarkan lagi melakukan apa-apa. Sudah tentu anda akan menggunakan masa sebulan itu dengan sebaik mungkin untuk menyediakan kereta yang terbaik. Tayar terbaik digunakan, minyak mencukupi dan berkualiti, badan kereta yang sesuai untuk berlumba dan bermacam-macam lagi yang anda lakukan.

Berdasarkan tajuk kali ini, pernahkah anda terfikir bahawa syaitan juga akan menggunakan masa dan peluang yang ada dengan semaksima dan sebaik mungkin untuk persiapan melalui bulan Ramadan?

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Daripada Rasulullah SAW:

“Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu  syaitan-syaitan”  (riwayat Bukhari)

Berdasarkan mafhum hadis ini, ketahuilah kita bahawa syaitan akan dibelenggu pada bulan Ramadan. Jadi sudah tentu syaitan akan menghasut, mengerahkan segala usaha, menggunakan segala tipu daya agar segala janji syaitan untuk menyesatkan manusia terlaksana walau dalam keadaan mereka dibelenggu di bulan Ramadan.

Nafsu manusia akan dilatih, disuap, dibelai dihidangkan dengan keseronokan dan keasyikan agar di bulan Ramadan nanti, ia akan menjadi raja yang memerintah manusia. Itulah yang sering terjadi. Walau di bulan Ramadan, masih ada kerosakan dan maksiat yang dilakukan manusia.

Dengan itu, ketahuilah kita bahawa masa atau fasa sebelum masuknya bulan Ramadan adalah fasa dan waktu yang sangat kritikal. Ia akan menentukan keberjayaan dan prestasi kita pada bulan Ramadan tersebut.

Sebagaimana nabi kita Muhammad SAW mendidik kita dengan doa seperti yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Rasulullah SAW, apabila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan – riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani.

Begitulah antara isyarat-isyarat yang baginda tunjukkan kepada kita. Pentingnya keberkatan dari Allah serta perlindungan dan rahmat-Nya pada fasa dan waktu sebelum kita memasuki bulan Ramadan.

Jadi,bagaimanakah caranya untuk kita persiapkan diri kita dalam tempoh waktu yang kritikal ini? Apakah yang perlu kita lakukan?

Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan antaranya:

1.    Seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW hendaklah kita selalu berdoa “Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Kerana hanya dengan hidayah dan kasih sayang Allah sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari nafsu dan syaitan.

2.      Bertaubat yang benar. Agar hati kita bersih dari belenggu dosa dan nafsu yang menyesatkan. Mudah bagi kita untuk melawan nafsu. Agar di bulan Ramadan, kita seperti kain putih yang ingin dicorakkan dengan tarbiyyah Allah SWT.


3.      Perbanyakkan puasa sunat kerana ia mampu mendidik dan melatih nafsu kita. Mengawal diri kita dari keinginan yang merosakkan. Puasa sunat di bulan Rejab dan Sya’ban, puasa Isnin dan Khamis. Jika ada puasa yang perlu diganti, maka bersegeralah menggantikannya.

4.      Perbanyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Agar waktu-waktu terluang kita diisi dengan beribadah kepada Allah. Kerana jika tidak, sudah tentu kita akan mengisinya dengan perkara yang sia-sia dan maksiat.

5.      Menghidupkan suasana di rumah dan di tempat-tempat yang selalu kita ada seperti di tempat kerja dan juga di dalam kenderaan. Kita boleh menampal poster atau kad berkaitan Ramadan,memasang lagu Ramadan, menghantar SMS dan kad ucapan Ramadan, menanda kalendar agar kita sentiasa sedar akan kedatangan Ramadan dan bersedia untuk menyambutnya.

6.      Muhasabah diri. Sekiranya dalam tempoh waktu yang kritikal ini kita masih lagi leka dan alpa dengan perkara kemaksiatan dan perkara yang sia-sia seperti melihat perkara yang haram, melayan movie yang tidak elok, bermain game 24 jam, mencarut, membuang masa, meringan-ringankan sembahyang, maka ketika itu haruslah kita berhenti dan berazam meninggalkannya sebelum kita terlewat. Kerana apabila kita sudah biasa melakukannya, maka kita akan terbiasa melakukannya walau ketika bulan Ramadan.

7.      Melatih diri dari sekarang dengan bersedekah, qiamullail, berzikir, puasa sunat, membaca quran, melawan perasaan malas.

8.      Merancang Ramadan anda. Kalau boleh sediakan borang atau senarai perkara-perkara yang perlu dan ingin dicapai di bulan Ramadan. Seperti sasaran berapa kali hendak khatam, solat fardhu jemaah di masjid, qiamullail, sedekah dan lain-lain.

Itulah serba sedikit perkongsian persediaan-persediaan yang lebih utama kita lakukan dalam tempoh kritikal sebelum kita menyambut Ramadhan.

Rugilah bagi sesiapa yang melalui Ramadhan dan Allah tidak mengampunkan dosanya.



No comments:

Post a Comment

Yang suka berbual